KUALA TERENGGANU 1 Julai - Pas Terengganu tidak
mengendahkan saranan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya memboikot
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut,
sebaliknya berpendirian tegas akan bertanding di situ.
Pesuruhjaya Pas negeri, Abdul Wahid Endut berkata, tidak timbul soal
memboikot PRK DUN Kuala Besut kerana Pas negeri bertekad mahu memenangi
kerusi di DUN itu biarpun tewas majoriti 2,434 pada pada Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Beliau berkata, tiada istilah boikot ketika ini kerana Pas negeri
tidak bercadang memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) untuk
memenangi kerusi itu dengan 'percuma'.
"Tidak timbul boikot PRK ini kerana baru-baru ini ada yang mahu
boikot angkat sumpah di Parlimen tetapi akhirnya pergi juga angkat
sumpah, jadi, kita tetap dengan keputusan kita yang akan letakkan calon
Pas di DUN Kuala Besut.
"Kita juga telah bermesyuarat dan telah senarai pendek calon yang
akan bertanding serta telah kerahkan jentera untuk buat persiapan,"
katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia
tentang kenyataan Guan Eng dalam majlis di Kulaijaya, Johor semalam,
yang menyarankan agar Pas memboikot PRK DUN Kuala Besut ekoran isu
dakwat kekal dalam PRU-13 yang didakwanya tidak ditangani oleh
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kenyataan itu kemudian diulas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
yang menyatakan cadangan Guan Eng itu akan diteliti di peringkat Majlis
Presiden Pakatan Pembangkang sehingga menimbulkan persoalan adakah Pas
akan memboikot PRK berkenaan.
Ditanya sama ada kenyataan Mustafa bersifat peribadi atau mewakili
parti, Abdul Wahid berkata, beliau tidak tahu berkenaan perkara itu
kerana masih belum berkesempatan menghubungi Setiausaha Agung Pas itu.
Bagaimanapun Abdul Wahid menegaskan, keputusan parti adalah mahu bertanding pada PRK berkenaan.
Menurutnya, Pas negeri telah pun menyenaraikan nama calon ketika ini
dan akan mengumumkan mereka selepas SPR memaklumkan bila tarikh PRK akan
dijalankan.
Abdul Wahid turut membayangkan calon anak tempatan akan diturunkan.
"Kita telah senarai tiga hingga empat orang dan terdiri daripada
mereka yang pernah bertanding, mereka yang belum pernah bertanding, ada
lelaki dan juga perempuan.
"Soal Ustaz Azhar Idrus adalah calon, saya tidak tahu tetapi beliau
bukan dari Kuala Besut, beliau dari Ladang dan beliau juga saya
difahamkan tidak minat untuk menyertai politik," katanya ketika menjawab
khabar angin bahawa penceramah bebas popular itu bakal diletakkan
sebagai calon.
Beliau turut menafikan kerusi DUN Kuala Besut akan diberikan kepada Parti Keadilan Rakyat (PRK).
"Saya telah berbincang dengan Azan Ismail (Pengerusi PKR Terengganu)
tentang perkara ini dan saya rasa tidak ada masalah untuk beri laluan
kepada Pas kerana pada asalnya kawasan itu ditandingkan Pas dan saya
jamin tiada pertindihan akan berlaku kecuali calon bebas," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan