16 Jun 2013

Jihad Perlembagaan ubah kejahilan rakyat

ISU yang melibatkan kebebasan bersuara, kebebasan untuk berhimpun dan hak asasi manusia banyak diwarnai dengan konflik pentafsiran undang-undang. Kegagalan mentafsirkan undang-undang mengikut objektif dan kehendak perundangan boleh mewujudkan ketidakstabilan dan mencetuskan pertikaian.
Apabila suasana ini berlaku maka jurang perbezaan pandangan tidak lagi menjadi rahmat kepada manusia sebagai mana kita mengiktiraf dan menghormati pandangan orang lain. Kita sering diingatkan perbezaan pandangan bukan hak untuk melanggar prinsip kemanusiaan apatah lagi dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama.
Perlembagaan adalah teras kehidupan. Perlembagaan bukan bahan gurauan atau mainan Perlembagaan bersifat hidup, memerlukan pentafsiran yang benar-benar memahami kehendak amalan setempat. Penganalisis undang-undang Prof. Salleh Buang menyatakan perlembagaan memerlukan kaedah pentafsiran tersendiri sesuai dengan sifatnya tanpa terkongkong oleh kaedah pentafsiran biasa.
Menariknya dalam hal ini beliau menegaskan amalan dan adat resam yang telah sebati, menjadi darah daging sejarah Perlembagaan negara menjadi landasan pentafsiran perlembagaan, bukan sekadar literal semata-mata. Maknanya jihad Perlembagaan perlu ambil kira the spirit of the law bukan sekadar the letter of the law.
Dalam konteks Malaysia, Perlembagaan menjadi dasar hidup bersama secara aman dan damai dalam kepelbagaian kaum dan bangsa dan bersatu dalam kepelbagaian. Sebaliknya kejumudan boleh membantutkan usaha sebarang pembaharuan yang hendak dilakukan. Almarhum Dr. Said Ramadhan al-Butiy pernah menyatakan kesal dengan sikap umat Islam yang masih bersikap tertutup, sedangkan mereka amat memerlukan idea baru untuk berubah. Dengan kata lain, pemikiran jumud terbentuk kerana kejahilan yang sekali gus merencatkan pemikiran untuk berijtihad dalam kerangka cabaran umat Islam masa kini.
Menurut Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz, sudah sampai masanya rakyat memahami sistem pemerintahan dan politik negara. Saranan ini sama ada memperlihatkan rakyat negara ini masih jahil dalam hal ehwal perlembagaan negara kita sendiri.
Sedangkan kita sudah melahirkan ramai graduan, ahli korporat, para pemimpin dan cerdik pandai masih belum memadaikah untuk menjelaskan kepentingan perlembagaan? Atau isi-isi perlembagaan itu kurang dipedulikan kerana kita lebih cenderung merasionalkan sesuatu krisis secara emosional? Mungkin kedua-dua sebab itu ada perkaitannya. Adalah lebih baik kita meneruskan jihad perlembagaan sebagai simbol dan manifestasi kesungguhan untuk menguasai, bukan sekadar faham dan membaca perlembagaan tetapi menjadi nadi setiap kali kita berhujah dengan isu-isu negara.
Kejahilan dalam perlembagaan menyebabkan kita diasak dengan gejala murtad. Masih ingatkah lagi kita pada kisah yang mengharukan apabila seorang ayah bernama Bokhari Md. Tahir, "kehilangan" anak mereka bernama Nor Aishah pada 1997? Selain isu murtad lihat apakah tindakan susulan untuk menyelamatkan akidah Islam dari sudut perlembagaan? Cukupkah kejahilan Melayu-Islam digemparkan lagi hingga perlu perhimpunan sejuta untuk menyelamatkan akidah umat Islam pada tahun 2011. Selepas perhimpunan itu ke mana Melayu-Islam? Persoalan-persoalan sebegini masih memerlukan kajian mendalam agar kita dapat mencari mekanisme untuk melakukan jihad perlembagaan selepas krisis PRU-13 yang sering mengguna pakai hal berkaitan perundangan.
Perkara 153 masih menjadi isu yang dicetuskan untuk memperkukuhkan hak istimewa orang Melayu di Malaysia yang hidup bersama dengan kaum-kaum lain. Namun realitinya hak istimewa itu menjadi cabaran besar dalam suasana Melayu yang sudah mendapat pendidikan sehingga peringkat tertinggi mempunyai perspektif pada sisi lain. Ini kerana Melayu bukan lagi kaum lemah yang perlu "tongkat" dalam menguruskan kehidupan tetapi jihad Melayu beralih kepada menterjemahkan hak istimewa itu kepada perundangan yang sifatnya merentas kaum dan bukannya dalam kepompong Melayu sebelum zaman kemerdekaan.
Isu kejahilan perlembagaan sebilangan rakyat ini terserlah apabila kes menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam media sosial. Zaini Hassan (2013) menulis dalam ruangan Cuit di Utusan Malaysia menjelaskan jahilnya rakyat kita mengenai Perlembagaan sendiri. Apatah lagi Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong kebanyakannya hanyalah sebagai istiadat.
Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua kerajaan, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet atau Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Beliau melontarkan persoalan, adakah orang dalam bidang guaman dan undang-undang, siapa yang boleh bercakap mengenai bab Perlembagaan ini? Larangan menghina bukan kepada YDPA semata-mata, tetapi sesiapa sahaja tidak boleh dihina dengan apa cara sekalipun. Perlembagaan juga menghormati hak individu tetapi puncanya masih berbalik kepada tanggungjawab untuk memberi pendidikan tentang perlembagaan kepada semua rakyat.
Keseriusan untuk menangani kejahilan dalam aspek hal ehwal perlembagaan negara turut mendapat perhatian dalam Seminar Institusi Raja (SIRaj) yang dianjurkan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) pada 5-6 Jun 2013 lalu. SIRaj menetapkan 7 resolusi untuk menangani segala isu yang ingin melemah atau merosakkan institusi raja. Antaranya ialah usaha mempertingkat kefahaman berhubung sebarang perkara berkaitan institusi berkenaan, khususnya melibatkan Perlembagaan, adat-istiadat dan adab raja-raja Melayu.
Institusi pendidikan perlu memulakan dasar mengajar perlembagaan pada para pelajar dengan lebih awal. Jika ini mampu dilaksanakan kita akan melahirkan ramai rakyat mampu memahami dan menghayati perlembagaan sebagai objektif hidup bernegara. Jihad perlembagaan memerlukan kita memahami perlembagaan dari aspek the spirit of the law bukan lagi sekadar the letter of the law.
Jihad perlembagaan boleh merubah kejahilan rakyat yang dengan sewenang-wenangnya menghasut orang lain untuk mewujudkan ketegangan. Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang mengandungi huraian menghasut perlu dipelajari. Ini kerana menghasut adalah jenayah yang mencetuskan ketegangan rakyat maka setiap orang jangan membiarkan perbuatan menghasut menjadi darah daging hingga sukar dibanteras seperti mana sukarnya membasmi perbuatan rasuah. Tidak salah jika memulakan langkah ini dengan membeli buku-buku perlembagaan walaupun peringkat permulaan ia sukar difahami tetapi jangan khuatir kerana alah bisa tegal biasa.

Tiada ulasan: