17 Jun 2013

Mengunjungi sudut bergelar ‘selamanya England’

KHAMIS lalu penulis menerima ajakan felo media dari Kenya yang juga pengarang eksekutif akhbar The Nation, Karen Rothmyer, untuk menikmati makan tengah hari di The Orchard, Grantchester.
Bersama seorang lagi felo media dari Malaysia, kami berjalan menyusuri lorong bertar, menyusup pagar kolej St. Catherine untuk memintas ke denai di sepanjang sungai Granta, sebelum merentasi padang melepasi lembu-lembu manja meragut rumput tanpa menghiraukan kami.
Selepas berjalan hampir tiga kilometer, kami tiba di The Orchard - ‘kedai kopi’ dalam taman di pinggir Cambridge yang asalnya ladang epal tetapi kini mempunyai sejarah tersendiri yang terus-terusan menggamit orang ramai termasuk nama-nama besar untuk mengunjunginya.
Semuanya ingin ‘merasai’ suasana kehidupan penyair muda bergelar Young Apollo yang dinobatkan sebagai jejaka paling kacak dalam sejarah England, Rupert Brooke, bersama rakan-rakannya di akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19 di sini.
Sebenarnya, The Orchard menjadi ‘Tea Garden’ secara tidak sengaja apabila sekumpulan pelajar Cambridge meminta pemilik Orchard House, Puan Stevenson menyediakan teh di bawah rimbunan pohon buah-buahan dan bukannya di anjung penginapannya seperti biasa.
Tanpa para pelajar ini sedari, apa yang mereka lakukan pada pagi musim bunga dalam tahun 1897 itu kemudiannya menjadi suatu tradisi bagi Cambridge.
Disampaikan dari mulut ke mulut, The Orchard akhirnya menjadi resort tepi sungai yang popular di kalangan penuntut universiti.
Untuk menambah pendapatan, keluarga Stevenson menyewakan bilik di Orchard House dan pada 1909, Brooke yang merupakan mahasiswa King College, menjadi antara penyewanya.
Lari daripada hiruk-pikuk Cambridge, hakikatnya Brooke hanya memindahkan kehidupan sosialnya yang sibuk ke Granchester apabila dia tidak putus-putus dikunjungi rakan-rakan rapat - yang kemudian dinamakan oleh penulis novel Virginia Woolf sebagai ‘Neo-Pagans’.
Simbol
Kumpulan The Granchester yang terdiri daripada Brooke (penyair), Woolf dan E.M. Forster (penulis novel), Bertrand Russel dan Ludwig Wittgenstein (ahli falsafah) serta Maynard Keynes (pakar ekonomi) dan Augustus John (pelukis), menjadi simbol kehidupan era anak muda England yang bertenaga dan optimis tetapi pada sama, anggun dalam selamba.
Kerinduan Brooke pada kehidupan santainya di sini mencetuskan idea untuknya menulis puisi “The Old Vicarage, Granchester" ketika berada di Berlin, yang mana dua bait terakhirnya mengabadikan ritual minum teh tengah hari di The Orchard;
‘Stands the church clock at ten-to-three
And is there honey still for tea?
Sekembalinya ke Granchester, Brooke terpaksa menyewa di The Old Vicarage setelah biliknya di The Orchard disewakan kepada orang lain. Dia kemudiannya mengembara ke utara Amerika sebelum kembali ke England pada 1914, menjelang Perang Dunia Pertama lalu menyertai tentera.
Pada Mac 1915, pasukannya dikerahkan ke Gallipoli. Brooke meninggal dunia seawal usia 27 tahun akibat komplikasi darah pada 23 April 1915 dan disemadikan di dusun zaitun di pulau Skyros, Greek.
Beberapa bulan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Brooke menghasilkan puisi ‘The Soldier’ yang antara bait-baitnya menggambarkan kerinduan mendalam terhadap kehidupannya The Orchard yang seolah-olah dia tahu tidak akan dapat diulangi lagi.
‘If I should die, think only this of me:
That there‘s some corner of a foreign field
That is forever England"
(Jika aku menutup mata, hanya kenangkan daku tentang ini: Bahawa ada suatu sudut di bumi asing, yang selamanya adalah England).
Dan kini sesudah 100 tahun berlalu, legasi Brooke terus hidup di The Orchard, Granchester.
Bagi warga Cambridge atau sesiapa sahaja yang mengunjungi bandar ilmu ini, tidak lengkap kunjungan anda jika tidak ke Granchester.
Menikmati scone yang disapu krim dan jem beri sambil bersandar di kerusi kayu meneguk lemonade atau menghirup teh di bawah pohon epal atau terus berjemur di bawah cahaya matahari, tidak sedar masa berlalu, lebih-lebih lagi jika ada teman berlabun.
Tepat sekali apa yang diceritakan tentang The Orchard - suatu sudut di England di mana masa seakan-akan terhenti sedangkan dunia di luarnya pantas berlalu.

Tiada ulasan: