JANGAN sesekali ada dalam kalangan kita dengan bangga mengaku
sayangkan negara dan bangsanya selagi tidak mengenali sejarah kelahiran
bangsa dan negara mereka sendiri.
Mengenali dan memahami sejarah sebetulnya hanya akan menjadikan kita
seorang individu yang lebih kuat untuk berhadapan dengan masa depan.
Sejarah merakamkan peristiwa benar yang terjadi pada satu-satu masa
tertentu untuk dihayati oleh generasi akan datang sama ada dalam bentuk
penulisan buku atau pun yang difilemkan.
Andai sakit dan perit rakaman sejarah itu, kita tiada pilihan lain selain daripada menelannya.
Begitu juga dengan dokumentasi yang manis-manis tentu sekali akan
memberi motivasi yang bukan sedikit untuk kita mempertahankan hal yang
baik untuk diwarisi.
Inilah kelebihan yang ada pada bangsa Indonesia yang sentiasa
menjadikan sejarah silam sebagai senjata paling utama untuk
memperkasakan jati diri mereka.
Berbeza dengan orang kita, bangsa Indonesia sentiasa terbuka dalam
menerima apa sahaja karya sejarah yang dihidangkan kepada mereka - sama
ada sejarah buruk atau baik.
Pokok pangkalnya hanya dengan mendalami dan memahami sejarah
menjadikan mereka bangsa yang sentiasa ke hadapan untuk memelihara
nasionalisme yang mula dipupuk sejak zaman pemerintahan Presiden
pertama, Sukarno.
Tokoh yang mengasaskan negara Indonesia itu membekalkan rakyatnya
legasi yang cukup tinggi nilai dan kedudukannya iaitu prinsip Pancasila.
Bertitik tolak pada roh dan semangat Pancasila, nilai kebangsaan
Indonesia disuburkan pula oleh karyawan filem dari negara bekas tanah
jajahan Belanda itu.
Kisah dan sejarah silam yang difilemkan dilihat sebagai dokumen paling berpengaruh untuk dijadikan teladan kepada generasi muda.
Atas dasar dan matlamat itu filem Sang Kiai ditayangkan tanpa
sebarang prasangka atau dihimpit oleh rasa takut untuk bercakap mengenai
kebenaran silam.
Bahkan, penghasilan Sang Kiai dirumuskan oleh sebilangan besar
pemimpin negara, tokoh akademik, ahli sejarah, pemimpin masyarakat,
pencinta filem dan masyarakat umum sebagai sebuah karya yang cukup untuk
menjadi inspirasi seluruh bangsa Indonesia.
Menteri Badan Usaha Milik Negara, Dahlan Iskan berpendapat, Sang Kiai
merupakan sebuah karya yang paling tepat untuk membangkitkan
nasionalisme generasi muda.
Dahlan seorang tokoh yang disegani. Sebelum menjadi menteri Kabinet,
beliau merupakan seorang tokoh korporat yang membina pengaruh
berteraskan jati diri yang kukuh sebagai bangsa Indonesia.
Maka tidak hairan kenapa Dahlan sendiri mengakui, beliau menitiskan
air mata pada penghujung filem Sang Kiai mengenangkan mesej yang
terkandung dalam karya berkenaan.
Sang Kiai mengupas kisah seorang tokoh pergerakan nasional, Kiai Haji
Hasyim Asyari iaitu salah seorang pemimpin yang turut menyumbang kepada
perjuangan kemerdekaan Indonesia.
Filem arahan Rako Prijanto yang memaparkan latar tahun 1942-1947
menceritakan bagaimana Hasyim Asyari menyerahkan seluruh kebaktian
beliau kepada masyarakat.
Bersama-sama teman iaitu golongan ulama, beliau mendirikan sebuah
organisasi berpengaruh Jamiiyah Nahdlatul Ulama (kebangkitan ulama) pada
31 Januari 1926.
Sang Kiai yang masih ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan
menampilkan pelakon ternama Indonesia seperti Christine Hakim dan
Ikranegara serta pelakon-pelakon lain seperti Agus Kuncoro, Adipati
Dolken, Dimas Aditya, dan Meryza Batubara.
Apa yang paling utama juga, Sang Kiai hadir tepat pada masanya ketika krisis multi-dimensi sedang berlaku di Indonesia.
Nilai luhur
Sang Kiai disimpulkan sebagai sebuah karya yang mampu membangun
karakter seseorang individu terhadap kecintaan pada bangsa dan negara.
Jauh lebih penting, mesej dalam Sang Kiai membangkitkan nasionalisme dan mewariskan nilai luhur untuk generasi muda.
Filem Sang Kiai, kata Ketua Bahagian Sosialisasi Suruhanjaya
Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) Asrorun Niam Sholeh, boleh menjadi
inspirasi buat anak-anak Indonesia dalam membangun karakter yang kuat
dan keperibadian yang mulia.
Melalui filem ini anak-anak Indonesia boleh menyerap semangat dalam membangun jati diri dan idealisme kebangsaan.
Di tengah kecenderungan tayangan filem yang mengeksploitasi seks,
kekerasan, hantu dan semangat hedonisme, Sang Kiai hadir sebagai
tontonan yang menghibur tetapi penuh dengan nilai pendidikan," ulas
beliau lagi.
Penerbitan filem Sang Kiai juga mencetus fenomena apabila banyak pihak menganjurkan sesi wacana filem berkenaan.
Senario ini dilihat sebagai satu terjemahan betapa karya yang
bercerita mengenai sejarah perjuangan silam amat relevan dan subur
sampai bila-bila.
Tentu sekali sebilangan besar generasi muda Indonesia tidak mengenali
siapa itu Hasyim Asyari dan bagaimana semangat kebangsaan yang ada
dalam diri pemimpin hebat itu.
Kerana itu, generasi muda Indonesia hari ini sangat berterima kasih
kepada sejarah yang telah merakamkan kehebatan tokoh ulung itu.
Melihat bagaimana Sang Kiai dihasilkan dengan penuh kejujuran dan
keberanian untuk bercerita tentu sekali akan membuatkan seluruh rakyat
Indonesia terpesona untuk menggandakan semangat nasionalisme mereka.
Hakikatnya, rakyat Indonesia amat memahami bahawa sejarah adalah sejarah. Fakta dalam sejarah tidak boleh diubah sama sekali.
Inilah yang menyebabkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang
menggelarkan diri sebagai Dewan Koordinasi Nasional Gerakan Pemuda
Kebangkitan Bangsa (DKN GARDA BANGSA) menganjurkan siri jelajah wacana
filem Sang Kiai di sejumlah kampus.
Kami ingin membangkitkan semangat nasionalisme kaum muda," kata
Ketua DKN Garda Bangsa, Hanif Dhakiri kepada wartawan ketika ditanya
rasional pihaknya menganjurkan siri jelajah filem Sang Kiai.
Bagi Hanif, Sang Kiai merupakan filem sejarah yang penting bagi
generasi muda yang menceritakan perjuangan tokoh nasional menegakkan
Indonesia.
Garda Bangsa juga jelas beliau, menganggap Hasyim sebagai orang yang bertanggungjawab meletakkan dasar semangat kebangsaan.
Hasyim memainkan peranan yang sangat besar dalam mendorong semangat perlawanan rakyat Indonesia pada 10 November 1945.
Sang Kiai membangkitkan semangat juang melalui fatwa resolusi jihad mempertahankan kemerdekaan Indonesia.
Tanpa peristiwa resolusi jihad, tidak akan pernah ada Negara Kesatuan Republik Indonesia," ujar Hanif.
Benarlah kata Dahlan, filem seperti Sang Kiai boleh menjadi media
paling efektif untuk memperkasakan nasionalisme sesebuah bangsa.
Nasionalisme juga tegas beliau tidak hanya dapat dilihat pada zahir
seseorang itu, sebaliknya, dalam sanubari juga tentu sekali akan
tercetus semangat kecintaan pada bangsa dan negara.
Persoalannya, apakah kita berani untuk bercerita mengenai kebenaran
sejarah dan membiarkan orang ramai menonton rakaman sejarah itu tanpa
sebarang prasangka seperti mana yang sudah dilakukan oleh bangsa
Indonesia?
Janganlah terlalu mahu menjaga hati orang lain sehingga kita terpaksa
menutup fakta sejarah yang sememangnya terbukti benar-benar berlaku.
Sekali lagi diingatkan sejarah adalah sejarah. Ia tidak boleh diubah, jauh sekali untuk dipadamkan.
Dan filem Sang Kiai harus dijadikan sebagai kayu ukur betapa hanya
kejujuran dan keberanian akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih
dihormati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan