Oleh WAN
ZULKIFLI WAN YAACOB
KUALA
TERENGGANU - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut
pastinya bakal merasai suasana sambutan Aidilfitri lebih awal atau lebih
panjang tahun ini, jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan dalam bulan Ramadan
atau Syawal.
Kerusi DUN berkenaan
ditakdirkan kosong semula hanya selepas lebih sebulan Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) berlalu apabila penyandangnya, Dr. A Rahman Mokhtar,55, meninggal
dunia pagi semalam dan PRK akan diadakan dalam temph 60 hari.
Seminggu
sebelum meninggal, Allahyarham yang begitu disenangi penduduk masih meneruskan
tugasan akhirnya dengan menyertai sidang Dewan Undangan Negeri biarpun
menyedari kesihatannya sudah cukup kritikal ketika itu namun disembunyi kepada
umum.
Malah beliau
masih ingin mencari kesempatan akhir untuk menemui rakyat di kawasannya dalam
satu majlis meraikan kemenangan Barisan Nasional ketika sepatutnya sudah
menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dengan
pengawasan penuh oleh pakar.
Sudah
menjadi resam agak 'kejam' dalam politik apabila saat seorang wakil rakyat
tenat dan disusuli kematian, soal PRK akan lebih diperkatakan umum.
Pemergian
Allahyarham yang memaksa berlakunya PRK pertama selepas PRU-13, merancak
permainan politik dengan gendangan yang terus bergema dan tidak berkesudahan di
negara ini selepas pilihan raya umum apabila terus diheret berpanjangan oleh
pembangkang yang merasa mereka berhak menang.
Sama ada
anda berasa cukup jelak, cuak dengan sinario permainan para pemimpin politik
yang berterusan mengejar kuasa kini yang mencetuskann fenomena jauh lebih
membimbangkan berbanding jerebu, anda terpaksa menerima keadaan ini.
DUN Kuala
Besut meliputi kawasan lingkaran pantai dan pulau.
Allahyarham
anak Pulau Perhentian dan mengakhiri hayatnya sebagai pemimpin di kawasan tanah
besar dan pulau yang mempunyai tautan kuat dengan kehidupannya selama dua
penggal.
Jika disorot
seimbas lalu, sememangnya Kuala Besut boleh dianggap kawasan kubu UMNO dengan
rekod pencapaian PRU 2004 memperlihatkan ia menguasai 60 peratus undi manakala
61 peratus pada 2008 dan 58 peratus dalam PRU 2013.
Penguasaan
UMNO ternyata kekal pada tahap seimbang sepanjang tiga penggal PRU di kawasan
yang pengundi Melayunya mencecah hampir 99 peratus namun semua itu bersandarkan
perjalanan
PRU-13 dan
sebahagian rekod khidmat Allahyarham
Kuala Besut
di kawasan tradisional Melayu dilihatkan sebagai salah satu medan pertembungan
sebenar antara dua parti, UMNO dan Pas untuk menentukan pengaruh di kalangan
kaum yang diwakili, bukannya Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.
PRK kali ini
cukup besar maknanya bagi kedua-dua parti di negeri ini walaupun tidak merubah
apa-apa di peringkat negara dan dibayangkan menjadi cukup getir kerana bakal
menentukan masa depan kerajaan BN di negeri ini yang cuma kekal berkuasa
selepas PRU dengan kelebihan dua kerusi.
UMNO mesti
mengekalkan kelebihan itu untuk memastikan kerajaan tidak goyah dan dalam
keadaan tidak menentu kerana jika kedudukan kerusi seimbang 16-16, buat pertama
kalinya kedudukan DUN akan tergantung tanpa sokongan majoriti.
Ini pula
kesempatan paling berharga buat Pas yang masih ghairah mengimpikan untuk
kembali berkuasa setelah disingkirkan rakyat setelah sepenggal diberi
kepercayaan dan cuma memerlukan tambahan sekitar 8 peratus undi untuk memenangi
majoriti mudah.
Parti itu
juga telah mengemukakan petisyen bagi membantah keputusan bagi kerusi DUN Kuala
Besut dan Kuala Berang yang memuncakkan lagi harapan mereka.
Kekosongan
yang berlaku mempercepatkan semula peluang Pas untuk kembali berkuasa tanpa
perlu menunggu sepenggal lagi kerana jika berupaya menguasai Kuala Besut,
kemungkinan DUN boleh dibubarkan dan membuka ruang pilihan raya semula di
peringkat negeri.
Ini bagaikan
pertembungan antara hidup dan mati dengan kedua-dua belah pihak pastinya akan
berhempas pulas dengan mengumpulkan kekuatan jentera parti dari seluruh negara
untuk memastikan kemenangan.
PKR kali
bukan sekadar suatu pertembungan yang mungkin melebarkan lagi perpecahan umat
Islam dan Melayu malah menentukan nasib negeri dan rakyat Terengganu. - UTUSAN
ONLINE
Artikel
Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130627/po_07/Analisis-Pertembungan-getir-di-Kuala-Besut#ixzz2XQUsb21e
© Utusan
Melayu (M) Bhd | hwa 28JUN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan