1 Mei 2013

Helah terdesak Anwar mahu jadi PM

BERITA mengenai keputusan Majlis Syura Ulama Pas menolak dan tidak menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya menguasai Putrajaya bukan rahsia lagi.
Saya dimaklumkan bahawa keputusan itu juga disahkan oleh Dewan Harian dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat meskipun tidak begitu disenangi oleh kumpulan Anwarinas dan pimpinan parasit yang berada dalam saf kepimpinan parti itu. Keputusan Majlis Syura itu juga dikatakan disampaikan ke pengetahuan Anwar sendiri oleh wakil Majlis Syura Ulama Pas.
Sehari dua ini kita digemparkan pula dengan cerita surat tokoh ulama terkemuka, Dr. Yusuf al- Qaradawi memberi sokongan terbuka kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Surat itu kononnya memberikan indikasi mengapa pengundi-pengundi Melayu Islam khasnya yang keluar mengundi nanti semestinya mengundi pakatan pembangkang.
Ulama dari Qatar itu juga dikatakan cuba membersihkan parti-parti komponen pakatan pembangkang termasuk DAP dan seolah-olah menyeru pengundi supaya tanpa syak wasangka memberi undi kepada DAP, Pas dan PKR. Pengeluaran dan penyebaran surat yang belum dapat disahkan keasliannya itu dilancarkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Shah Alam dua hari lalu. Usaha ini dilihat sebagai langkah terdesak Anwar untuk membentuk persepsi masyarakat terhadap kedudukannya sebagai calon Perdana Menteri.
Umum mengetahui Majlis Syura Ulama Pas telah sebulat suara membuat keputusan untuk tidak menerima Anwar menduduki jawatan Ketua Eksekutif Negara atas sebab Anwar mempunyai beban daripada pelbagai arah yang sukar bagi Pas terutamanya untuk sama-sama memikul beban tersebut. Beban paling berat yang ditanggung oleh Anwar sejak 1998 adalah beban moral dan akhlak yang kesan negatifnya berada di paras tertinggi.
Catatan Kertas Penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang melihatkan beberapa kes liwat telah sebulat suara mengesahkan sesungguhnya telah berlaku perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa-mangsa liwat Anwar. Pengeluaran video sebagai bahan bukti yang menunjukkan aksi Anwar melakukan hubungan sumbang dengan beberapa wanita dan lelaki juga sukar untuk ditepis begitu sahaja.
Selain itu, Anwar tidak mempunyai keupayaan untuk memikul beban yang sesetengahnya disabitkan seperti rasuah yang mengakibatkan beliau terpaksa merengkok enam tahun di Penjara Sungai Buloh.
Hubungan intim beliau dengan pemuka-pemuka besar Yahudi di Amerika dan lain-lain tempat di dunia sehingga mencetuskan ruang dan peluang untuk Yahudi mempengaruhi sistem kenegaraan kita seperti meminta pihak yang berkuasa tidak meneruskan pendakwaan kes liwat beliau di mahkamah.
Majlis Syura Pas juga sudah semestinya mengambil kira pandangan Anwar terhadap negara Islam, gerakan Kristianisasi dan usaha memurtadkan umat Islam di negara ini. Kes Lina Joy misalnya menjelaskan bagaimana Anwar secara terang-terangan menyebelahi pihak Lina Joy untuk mendapatkan pengesahan mahkamah tentang status pegangan agamanya.
Anwar melalui kenyataan-kenyataan terbuka dalam beberapa forum termasuk di peringkat antarabangsa tanpa berselindung mempromosikan fahaman pluralisme agama dan Islam liberal. Fahaman-fahaman ini dikaitkan juga dengan gerakan melegalisasikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seperti yang dituntut oleh pejuang-pejuang hak asasi manusia yang kini sudah mula bertapak dan menjalar di negara ini.
Bagi kebanyakan pengkaji masyarakat dan pengulas politik, perkara-perkara pokok yang dinukilkan di atas dengan sendirinya tegak berdiri kukuh untuk dijadikan alasan termasuk oleh Majlis Syura Pas bagi menolak Anwar menerajui Malaysia dengan menduduki kerusi Perdana Menteri.
Keserasian pandangan Anwar dengan pimpinan tertinggi DAP dalam hal-hal yang berkaitan menentukan asas-asas kenegaraan seperti mengambil fahaman negara sekular dan liberalisme barat menambah kerunsingan dalam kalangan ulama Pas disebabkan fahaman-fahaman itu tidak mempunyai titik pertemuan dengan apa yang diperjuangkan oleh Pas selama ini.
Keputusan Majlis Syura Pas sesungguhnya benar-benar menghantui Anwar. Keputusan para ulama Pas itu dilihat telah mencabar kebolehan dan kemampuan beliau yang sejak awal lagi sewaktu bersama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengurus negara ini dikatakan telah berusaha menggunakan segala peluang yang digarap dengan sebaik-baiknya dengan matlamat untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Keputusan Majlis Syura Pas itu menjadikan Anwar hilang pertimbangan dan berusaha mencari satu kaedah yang boleh menjadikan pimpinan Pas terutamanya termasuk dalam kalangan pimpinan Pakatan Rakyat supaya berdiri teguh di belakangnya untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.
Opsyen yang ada bagi Anwar adalah cuba menggunakan pengaruh yang ada pada tokoh agamawan luar negara al-Qaradawi. Dilaporkan Anwar menggunakan pemikir-pemikir Islam melalui lingkungan luar negara untuk bertemu dengan al-Qaradawi lantas memberi gambaran dan bacaan politik mereka dan mengambil satu kesimpulan supaya Anwar 'dibersihkan'.
Cara dan kaedah yang digunakan oleh sahabat-sahabat Anwar di luar negara jika ditinjau dari sudut apa pun terutamanya dari sudut ilmiah, syarak dan amalan pengkaji sosial, sudah tentu kaedah yang digunapakai itu menyalahi prinsip-prinsip asas yang biasa digunakan sebelum membolehkan sesuatu rumusan dan kesimpulan dibuat.
Apalagi kalau langkah-langkah itu melibatkan penilaian buruk baik, positif, negatif atau merumus sesuatu itu patut diterima atau ditolak.
Pendekatan duduk di kerusi empuk dan berada ribuan kilometer jarak fizikal ditambah pula oleh rencamnya angkubah-angkubah yang terlibat dan parameter yang digunakan, sudah tentu tidak dapat menghasilkan suatu rumusan yang boleh dipertanggungjawabkan.
Rumusan seperti ini sudah tentu membuka ruang untuk dipersoalkan dan biasanya cara sedemikian menjadi 'counter productive' terhadap apa yang diharapkan. Apa yang telah dilakukan sehingga munculnya surat yang kononnya membuat pengisytiharan terbuka mengiktiraf Anwar sebagai manusia yang paling layak untuk menerajui Malaysia sangat sukar diterima.
Mana mungkin seorang yang berada lebih 10,000 kilometer dan tidak pernah bergelumang dalam kancah kehidupan masyarakat di Malaysia apalagi dalam arena politik yang begitu 'heterogeneous' (berbagai-bagai) dan beban berat yang tidak tertanggung oleh Anwar dapat membuat sesuatu rumusan bagi pihak 27 juta rakyat Malaysia.
Bayangkan seorang pemikir Malaysia mengeluarkan surat yang sama mengesahkan seorang pemimpin di Nepal misalnya dengan cara-cara yang digunakan oleh pemikir Islam itu. Apakah mungkin rakyat Nepal dapat menerima dan mengakui kesahihan endorsmen itu?
Tinjauan rambang yang dibuat rata-ratanya melihat bahawa keputusan Majlis Syura Ulama Pas jauh lebih 'credible' kerana keputusan itu berpijak di bumi nyata. Keputusan Majlis Syura kebiasaannya berpegang kepada beberapa kaedah usul fiqh yang setiap satu kaedah itu mempunyai sandaran-sandaran dan asas yang kukuh.
Di satu sudut saya sangat menghormati kedalaman dan ketinggian ilmu al-Qaradawi dan kebolehan beliau meneroka kehidupan moden mengguna teropong syarak tetapi saya juga harus bersikap objektif.
Apalagi metodologi yang diguna untuk mengeluarkan rumusan yang begitu penting kepada masa depan negara membuatkan saya terpanggil melayangkan pendapat dalam ruangan ini.
Bagi saya kaedah usul fiqh yang sudah tentu digunakan tidak siapapun yang mempersoalkan. Tetapi meletakkan atau 'superimpose' kaedah-kaedah tersebut kepada realiti sosio politik yang begitu kompleks di negara ini menyebabkan ramai pengkaji termasuk saya mempunyai tanda soal yang besar di kepala masing-masing.
Bagi saya Ahli Majlis Syura Ulama Pas lebih kenal Anwar. Sebahagiannya telah sama-sama menghabiskan zaman remajanya, masa dewasa mereka dan sebahagian usia emas mereka, maka secara logiknya sudah tentulah pandangan dan pendapat mereka serta keputusan mereka lebih 'credible' dan lebih bertanggungjawab.
Fenomena 'taking thing for granted' atau ambil mudah pada hemat saya sudah lama berlalu di negara ini. Yang pasti, rakyat Malaysia lebih mengenali siapa Anwar berbanding beberapa kerat pemikir Islam luar negara yang mungkin diselewengkan pandangan mereka terhadap individu bernama Anwar.
Sekiranya Anwar benar-benar menjadi Perdana Menteri, yang akan ditimpa bencana dan malapetaka bukan mereka yang berada di luar sana, tetapi rakyat kita sendiri yang akan menanggungnya.
Bagi saya keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas itu sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Anwar sememangnya mempunyai beban termasuk beban moral yang sangat berat dan berikutan dengan itu tidak layak sama sekali untuk memimpin rakyat negara ini.

Tiada ulasan: