KUALA LUMPUR 1 Julai - Barisan Nasional (BN) melantik Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengarah pilihan raya
kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Muhyiddin berkata, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri
Najib Tun Razak memaklumkan kepada beliau berhubung pelantikan itu
sebelum berangkat untuk lawatan kerja ke luar negara.
Katanya, beliau akan dibantu Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri
Idris Jusoh sebagai timbalan pengarah pilihan raya kecil itu bagi
mempertahankan kerusi berkenaan.
"Kita (BN) sudah sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil itu. Saya
harap dengan bantuan beliau (Idris), BN boleh menang dan kekal di sana,"
katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa
Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing tanpa izin di
bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika
ditanya tentang persediaan BN bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN
Kuala Besut ekoran kematian penyandangnya, Datuk A.Rahman Mokhtar Rabu
lalu.
"Berdasarkan kekuatan dan pengalaman Idris sebagai bekas Menteri
Besar Terengganu, beliau mampu menyumbang kemenangan besar kepada BN
pada pilihan raya itu nanti.
"Kita juga berharap pengundi akan terus mengundi BN," katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata tidak ada keperluan bagi
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff
meletak jawatan berhubung kualiti dakwat kekal yang digunakan pada
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas.
"Siasatan yang akan berlaku pada SPR oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) adalah urusan dan bidang kuasa mereka. Kerajaan
tidak akan bercampur tangan dalam urusan SPRM.
"Sekiranya ada perkara tertentu yang hendak disiasat, saya pasti SPR akan memberi kerjasama," katanya.
Semalam, portal berita the Malaysian Insider melaporkan SPRM telah
menubuhkan pasukan untuk menyiasat kemelut dakwat kekal, untuk melihat
apakah terdapat pecah amanah dalam pembelian dakwat itu oleh SPR. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan