16 Jun 2013

Pelabur terima agenda ekonomi

Najib Tun Razak menyampaikan ucaptama pada persidangan Invest Malaysia 2013, anjuran Bursa Malaysia dan ditaja bersama oleh Maybank Investment Bank di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari 
*****
KUALA LUMPUR 13 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lonjakan lebih 100 mata di Bursa Malaysia, dengan kenaikan sehari terbesar dalam sejarahnya, sehari selepas Barisan Nasional mengekalkan pemerintahannya pada pilihan raya umum ke-13, menunjukkan penerimaan pasaran terhadap agenda ekonomi kerajaan berbanding pembangkang.
"Adalah menarik untuk melihat peningkatan itu sebagai sokongan terhadap jalan yang telah kita pilih untuk Malaysia.
"Tetapi ia juga satu pernyataan kelegaan. Selepas setahun perkembangan yang tidak menentu, risiko politik berkurangan," kata Perdana Menteri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2013, persidangan yang dianjurkan Bursa Malaysia dan ditaja bersama oleh Maybank Investment Bank di sini hari ini.
Pada 6 Mei, sehari selepas pilihan raya umum, FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup pada paras tertinggi pada 1,752.02 mata dan penganalisis mengaitkannya dengan kemenangan BN yang properniagaan, yang akan terus berkuasa.
Penganalisis berkata, bursa akan terus mengalami kenaikan, dengan pelabur mula menggunakan tunai mereka, yang sebelum ini tidak memasuki pasaran kerana menunggu keputusan pilihan raya.
Mereka berkata selepas ini, akan terdapat peningkatan dalam aktiviti belian diterajui pelabur institusi tempatan dan asing.
Pasaran kini didagangkan pada 1,756.18 mata.
Mengenai masa hadapan, Perdana Menteri berkata lima tahun akan datang bakal memberi peluang kepada kerajaan untuk menetapkan laluan Malaysia bagi dekad seterusnya.
"Saya faham dan menerima mesej daripada pengundi, bahawa semasa kita terus melalui jalan ini, kita perlu telus dan bertanggungjawab, dan manfaat transformasi ekonomi mesti sampai kepada semua rakyat Malaysia.
"Saya akan berusaha untuk memastikan kejayaan negara kita tanpa meminggirkan mana-mana pihak," katanya.
Ujar beliau, sebagai kerajaan yang dipilih oleh rakyat bagi menerajui negara penggal seterusnya, kerajaan berhasrat untuk mengukuhkan pelaburan domestik selain membina syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan sektor swasta 'menjuarai' di peringkat global dan serantau.
"Kita juga mahu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) mampu bersaing di pentas dunia. Ini membawa makna kita mahu membina kelestarian ekonomi serta membangunkan bakat-bakat tempatan yang dapat bersaing dalam rangkaian global,'' katanya.

Tiada ulasan: