KUALA LUMPUR 1 Julai - Kerajaan sedang meneliti secara terperinci
jumlah kenaikan yang bersesuaian untuk pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) dengan mengambil kira unjuran kewangan semasa negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, penelitian
kenaikan jumlah pemberian itu selaras dengan peralihan kepada dasar
pelaksanaan subsidi bersasar.
"Kerajaan telah meneruskan BR1M 2.0 pada 2013 sebagai usaha membantu
meringankan beban rakyat Malaysia terutama keluarga yang berpendapatan
rendah.
"Satu penelitian menyeluruh dilakukan kerajaan selaras dengan
peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar," katanya dalam sesi
soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) yang bertanyakan bilakah kerajaan akan menunaikan janji meningkatkan jumlah pemberian BR1M dari RM500 kepada RM1,200.
Menjawab soalan tambahan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN- Lenggong)
mengenai pelaksanaan peningkatan jumlah BR1M, Ahmad berkata, kerajaan
berkeupayaan untuk melaksanakan janji itu dalam tempoh lima tahun.
Katanya, kenaikan pemberian itu akan dibentangkan dalam Bajet 2014.
"Pemberian BR1M ini membantu merancakkan ekonomi setempat. Cuba
bayangkan dari Perlis hingga ke Sabah, semua kedai runcit dan pasar
laku. Perkara ini meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat kerana
penerima BR1M sebanyak RM500 dan RM250 (penerima bujang) akan
membelanjakannya terus. Mereka tidak menyimpannya dalam bank," katanya.
Berhubung soalan Datuk Ir. Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) yang
ingin mengetahui sama ada kerajaan akan menaikkan had kelayakan penerima
bantuan itu daripada isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 kepada
RM5,000, Ahmad memaklumkan kerajaan sedang meneliti perkara tersebut.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang mengkaji semula kaedah
penyerahan BR1M kepada isi rumah apabila ada pihak yang mencadangkan
penyerahannya dibahagi dua iaitu kepada suami dan isteri.
"Ada yang mencadangkan diberi dua sampul. Katakan kita hendak beri
RM600, satu sampul RM300 diberikan kepada lelaki (suami) dan RM300 lagi
kepada wanita (isteri).
"Ini kerana ada wanita membuat aduan bantuan itu tidak sampai jika
jumlah itu diberikan penuh kepada seorang wakil isi rumah iaitu lelaki,
tetapi ini mungkin kes terpencil," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan