26 April 2013

Pas diminta henti kaitkan Sultan Kelantan dalam isu tuntutan royalti minyak

HASSAN HARUN 
*****
KOTA BHARU 24 April - Pas diminta supaya menghentikan penggunaan nama individu yang tidak terlibat dalam politik terutama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dalam isu tuntutan royalti minyak.
Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Hassan Harun berkata, isu royalti minyak hanya mainan politik Pas untuk menimbulkan rasa kebencian kepada Kerajaan Pusat dan tidak sepatutnya dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) parti itu.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan bijaksana menyelesaikan isu tersebut apabila menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji tuntutan royalti minyak dan gas melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara.
"Tentang royalti ini sudah diperkenankan oleh Sultan sendiri untuk melantik adinda baginda, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra yang merupakan Tengku Mahkota Kelantan dalam jawatankuasa tersebut.
"Kerabat Sultan Kelantan adalah terdiri daripada anak-anak yang cukup berpendidikan tinggi dan minat mereka tentang rakyat adalah luar biasa. Tuanku sendiri turun ke padang, sembahyang berjemaah, menjadi imam dan sembahyang bersama rakyat.
"Ini menunjukkan betapa prihatinnya Tuanku. Jadi tidak perlulah bimbang, Tuanku mahu minyak dan gas ini dipantau oleh baginda sendiri dan adindanya sebagai ahli jawatankuasa itu," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media BN di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah Pas yang memasukkan isu royalti minyak ke dalam manifesto Pas Kelantan kali ini.
Dalam manifesto tersebut Pas terus mengkhayalkan rakyat dengan menyatakan pelan pembiayaan sumber royalti minyak dan gas sekiranya tuntutan sebanyak RM12 bilion itu dipenuhi.
Hassan yang juga bekas Pengerusi KUB Berhad berkata, Kerajaan Pas Kelantan sebenarnya gagal untuk menyediakan prasarana bagi mendaratkan minyak dan gas di Pantai Senok biarpun Kerajaan Pusat telah memberikan kelulusan.
Katanya, antara kandungan perjanjian tersebut ialah kerajaan negeri perlu menyediakan tapak projek kerana tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Tambahnya, tanah-tanah di kawasan utara Kelantan yang dikenal pasti sudah dimiliki oleh orang ramai dan kerajaan negeri harus membelinya kembali.
"Kita telah mengenal pasti kawasan di Pantai Senok seluas 2,000 hektar. Kerajaan negeri kena beli tanah itu, kerana itu tugas kerajaan negeri. Saya tidak tahu kenapa mereka tidak boleh melaksanakannya.
"Ini kerana kerajaan tidak ada duit, mungkin nak cari duit pun tidak mempunyai kepakaran. KUB ketika itu sedang memuncak dan bersedia serta berjaya mengumpul wang selain pihak bank sanggup membiayai untuk membuat pinjaman.
"Tetapi perjanjian itu tinggal perjanjian, tidak dapat dilaksanakan kerana tidak ada siapa dalam parti Pas Kelantan ini yang sanggup ke tengah bersama saya memajukan projek ini termasuklah mengambil alih tanah-tanah orang ramai sebanyak 2,000 hektar," katanya.

Tiada ulasan: