20 Jun 2013

Pemimpin Pas Kelantan ditempelak dakwa dianaktiri kerajaan pusat

KOTA BHARU 18 Jun - Pemimpin-pemimpin Pas Kelantan ditempelak kerana masih menabur tuduhan dan cuba meracun fikiran rakyat dengan dakwaan kononnya Kerajaan Pusat menganaktirikan negeri ini daripada menerima pelbagai jenis bantuan.
Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kawasan Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani berkata, ia adalah tuduhan tidak berasas jika melihat kepada laporan Kementerian Kewangan yang menunjukkan Kelantan merupakan penerima bantuan terbanyak daripada Pusat di Pantai Timur berbanding Pahang dan Terengganu.
Selain itu katanya, bantuan Pusat sebanyak RM381 juta yang dikeluarkan tahun lalu telah dimasukkan terus ke dalam akaun Kerajaan Pas Kelantan, justeru tidak timbul masalah Kelantan diabaikan seperti yang didakwa.
"Macam mana jadi anak tiri kalau Kelantan menerima bantuan lebih banyak daripada Pahang yang hanya menerima RM359 pada tahun lalu, manakala negeri jiran kita, Terengganu hanya menerima RM277 juta setahun.
"Semua wang ini pula diberikan secara terus kepada Kerajaan Pas Kelantan melalui pelbagai sektor, malah ia adalah bantuan yang diberikan setiap tahun," katanya ketika membahaskan Titah Ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V, pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Menurut beliau, agihan wang itu adalah pemberian mengikut bilangan orang sebanyak RM20 juta, pembiayaan kekurangan mengurus (RM81 juta), pembiayaan senarai bersama (RM17 juta), pendahuluan (RM74 juta), pemberian pertambahan hasil (RM21 juta) dan pemberian tahunan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM21.9 juta.
Katanya, wang itu turut disalurkan kepada pembiayaan bantuan bil lampu PBT (RM1.2 juta), Lembaga Muzium Kelantan (RM934,000), perpustakaan awam negeri (RM885,000), penyelenggeraan jalan raya negeri (RM85 juta).
Selain itu katanya, penubuhan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerana ia dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
"Jadi saya terkejut Kelantan adalah antara negeri yang tertinggi menerima bantuan ini berbanding negeri.
"Inilah antara yang diberikan malah banyak lagi yang boleh dimanfaatkan iaitu ECER, pelancongan, utiliti dan sebagainya untuk menjadi negeri yang tiada masalah kewangan," tegas beliau.

Tiada ulasan: