1 Julai 2013

PRK DUN Kuala Besut bulan puasa

Oleh Hassan Omar 
Kuala Lumpur: Tidak mustahil Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diadakan pada Ramadan yang dijangka bermula 10 Julai ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melihat Ramadan sebagai penghalang untuk mengadakan PRK, sebaliknya lebih cenderung ingin melihat kekosongan mana-mana kerusi DUN atau Parlimen segera diisi wakil rakyat baru bagi membolehkan penduduk di kawasan berkenaan mendapat perkhidmatan pemimpin politik sebagai perantara kerajaan dengan rakyat.
Selain itu, pilihan raya yang diadakan pada kadar segera selepas kekosongan mana-mana kerusi juga penting bagi mengelakkan penyebaran spekulasi negatif secara berleluasa yang hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat dan perkhidmatan kerajaan.

Menjelaskannya, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata tarikh PRK DUN Kuala Besut perlu mengambil pelbagai kira pelbagai aspek, termasuk tempoh kerusi berkenaan dibiarkan kosong sebelum diisi dengan wakil rakyat baru dan jika harus diadakan pada bulan puasa, ia hanya secara kebetulan.

Petugas masih segar

Kalau kita biarkan kerusi itu kosong lama, tidak begitu baik kerana pelbagai spekulasi akan timbul. Apabila kita umum saja tarikh pilihan raya, parti politik sudah mula berkempen. Lagi cepat, lagi baik. Bagaimanapun, kita akan tentukan dalam mesyuarat minggu depan.

Petugas SPR masih segar dengan pengalaman mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu. Tidak ada masalah untuk pegawai dan kakitangan mengendalikan pilihan raya itu. Sebelum ini, kita pernah mengadakan PRK pada bulan Ramadan...ia bukanlah penghalang untuk orang ramai keluar mengundi, katanya kepada BH semalam.
PRK DUN Kuala Besut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mulai 26 Jun lalu berikutan penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia selepas seminggu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat paru-paru berair.

Ia adalah PRK pertama diadakan selepas PRU-13. Allahyarham menang di kerusi berkenaan selepas memperoleh 8,809 undi dengan menewaskan Napsiah Ismail dari PAS yang mendapat 6,375 undi.

Dengan majoriti 2,434 itu, Dr A Rahman membantu Barisan Nasional (BN) Terengganu mengekalkan penguasaan kerajaan negeri dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi PAS manakala satu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengundi daftar kecil

DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi berdaftar, iaitu 98.71 peratus Melayu, Cina (0.80 peratus), India (0.08 peratus) dan lain-lain (0.41 peratus).

Wan Ahmad berkata, jumlah pengundi berdaftar yang kecil di kerusi berkenaan memungkinkan PRK itu dijalankan pada kadar segera dan Ramadan bukanlah faktor utama untuk mendorong SPR mengadakan pilihan raya selepas Aidilfitri hingga tarikh akhir untuk menyaksikan pengundi terbabit menunaikan tanggungjawab pada 24 Ogos depan.

SPR pernah mengadakan PRK pada Ramadan seperti PRK DUN Lunas pada 2000, selain PRK DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos 2009 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 1994. Jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka ketika itu tidak mengecewakan.

Ditanya mengenai warna dakwat kekal bakal digunakan pada PRK DUN Kuala Besut yang dijangka tidak sama dengan warna digunakan pada PRU-13 lalu, Wan Ahmad berkata, dakwat kekal tetap digunakan tetapi warnanya bergantung kepada mesyuarat khas SPR minggu depan yang bakal menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Tidak manis kalau saya mengulas mengenai aspek warna dakwat kekal sebelum kami bermesyuarat. Kita ada tujuh ahli panel dalam SPR. Biarlah kami berbincang mengenainya dulu, katanya. 
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKDUNKualaBesutbulanpuasa/Article/ | hwa 1JUL

Tiada ulasan: