MARANG 27 Dis. - Gara-gara tidak mahu berkongsi tanah
perkuburan dengan penyokong UMNO kerana berpegang dengan Amanat Haji Hadi,
Mokhtar Ismail, 58, sanggup mengebumikan jenazah isterinya di pinggir rumah di
Banggol Katong, Serada dekat sini.
Walaupun anggota keluarga dan sebilangan
saudara-maranya menganggap tindakan itu keterlaluan, dia tidak mengendahkan
mereka dan cukup yakin langkahnya betul.
"Apabila arwah isteri, Azizah Abdullah meninggal
pada 1990, saya memutuskan menggali kubur tidak sampai tiga meter dari rumah.
Tiada siapa yang syor dan tegah. Saya cukup yakin mereka yang tidak bersama Pas
tidak boleh bercampur termasuk tanah kubur.
"Sedangkan tanah perkuburan tidak sampai suku
kilometer dari rumah. Semasa hidupnya juga arwah terkongkong kerana saya tidak
benarkan dia bergaul dengan penyokong UMNO yang kebanyakannya anggota keluarga
terdekat saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika turut menyingkap
perlakuan silam yang sangat dikesalinya sebagai reaksi terhadap pendedahan
bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama C.N
Al-Afghani berhubung beratus ribu penyokong Pas masih berpegang dengan amanat
yang memesongkan itu.
Menurutnya, hubungan dengan arwah ibunya dan tujuh
adik-beradik yang lain juga tidak begitu mesra kerana mereka tidak menyertai
Pas.
"Ketika ibu meninggal dunia, saya sekadar
menziarah dan tidak menginjak kaki ke masjid untuk bersama menunaikan solat
jenazah. Saya rasa ketika itu pegangan terhadap amanat tersebut lebih besar
daripada tanggungjawab terhadap emak sendiri.
"Saya sendiri tidak dapat mengagak berapa banyak
anak tangga di masjid itu kerana saya tidak pernah pijak. Saya tak kenal masjid
selain Masjid Rusila (Masjid Haji Hadi) dan dua lagi masjid tokoh Pas iaitu
Masjid Kubang Lembek (Masjid Datuk Harun Taib) dan Masjid Batu Enam (Masjid
Haji Awang Jidin)," katanya.
Menurut peniaga itu yang menyertai Pas pada usia 18
tahun ketika berada di Mersing, Johor, apabila kembali ke Terengganu, dia
banyak menghabiskan masa membaca kitab di Masjid Rusila dan turut mendengar
ceramah-ceramah Pas yang turut dianggapnya sebagai kuliah agama terbuka.
"Apabila Amanat Haji Hadi mula kedengaran pada
1981, pegangan bahawa kami berada di landasan benar dalam memperjuangkan Islam
dan tidak perlu mempedulikan orang lain yang tidak bersama, semakin
kukuh," ujarnya.
Malah untuk mengelak daripada terus menunaikan solat
berjemaah di masjid katanya, dia bersama-sama penyokong parti berusaha membina
sebuah surau berhampiran melalui gotong-royong dengan hasil pungutan derma.
"Rasanya saya dan beberapa orang kawanlah yang
mula memberanikan diri mengutip derma daripada orang ramai di Masjid Rusila
untuk perjuangan Pas," ujarnya.
Namun katanya, apabila Pas menang di Terengganu pada
1999 dan surat arahan daripada kerajaan negeri supaya mereka kembali ke masjid
yang sekian lama dipulau, cukup mengejut dan membingungkan apabila hukum-hakam
yang digunapakai tiba-tiba berubah.
"Dulunya masjid itu dianggap cemar dan berimamkan
orang UMNO tidak sah. Jika itu boleh berubah, tentunya daging binatang
sembelihan mereka juga sudah boleh dimakan dan upacara pernikahan juga sah
dilakukan.
"Saya keluar Pas pada 2001 setelah melihat banyak
perkara tidak disenangi termasuk tindakan parti itu mengambil alih tadika Kemas
dengan kanak-kanak terusir. Saya tidak nampak cara Islam dan lihat semua ini
sekadar kepentingan politik," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121228/po_02/Saya-kebumi-jenazah-isteri-di-birai-rumah---Mokhtar#ixzz2GLDLq1md
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa, 1/1/13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan