3 Julai 2013

Anwar didakwa ada 20 akaun termasuk di Israel

KUALA LUMPUR 2 Julai - Dewan Rakyat lewat petang ini gamat dengan pendedahan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berhubung dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 20 akaun bank di luar negara dengan jumlahnya mencecah AS$66 juta (RM209 juta) dan SGD49 juta (RM123 juta).
Beliau berkata, 20 akaun tersebut masing-masing terdapat di bank-bank di Israel, Amerika Syarikat, Singapura serta China dan kesemua maklumat itu diperoleh daripada internet seperti didedahkan oleh WikiLeaks.
Kata beliau, setiap akaun mempunyai maklumat terperinci termasuk nama pemegang, jawatan, nombor pasport, jenis, nombor, tarikh akaun dibuka dan tarikh matang.
''Apabila saya membaca semua akaun ini di internet soalan pertama yang muncul dalam kepala saya dari mana datangnya wang sebanyak ini ?
''Apa yang didedahkan oleh Wikileaks amat bahaya. Oleh itu saya meminta pihak kerajaan siasat kesahihan maklumat ini memandang akaun berkenaan dibuka di Israel sedangkan kita tidak ada sebarang hubungan diplomatik dengan negara tersebut," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat petang ini.
Teck Meng berkata, selama ini, Ketua Pembangkang sanggup bersama-sama dengan rakan-rakannya iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk kekejaman tentera Israel tetapi mempunyai akaun simpanan di negara itu.
''Kelakuan hipokrit ini bukan sahaja menggadaikan nasib bangsa dan agama bahkan akan menggadaikan nasib negara pada masa akan datang," katanya.
Tian Chua (PKR-Batu) ketika bangkit mencelah mendesak Teck Meng mengemukakan bukti dan tidak membuat sebarang tuduhan melulu.
Jeff Ooi (DAP-Jelutong) pula mencabar Teck Meng mengemukakan bukti dan sekiranya gagal Ahli Parlimen Simpang Renggam itu perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula dengan lantangnya bersuara meminta pembangkang mengambil tindakan undang-undang terhadap WikiLeaks.

Tiada ulasan: