7 Februari 2009

Saman Sultan Perak perbuatan hina raja - Najib

IPOH 6 Feb. - Tindakan pakatan pembangkang mahu menyaman Sultan Perak di mahkamah merupakan satu perbuatan menghina raja yang tidak wajar sama sekali dilakukan oleh sesiapa yang menyanjung tinggi Raja Berperlembagaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, perbuatan itu jelas mempersoalkan maruah dan imej Sultan Azlan Shah sebagai raja pemerintah yang mempunyai hak membuat tafsiran dari segi perlembagaan berhubung kedudukan seseorang Menteri Besar.
''Keputusan yang dibuat oleh Tuanku berdasarkan pengamatan Tuanku bahawa ia menepati Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
''Jika sekiranya Mohammad Nizar dan pakatan pembangkang nak saman Tuanku, ia mempersoalkan maruah dan imej Tuanku sebagai raja pemerintah," kata beliau kepada Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini petang ini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Terdahulu Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis angkat sumpah Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Ditanya perasaannya selepas kejayaan BN menguasai kerajaan negeri, Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, perkembangan terbaru itu memberi kesempatan kepada BN untuk berkhidmat kepada rakyat Perak.
''Saya anggap ini bukan kemenangan peribadi tapi sebagai satu kemenangan kepada rakyat Perak untuk memulakan satu era baru demi masa depan mereka," katanya.
Di Kuala Lumpur, Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, pakatan pembangkang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan BN jika masih berkeras untuk melantik Menteri Besar baru.
Katanya, pakatan pembangkang tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Datuk Seri Ir. Jamaluddin Mohammad Nizar oleh Sultan Azlan Shah dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri adalah jelas di luar batas kuasa peruntukan artikel itu.
- Utusan, 07/02/09.

HILANG KEWARASAN

BEBERAPA penyokong pembangkang bertindak nekad berbaring di tengah jalan sambil memegang bendera menghalang kereta peronda polis yang mengiringi kenderaan Raja Muda Perak di belakang berhampiran Istana Iskandariah, Perak, semalam. –UTUSAN/MOHD NAJIB MOHD NOR
*****
Akibat terlalu taksub dengan dakyah kepimpinan politik, segelintir rakyat Perak semalam bertindak di luar batasan termasuk sanggup berbaring di jalan raya semata-mata mahu menghalang kenderaan yang dinaiki oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Tindakan itu menyebabkan kenderaan baginda yang dalam perjalanan ke majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Perak baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir di Balai Istiadat Istana Iskandariah, Perak terlewat tiba pada majlis tersebut.
- Utusan. 07/02/09.

6 Februari 2009

Tindakan Karpal Singh Sudah Diduga, Kata Rais

By: Ramjit
KUALA KLAWANG, 6 Feb (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau sudah menduga tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengemukakan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlah Shah berhubung keputusan baginda menitahkan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan dan tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kita sudah menduga tindakan saman menyaman ini kerana itu sudah menjadi budaya mereka (pembangkang). Jadi, kita jangan gentar dan perlu berhati-hati mengenai aspek perlembagaan dan perundangan dalam setiap tindakan yang diambil," katanya mengulas mengenai tindakan Pakatan Rakyat yang mahu memfailkan saman terhadap Sultan Azlan Shah, di Mahkamah Tinggi Ipoh, Selasa ini dengan alasan baginda bertindak di luar bidang kuasanya dalam mengenepikan kerajaan negeri pimpinan Mohammad Nizar.
Rais berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-14 Badan Kebajikan dan Pelajaran (Baka) Jelebu di Dewan Wisma Umno Jelebu, di sini, Jumaat.
Rais yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata dalam suasana kuasa raja ketika ini, penasihat perundangan Menteri Besar yang baru tidak mengabaikan aspek perlembagaan dan perundangan dalam setiap tindakan bagi mengelak daripada dipertikai Pakatan Rakyat (PR) hingga membawanya ke mahkamah.
Karpal, dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, berkata Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional kerana pelucutan jawatan Mohammad Nizar oleh Sultan Azlan Shah, yang dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri, adalah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan artikel itu.
-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 21:27 PM

Pakatan Rakyat Tidak Akan Saman Sultan Perak - Anwar

By: Ramjit
PETALING JAYA, 6 Feb (Bernama) -- Pakatan Rakyat (PR) tidak akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak seperti yang didakwa oleh Pengerusi DAP Karpal Singh, kata pemimpin PR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata dakwaan menyaman Sultan Perak itu hanyalah menurut laporan media sahaja.
"Ini semua laporan media yang cakap kita nak saman Sultan Perak. Keputusan kita adalah untuk meminta Paduka Sultan Perak melihat semula peruntukan perlembagaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Satu laporan hari ini menyebut bekas Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa ini.Anwar berkata Pakatan Rakyat berpendirian Mohammad Nizar masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri Perak.
Beliau mendakwa pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Besar tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.
"Kami berpendirian supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat bagi membolehkan rakyat membuat pemilihan semula," katanya.
-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 21:23 PM

Karpal Cemari Institusi Raja, Perlu Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri diminta mengambil tindakan tegas terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh kerana mencemar institusi Raja Berpelembagaan negara ini apabila mengugut untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah dalam isu pelantikan Menteri Besar yang baru.
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali AlHabshee berkata seseorang itu tidak layak menjadi warga negara ini sekiranya bertindak sesuka hati mencemar institusi tertinggi di negara ini untuk kepentingan peribadi dan partinya.
"Tidak ada gunanya negara mempunyai rakyat yang tidak tahu menghormati Sultan sebagai ketua pemerintah dan dalam hal ini kerajaan tidak harus teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kebiadabannya itu," katanya kepada Bernama di sini.
Syed Ali mengulas kenyataan Karpal bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional jika melantik Menteri Besar daripada BN bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat.
Syed Ali berkata kenyataan Karpal kononnya tindakannya itu adalah untuk menjaga kepentingan rakyat Perak adalah satu pembohongan.
"Sebenarnya beliau hendak menjaga kepentingan DAP yang mempunyai 18 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak dan menguasai kerajaan negeri itu sungguhpun menteri besarnya ialah dari PAS," katanya.
Beliau meminta Mohammad Nizar serta semua anggota PAS dan PKR yang berbangsa Melayu dan beragama Islam supaya tidak terperangkap dengan mainan sandiwara DAP.
-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 18:53 PM

Dr. Zambry angkat sumpah sebagai MB ke-11

06/02/2009 4:13pm
KUALA KANGSAR 6 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, baharu sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Balai Istiadat Istana Iskandariah, di sini.
- Utusan, 06/02/09.

Zambry MB Perak Ke-11 Sejak 1950
IPOH, 6 Feb (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, merupakan Menteri Besar Perak ke-11 sejak kerajaan negeri Perak ditubuhkan pada tahun 1950.
Beliau mengangkat sumpah memegang jawatan hari ini bagi mengambil alih daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat yang memegang jawatan Menteri Besar ke-10 hanya selama 10 bulan.
Sultan Perak Sultan Azlan Shah semalam menitahkan Mohammad Nizar meletak jawatan setelah berpuas hati beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota dewan selepas empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat keluar parti masing-masing dan mengisytiharkan sokongan kepada Barisan Nasional.

Menteri Besar Perak yang lain ialah:
+ Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1950-1957)
+ Tan Sri Mohd Ghazali Jawi (1957-1960)
+ Datuk Shaari Shafie (1961-1964)
+ Datuk Seri Ahmad Said (1964-19 Mac 1970).
+ Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa (19 Mac 1970-Ogos 1974)
+ Tan Sri Mohd Ghazali Jawi (4 Sept /1974-Sept 1977)
+ Datuk Seri Wan Mohammad Wan Teh (1 Okt 1977-1 Mac 1983)
+ Tan Sri Ramli Ngah Talib (1 Mac 1983-11 Nov 1999)
+ Datuk Seri Dr Mohd Tajol Rosli Ghazali (2 Dis 1999- Mac 2008).

-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 18:33 PM

Derhaka Nizar tidak boleh dipandang ringan - Muhyiddin

KOTA BHARU 6 Feb. — Kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu derhaka terhadap Sultan Perak Sultan Azlah Shah tidak boleh dipandang ringan, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya begitu terperanjat apabila beliau membuat kenyataan mahu derhaka kepada raja, sesuatu yang langsung tidak menggambarkan beliau menghormati Perlembagaan dan kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai Raja bagi negeri Perak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhyiddin berkata ’keberanian’ Mohammad Nizar menyanggah keputusan Sultan Azlan Shah berhubung perkara itu, malah mahu mencabar Baginda di mahkamah, amat dikesali.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua pihak sepatutnya menghormati keputusan Sultan Perak kerana Baginda juga amat arif dalam bidang perundangan selaku bekas Ketua Hakim Negara.
“Lagipun ini demokrasi yang kita amalkan. Walaupun keputusan itu tidak memihak kepada pembangkang, kita mesti hormatinya,” kata Muhyiddin.
Katanya pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, sebagai Menteri Besar kerajaan BN di negeri itu adalah pilihan terbaik.
“Beliau adalah seorang tokoh berpengalaman kerana pernah menjadi exco di negeri itu sebelum ini, mempunyai kelulusan yang tinggi dan orang yang paling sesuai. Saya yakin dia dapat memberikan apa yang diharapkan oleh masyarakat di Perak ini,” kata Muhyiddin.
— BERNAMA, 06/02/2009 6:43pm

Mohammad Nizar diarah keluar dari Bangunan Perak Darul Ridzuan

IPOH 6 Feb. - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih menganggap dirinya Menteri Besar Perak yang sah diarah keluar dari pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pagi ini.
Beliau diarah keluar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.06 pagi ketika Mohammad Nizar sedang mengadakan sidang akhbar di pejabat Menteri Besar sebelum Abdul Rahman masuk dan meminta semua yang berada dalam bilik termasuk termasuk wartawan keluar.
Tindakan Abdul Rahman itu menaikkan kemarahan sekumpulan lelaki dipercayai penyokong pakatan pembangkang yang bertindak menyerbunya tetapi berjaya dihalang oleh anggota polis.
Malah, Mohammad Nizar sempat menjerit `What the hell' bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri itu.
Mohammad Nizar bersama beberapa `Exco kerajaan negeri' kemudiannya keluar meninggalkan Bangunan Perak Darul Ridzuan pada pukul 10.40 pagi.
- Utusan, 06/02/2009 11:55am

Patik mohon derhaka – Nizar

Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dengan alasan masih menyandangnya secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
“Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda ’patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan’.
Akan meneruskan tugasnya seperti biasa dan akan masuk pejabatnya hari ini.
Kerajaan negeri bersama pemimpin kerajaan campuran pembangkang akan memohon untuk menghadap Sultan Azlan Shah untuk merayu agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
- Utusan, 06/02/09.

Zambry MB Perak

DATUK Dr. Zambry Abdul Kadir

Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, 47, diumumkan Menteri Besar Perak ke-11 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau akan mengangkat sumpah esok (Jumaat) manakala barisan Exco pada Selasa.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan supaya Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan Exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Jawatan Menteri Besar dan Ahli-ahli Exco dianggap kosong sekiranya enggan meletak jawatan.
- Utusan, 06/02/09.

5 Februari 2009

MB Perak Baru, Ahli Politik Terkenal

05 Februari, 2009 22:28 PM
IPOH, 5 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir adalah seorang ahli politik terkenal di negeri ini, yang memberikan banyak sumbangan dalam pembangunan Maklumat, Komunikasi dan Teknologi (ICT) di negeri tersebut.
Anggota Dewan Undangan Negeri bagi penggal kedua ini, Zambry, 47 memulakan kariernya dalam politik sebagai ketua Pemuda Umno Pangkor pada 1992 dan kemudian mengetuai Pemuda Umno Perak, beliau diberi tanggungjawab dalam membangunkan ICT negeri semasa menjadi EXCO negeri yang dipertanggungjawabkan mengenai multimedia.

Selepas memenangi kerusi negeri pertama di Pangkor pada pilihan raya umum 2004, beliau dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Multimedia dari 2004 hingga 26 Sept 2006.Sehari kemudian beliau dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi dan Inovasi dalam rombakan kecil kerajaan negeri, yang memberikan beliau banyak kuasa untuk memperluaskan lagi pembangunan ICT di Perak.

Dilahirkan di Pulau Pangkor pada 22 Mac 1962, ketua Umno Bahagian Lumut itu berkelulusan ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1987 dan empat tahun kemudian lulus ijazah Sarjana dalam Pemikiran Islam daripada universiti yang sama.

Bekas EXCO Pemuda Umno kebangsaan itu juga memegang ijazah Sarjana dalam Falsafah Politik dan Perbandingan Agama pada 1992, dan tiga tahun kemudian memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam Politik Kontemporari, kedua-duanya daripada Temple University, Amerika Syarikat.

Seorang penulis aktif, Zambry memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan penulisan semasa menuntut, antaranya Anugerah Penulisan Esei Hari Kebangsaan negeri Perak pada 1982 dan memperoleh tempat kedua pada peringkat kebangsaan, Anugerah Penulisan Agama Kebangsaan pada 1986 dan Pertandingan Penulisan Akademik peringkat kebangsaan 1987.

Beliau juga menulis beberapa buku antaranya "Umno dan Jiwa Merdeka" (1998), "Pemuda Umno Menebus Maruah, Menuju Arah" (2000) dan "Islam Malaysia dan Amerika" (2002).

Zambry juga editor bagi beberapa penerbitan termasuk "Pendidikan dan Pembangunan" di Nurin Enterprise pada 1989, "Business Administration in Islam" oleh Hizbi pada 1991 dan "Imbas Gemilang KBS 98" untuk Kementerian Belia dan Sukan.

Ayah kepada lima orang anak, tiga perempuan dan dua lelaki, beliau pada 2005, ditauliahkan dengan Leftenan Komander Kehormat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh ketika itu Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan menjadi ahli politik pertama diberikan tauliah seperti itu.


-- BERNAMA

Dr. Zambry Menteri Besar Perak yang baru

SUBANG 5 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, 3.30 petang esok.
Barisan Exco kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pula akan mengangkat sumpah di istana yang sama pada 10 Februari ini.
Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pangkalan TUDM di sini malam ini sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.
– Utusan, 05/02/2009 8:04pm

Dimanakah Letaknya Islam pada PAS?

Polimik politik di Negeri Perak mempunyai hikmat yang amat tinggi kepada orang-orang Melayu di negeri Perak amnya dan kepada orang Melayu umumnya.
Ini bukan soal lompat parti, tetapi keberkatan doa-doa orang Islam setelah sepuluh bulan di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR).
Walaupun Menteri Besar (MB) dipimpin oleh pemimpin PAS, ianya sekadar boneka oleh DAP kar PKR.
Isu tanah rizab Melayu contohnya membuktikan betapa lemahnya PAS dalam menghalang kerakusan DAP dan PKR merampas hak-hak orang Melayu di sana.
Kemelut terbaru di Perak jelas PAS mengikut telunjuk DAP dan PKR kerana sanggup mencabar titah DYMM Sultan Perak supaya melepaskan jawatan MB yang disandang. PAS sanggup menderhaka!.
Penulis teringat kisah selepas pilihanraya di Terengganu mengenai isu perlantikan MB yang baru, bila ada hubungan kurang baik bekas MB (Dato' Seri Idris Jusoh) dengan istana, bukan main PAS duduk dibarisan depan membela istana.
Bila terkena batang hidung, dimanakah letaknya istana oleh pemimpin PAS?
Cukuplah PAS mempermainkan agama Islam yang Maha Suci dan jelas PAS pula mempermainkan institusi Raja-Raja pula.
- Putra Lembah Utara.

Kenyataan media pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak

IPOH: Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.
KENYATAAN MEDIA PEJABAT D.Y.M.M. PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN “Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.
Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan. Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewi-ahli Dewan Negeri.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.
Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.
YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.
Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.”
- Bernama, 05/02/09.

Mohamad Nizar enggan letak jawatan MB

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan Menteri Besar Perak seperti yang dititahkan Sultan Azlan Shah kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
- Bernama, 05/02/2009 6:17pm

Sultan Perak titahkan Mohammad Nizar letak jawatan

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah menitahkan Datuk Seri MohaMmad Nizar Jamaluddin supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuatkuasa serta merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.
— BERNAMA, 05/02/2009 2:37pm

Sultan tidak perkenan pembubaran DUN Perak

IPOH 5 Feb. – Sultan Perak Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta merta.
Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas, baginda yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.
“Sekiranya Mohammad Nizar tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan,” kata kenyataan itu.
– Bernama, 05/02/2009 3:01pm

Najib keluar istana, pengerusikan mesyuarat BN

05/02/2009 11:12am
IPOH 5 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar dari Istana Kinta selepas menghadap Sultan Perak kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Timbalan Perdana Menteri diiringi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi terus ke bangunan UMNO untuk mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Najib bawa empat ADUN ke istana
05/02/2009 11:16am
IPOH 5 Feb. – Hanya lima minit bermesyuarat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Istana Kinta pagi ini.
Kali ini, Timbalan Perdana Menteri membawa bersama empat ADUN yang melompat parti semalam.
– Utusan
Najib menghadap Sultan Perak
05/02/2009 10:40am
IPOH 5 Feb — Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Kinta di sini pagi ini dipercayai untuk meminta perkenan baginda agar Barisan Nasional mengambil alih pentadbiran negeri, sehari selepas empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong dan memberikan majoriti kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri.
Najib, yang juga Pengerusi BN dan Badan Perhubungan Umno Perak, tiba pada pukul 9.49 pagi diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Pengerusi BN Perak.
Empat wakil rakyat itu terdiri Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu, kedua-dua daripada Parti Keadilan Rakyat, ADUN Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP dan ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim, yang menyertai PKR pada 25 Jan lepas dan kembali semula kepada Umno semalam.
Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas tetapi menyokong BN. Ketiga-tiga mereka bersama Nasaruddin turut berada di sisi Najib semalam ketika Timbalan Perdana Menteri mengadakan sidang akhbar di Putrajaya untuk membuat pengumuman mengenai sokongan mereka kepada BN.
Berikutan perkembangan terkini, BN dan Pakatan masing-masing mempunyai 28 kerusi tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.
— Bernama, 05/02/09.

MB dakwa tak tahu skandal seks Exco

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my
ALOR SETAR - "Bagi tau siapa dia. Saya akan pi tanya dia sendiri." Itulah reaksi mudah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak apabila ditanya mengenai dakwaan ada ahli Exconya terbabit dalam kegiatan tidak bermoral dengan mempunyai perempuan simpanan.
Azizan bagaimanapun sepatutnya mendapatkan maklumat itu daripada Istana Anak Bukit memandangkan penduduk kawasan wakil rakyat itu sudah menghantar memorandum membantah perbuatan Exco berkenaan kepada Sultan Kedah untuk tindakan baginda.
Azizan memberi alasan beliau tidak tahu kerana terlalu sibuk untuk menonton televisyen dan membaca akhbar.
"Sekarang ni ada macam-macam cerita, banyak lagi skandal menteri-menteri.
"Orang cakap banyak. Ada menteri ambik bini orang. Ada bawa lari anak raja. Benda macam tu biasa la,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini semalam.
Media melaporkan perbuatan Exco terbabit sudah lama mengadakan hubungan sulit dengan wanita itu sehingga dipercayai mempunyai anak luar nikah.
Azizan pula menempelak penyiaran laporan tersebut yang disifatkan sebagai tidak profesional.
- Kosm0 05/02/09.

Pakatan tumbang

Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my
  • Tiga Adun Bebas sokong Barisan
  • BN sedia tubuh kerajaan di Perak
  • Nizar bubar DUN tanpa perkenan Sultan
PUTRAJAYA: Tidak sampai setahun memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak semalam tumbang dan Barisan Nasional (BN) kini bersedia membentuk kerajaan baru di negeri itu dengan majoriti mudah.
Bibit kejatuhan kerajaan negeri itu bermula apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), diikuti tindakan yang sama Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong.
Ketiga-tiganya menjadi wakil rakyat Bebas dan mengisytiharkan sokongan terhadap BN, manakala Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR baru-baru ini, berikrar kembali ke pangkuan Umno mulai semalam.
Berikutan perkembangan itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di Ipoh mengumumkan tindakan drastik membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media di sini petang semalam pula berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru.
BN dan PR kini mempunyai bilangan kerusi DUN yang sama banyak, iaitu masing-masing 28 kerusi, tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu berikrar menyokong BN, termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.
Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata, tiga wakil rakyat Bebas itu memberitahu beliau bahawa mereka sudah menghantar surat kepada Sultan Perak untuk memaklumkan keputusan keluar daripada parti masing-masing.
"Mereka memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar."Mereka juga memberi aku janji akan bersama dan memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
"(Oleh itu) kita ada 31 berbanding 28 (PR) yang termasuk Speaker tetapi tidak boleh mengundi dalam DUN," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Nasaruddin dan tiga Adun Bebas berkenaan.Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta sebahagian Adun BN negeri itu juga hadir.
Mengenai calon Menteri Besar, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mengikut Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar hendaklah meletak jawatan bersama anggota Exconya jika hilang keyakinan atau majoriti di DUN.
"Keempat-empat wakil rakyat ini sudah memaklumkan kepada Speaker DUN Perak, selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini (semalam) bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan
."Mereka sudah hilang keyakinan terhadap parti dan Menteri Besar Perak. Kita akan lihat perkembangan selepas ini... apa yang penting ialah bagi mereka menyertai kita," katanya.
Ditanya bagaimana BN boleh menubuhkan kerajaan negeri, Najib berkata, Adun Behrang, Adun Changkat Jering dan Adun Jelapang akan menjadi "wakil Bebas mesra BN".
Mengenai tindakan Mohammad Nizar mengumumkan pembubaran DUN tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Najib berkata hanya Sultan Perak boleh memperkenankan pembubaran DUN.
Najib turut menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai bermulanya era baru dalam politik di Perak dan seterusnya membolehkan BN berkhidmat kepada rakyat serta pengundi di negeri berkenaan.
Menjawab soalan, Timbalan Perdana Menteri berkata keempat-empat wakil rakyat itu membuat keputusan menyokong BN berdasarkan kerelaan masing-masing tanpa habuan atau sogokan dan sebarang jawatan.
Mengenai kes rasuah membabitkan Adun Behrang dan Changkat Jering, Najib berkata ia adalah isu yang berbeza.Beliau juga berkata, perkembangan yang berlaku tidak sampai sebulan selepas beliau dilantik Pengerusi BN dan Umno Perak adalah secara kebetulan.
- BH, 05/02/09.

BN Perak bentuk kerajaan baru

PUTRAJAYA 4 Feb. - Barisan Nasional (BN) hari ini memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan tiga kerusi mengatasi 28 kerusi penyandangnya dari pakatan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan demikian berkata, tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pembangkang telah menghantar surat kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam memaklumkan mereka telah keluar dari parti masing-masing.
Mereka ialah dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) serta ADUN Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong.
Pada masa sama, ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang keluar dari BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali semula ke pangkuan UMNO hari ini.
Serentak dengan perkembangan terbaru itu, Najib berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak esok untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan baru.
''Fasal XV1 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan jika Menteri Besar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) hilang keyakinan atau majoriti, beliau hendaklah meletakkan jawatan bersama anggota-anggota Exconya
''Tentu sekali segala-galanya ini ketentuan Ilahi dan kita bersyukur ini berlaku, kita akan mulakan era baru di Perak dan akan berkhidmat untuk kepentingan semua rakyat khususnya di Perak," kata beliau pada sidang akhbar khas di pejabatnya di sini petang ini.
Kemelut politik di Perak memuncak Isnin lalu apabila kedudukan ADUN Changkat Jering dan Behrang menimbulkan tanda tanya setelah Yang Dipertua DUN Perak, V. Sivakumar mengeluarkan kenyataan media bahawa Jamaluddin dan Mohd. Osman telah menghantar surat peletakan jawatan.
Bagaimanapun tidak sampai tiga jam selepas itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman menafikan sekeras-kerasnya mereka berbuat demikian.
Berikutan itu, Sivakumar memaklumkan kepada SPR berlaku kekosongan di dua kerusi berkenaan namun SPR yang bermesyuarat semalam menolak diadakan pilihan raya kecil kerana mendapati dari aspek perundangan, wujud keraguan pada surat-surat peletakan jawatan yang dikatakan dihantar oleh Jamaluddin dan Mohd. Osman.
Najib berkata, meskipun Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong kekal sebagai wakil rakyat bebas namun ketiga-tiganya telah memberi aku janji akan menyokong BN.
''Mereka telah memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar.
''Mereka juga memberi aku janji untuk memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Sultan Perak," katanya.
Ditanya adakah keputusan ketiga-tiga ADUN pembangkang berkenaan menyokong BN sebagai satu tindakan 'tikam dari belakang' bekas parti mereka, Najib berkata:
''Mereka (pembangkang) tidak sangka ini akan berlaku tapi mereka sendiri telah mulakan prinsip untuk tubuh kerajaan tanpa ikut proses demokrasi, jadi mereka tidak boleh salahkan BN''.
Mengenai tuduhan rasuah yang bakal dihadapi Jamaluddin dan Mohd. Osman selepas ini, Najib berkata, ia isu berbeza dengan perkembangan terbaru.
Ditanya sama ada ada ketiga-tiga ADUN bebas berkenaan berkemungkinan menyertai BN selepas ini, beliau berkata: ''Kita tunggu dan lihat''.
Mengenai calon Menteri Besar Perak dan barisan Exco yang baru, beliau berkata, ia belum dibincangkan lagi.
Najib yang turut ditanya sama ada kejayaan BN menubuhkan kerajaan baru di Perak itu sebagai hadiah kepada beliau yang akan mengambil alih kepimpinan kerajaan bulan depan hanya berkata:
''Kebetulan, jangan cakap tentang jawatan''.
- Utusan, 05/02/09.

4 Februari 2009

Kronologi politik di Perak

KUALA LUMPUR: Berikut kronologi politik di Perak sejak pilihan raya umum ke-12, 8 Mac tahun lalu sehingga hari ini:
9 Mac 2008: Gabungan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi pada pilihan raya umum ke-12.
17 Mac 2008: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang dari Pas, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.
19 Mac 2008: Istiadat angkat sumpah 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
25 Ogos 2008: Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Jailu dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tudahan rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta. Mahkamah tetap 10, 11 dan 12 Feb 2009 sebagai tarikh perbicaraan.
25 Jan 2009: Adun Bota dari Umno, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR.
26 Jan 2009: Menteri Besar Perak mendakwa sekurang-kurangnya tiga lagi wakil rakyat daripada Umno akan mengikut jejak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR.
28 Jan 2009: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim mencadangkan satu gerakan massa perlu dijalankan bagi mendesak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
29 Jan 2009: MT Umno menerima peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta-merta.
30 Jan 2009: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota Exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, daripada Parti Keadilan Rakyat, akan menyertai BN.
1 Feb 2009: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan terdapat Adun daripada pembangkang di negeri Perak akan menyertai BN. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua Adun dari PKR yang “hilang” sejak 26 Jan supaya mengisytiharkan segera pendirian mereka jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak. Speaker DUN Perak, V Sivakumar berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan Adun Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu yang dihantar ke rumahnya pada jam 5.45 petang. Kedua-dua ADUN PKR menafikan meletakkan jawatan, sebaliknya mengakui pernah menandatangi surat janji taat setia bersama enam lagi Adun PKR yang tidak bertarikh bahawa jika mereka keluar parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing.
2 Feb 2009: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadap Sultan Perak di Istana Kinta. Beliau tidak mengulas kepada media berhubung istiadat mengadap itu. Speaker DUN Perak, V Sivakumar memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak. Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman berkata, kedua-dua wakil rakyat itu tidak membuat pengumuman keluar daripada PKR. Seorang pegawai kepada Jamaluddin Mohd Radzi memberitahu media di Sepang bahawa wakil rakyat itu masih ahli PKR.Seorang kenalan Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu menafikan peletakan jawatan Adun itu pada sidang akhbar di Shah Alam.
3 Feb 2009: SPR memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi DUN Changkat Jering (N14) dan DUN Behrang (N59) serta tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itu. Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi menganggap dirinya sebagai wakil rakyat Bebas selepas PKR menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Adun kepada Speaker DUN Perak V Sivakumar. Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memberi tempoh 48 jam kepada SPR supaya mengkaji semula keputusan tidak mengadakan pilihan raya kecil.
4 Feb 2009: 1 tengah hari - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijadualkan mengadakan sidang akhbar untuk membuat pengumuman penting.
1.30 tengah hari - Mohammad Nizar menangguhkan sidang akhbar tanpa memberi sebab.
2 petang - Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR tidak akan mengkaji semula keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil.
3 petang - Mohamad Nizar membuat tindakan luar biasa dengan mengumumkan pembubaran DUN serta merta sebelum memohon perkenan Sultan.
3.50 petang - Mohammad Nizar dilihat memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
4.35 petang - Empat Adun Perak iaitu Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu, Adun Bota Datuk Nasarudin Hashim dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.
5 petang - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP mengumumkan keluar parti.BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.
5.55 petang - Mohammad Nizar yang mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan DUN meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.
- Bernama, 04/02/09.

MB Perak tinggalkan istana tanpa umum keputusan Sultan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mengadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.
“Saya sudah menerangkan (explained) keadaan politik terkini, terserah kepada Tuanku,” katanya kepada wartawan sejurus sebelum meninggalkan perkarangan istana tersebut. - Bernama, 04/02/2009 6:20pm

BN bentuk kerajaan baru di Perak

PUTRAJAYA 4 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan majoriti tiga kerusi.
Ini berikutan keputusan tiga calon Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Foong yang telah menghantar surat kepada Sultan Perak semalam mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Perak dan menyatakan sokongan kepada BN.
Datuk Nasharuddin Hashim yang keluar BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali kepada UMNO.
Dengan pengumuman itu, BN kini memiliki 31 kerusi berbanding PKR sebanyak 28 kerusi.
Menurut Najib, Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong masih kekal sebagai wakil rakyat Bebas tetapi akan memberi sokongan kepada BN dalam sidang DUN termasuk sesiapa sahaja yang bakal dilantik Menteri Besar Perak.
Najib berkata, beliau akan mengadap Sultan Perak dalam masa terdekat bagi memaklumkan perkara itu.
- Utusan, 04/02/2009 5:19pm

Daftar online UMNO catat 2,978 ahli

KUALA LUMPUR 3 Feb. - UMNO mencatat 2,978 ahli baru menerusi pendaftaran keahlian secara online sejak perkhidmatan itu dilancarkan 31 Januari lalu.
Ia merupakan peningkatan positif selepas berjaya merekodkan 809 ahli baru dalam tempoh empat hari sahaja selepas dilancarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, peningkatan pendaftaran baru itu amat memberangsangkan. Jumlah terbaru itu direkodkan oleh Ibu Pejabat UMNO sehingga pukul 3 petang hari ini.
"Jumlah ahli baru itu menunjukkan golongan muda tidak pernah menolak UMNO dan berdasarkan sambutan yang ditunjukkan kita yakin UMNO masih lagi kukuh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menerusi sistem itu, pemohon yang ingin menjadi ahli UMNO boleh berbuat demikian menerusi laman web www.daftar.umno.org.my.
- Utusan, 04/02/09.

ADUN Kedah didakwa ada wanita simpanan

Oleh SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my
ALOR SETAR - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) didakwa terbabit dalam salah laku moral termasuk bersekedudukan dengan seorang wanita sehingga melahirkan seorang anak.
Perkara tersebut terbongkar selepas satu kumpulan penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit di sini semalam.
Memorandum berkenaan didakwa mengandungi butiran mengenai salah laku serta perbuatan tidak bermoral wakil rakyat berkenaan.
Wakil penduduk yang menghantar memorandum itu, Makbul Ilahi Hashim, 50, memberitahu, sekiranya perkara itu dibiarkan ia boleh mencemar serta menghina institusi kesultanan dan melanggar perlembagaan Kedah.
"Kami rasa ia tak bermoral dan rasa terhina dan malu atas sifat wakil rakyat itu. Jadi kami berharap dengan menyerahkan memorandum ini Tuanku ambil tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan, Elmi Yusof kira-kira pukul 4.30 petang.
- Kosmo, 04/02/09.

3 Februari 2009

Budak tabika jadi mangsa politik

BEBERAPA kanak-kanak tabika Kemas hanya sekadar dapat melihat bilik darjah mereka dari luar pagar selepas ia dikunci di Sungai Pinang, Balik Pulau semalam.
*****
BALIK PULAU – Sebuah tabika di Sungai Pinang di sini ditutup tanpa notis semalam iaitu kali ketiga sejak tahun lalu sehingga menyebabkan 21 kanak-kanak terpaksa belajar di bawah pokok dengan beralaskan tikar.
Pemandangan menyedihkan tersebut sebaliknya membuatkan ibu bapa berang kerana anak-anak mereka didakwa menjadi mangsa tindakan yang bermotifkan politik.
Tabika Perpaduan Kemas Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang itu telah dikunci oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kuala Sungai Pinang atas arahan kerajaan Pakatan Rakyat selaku pihak yang mempunyai kuasa ke atas bangunan tersebut.
Seorang bapa, Ghazali Ibrahim, 35, terkejut melihat anaknya terpaksa belajar di luar kelas beralaskan tikar ketika datang menjemputnya pulang tengah hari semalam.
“Saya diberitahu pihak JKKK kampung merantai pagar masuk ke bangunan tabika.
“Tolonglah selesaikan masalah ini tanpa perlu libatkan kanak-kanak kecil yang tidak berdosa ini,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan Che Hamzah Che Hamid, 40, yang berpendapat tindakan akibat perbalahan politik hanya merugikan rakyat.
“Saya tidak faham mengapa ia berlaku sedangkan kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan melalui pejabat daerah agar operasi semua tabika Kemas tidak diganggu,” jelasnya.
Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.

1 Februari 2009

Jangan perkecil kekuatan UMNO - Muhyiddin

TAWAU 1 Feb. — Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan parti pembangkang termasuk Pas supaya tidak memperkecil kekuatan Umno walaupun beliau mengakui parti itu mempunyai kelemahan tertentu yang perlu diperbaiki.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata jatuh bangun kekuatan sesebuah parti merupakan perkara lumrah kerana ia berlaku kepada semua parti termasuk parti-parti pembangkang seperti Pas sendiri.
“Tidak apalah, itu pandangan beliau. Bagi kami, Umno merupakan sebuah parti yang sudah lama tertubuh dan kita masih mempunyai ahli lebih daripada tiga juta orang. Kalau dilihat dari sudut itu kita merupakan pertubuhan politik yang terbesar, katanya sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini yang menganggap Umno sebagai pokok yang hampir mati.
“Setiap pertubuhan politik ada musimnya. Pas pun begitu, Umno pun begitu juga. Ada waktu kita berada dalam keadaan yang kukuh, kadang-kadang kita menghadapi masalah.
“Pemimpin pembangkang tidak akan menghormati kita. Kita juga tidak mengharapkan mereka memberikan komen atau kenyataan yang positif walaupun dalam Pas dan komponen Pakatan Rakyat (PR) sendiri ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Umno Kalabakan di sini hari ini.
— LAGI MUHYIDDIN-PAS 2 (AKHIR) TAWAU Muhyiddin berkata pandangan umum sama ada dari luar atau dari dalam parti Umno itu sendiri menganggap Umno masih sebuah pertubuhan politik yang berwibawa dan mempunyai kekuatan tersendiri meskipun beberapa kelemahan perlu dibaiki selaras dengan perubahan lanskap politik negara sekarang.
Katanya kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran untuk menggambarkan secara keseluruhannya bahawa parti berkenaan sudah menjadi lemah dan tidak ada harapan untuk bangkit semula.
“Kita mengakui kelemahan yang kita hadapi tetapi itu tidak bermakna kita tidak ada harapan untuk bangkit semula. Kita sedar dan selepas pilihan raya umum kita membuat pembaharuan, perubahan dan reformasi dalaman. Ini sudah kita mulakan. Jadi jangan perkecilkan kekuatan Umno,” katanya.
Katanya perubahan yang sedang dilakukan Umno dan BN ialah untuk menghantar mesej kepada rakyat bahawa Umno dan BN bukan pertubuhan politik yang statik tetapi sanggup melakukan perubahan sesuai dengan perubanan lanskap politik negara ini.
Muhyiddin berkata perjuangan Umno dan parti komponen BN yang mengamalkan perkongsian kuasa mementingkan kerjasama dalam membangunkan negara tidak seperti parti pembangkang yang lebih cenderung memperjuang kepentingan parti masing-masing sahaja.
“Pas dilihat sebagai pertubuhan politik yang hanya melihat soal kepentingan parti dia sahaja. Dia tidak mengambil kira yang lain seperti perkongsian (kuasa). Dalam Pakatan Rakyat pun mereka tak secocok dari segi dasar dan tindakan. Dilihat bersama tetapi apa kata orang “tidur satu bantal mimpinya lain-lain” kerana mereka ada cita-cita masing-masing.
Muhyiddin yakin perubahan yang sedang dan bakal dilakukan dalam Umno dan BN akan dapat diterima rakyat seterusnya memberi kemenangan kepada BN dalam pilihan raya Umum ke-13 bagi membolehkan BN meneruskan jasa-jasanya bagi membangunkan negara lebih 50 tahun lalu.
— BERNAMA, 01/02/2009 3:35pm

31 Januari 2009

UMNO: 809 daftar secara online hari pertama pelancaran

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Seramai 809 orang di seluruh negara mendaftar sebagai ahli UMNO menerusi pendaftaran keahlian UMNO secara online pada hari pertama sistem itu dibuka hari ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jumlah itu sangat memberangsangkan walaupun pada hari pertama iaitu sehingga pukul 8 malam tadi.
Katanya, sistem pendaftaran online itu lebih menggalakkan orang ramai untuk memohon kerana ia mudah dan cepat.
"Kita menjangkakan lebih ramai lagi yang akan mendaftar keahlian dan diharap penyertaan mereka sebagai ahli UMNO akan menyemarakkan lagi parti UMNO," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan sistem pendaftaran keahlian parti secara online bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadi ahli UMNO.
Bagi pemohon yang ingin menjadi ahli UMNO secara online, boleh dibuat menerusi laman web www.daftar.umno.org.my.
Proses untuk mendaftar keahlian ialah, pemohon dikehendaki menaip nama penuh, nombor telefon dan e-mel, negeri, bahagian dan cawangan yang ingin disertai.
Syarat untuk membuat pendaftaran ialah warganegara Malaysia dan kaum Melayu atau bumiputera.
Individu berkenaan juga dikehendaki membuat pengakuan untuk patuh kepada Perlembagaan, peraturan dan segala dasar parti.
- Utusan, 31/01/09.

17 Januari 2009

Perak perlu pulangkan hak Melayu

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Kerajaan negeri Perak digesa memulangkan semula tanah hak Melayu yang dibuka sebagai penempatan kampung-kampung baru kepada kaum bukan Melayu di negeri itu.
Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia (Badan Bertindak), Osman Abu Bakar berkata, tindakan segera perlu dilaksanakan kerajaan negeri tersebut dengan mengambil kira teguran Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah berkenaan hal itu serta hasrat rakyat negeri Perak.
''Kerajaan Perak perlu bertanggungjawab terhadap teguran yang dibangkitkan Raja Nazrin, ia juga perlu ambil kira hasrat rakyat negeri ini khususnya orang Melayu yang sedar hak mereka telah dicuri.
''Tanah hak Melayu itu perlu dipulangkan secara terhormat bagi menghormati hak kaum itu yang telah dirampas," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Raja Nazrin ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini semalam bertitah, raja-raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.
Titahnya lagi, Rancangan Briggs memberi nikmat kepada 400,000 penduduk setinggan Cina di pinggir hutan berpindah ke kampung baru yang dilengkapkan dengan jalan, bekalan elektrik, air paip, kemudahan sekolah dan kesihatan serta turut dibantu mendapat pelbagai peluang pekerjaan dan kemudahan perniagaan.
Mengulas lanjut, Osman berkata, atas sebab itu, BBPM sedia menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam minggu ini bagi meminta pandangan baginda berhubung hal berkenaan.
Katanya, dua perkara yang bakal dibentangkan dalam pertemuan itu adalah usul supaya tanah tersebut dipulangkan kepada masyarakat Melayu dan status tanah kampung baru yang diberi tempoh masa 999 tahun pajakan berbanding kampung tradisional Melayu yang hanya 99 tahun pajakan.
Jelas beliau, pertemuan itu juga akan disertai pakar dan penasihat undang-undang Perak bagi menentukan tindakan yang bakal diambil badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu masih belum dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan pula berkata, kerajaan Perak perlu mengurniakan tanah pajakan 999 tahun kepada semua kaum tanpa mengira kepentingan politik semasa bagi mengelakkan golongan Melayu terguris hati.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri tersebut juga harus mempertimbangkan pemberian tanah berkenaan kepada anggota keselamatan, polis dan tentera yang berkhidmat menentang komunis bagi menghargai pengorbanan mereka.
''Jika anggota keselamatan terbabit telah meninggal dunia, keluarga mereka perlu diberi pengiktirafan melalui pemberian tanah itu.
''Permainan politik kerajaan negeri Perak hanya akan merugikan bangsa Melayu sekiranya hak golongan bumiputera terus dipinggirkan," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.
- Utusan, 17/01/09.

15 Januari 2009

Felda kejayaan program fardu kifayah kerajaan - Raja Nazrin

Menara Felda, lambang kejayaan cemerlang peneroka.
*****
KUALA LUMPUR 15 Jan. — Rancangan pembukaan tanah oleh Felda, yang bermula sejak 1961, adalah kejayaan gemilang program fardu kifayah kerajaan, titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Menurut baginda rancangan pembangunan itu bukan sahaja mengatasi masalah kemiskinan ribuan keluarga Islam malah turut membawa mereka menerokai kejayaan lebih luas dan lebih besar lagi.
“Bayangkan betapa nasib lebih 112,000 keluarga desa, berkemungkinan berada dalam kategori miskin tegar, jika Felda tidak wujud di negara ini,” titah baginda semasa menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga di sini hari ini.
Raja Nazrin Shah bertitah bahawa mengikut kronologi peristiwa, peneroka tanah rancangan Felda hanya berpeluang melalui penghidupan di perkampungan lebih moden 11 tahun terkemudian daripada kemudahan yang dinikmati oleh penduduk Kampung Baru yang dibangunkan melalui Rancangan Briggs.
Rancangan Briggs, yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney dalam tahun 1950, memberi nikmat kepada 400,000 penduduk setinggan Cina di pinggir hutan berpindah ke Kampung Baru, yang terletak hampir dengan bandar berbanding dengan kawasan pembangunan Felda.
- Bernama, 15/01/2009 3:28pm

Taksub dengan Pas tidak bertegur 22 tahun

Oleh ADNAN MOHAMAD
KUALA TERENGGANU 14 Jan. - Akibat terlalu taksub dengan perjuangan Pas, seorang bekas ahli parti itu tidak bertegur sapa dengan rakan-rakannya yang menyertai UMNO selama 22 tahun kerana menganggap mereka kafir.
Menurut Wan Ahmad Wan Mohamad, beliau mengambil tindakan demikian kerana terpengaruh dengan 'fatwa' yang dikeluarkan pemimpin parti itu.
Bagaimanapun kata bekas Ketua Pemuda Pas Besut itu, selepas melihat pemimpin Pas sendiri tidak melaksanakan apa yang mereka katakan, menyebabkan dia tawar hati lalu keluar dari parti itu pada tahun 2000.
''Pemimpin Pas sekarang tidak segan atau tiada masalah pun berdamping serta bergaul dengan kaum Cina sedangkan dahulu Pas kata UMNO parti kafir kerana bercampur dengan kaum Cina dan India ," katanya.
Wan Ahmad merupakan seorang daripada penceramah pada 'Perhimpunan Masihkah Kau Ingat' yang dianjurkan Barisan Nasional (BN) di Pasar Chabang Tiga di sini semalam.
Penceramah lain termasuk bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Ustaz Omar Khalid dan bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Abu Bakar Abdul Ghani.
Hujan lebat tidak menghalang lebih 4,000 orang menghadiri program itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menurut Wan Ahmad, tindakan pemimpin Pas itu menunjukkan mereka hanya pandai bermain kata-kata dengan menggunakan tipu daya bagi menarik orang ramai menyokong perjuangan pembangkang.
Pada majlis itu, orang ramai turut menyaksikan tayangan video yang mengimbas tindak-tanduk Pas semasa menerajui Terengganu dari 1999 hingga 2004.
Ia termasuk tindakan Pas mengunci balai raya dan Kelas Tabika Kemas untuk menghalang daripada digunakan oleh kanak-kanak.
- Utusan, 15/01/09.

14 Januari 2009

Gaza Terus Digasak

BANDAR Rafah di selatan Gaza dihujani bom ketika serangan Israel masuk hari ke-18 semalam.
Gambar merakam beberapa letupan di masjid dan tempat awam berikutan serangan udara tentera Zionis

Dunia tekan Israel

PBB, badan hak asasi mahu rejim Zionis disiasat kerana jenayah perang
GENEVA: Tekanan terhadap Israel semakin meningkat, terbaru oleh pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi yang mahu rejim haram itu disiasat kerana melakukan jenayah perang antarabangsa berikutan tindak-tanduk zalim tenteranya di Gaza.
Pada masa yang sama, tentera rejim Zionis menghadapi serang balas sengit oleh pejuang Hamas apabila cuba memasuki pusat Bandaraya Gaza sehingga berundur ke kawasan luar bandar semalam. Hamas dalam satu kenyataan berkata pejuangnya berjaya meletupkan dua kereta kebal Israel tetapi Tel Aviv menafikannya.
Israel didesak disiasat berikutan dakwaan serangan serta pengeboman secara ‘sembarangan’ dan ‘membuta tuli’ di kawasan kediaman penduduk awam selain tindakan askarnya menggunakan keluarga Palestin sebagai perisai manusia.
Dengan angka kematian hampir mencecah 1,000 orang ketika pertempuran memasuki hari ke-18 semalam, tekanan semakin hebat agar satu siasatan bebas membabitkan insiden tertentu termasuk pengeboman sekolah PBB sehingga menyebabkan 40 orang terbunuh dan persoalan sama ada taktik perang tentera Israel menyalahi undang-undang kemanusiaan.
Jawatankuasa kanan hak asasi PBB kelmarin meluluskan resolusi mengecam tindakan Israel kerana ‘mengingkari asasi manusia secara besar-besaran.’
Sumber kanan PBB berkata, agensi kemanusiaan badan dunia itu sedang mengumpulkan bukti jenayah perang dan akan diserahkan kepada ‘peringkat tertinggi’ untuk digunakan pada masa yang sesuai.
Beberapa aktivis hak asasi mendakwa kepemimpinan Israel mengeluarkan arahan untuk memastikan kemalangan jiwa pihak tentera berada pada tahap paling rendah tanpa mengambil kira nasib penduduk awam.“
Strategi itu secara langsung menyumbang kepada serangan paling dahsyat pernah dilakukan rejim Israel di wilayah Palestin” kata mereka.Tentera Israel dituduh:
Menggunakan bom berkuasa tinggi di kawasan penduduk awam dengan kesedaran bahawa ia akan menyebabkan kemalangan jiwa yang tinggi.
Menggunakan senjata yang diharamkan seperti bom fosforus.
Menahan keluarga Palestin untuk dijadikan perisai manusia.
Menyerang pasukan perubatan termasuk kematian 12 pekerja ambulans di dalam kenderaan rasmi.
Membunuh sejumlah besar polis yang tidak mempunyai peranan tentera.
Ketua agensi PBB bagi pelarian Palestin di Gaza, John Ging, berkata ia adalah mengenai keperluan untuk bertanggungjawab, tindakan tidak wajar dan keterlaluan yang diambil tentera selain isu tanggungjawab keseluruhan mengenai terhadap orang awam.“
Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak untuk membuat pengadilan tetapi penyiasatan terhadap setiap insiden perlu dilakukan untuk mengetahui tindakan yang dilakukan mengingkari undang-undang antarabangsa, katanya.
Tindakan tentera Israel mencetuskan kemarahan luar biasa Palang Merah Antarabangsa selepas askar mengarahkan sebuah keluarga Palestin memasuki bangunan dan mengebomnya, menyebabkan 30 orang terbunuh.
Kanak-kanak yang terselamat berpaut pada mayat ibu mereka selama empat hari selepas tentera menghalang mereka daripada diselamatkan.
Israel melancarkan serangan ke atas Gaza yang mempunyai 1.5 juta penduduk dengan alasan untuk membalas serangan roket Hamas ke kawasan didiami penduduk Yahudi secara haram. – --Agensi

Potong gaji sehari bantu Palestin

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
DR. ABDUL SHUKOR (baju putih)
melancarkan Tabung Gaza untuk
membantu penduduk Palestin akibat kekejaman Israel
di Stadium Tertutup Nilai semalam.
*****
NILAI - Kezaliman dan penindasan rejim Israel di bumi Palestin terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini tidak mahu terkecuali membantah perbuatan di luar kemanusiaan itu dengan mengumumkan pemotongan gaji sehari kepada semua kakitangan untuk disalurkan kepada Tabung Gaza bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk Palestin.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, potongan gaji itu dibuat sebagai tanda prihatin warga universiti itu terhadap kekejaman dilakukan tentera zionis ke atas rakyat Palestin.
"Saya tidak memaksa pemotongan gaji ini tetapi dilakukan sukarela melibatkan kakitangan akademik dan pentadbir USIM untuk disalurkan kepada Tabung Gaza.
"Kepada mahasiswa pula, saya juga merayu kita sama-sama menyumbang dalam Tabung Gaza. Kalau tidak sampai RM1 sekali pun, 10 sen pun boleh. Itu besar ertinya kerana kita dapat menghantar sebutir Panadol kepada penduduk Palestin," katanya.
Beliau berucap demikian pada Rapat Umum Sokongan Kepada Palestin dan Bantahan Keganasan Israel dan Sekutunya di Stadium Tertutup Nilai, di sini semalam.
Dalam rapat umum itu, lebih 5,000 mahasiswa dan kakitangan universiti itu hadir dengan berarak dari kampus berkenaan ke stadium itu sambil melaungkan pelbagai slogan anti-Israel serta membawa sepanduk mengutuk kekejaman tentera zionis.
--Kosmo Online

Boikot Israil dan Amerika

Kini tiba masanya kita buat betul-betul. Demi saudara seagama. kemanusiaan. Demi Maruah!

http://www.inminds.co.uk/boycott-israel.html

‘Bush ikut telunjuk saya’

ISRAEL TERUS BERMAHARAJA-
LELA... Selain serangan darat,
jet-jet pejuang rejim Zionis terus menggempur kota Gaza, semalam.
*****
BAITULMAQDIS 13 Jan. – Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert mendakwa keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk bersikap berkecuali semasa pengundian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis lalu dibuat setelah beliau ‘bercakap’ dengan Presiden George W. Bush.
Menurut Olmert, AS pada mulanya akan mengundi menyokong resolusi itu. Berikut adalah kenyataan Olmert seperti dipetik dalam laporan berita AFP hari ini.
- Olmert minta petugas menelefon Bush, namun mereka menyatakan Bush sedang berucap di Philadelphia.
- Olmert tegaskan bahawa beliau tetap mahu bercakap juga dengan Bush. Presiden AS itu kemudian turun dari podium dan bercakap dengannya.
AS pada mulanya akan mengundi resolusi untuk gencatan senjata di Genting Gaza tetapi tiba-tiba berubah selepas Bush bercakap dengan Perdana Menteri Israel.
- Utusan, 14/01/09.

11 Januari 2009

Kerja keras pastikanBN menang - Najib

KUALA TERENGGANU 10 Jan. - Barisan Nasional (BN) perlu bekerja dengan lebih keras bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, usaha yang lebih gigih perlu dilakukan kerana hasil penilaian dalam kempen yang memasuki hari kelima hari ini menunjukkan BN berpeluang mencapai kemenangan.
''Kita ada peluang menang tetapi kita mesti kerja lebih keras sampailah pada hari pembuangan undi. Umumnya jentera kita berjalan baik tetapi kita juga mesti lihat dari beberapa aspek lagi yang perlu diperbaiki," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan demikian selepas menghadiri Perjumpaan Mesra Bersama Imam, Bilal dan Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Primula Beach Resort di sini hari ini.
Pada majlis itu, Najib menyampaikan cek berjumlah RM8 juta kepada 20 buah SABK dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Menjawab satu soalan, Najib menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya langkah kerajaan meluluskan beberapa projek kepada masyarakat Cina di negeri ini sebagai usaha 'menggula-gulakan' mereka agar menyokong BN.
- MM, 11/01/09.

Emosi, riak dan perubahan

Apa yang boleh kita saksikan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Selasa lalu merupakan suatu suasana yang cukup berbeza.
Jika penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu disifatkan paling ganas dan menakutkan dalam sejarah negara, penamaan calon Kuala Terengganu pula dianggap paling lancar dan tenteram.
Awang mengucapkan tahniah kepada semua pihak meliputi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), polis dan parti-parti yang bertanding. Ternyata ia telah memecahkan batas psikologi banyak pihak bahawa adalah mustahil untuk melihat penamaan calon yang tenang, lebih-lebih lagi jika pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Ijok sebelum ini dijadikan kes rujukan.
Antara faktor yang menyumbang kepada perubahan suasana kali ini ialah langkah baru yang diperkenalkan oleh SPR termasuk menjarakkan kira- kira 100 meter posisi para penyokong parti yang bertanding.
Persoalannya apakah suasana tenang penamaan calon dapat diteruskan sepanjang tempoh kempen sehingga hari mengundi pada 17 Januari ini?
Untuk mengharapkan tiada langsung kejadian tidak diingini, adalah sukar tetapi ada banyak ruang untuk menyaksikan tahap keselamatan yang jauh lebih baik berbanding di Permatang Pauh.
Cuma yang nampaknya sukar berubah ialah kempen ceramah pembangkang yang masih suka membakar emosi rakyat dengan ucapan berapi-api. Soal perlunya fakta yang kukuh dan hujah bernas, tidak begitu penting. Soal sama ada apa yang disampaikan itu dakwaan dan persepsi liar, juga tidak mengapa.
Awang sempat menghadiri majlis ceramah para pemimpin utama pakatan pembangkang. Seorang demi seorang berucap tetapi nada sama – emosi lebih menonjol daripada rasional. Ada pemimpin Pas dalam ucapan mendakwa kononnya UMNO menolak Islam tetapi menganggap DAP adalah sahabat Islam. Awang hanya mampu menggeleng kepala.
Rasanya sebahagian yang hadir tidak lupa hakikat bahawa Malaysia telah diisytiharkan negara Islam beberapa tahun lalu selain Islam termaktub sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara di bawah inisiatif UMNO.
Sebahagian besar penyokong Pas yang mendengar ceramah itu juga sedar bahawa DAP sehingga hari ini masih kuat menentang usaha penubuhan negara Islam ala Pas.
Selain itu, dalam keghairahan para pemimpin Pas dan PKR berucap, kerap terhambur kata-kata seperti bodoh, dajal dan dungu. Ia jelas menampakkan riak dan meninggi diri sebahagian pemimpinnya yang suka memperlekehkan pemimpin UMNO . Mereka sahaja di pihak benar, pihak lain semuanya dituduh salah, jahat dan buruk.
Seorang pemimpin PKR pula terang-terang menyebut perkataan sial apabila menyentuh parti lawan dan dia masih boleh ketawa kecil. Janganlah mengharap mereka menjaga ketertiban berkata-kata di khalayak umum, yang merupakan antara asas kepada segala kebaikan. Ironinya, mereka melaung-laungkan perubahan untuk masyarakat dan negara. Mereka sendiri masih belum berubah.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
- Utusan, 11.01.09.

10 Januari 2009

Tidak patut minta negara asing untuk campur tangan

10/01/2009 5:38pm
KOTA TINGGI 10 Jan. — Rakyat Malaysia tidak sepatutnya meminta mana-mana negara asing mencampuri urusan dalam negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.
’Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya setia kepada negara dan tidak meminta mana-mana negara asing mencampuri urusan dalam negara,” katanya sebagai mengulas laporan media mengenai seruan pemimpin HINDRAF P.Waytha Moorthy kepada kerajaan India agar mengenakan sekatan ekonomi terhadap Malaysia.
“Kepada yang membuat perkara begitu (seruan agar sekatan ekonomi dikenakan terhadap Malaysia), mereka mempunyai pilihan sama ada terus menjadi rakyat Malaysia atau menjadi rakyat negara asing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen gotong-royong di Kampung Sentosa, Tanjung Sedili.
- Bernama

9 Januari 2009

Exco Perak mula guna Camry ganti Perdana V6

09/01/2009 5:52pm
IPOH 9 Jan. — Anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak hari ini mula menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 berwarna hitam menggantikan kereta nasional Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembelian sejumlah 16 kenderaan berkenaan bernilai kira-kira RM2.56 juta dibuat secara tender terbuka oleh jabatan tender kerajaan negeri.
“Pada hari ini kita terima sembilan buah yang akan digunakan oleh Exco dan pegawai kanan. Baki kenderaan tujuh lagi akan dibekalkan secara berperingkat berdasarkan stok yang ada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini pelbagai kritikan dibuat oleh pelbagai pihak kerana tidak mahu kerajaan negeri membazirkan wang rakyat bagi pembelian kenderaan itu berikutan pimpinan utama negeri yang diterajui parti DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini meuar-uarkan penjimatan wang dan ingin menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Terdahulu, seawal 10 pagi tadi kereta Toyota Camry yang pertama dilihat memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini dengan nombor pendaftaran AFD 33 dan disusuli yang lainnya dibawa masuk secara berperingkat oleh pengedar UMW Toyota ke kawasan letak kereta berbumbung di bangunan berkenaan.
- Bernama, 09/01/09

Profil Calon BN: Dato' Wan Ahmad Farid Wan Saleh

BIODATA

Nama: Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh

Tarikh lahir: 13 November 1962
Umur: 46 tahun
Isteri: Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab, 40
Anak:
Wan Syafiqah Iryani, 19;
Wan Anis Majida, 15;
Wan Syazana Fasihah, 11;
Wan Deena Masyitah, 8;
Wan Nureen Sofia, 5;
Wan Khaireen Dunnyana, setahun.

Jawatan dalam parti: Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu

Pendidikan: Berkelulusan Undang-Undang dari Universiti Thames Valley, London

Rumah: Suasana Sentral Kondominium, KL Sentral, Kuala Lumpur

Emel: wanfarid@yahoo.com

DATUK Wan Ahmad Farid, dilahirkan di Jalan Ibrahim, Kuala Terengganu pada 13 November 1962 dan pernah bertugas sebagai Peguam bela dan Peguam cara mulai 1987. Beliau menang jawatan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu selepas menewaskan Datuk Roslan Awang Chik pada 2004.
Berusia 46 tahun, beliau kini menjadi Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu yang disandangnya sejak dua penggal.
Beliau dilantik Senator pada 2006 dan bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri bermula 1 Januari 2004 hingga 18 Mac 2008, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, mulai 19 Mac lalu.
Beliau yang gemar membaca, memiliki kelulusan Undang-Undang dari Universiti Thames Valley, London. Selain itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Badminton Terengganu mempunyai pengalaman dan pembentangan kertas kerja dan menghadiri seminar di beberapa negara.
Antaranya, persidangan Regional Ethics In Leadership di Vietnam pada 2000; pemerhati pilihan raya Presiden Amerika Syarikat atas jemputan Jabatan Negara AS (2000), membentang kertas kerja Ancaman Keganasan Di Asia Tenggara, CSIS, Jakarta (2002).
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Bengkel Penubuhan Komuniti Asean di Manila di Asean People's Assembly (2002) dan berucap di Institut Rantau Asia dan Pasifik, University of Sydney semasa menjadi tetamu kerajaan Australia pada 2003.
-- Dipetik dari Berita Harian Online.

8 Januari 2009

Kenyataan Anwar mengenai hudud mengelirukan: Karpal

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) , Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam dan bukannya di seluruh negara adalah mengelirukan, kata Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini.
“Kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa tidak perlu menolak hukum hudud kerana ia hanya terpakai kepada orang Islam adalah bertentangan dengan hasrat Pas yang mengakui mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Ini memang menjadi pendirian Pas sejak ditubuhkan sepertimana dicerminkan dalam kenyataan oleh bekas dan pemimpin PAS sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Karpal Singh menegaskan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dipetik dalam laporan berita pada 23 Disember lalu sebagai berkata: “Saya tidak nampak kenapa mereka (iaitu orang bukan Islam) tidak dapat menerima hukum hudud yang tidak berbeza daripada undang-undang Barat”.
Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata untuk hukum hudud diguna pakai, prasyaratnya ialah penubuhan sebuah negara Islam seperti Arab Saudi di mana undang-undang Islam terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.
“Adalah penting untuk Anwar mengetahui apakah niat sebenar PAS yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam. “Mungkin Presiden Pas (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang patut memberikan penjelasan sama ada hukum hudud yang ingin dilaksanakan Pas terpakai kepada orang Islam dan juga bukan Islam sekiranya Pas berjaya menubuhkan sebuah negara Islam. Demi kepentingan orang ramai, beliau patut berbuat demikian,” katanya.
Karpal berkata Malaysia bukan sebuah negara Islam dan kelulusan serta pelaksanaan hukum hudud adalah melanggar Perlembagaan.
- Bernama, 08/01/09.

Tiada isu baru dalam ceramah pembangkang

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
SEMALAM, pakatan pembangkang memulakan kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan mengadakan ceramah mega di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu.
Bersesuaian dengan istilah ‘mega’ yang digunakan, ceramah berkenaan yang bertujuan memperkenalkan calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut, membariskan kesemua pemimpin besar pakatan tersebut.
Mereka yang berada di atas satu pentas di hadapan ribuan hadirin pada majlis itu ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali.
Seperti diduga tiada isu baru yang ditimbulkan melainkan dakwaan bahawa pemerintahan negara dijalankan penuh rasuah, pembaziran wang royalti minyak oleh kerajaan Terengganu dan berusaha meraih sokongan pengundi dengan memuji Allahyarham Datuk Razali Ismail.
- Utusan, 7/01/09

7 Januari 2009

Wan Ahmad Farid ditentang calon Pas, Bebas

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
SOKONGAN... Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin BN lain termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said (depan, tengah) serta penyokong-penyokong berjalan menuju ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.
*****
KUALA TERENGGANU 6 Jan. – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, akan berhadapan dengan dua pencabar dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.
Dalam proses penamaan calon hari ini di Stadium Negeri di sini, Wan Ahmad Farid yang menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.13 pagi akan ditentang oleh calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat@Adam.
Mohd. Abdul Wahid, 51, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.18 pagi manakala Azharuddin,46, berbuat demikian pada pukul 9.58 pagi iaitu kira-kira dua minit sebelum proses penamaan calon ditutup.
Kehadiran Azharudin dikatakan mengejutkan pemimpin BN dan Pas kerana sebelum ini nama beliau tidak disebut-sebut akan bertanding. Calon lain yang dikatakan berminat sebelum ini ialah peniaga getah sekerap, Isma Airfath Hassanudin, 38, dan seorang peniaga, Harun@Ab.Rahman Mohamad, 63. yang mewakili parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
Bagaimanapun sehingga proses penamaan calon ditutup, Isma Airfath tidak muncul manakala Harun yang dilihat memasuki dewan penamaan calon diminta meninggalkan dewan tersebut oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas dilihat tidak berminat menyerahkan borang pencalonannya.
Walaupun terdapat calon Bebas yang bertanding namun pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu tetap menjanjikan pertarungan sengit antara BN yang mempertahankan kerusi itu dan Pas.
Bagi BN, pilihan raya kecil berkenaan amat penting bagi menebus kekalahannya dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu manakala kepada Pas pula, ia bakal menjadi medan untuk membuktikan bahawa parti itu masih berpengaruh di Terengganu.
Pada sidang akhbar selepas pengumuman nama calon dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mat Razali Kassim pukul 11.28 pagi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengiringi Wan Ahmad Farid bersama lebih 10,000 penyokong BN berkata, pertandingan tiga penjuru bukanlah sesuatu yang mengejutkan BN.
‘‘Pada pilihan raya umum lalu pun kita terpaksa berhadapan pertandingan tiga penjuru. Selain itu, walaupun kita menganggap suasana hari pertama menyebelahi BN tetapi kami tidak akan berasa selesa atau memandang mudah pertandingan ini kerana ia satu persaingan yang sengit.
‘‘Malah BN juga tidak boleh memandang rendah keupayaan Pas kerana kita memahami parti itu adalah lawan yang ampuh. Kita tetap akan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan kerana itulah sasaran BN,” katanya yang akan mengepalai jentera pilihan raya BN di sini.
Dalam pilihan raya umum lalu, Razali mempertahankan kerusi berkenaan selepas memperoleh majoriti 628 undi mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof, 89, yang membuat keputusan tidak bertanding kali ini kerana tidak cukup wang.
Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Buruk yang ketiga-tiga dikuasai oleh Pas serta Bandar yang diwakili oleh BN.
Pada hari pengundian yang ditetapkan pada 17 Januari ini, seramai 80,229 pengundi berdaftar meliputi 79,194 pemilih biasa dan 1,035 pengundi pos akan mengundi.
- Utusan, 6/01/09.

6 Januari 2009

Wan Ahmad Farid pilihan calon yang tepat

06/01/2009 5:57pm
KUALA TERENGGANU 6 Jan. — Pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Barisan Nasional (BN) adalah tepat dan diyakini mampu mempertahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil pada 17 Jan ini, demikian menurut para pemimpin BN.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Wan Ahmad Farid telah menunjukkan kewibawaannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan semasa menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dengan menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan dengan penuh dedikasi.
“Beliau adalah seorang pemimpin muda yang dilahirkan dari kilang Pemuda UMNO dan mempunyai keterampilan dari segi kepimpinan dan berkaliber.
“Pergerakan Pemuda akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau,” kata Menteri Pelajaran itu yang ditemui di pusat penamaan calon di Stadium Negeri di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, sokongan Pemuda UMNO di peringkat akar umbi terhadap bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu begitu jelas dan terbukti apabila kebanyakan jentera Pemuda yang terlibat dengan pilihan raya kali ini merupakan dari Pemuda Bahagian dan cawangan Terengganu sendiri.
- Bernama

Saingan tiga penjuru BN, Pas dan Bebas

Wan Ahmad Farid - Calon BN.
*****
KUALA TERENGGANU: Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pas dan Bebas.
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, akan ditentang calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, 52,; dan calon Bebas, Azharudin Mamat, 46.
Penerimaan pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mat Razak Kassim, pada jam 11.30 tengahari tadi.
Empat bantahan diterima sepanjang tempoh bantahan dibuka. Terdahulu, Wan Ahmad Farid yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN, tiba di pusat penamaan calon di Stadium Negeri pada jam 9.05 pagi sejurus ia dibuka.
Mohd Abdul yang diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, pula tiba sepuluh minit kemudian dengan kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat.
Azharudin yang juga seorang peniaga, tiba di pusat penamaan itu pada jam 9.27 pagi.
Calon parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun @ Abd Rahman Mohamad, pula membuat kejutan apabila mengumumkan penarikan diri sejurus tiba dengan beberapa penyokongnya kira-kira jam 9.40 pagi.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail, pada 28 November lalu.
Sebanyak 80,229 pemilih berdaftar termasuk 1,035 pemilih pos layak mengundi pada pilihan raya kecil kali ini. Kira-kira 8,000 pemilih di kawasan itu adalah pengundi Cina. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Razali menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi. Daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Terengganu, hanya Bandar yang dimenangi BN, manakala Wakaf Mempelam, Ladang dan Batuk Burok dimiliki Pas.
BN, bagaimanapun, yakin meraih majoriti lebih besar antara 3,000 hingga 3,500 undi pada pilihan raya kecil kali ini berbanding 628 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac 2008.
- BH, 6/01/09.