KUALA LUMPUR 14 Jun - Kerajaan memberi jaminan akan terus menggalakkan perkembangan serta pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan membekalkan sistem sokongan yang efektif bagi memperkukuhkan kedudukan perusahaan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu sememangnya menjadi matlamat kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya PKS tidak terpinggir dalam memainkan peranan memakmurkan ekonomi negara.
Malah menurutnya, PKS juga akan dilonjakkan untuk menjadi pemain utama yang menyumbang kepada peningkatan makroekonomi iaitu kepada 41 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain menyediakan 62 peratus peluang pekerjaan dan 25 peratus eksport menjelang 2020.
"Sejak sekian lama inisiatif kerajaan telah membawa hasil yang signifikan kepada PKS. Tahun lalu, sejumlah 133 program dianjurkan kerajaan melibatkan RM7 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 430,000 syarikat PKS dalam semua sektor ekonomi.
"Bagi tahun ini, 155 program dengan komitmen kewangan sebanyak RM18.4 bilion dilaksanakan dan dijangka membawa manfaat kepada lebih 465,000 PKS. Peningkatan peruntukan itu termasuk dana RM8 bilion daripada sektor swasta merupakan pengukuhan kepada permulaan matlamat ekonomi negara yang dipimpin swasta manakala kerajaan bertindak sebagai fasilitator dan pengantara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Pameran Inovasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX) 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Pengerusi SME Corporation Malaysia, Datuk Ir. Mohamed Al Amin Abdul Majid.
Dalam majlis sama, syarikat Romstar Sdn. Bhd. (Romstar) diumum sebagai pemenang Anugerah Inovasi SME 2013 dan membawa pulang wang tunai RM1 juta beserta trofi selain menjuarai kategori perkhidmatan yang menawarkan hadiah RM200,000.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga memahami halangan-halangan yang dihadapi golongan peniaga dan sebagai kaedah penyelesaian, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) ditubuhkan terutama dalam mengurangkan kerenah birokrasi dan memodenkan perlesenan.
Hasilnya jelas beliau, sebanyak 767 lesen telah dinilai dan secara keseluruhannya sebanyak 49 peratus daripada lesen perniagaan dikenal pasti untuk dimansuh atau dipermudahkan yang membawa penjimatan RM729 juta dalam kos berkaitan perniagaan.
Jelasnya, kesemua lesen terbabit turut diintegrasi menerusi sistem sokongan elektronik perlesenan perniagaan (BLESS) yang merupakan inisiatif mengurangkan birokrasi.
"Kerajaan juga memperbaiki beberapa lagi proses yang memudahkan golongan peniaga berurusan dengan agensi-agensi kerajaan melalui pengenalan Nombor Identiti Korporat Malaysia (MyCoID)," katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, di sebalik usaha-usaha yang dijalankan kerajaan, syarikat-syarikat PKS tempatan digesa menerapkan inovasi dalam perniagaan di samping membina rangkaian global.
Namun katanya, segalanya mampu dilakukan jika mereka mengubah minda dengan memfokus kepada objektif perniagaan yang bukan hanya bersifat jangka pendek.
"Sektor PKS yang dinamik adalah penting dalam membolehkan ekonomi negara mencapai kejayaan di sebalik ketidaktentuan dan saingan tinggi ekonomi dunia. Oleh itu, saya menggesa PKS memainkan peranan mereka bagi mencapai kejayaan terbabit," ujarnya.
Beliau menambah, warga PKS juga perlu memperbaiki kecekapan termasuk reputasi serta imej jenama produk masing-masing untuk mengekalkan daya saing.
"Pelaburan dalam harta intelek juga satu keperluan untuk menjamin hak eksklusif produk-produk yang inovatif. Dalam konteks ini, kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk melindungi harta intelek (IP)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan