12 Jun 2013

Himpun: Pas Kelantan tak terima jemputan


Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU 12 Jun - Kerajaan Pas Kelantan tidak menerima sebarang jemputan rasmi untuk menghadiri perhimpunan 'Blackout 505' yang diadakan di Padang Majlis Daerah Ketereh di sini malam ini biarpun ia dihadiri oleh pemimpin utama pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keadaan tersebut menguatkan lagi spekulasi bahawa Pas Kelantan menolak perhimpunan untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau tidak akan hadir pada perhimpunan itu kerana terikat dengan komitmen lain.

"Saya tidak menerima jemputan rasmi, saya dimaklumkan orang lain pun tidak ada jemputan rasmi.

"Saya sendiri pun tidak dapat hadir kerana ada komitmen pada malam ini, Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) hadir atau tidak saya tidak tahu, kena tanya beliau?," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan itu yang diadakan di Padang Majlis Daerah Ketereh di sini malam ini. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130612/dn_26/Himpun-Pas-Kelantan-tak-terima-jemputan#ixzz2W04PIUbj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: