17 Jun 2013

Zionis lakukan penghapusan budaya Arab Palestin - Peled

PENCERAMAH antarabangsa, Mico Peled menyampaikan syarahan bertajuk 'eyond Zionism-Hope for peace in Palestine' anjuran Pertubuhan Viva Palestina Malaysia di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA
*****
KUALA LUMPUR 16 Jun - Rejim Zionis kini sedang melaksanakan misi penghapusan budaya (de-Arabization) terhadap semua warisan yang dimiliki oleh Arab Palestin di Tebing Barat bagi memastikan identiti umat Islam tersebut dapat dihapuskan secara total.
Penulis buku "The General’s Son: Journey of an Israeli in Palestine", Miko Peled mendedahkan, usaha tersebut terserlah melalui pelbagai tindakan Israel memusnahkan semangat, monumen, bahan ilmiah dan simbolisme berkaitan Arab Palestin selain membunuh golongan budayawan tanpa sebarang alasan munasabah.
Menurutnya, pembersihan etnik yang telah bermula lebih 65 tahun lalu itu kini berada pada tahap membimbangkan apabila rejim tersebut dilihat semakin agresif dalam misinya merampas semua tanah umat Islam demi sebuah 'negara etnosentrik berdaulat'.
"Israel memulakan usaha melunturkan semangat Arab Palestin dengan menyumbat pemimpin-pemimpin malah golongan marhaen ke dalam penjara bagi memastikan doktrin pembebasan, nilai budaya dan identiti bangsa mereka dapat dihapuskan.
"Oleh itu, peristiwa Naqba atau 'malapetaka' yang menjadi hari peringatan kepada Arab Palestin kini bukan berlaku pada 15 Mei 1948 sahaja tetapi sebenarnya bermula pada tarikh itu sehingga hari ini," katanya.
Anak bekas jeneral terkenal Israel, Mattityahu itu berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk "Beyond Zionism-Hope for peace in Palestine" anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM) di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: