29 Januari 2013

Hukuman Nasharuddin amaran buat ahli PAS

Kota Bharu: Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang dipecat daripada Majlis Syura Ulama didapati bersalah dan tidak akan disenaraikan sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata tindakan Majlis Syura itu juga sebagai peringatan kepada semua ahli supaya sentiasa setia kepada parti dan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan masa depan parti.
“Tidak payah sebut sama ada dia (Nasharuddin) sudah melanggar peraturan PAS, ia sudah barang (keputusan) yang ditetapkan begitu dan saya memang tidak suka hendak membuat kenyataan yang memburukkan orang lain terutama Nasharuddin.

Ibarat isteri kena cerai

“Kes Nasharuddin ini boleh dilihat seperti seorang isteri yang kena cerai. Bagaimana boleh seorang suami menceraikan isterinya kalau tidak ada sebarang masalah berlaku dalam rumah tangga mereka. Masa nak kahwin, bagi mas kahwin, sambut perempuan dengan gong serta gendang, akhirnya bercerai juga.

“Ini sebagai peringatan (kepada ahli PAS). Perlu beringat, sesuatu benda itu ada kaedahnya. Suami isteri ada kaedahnya, maka (isteri) tidak kena cerai. Itu kaedah yang menunjukkan Islam ini lebih cermat (dalam menghukum),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai keputusan Majlis Syura menggugurkan Nasharuddin sebagai Ahli Majlis Syura PAS berikutan tindak-tanduknya didakwa boleh merugikan parti.
Kelmarin, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata majlis berkenaan yang bermesyuarat minggu lalu membuat keputusan mendapati Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok, terbabit melanggar peraturan berjemaah.

“Beliau (Nasharuddin) sepatutnya digugurkan ketika mesyuarat di Muktamar Tahunan PAS tahun lalu, namun atas beberapa sebab, kita tidak dapat melakukannya sehingga mesyuarat baru-baru yang dipengerusikan Nik Aziz dengan keputusan menggugurkannya sebagai ahli Majlis Syura,” katanya.

Tahun lalu, Nik Aziz berkata, beliau tidak hairan sekiranya Nasharuddin keluar daripada PAS selepas dilihat berada bersama Datuk Seri Najib Razak ketika pertemuan Perdana Menteri dengan sekumpulan ulama Arab Saudi di Makkah. 
 
/hwa: bharian.com.my | 29/1/13

Tiada ulasan: