GUNALAH telefon pintar yang canggih tahap mana sekali pun, tetapi
sekiranya perkhidmatan telco yang dilanggani tidak sebagus dan sepintar
telefon anda, memang seperti tiada maknanya memiliki telefon yang mahal
itu.
Apatah lagi syarikat telco ada yang dikesan mengenakan caj-caj
tersembunyi yang mencekik darah pengguna, tidak kira yang menggunakan
perkhidmatan talian pasca bayar atau pra-bayar.
Kita sudah biasa mendengar banyak aduan mengenai caj-caj tersembunyi
ini yang tidak dimasukkan dalam kontrak ketika mula-mula dilanggan.
Ada pengguna yang mengadu kredit bagi prabayar mereka tiba-tiba habis
kerana mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak dilanggan. Dan
macam-macam perkhidmatan yang tiba-tiba muncul, dan pengguna terpaksa
membayarnya.
Bukan setakat itu, ada aduan caj turut dikenakan kerana perkhidmatan
pesanan suara (voice mail) bagi panggilan yang tidak berjawab. Bayangkan
10 kali anda tidak mengangkat telefon, masuk voice mail dan anda pula
dikehendaki membayarnya! Bukankah caj hanya dikenakan pada perkhidmatan
yang digunakan sahaja?
Begitu juga dengan perkhidmatan yang telah ditamatkan oleh pengguna
sendiri melalui panggilan ataupun SMS kepada syarikat telco terbabit,
namun ada banyak aduan caj terus dikenakan walaupun tidak melanggannya
lagi.
Kita juga selalu menghadapi dan mendengar rungutan liputan internet
yang perlahan lebih mengalahkan kura-kura ataupun siput, baru dilanggan
tidak sampai beberapa hari, liputan sudah menurun walaupun duduk di
tengah-tengah bandar. Bila ditanya syarikat terbabit - Kami sedang
menaik taraf kawasan liputan." Walhal sudah makan bulan pun, liputan
masih lembab tahap itu juga.
Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM)
memberitahu, pihak mereka menerima secara purata kira-kira 30 aduan
bertulis berhubung masalah seperti itu bagi tempoh Februari lepas
sehingga awal Jun ini, di samping aduan menerusi panggilan telefon. Itu
aduan yang rajin dikemukakan pengguna kepada mereka, belum masuk
aduan-aduan pada persatuan pengguna lain dan yang tidak dilaporkan.
Dan ini membuatkan kita selalu terfikir, syarikat-syarikat telco di negara ini tidak cukup untung lagikah?
Sedangkan di negara ini boleh dikatakan kebanyakan kita menggunakan
telefon bimbit, tidak kira peringkat umur termasuk budak-budak sekolah.
Telefon bimbit bukan milik golongan mewah saja. Ia satu keperluan. Semua
orang menggunakannya. Begitu juga dengan perkhidmatan internet.
Sudah tentu, syarikat-syarikat telekomunikasi ini sudah mendapat
berjuta-juta ringgit daripada pelanggan-pelanggannya yang bukan sahaja
tinggal di kawasan bandar tetapi di luar bandar, di ceruk-ceruk kampung
dan pedalaman.
Maka, sudah sepatutnya syarikat telekomunikasi ini sentiasa
memikirkan cara untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka dari semasa
ke semasa. Bukan membiarkan mutu perkhidmatan bertambah teruk dan
menaikkan darah orang ramai.
Aduan-aduan orang ramai sewajarnya diambil kira dalam meningkatkan
mutu perkhidmatan mereka. Kajian seharusnya dilakukan sekiranya
pelanggan-pelanggan mereka menutup akaun dan lari ke syarikat
telekomunikasi lain.
Siapa pun berniaga mesti mahu untung, tetapi jangan mengaut untung
dengan cara putar alam' sebegini. Pengguna yang sudah melanggan
perkhidmatan bukan mendapatkannya secara percuma.
Selain itu, perkhidmatan kaunter operator yang menjawab segala
pertanyaan dan aduan mesti efisien. Operator bahagian pertanyaan ini
juga jangan cari jalan selamat beri jawapan pelanggan kena pergi
berurusan sendiri dengan ibu pejabat atau pusat operasi utama
perkhidmatan itu untuk menyelesaikan masalah mereka.
Bukan semua pelanggan duduk berdekatan ibu pejabat dan pusat operasi
utama syarikat berkenaan dan senang-senang boleh pergi ke sana pada
bila-bila masa. Kebanyakan sibuk bekerja siang dan malam.
Saya turut mempunyai pengalaman apabila menukar pakej broadband
kepada yang baharu. Saya diminta pergi ke pusat utama operasi mereka
yang terletak di sebuah kompleks beli-belah. Itu tidak mengapa. Yang
saya pelik, apabila pakej broadband lama tersebut sudah ditamatkan, dua
bulan selepas itu pihak syarikat telekomunikasi tersebut menelefon
mengingatkan saya membuat bayaran untuk pakej lama berkenaan. Tunggakan
dua bulan.
Bila saya katakan saya telah pun menamatkan pakej lama itu sudah dua
bulan, pekerja tersebut menjawab pakej lama itu masih aktif. Maka, saya
diminta pergi semula ke pusat operasi itu. Penat menunggu giliran, tanpa
rasa bersalah pekerja di situ memberitahu pekerja sebelum itu tidak
membatalkan pakej lama saya walaupun modem broadband lama saya sudah
diambil. Maknanya kalau didiamkan, tidak pasal-pasal saya menanggung
hutang!
Melihat kepada aduan dan kelemahan-kelemahan ini, maka sudah
sewajarnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak
berkaitan memantau perkembangan ini. Jangan setakat pantau sahaja, ambil
tindakan tegas kepada syarikat telekomunikasi tempatan yang terbukti
mengenakan caj yang tersembunyi ini. Jika tidak macam-macam lagi caj
tidak masuk akal yang akan timbul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan