KOTA BHARU 14 Jun - Pas Kelantan menyangkal
dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang menuduh pemimpin parti
yang tidak menyokong perhimpunan pakatan pembangkang di padang Majlis
Daerah Ketereh malam kelmarin sebagai pengkhianat parti dan lupa
asal-usul.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata,
perhimpunan Blackout 505 bukan program parti tetapi inisiatif beberapa
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan, malah tiada
jemputan rasmi diberikan kepada Pas Kelantan.
Mohd. Amar yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri turut
meminta Husam supaya berhenti daripada menyindir pemimpin lain kerana
kehadiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sudah membuktikan komitmen
kerajaan Pas Kelantan dalam menentang penyelewengan pilihan raya.
Menurutnya, pertama, program di Ketereh itu bukan anjuran parti,
tetapi NGO dan Pas negeri tidak dirujuk untuk mengadakan program itu,
sebaliknya hanya mendengar tetapi tidak ada sebarang perbincangan rasmi.
"Saya sendiri hari Rabu itu terima panggilan telefon jemput hadir tapi last minute, saya tidak boleh hadirlah kerana ada komitmen lain.
"Kalau kata kita tidak menyokong, menteri besar sendiri hadir, jadi
kehadiran beliau adalah sokongan paling jelas terhadap program itu,
bukan mesti semua orang hadir. Beliau mewakili negeri dan parti, jadi
pada pandangan saya kehadirannya sudah cukup bermakna," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah
pagi di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri, di sini hari ini.
Beliau mengulas ucapan Husam dalam perhimpunan itu seperti dilaporkan
akhbar hari ini yang mendakwa pemimpin Pas yang tidak menyokong program
tersebut sebagai pengkhianat dan pemimpin yang lupa asal-usul serta
bukan sahaja menolak semangat anak muda yang mahukan perubahan tetapi
dakwah yang diasaskan oleh pimpinan Pas terdahulu.
Malah dalam ucapannya itu, Husam turut mendakwa mana-mana pemimpin
tidak menyokong perhimpunan tersebut sebagai golongan membawa suara UMNO
dan Barisan Nasional (BN) dan angkuh kerana membelakangkan
'saudara-saudara yang berlumuran darah' hasil penipuan.
Ketika ditanya dakwaan Husam tersebut, Mohd. Amar sekali lagi bertegas menolak dan menafikannya.
"Suara UMNO apanya? Kita semua tidak suka dengan penyelewengan ini,
Pas Kelantan pun buat tiga petisyen di Kota Bharu, kita pun tidak puas
hati dengan perjalanan pilihan raya," katanya.
Perhimpunan tersebut turut dihadiri Penasihat Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
serta beberapa pemimpin Pas dan PKR yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan