TIDAK penting sama ada Pas dan DAP berkongsi 95 peratus dasar perjuangan yang serupa ataupun berhadapan dengan 5 peratus perbezaan, kerana hakikatnya sudah terdapat tanda-tanda berlakunya unsur sabotaj antara kedua-dua parti tersebut.
Bukan menjadi rahsia lagi bahawa peraih undi DAP di beberapa negeri di mana terdapat ramai pengundi Cina sedang giat menggerakkan sentimen mempengaruhi pengundi bukan Islam supaya menolak calon Pas dalam Pilihan Raya Umum, 5 Mei ini.
Kempen tersirat DAP adalah menyebarkan sentimen yang membawa maksud bahawa 'satu undi' kepada Pas membawa negara menuju ke arah penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud Pas? Kempen DAP di Johor adalah manifestasi jelas modus operandi yang cuba menyisihkan Pas supaya kelihatan betapa tidak signifikannya parti tersebut.
Tindakan Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez yang menggesa ahli DAP supaya tidak mengundi Pas hanyalah salah satu peristiwa tersurat yang menggambarkan kerapuhan sepakat 95 peratus dasar perjuangan mereka.
DAP begitu angkuh menolak Pas kerana begitu yakin dengan kepercayaan bahawa pengundi Cina akan menyokong mereka secara menyeluruh dan keputusan meletakkan Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah adalah berlandaskan kepada pegangan tersebut.
Tetapi apa yang paling membimbangkan dengan sikap keangkuhan DAP dan ketaksuban Pas adalah senario politik selepas pilihan raya. Tidak dapat dinafikan Malaysia memerlukan pembangkang yang kuat dan juga konstruktif untuk memastikan kerajaan pemerintah melaksanakan tanggungjawab dengan lebih efisien.
Jika diambil iktibar dengan apa yang telah berlaku sejak lima tahun selepas Pilihan Raya Umum 2008, pembangkang hanya pintar berpolitik dan mengkritik dasar kerajaan tanpa mempunyai niat dan rancangan untuk mengutarakan sesuatu yang lebih baik.
Kenapa ini boleh berlaku adalah kerana parti pembangkang tersebut lebih mementingkan agenda politik masing-masing daripada kesejahteraan negara. Jika kerajaan Barisan Nasional (BN) mengikut rentak politik pembangkang maka akan hancurlah agenda pembangunan negara.
Rakyat Malaysia perlu memberi isyarat bahawa politik celaru yang dibawa oleh DAP dan Pas perlu dihentikan demi kelangsungan pembangunan negara. Gaya politik yang diamalkan oleh DAP dan Pas yang hanya mementingkan kelompok masing-masing tetapi masih mahu bersama hanya kerana niat mahu menghancurkan BN boleh membawa mudarat yang lebih padah.
Senario politik Israel adalah contoh paling nyata mengapa persefahaman parti politik berlainan ideologi boleh membawa mudarat kepada kestabilan negara.
Jarang sekali kerajaan rejim Israel boleh bertahan selama satu penggal iaitu empat tahun kerana lazimnya kerajaan yang dibentuk terdiri daripada parti politik berlainan ideologi.
Pada pilihan raya 2009, parti haluan ekstrem kanan Likud dan Yisrael Beitenu telah menubuhkan kerajaan bersama-sama dengan parti haluan orthodok dan kiri seperti Shas dan Jewish Home. Kerajaan Israel berlainan ideologi tidak pernah kekal lama dan pada Januari 2013 pilihan raya terpaksa diadakan lebih awal kerana kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sudah tidak mendapat kepercayaan komponen parti.
Keputusan pilihan raya 2013 sekali lagi memaksa Netanyahu bersama-sama dengan Yisrael menubuhkan kerajaan dengan Yesh Atid, Hatnuah dan Jewish Home yang begitu jelas berlainan ideologi. Kerajaan terbaru rejim Israel ini dijangka tidak akan kekal lama kerana ideologi parti politik kali ini begitu ekstrem sekali perbezaannya.
Gabungan parti Likud, Yisrael, Yesh Atid, Hatnuah dan Jewish Home sebagai kerajaan dilabelkan sebagai pakatan yang terpaksa, walaupun berlainan ideologi tetapi kerana kepentingan politik semua perbezaan dilupakan buat sementara waktu. Parti tersebut boleh bersatu kerana faktor Iran dan Palestin yang boleh dikatakan selari.
Sejak merdeka kerajaan Perikatan dan seterusnya BN tidak pernah ditubuhkan di atas dasar kerjasama parti politik yang berlainan ideologi. Memang benar ada perumpamaan Latin iaitu Modus Vivendi yang membawa maksud bersetuju untuk bekerjasama walaupun berlainan pendapat tetapi untuk rakyat Malaysia memperjudikan masa hadapan kerana mencuba sesuatu yang baharu adalah sesuatu yang patut dihindarkan.
Laporan Petunjuk Ekonomi Asia Pasifik oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam yang meletakkan Malaysia di kedudukan teratas dalam kalangan negara sedang membangun bagi hal pertumbuhan ekonomi perlu dijadikan pedoman oleh rakyat Malaysia, mengapa senario politik celaru perlu dielakkan.
Perlu ditekankan bahawa IMF menegaskan institusi kerajaan sesebuah negara itu penting terutama sekali bagi melancarkan pertumbuhan ekonomi dalam mencapai status negara maju yang bermaksud kestabilan politik, keupayaan birokrasi yang baik, kurangnya konflik dan rasuah dalam sesebuah negara. Sebab itu India, Indonesia dan Filipina berada dalam kedudukan terbawah dalam laporan tersebut.
Kestabilan politik sukar dicapai jika parti politik sentiasa bertelagah antara satu sama lain. Jika sebelum membentuk kerajaan sudah wujud unsur sabotaj, memperlekehkan dan mempergunakan antara satu sama lain, keadaan akan menjadi lebih buruk jika kumpulan ini diberi tanggungjawab membentuk kerajaan.
Menerajui sebuah negara bukannya satu perkara mudah kerana kerajaan terpaksa berhadapan dengan isu yang lebih besar melibatkan negara lain. Memang benar jika pemimpin DAP dan Pas menegaskan 5 peratus perbezaan adalah begitu kecil, tetapi masalahnya jika mereka tidak mampu menyelesaikan perbezaan yang sedikit ini, bagaimanakah mereka akan berhadapan dengan isu yang lebih besar dan mencabar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan