20 Jun 2013

Elak perpecahan UMNO berulang

KUALA LUMPUR 18 Jun - Dua jawatan tertinggi UMNO tidak perlu dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang bagi mengelakkan perpecahan yang berlaku pada 1987 sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 berulang.
Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah menegaskan, pertandingan tersebut dilihat tidak perlu dalam keadaan sekarang apatah lagi ketika orang Melayu sudah berpecah-belah.
Katanya, kejayaan UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibantu Tan Sri Muhyiddin Yassin memenangi 88 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu berbanding 79 kerusi sebelumnya, membuktikan kemampuan mereka.
"Jika Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan, sudah pasti akan wujud semangat berpuak-puak dalam parti selepas pemilihan nanti.
"Cukuplah, kita tidak mahu orang Melayu semakin berpecah tetapi perlu bersatu di bawah payung kepimpinan UMNO sedia ada agar kita terus kuat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan sokongan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.
Beliau berkata, walaupun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden wajar dipertandingkan di bawah sistem demokrasi, tetapi orang ramai tidak begitu memahami fungsi amalan tersebut.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad pula berpendapat, kepimpinan Najib dan Muhyiddin dilihat 'regu' terbaik untuk terus mengemudi UMNO dan juga kerajaan sekarang.
Jelasnya, kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu telah berjaya membawa transformasi yang tidak pernah dilihat oleh rakyat Malaysia sebelum ini.
"Bukan tidak mahu melihat pertandingan tetapi soalnya sekarang siapa yang mampu untuk menggantikan mereka berdua dalam keadaan suasana politik sekarang.
"Saya berharap kedua-dua jawatan tertinggi UMNO itu tidak dipertandingkan dan seterusnya mengekalkan perpaduan orang Melayu yang ada sekarang," ujarnya.

Tiada ulasan: