12 Jun 2013

Pekerja projek Lebuh Raya Rakyat tak dibayar gaji?



Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU 12 Jun - Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengakui ada mendengar 'cerita' mengenai pekerja di tapak projek Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai tidak dibayar gaji sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini tidak ada sebarang laporan rasmi dibuat oleh pekerja terbabit atau mana-mana agensi yang terlibat.

Katanya, sehingga kini kerajaan Pas Kelantan telah mengumpul 'derma' sebanyak RM2 juta untuk pembinaan projek lebuh raya tersebut dengan majlis pecah tanah pakej pertama projek itu telah dilancarkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 28 Mei tahun lalu.

"Saya pun tidak tahu (pekerja tidak dapat gaji) sebab tidak ada orang bagi tahu saya, saya pun ada dengar tetapi saya tidak pasti, saya tidak boleh komen (lanjut)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa akaun laman sosial Facebook yang mendedahkan mengenai rintihan seorang wanita dikenali sebagai MrsNor Wahid, isteri kepada salah seorang pekerja di tapak projek lebuh raya itu yang tidak menerima gaji dan elaun. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130612/dn_29/Pekerja-projek-Lebuh-Raya-Rakyat-tak-dibayar-gaji#ixzz2W02NoDuC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: