28 Jun 2013

PM sertai dialog Global 2013 di Tanzania



Daripada RAMLI ABDUL KARIM
DAR ES SALAAM 27 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Tanzania bermula esok untuk menghadiri program dwitahunan Dialog Perkongsian Pintar Global 2013 (Global 2013) di sini.
Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke luar negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan juga penyertaan pertamanya sebagai Perdana Menteri dalam dialog itu di Afrika setelah ia dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi penganjuran Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada 1995.
Perdana Menteri yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Julius Nyerere pada pukul 10 malam esok (3 pagi Sabtu, waktu Malaysia) akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya yang turut bertanggungjawab terhadap Tanzania dan Uganda, Ismail Salam berkata, Najib akan mengambil bahagian dalam empat sesi program tersebut iaitu dua sesi dialog dan dua sesi perbincangan kumpulan pemikir.
Selain itu, menurutnya, sepanjang berada di sini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan hubungan dua hala dengan beberapa ketua kerajaan dari Afrika termasuk menemui Presiden Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa dan Presiden Uganda, Yoweri Museveni.
"Pembabitan Malaysia dalam dialog ini akan menunjukkan komitmen kita untuk mengemukakan isu-isu antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan kepentingan Afrika.
"Penyertaan Perdana Menteri dalam dialog ini juga akan membantu merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Tanzania," katanya kepada media Malaysia dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Global 2013 bertemakan Memanfaatkan Teknologi untuk Transformasi Sosioekonomi Afrika dianjurkan oleh organisasi Perkongsian Komanwel untuk Pengurusan Teknologi (CPTM) dan kerajaan Tanzania.
Kali terakhir negara dari benua Afrika menganjurkan dialog itu ialah di Munyonyo, Uganda pada 2009 sebelum disusuli Putrajaya, Malaysia pada 2011. - UTUSAN ONLINE
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa 28JUN

Tiada ulasan: