12 Disember 2009

Apa sumbangan Obama?

Utusan (Rencana) - 12/12/09
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
BELUM pun setahun menjadi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sudah mendapat pengiktirafan tertinggi sekurang-kurangnya dari kaca mata barisan Jawatankuasa Nobel Norway.
Obama dipilih sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan 2009 sekali gus meletakkan beliau setanding dengan nama-nama besar lain yang pernah menerima pengiktirafan itu. Mereka termasuk Nelson Mandela, Mother Teresa dan Aung San Suu Kyi.
Logik pengiktirafan Obama adalah kerana beliau dikatakan telah merintis usaha yang luar biasa dalam menguatkan hubungan diplomasi dan kerjasama antarabangsa serta dengan seluruh penduduk dunia.
Di seluruh dunia, pengiktirafan kepada Obama itu disambut dengan pelbagai reaksi yang rencam. Hadiah Nobel Keamanan 2009 itu dilihat sesuatu yang terlalu besar ketika pentadbiran Obama belum menunjukkan kejayaan yang luar biasa.
Di tanah air sendiri, Obama juga masih bergelut dengan isu yang menjadi persoalan besar di kalangan rakyat terhadap dasar-dasar domestik beliau. Ia termasuk usaha untuk memenangi sokongan terhadap pelan rombakan program penjagaan kesihatan AS yang dinilai oleh kebanyakan pemerhati sebagai perbelanjaan yang tinggi.
Krisis ekonomi yang menyaksikan negara itu mencatat kadar pengangguran tertinggi dalam tempoh 26 tahun juga masih belum menampakkan tanda-tanda pemulihan.
Apa yang membuatkan Obama lebih menjadi sasaran ialah apabila berbilion-bilion dolar sudah dilaburkan ke arah itu. Pakej rangsangan ekonomi berjumlah kira-kira AS$787 bilion seperti yang diumumkan Obama pula dikatakan tidak menunjukkan petanda positif dengan kemungkinan negara itu memerlukan satu lagi pakej serupa.
Dalam masa yang sama, kadar pengangguran juga semakin meningkat dan defisit bajet melambung tinggi.
Memandangkan Hadiah Nobel Keamanan itu bersifat rentas antarabangsa, ia tidak boleh mengelak daripada dibandingkan dengan dasar luar AS di tangan Obama. Ironinya, Obama menerima anugerah itu ketika beliau sedang sibuk menyusun strategi mengukuhkan kekuasaan di Afghanistan.
Bermula bulan ini, seramai 30,000 orang lagi anggota tentera AS ditambah di negara itu untuk jangka tempoh sehingga 2011. Berselindung di sebalik memerangi kumpulan militan terutamanya Taliban dan al-Qaeda yang kononnya semakin aktif,
Obama pastinya lebih mengetahui kehadiran tentera itu di negara berkenaan hanya akan lebih meningkatkan serangan. Taliban yang sebelum ini merupakan pemerintah di negara itu pastinya tidak akan berhenti menyerang kepentingan AS sehingga mereka keluar dari bumi Afghanistan.
Malah di kalangan rakyat Afghanistan sendiri, mereka masih lagi beranggapan bahawa Taliban adalah pemimpin sebenar berbanding Presiden Afghanistan, Hamid Karzai yang sebenarnya lebih kepada boneka AS.
Justeru di mana peranan Obama sebagai seorang yang membawa misi aman dalam dasar luar negara itu di Afghanistan ini? Lebih malang, operasi tentera AS di Afghanistan itu sebenarnya strategi serampang dua mata dalam mengukuhkan kedudukan di Pakistan seterusnya di rantau Asia Selatan.
Di Iraq pula meskipun Obama sudah mengumumkan pengunduran tentera AS secara besar-besaran, namun ia sehingga kini masih menjadi dasar yang penuh teka-teki.
Antara yang dipersoalkan ialah tempoh penarikan semula yang pada asalnya ditetapkan selama 16 bulan tetapi dilanjutkan kepada 23 bulan. Penarikan tentera itu pula tidak sepenuhnya, tetapi hanya di beberapa wilayah dengan pangkalan tentera AS masih kekal beroperasi di Iraq.
Jika diperhatikan, dasar-dasar di bawah Obama sehingga kini sebenarnya tidak banyak berubah daripada apa yang telah dilaksanakan oleh Presiden terdahulu, George W. Bush. Sedangkan Obama sebelum ini dilihat begitu bersungguh-sungguh cuba membezakan corak pemerintahannya dengan Bush.
Jika Bush gila berperang dengan Iraq, apa bezanya dengan Obama yang gila berperang dengan Afghanistan? Sekali lagi, apa maknanya Hadiah Nobel Keamanan itu?
Satu lagi kebijakan dasar luar Obama yang ditunggu oleh dunia ialah pendirian dan komitmennya dalam krisis 60 tahun Asia Barat. Selepas Bush dikritik hebat oleh dunia Islam kerana dikatakan lebih kejam terhadap rakyat Palestin berbanding Israel sendiri, kehadiran Obama mencetus gelombang harapan tinggi dalam usaha damai di rantau itu.
Meskipun tidak pernah memberi isyarat jelas bahawa akan membela nasib rakyat Palestin, namun hubungan rapat Obama dengan Islam menjadi sandaran.
Faktornya ialah nenek dan datuk Obama merupakan Muslim dan dia sendiri pernah menetap dan bersekolah di Indonesia, iaitu negara Islam terbesar di dunia. Namun sehingga kini, tiada satu pun kebijakan luar Obama yang mampu memberi jaminan terhadap berdirinya sebuah negara Palestin yang merdeka.
Malah, tindak-tanduk pentadbiran Obama juga secara jelas lebih menjurus kepada kepentingan Israel termasuk dari sudut hubungan tentera dan ekonomi.
Dalam dasar luar terhadap Iran dan Korea Utara berhubung isu nuklear juga, Obama masih meneruskan pendirian menekan negara berkenaan di sebalik kesediaan mereka membuka pintu kepada pasukan penyiasat memeriksa aktiviti nuklear masing-masing.
Pendirian tegas Obama semakin terserlah selepas kedua-dua negara nuklear berkenaan silih berganti mengadakan ujian peluru berpandu masing-masing yang kejauhannya mampu menjangkau sehingga ke wilayah AS.
Banyak lagi sebenarnya dasar Obama yang tidak selari dengan kriteria yang perlu ada pada penerima Hadiah Nobel Keamanan.
Namun, pertikaian mengenainya tidak mungkin boleh merubah apa-apa dan maruah anugerah itu kini terletak di tangan Obama untuk benar-benar memastikan dunia ini akan lebih aman.

/...

10 Disember 2009

Malaysia taja biasiswa, latih guru selatan Thai

Utusan - 11/12/09
Oleh Zulkiflee Bakar
Najib Tun Razak berjabat tangan dengan Abhisit Vejjajiva selepas Majlis Menamakan Semula Jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa sebagai Jambatan Persahabatan di Jeli, semalam. – UTUSAN/Hafiz Johari
*****

NARATHIWAT 9 Dis. – Malaysia memulakan langkah pertama yang dianggap signifikan dalam membantu penduduk Islam di selatan Thailand apabila mengumumkan penajaan biasiswa dan latihan kepada guru serta pelajar di wilayah berkenaan.
Buat permulaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kesediaan menerima lima guru dari Institut Islam Attakiah, di sini untuk menjalani latihan pembelajaran bahasa Inggeris di institut perguruan di Malaysia.
“Kementerian Pelajaran akan menerima lima guru dari sekolah itu setiap tahun bagi menjalani latihan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melakukan lawatan bersama ke institut berkenaan hari ini.
Lawatan yang dianggap bersejarah itu merupakan salah satu acara dalam rangka lawatan tiga hari Perdana Menteri ke Thailand bermula kelmarin.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kerja Raya, Datuk Saziman Mansor.
Mengenai penajaan biasiswa pula kata Najib, tiga pelajar lulusan sekolah itu akan menikmati kemudahan berkenaan setiap tahun bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas.
“Mereka akan menerima penajaan biasiswa oleh Kerajaan Malaysia melalui Petronas,” katanya.
Dalam ucapan itu juga, Najib berkata, perkembangan pesat yang dilalui oleh Institut Islam Attakiah telah menjadi bukti bahawa pembelajaran dan pengajaran islam adalah satu perkara yang digalakkan oleh kerajaan Thailand.
“Saya amat yakin dan percaya pembelajaran dan pengajaran Islam di sekolah ini dan di selatan Thailand dapat terus dibangunkan berlandaskan kepada dasar yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Thailand dalam perbincangan dengan saya,” katanya.
Atas semangat itu juga kata Perdana Menteri, berikutan permintaan Abhisit, Kerajaan Malaysia akan menimbang untuk membantu sekolah-sekolah agama di selatan Thailand bagi membolehkan ia terus berkembang dari semasa ke semasa.
Mengenai Institut Islam Attakiah, Najib berkata, beliau berbangga kerana sekolah itu yang mempunyai 4,500 pelajar merupakan sekolah agama tersohor di Thailand.

/...

Jangan terperangkap politik DAP

Utusan - 10/12/09
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA shofi.isa@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 9 Dis. – Ahli-ahli UMNO dinasihatkan supaya tidak terperangkap dengan mainan politik DAP yang sengaja mempertikaikan dasar ketuanan Melayu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, DAP sudah ketandusan isu sehingga menimbulkan kembali perkara itu.
“Ini adalah mainan politik DAP yang sekarang sudah kering idea. Jangan sekali-kali kita terperangkap dengan tindakan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan DAP yang terus mempersoalkan ketuanan Melayu dan bertegas akan terus membangkitkan dasar itu yang disifatkan tidak adil untuk kaum lain.
Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran ketika membangkitkan perkara itu baru-baru ini berkata, tindakan tersebut akan terus dilakukan kerana bimbang tentang masa depan hubungan antara kaum di negara ini.
Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mungkin perkataan ketuanan Melayu membawa konotasi yang boleh menimbulkan keresahan, tetapi dari segi sejarah ia tidak boleh diubah.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tindakan DAP yang terus mempersoalkan ketuanan Melayu akan menjejaskan hubungan baik antara kaum yang terjalin sejak sekian lama.
“Saya amat kecewa dengan tindakan DAP ini. Ia jelas sebagai cubaan mereka untuk mewujudkan ketegangan kaum di negara ini,” jelasnya.
Rosnah berkata, tindakan DAP itu tidak menghormati kontrak sosial yang menjadi landasan kepada perpaduan kaum di negara ini.
“Ia merupakan sikap angkuh DAP yang sengaja membangkitkan isu ini bagi menarik perhatian rakyat terhadap mereka.
“DAP tidak sepatutnya membangkitkan isu ketuanan Melayu. Jika mereka masih berdegil ia wajar ditentang supaya perpaduan kaum dalam negara ini tidak terjejas disebabkan tindakan mereka yang mementingkan diri sendiri,” katanya.
/...

Isu bina masjid: Kor Ming dibidas

Utusan - 10/12/09
  • Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyifatkan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming sebagai biadab apabila mengungkit perbelanjaan kerajaan membina masjid di seluruh negara. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan Kor Ming dilihat mahu menyalakan api dalam sekam.
  • Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan Nga Kor Ming jangan membangkitkan sentimen permusuhan antara orang Islam dan bukan Islam. Tegas beliau, kenyataan Kor Ming mempersoalkan kerajaan membina banyak masjid di negara ini terang-terang cuba mengapi-apikan sentimen kebencian antara kaum.

  • Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz menganggap Kor Ming dengan sengaja tidak menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan yang hanya menyediakan peruntukan kepada pembangunan agama Islam. Kata beliau, nampaknya sikap ihsan kerajaan selama ini (peruntukan kepada institusi ibadat agama lain) langsung tidak dihargai.
/...

Nik Aziz sifatkan Mahfuz memandai-mandai

Utusan - 10/12/09
KOTA BHARU 9 Dis. – Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar disifatkan sebagai ‘memandai-mandai’ kerana kembali mencungkil isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, perkara itu telah dibincangkan dan diselesaikan selepas pertemuan dengan pimpinan Pas Pusat baru-baru ini.
Oleh itu katanya, Mahfuz tidak perlu lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak sepatutnya kepada media.
Nik Abdul Aziz berkata, tindakan Mahfuz itu adalah satu kesilapan yang tidak mempunyai strategi dan hanya memberi peluang kepada UMNO untuk ‘berpesta’.
“Ucapan Mahfuz itu betul-betul memberi peluang kepada UMNO untuk berpesta. Itu kesilapan dia kerana ini benda yang sudah disiar dan dibincangkan, kenapa tidak berjumpa saya.
“Kalau benda ini belum siap lagi, dia boleh bercakap tetapi ia sudah selesai dengan pejabat agung (kepimpinan Pas pusat).
“Tetapi dia bercakap dengan umum juga, dia pandai-pandai. Itu tidak ada strategi,” katanya kepada para pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena telah meminta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang juga menantu Nik Abdul Aziz melepaskan jawatannya dengan segera bukannya menunggu sehingga Mac tahun depan.
/...

9 Disember 2009

Anwar guna Melayu hancur Melayu?

Utusan - 09/12/09
KUALA LUMPUR 8 Dis. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menggunakan orang Melayu untuk menghancurkan sendiri orang Melayu.
Anuar Shaari yang pernah menjadi Setiausaha Sulit Anwar berkata, walaupun begitu, masih ada yang tidak menyedari gerakan liciknya itu mampu menghancurkan bangsa tersebut dan Islam.
“Dia sememangnya licik mengatur strategi politik sehingga menyebabkan sebilangan orang Melayu menjadi begitu taksub kepadanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bahawa orang Melayu akan hancur jika terus menyokong Anwar dan konco-konconya.
Ibrahim berkata, Anwar sanggup menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada Pas dan DAP tanpa memikirkan kepentingan dan nasib orang Melayu dan Pas.
Anuar menambah, setelah Anwar dibebaskan dari penjara pada 2004, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjaya mencabut akar orang Melayu di dalam PKR.
“Dia mengatakan PKR adalah parti pelbagai kaum dengan berteraskan orang Melayu tetapi selepas 2004, itu semua telah bertukar,” katanya.
Anuar memberitahu, ketika berceramah di hadapan orang Melayu, pemimpin pembangkang itu menunjukkan dirinya sebagai juara kepada kaum itu menyebabkan mereka percaya setiap apa yang dikatakannya.
“Tetapi apabila di depan kaum lain, Anwar cakap lain. Dia memang pandai menggunakan kebolehan perhubungan awamnya itu,” katanya.
Katanya, Anwar sanggup melakukan apa sahaja cara untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Sebab itu dia akan berusaha walau apa cara sekalipun. Hubungannya dengan beberapa pihak di luar negara juga amat jelas walau sebanyak mana dia nafikan. Itu semua untuk kepentingan peribadinya,” katanya.
Sehubungan itu, Anuar menasihatkan orang Melayu yang masih percayakan Anwar supaya sedar dan meninggalkannya.
/...

Kor Ming persoal kerajaan bina banyak masjid

Utusan - 09/12/09
KUALA LUMPUR 8 Dis. – Seorang ahli Parlimen DAP hari ini mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 buah masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008 sedangkan pada masa sama kerajaan gagal membina rumah ibadat bagi agama lain untuk tempoh yang sama.
Ahli Parlimen Taiping yang juga Timbalan Bendahari Agung DAP, Nga Kor Ming berkata, walaupun mengalu-alukan usaha kerajaan memartabatkan agama Islam tetapi pada masa sama berasa kesal kerana rakyat bukan Islam telah dianaktirikan sedangkan mereka juga adalah pembayar cukai.
Beliau yang juga Setiausaha DAP Perak berkata, sebab itu kerajaan Pusat harus belajar daripada kerajaan campuran DAP, Pas dan PKR di Perak dahulu serta kerajaan Pas Kelantan yang membenarkan pembinaan tokong terbesar di Asia Tenggara walaupun turut memartabatkan Islam.
“Dan kerajaan pakatan pembangkang di Perak ketika memerintah dulu banyak menawarkan tapak tanah kepada kuil-kuil Hindu, gereja dan tokong supaya rakyat penganut agama tersebut tidak merana dan berasa terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang diedarkan di pusat media Parlimen di sini hari ini.
Menurut Kor Ming, walaupun kerajaan menguar-uarkan slogan 1Malaysia namun adalah jelas gagasan tersebut adalah janji manis yang berupa cakap kosong sahaja.
Katanya, ini berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop terhadap soalan dikemukakan beliau bahawa kerajaan telah menggunakan tabung wang rakyat sebanyak RM748.26 juta untuk membina masjid melalui peruntukan khas Perdana Menteri.
‘‘Bagaimanapun tidak ada perancangan yang bersistem, struktur dan agihan peruntukan adil diberikan kepada penganut agama bukan Islam.
‘‘Menurut jawapan kerajaan, kerajaan Persekutuan hanya memperuntukkan RM9 juta untuk bantuan kepada semua institusi ibadat bukan Islam dalam tempoh 2003 hingga 2008 iaitu satu jumlah 1.2 peratus sahaja,” jelasnya.
Kor Ming menegaskan, prinsip pertama Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan dan oleh itu semua rakyat Malaysia termasuk rakyat bukan beragama Islam harus menerima ajaran agama yang betul.
Menurut beliau, justeru adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu pembangunan pendidikan rohani rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam juga.
‘‘Semua rakyat adalah pembayar cukai, adalah tidak adil penganut agama bukan Islam dianaktirikan,” jelasnya.
/...

‘DAP jangan ungkit lagi’

Utusan - 09/12/09
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 8 Dis. – Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) memberi amaran tegas kepada DAP supaya tidak lagi mengungkit soal ketuanan Melayu kerana jika ia diteruskan parti itu akan mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu.
Presidennya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, orang Melayu sejak dulu lagi tidak pernah menyentuh soal perkauman, apatah lagi menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan kaum lain.
Sehubungan itu, tegasnya, sekiranya terdapat orang Melayu di dalam pakatan pembangkang yang turut menyokong tindakan para pemimpin DAP itu, PPPMM percaya orang Melayu akan terus mengutuk dan menentang mereka.
‘‘Kalau ada orang Melayu yang sokong DAP seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas, mereka itu orang yang bodoh, tidak ada akal lagi, sudah lupa daratan dan meletakkan otak di kepala lutut. Adakah mereka juga dah jadi bingung seperti pemimpin DAP?
‘‘Ini perkara berat (serius), DAP kena ingat, orang Melayu yang buka tanah Melayu ini. Maka, jangan sentuh kita, kalau dia sentuh lagi dan ada perkara yang tak diingini berlaku DAP yang harus dipersalahkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan DAP yang terus mempersoalkan perihal ketuanan Melayu dan bertegas akan terus membangkitkan dasar itu yang disifatkan tidak adil untuk bangsa-bangsa lain.
Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran yang menegaskan perkara itu berkata, tindakan tersebut terus dilakukan kerana bimbang tentang masa depan hubungan antara kaum di negara ini.
Kamarudin menambah, sepatutnya ahli-ahli DAP yang merupakan anak kelahiran Malaysia dan memperjuangkan nasib rakyat tidak tergamak untuk menyuarakan soal itu.
‘‘Kita semua sudah lama tinggal secara berbilang kaum dan bertoleransi sesama kita, tetapi kenapa masih berdegil menimbulkan soal sensitif itu,’’ katanya.
/...

8 Disember 2009

Ragut: Suami maut, isteri parah

Utusan - 08/12/09
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED jenayah@utusan.com.my
Jenayah ragut yang berlaku tanpa mengenal sesiapa terus mengakibatkan insan tidak berdosa menjadi mangsa dan lebih malang ada nyawa menjadi korban. Dalam kejadian di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, semalam, seorang mangsa, Abdul Rahman Mohd. Kaladin, 34, maut manakala isterinya, di atas pengusung cedera parah akibat jenayah tersebut. - utusan/MOHD HATIM MAZLAN
*****

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kekejaman jenayah ragut seolah-olah tidak ada penghujungnya dengan mangsanya tidak mengenal usia.
Kurang dua minggu lalu seorang warga emas berusia 66 tahun maut setelah terjatuh daripada motosikal yang dibonceng akibat diragut di Alor Setar.
Hari ini jenayah ragut itu meragut pula nyawa seorang lelaki selain mencederakan isterinya di Jalan Jejaka di sini.
Ketika kejadian pada pukul 3.30 petang ini, mangsa, Abdul Rahman Mohd. Kaladin, 34, serta isterinya yang juga berusia 34, baru keluar daripada pusat beli-belah Jaya Jusco Taman Maluri di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai telah dihimpit dua lelaki.
"Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z telah menghimpit kenderaan mangsa untuk meragut sebelum pasangan itu hilang kawalan dan memasuki Jalan Perkasa 1.
"Namun semasa membelok masuk ke jalan itu, motosikal mangsa telah merempuh pagar simen sebuah rumah sebelum tercampak ke tepi jalan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Penjenayah terbabit dikatakan sempat melarikan seutas rantai leher milik isteri mangsa.
Tambahnya, ketika kejadian terdapat seorang saksi cuba mengejar suspek, namun kedua-dua penjenayah itu sempat melarikan diri ke arah Jalan Perkasa 1.
Ekoran rempuhan itu Ahmad Amir memberitahu, mangsa yang tinggal di Kampung Pandan mati di tempat kejadian manakala isterinya cedera parah.
/...

Mengenali Bandar Warisan Kolonial Kuala Lipis

Bernama(Rencana) - 02 Disember, 2009 15:01 PM
Oleh Wan Nor Azura Mior Abd Aziz
KUALA LIPIS, 2 Dis (Bernama) -- Daerah Lipis di Pahang mengangkat beberapa aspek penting dalam sejarah negeri dan negara. Selain bandarnya merupakan bekas ibu negeri Pahang dan pusat pentadbiran negeri, daerah ini juga rumah bagi beberapa nama besar Malaysia. Antara nama-nama terkemuka ini ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Muhamad Ghazali Shafie (bekas menteri Hal Ehwal Dalam Negeri), Wartawan/penulis dan aktivis politik (allahyarham) Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako, chef selebriti Redzuwan Ismail (Chef Wan) dan penyanyi kesayangan negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Kepada tetamu ke daerah ini, nama-nama ini disebut sebagai produk kebanggaan Lipis. Semasa lawatan Program Kembara Media 2009 ke sini baru-baru ini, rombongan itu dibawa ke rumah keluarga Siti Nurhaliza. Di rumah itu, tetamu dihidangkan nasi lemak dan kuih-muih tradisional seperti kuih koci dan karipap yang dimasak sendiri oleh ibu Siti Nurhaliza, Siti Salmah Bachik. Hidangan itu, menurut ibu Siti yang lebih mesra dengan panggilan "Mak Mah", ialah makanan yang pernah dibawa Siti Nurhaliza berjual semasa zaman beliau bersekolah. Kembara media itu membawa seramai 22 wartawan ke Kuala Lipis, ibu negeri Pahang dari 1898 hingga 1953 sebelum Kuantan diiktiraf sebagai pusat pentadbiran negeri pada 27 Ogos 1955.
DAERAH LIPIS
Lipis, daerah ketiga terbesar di Pahang selepas Jerantut dan Rompin, mempunyai keluasan 527,861 hektar. Sebahagian kawasannya dilitupi alam semula jadi hutan simpan, kawasan hidupan liar, air terjun, jeram, tasik, gua dan gunung.Pegawai Daerah Lipis, Datuk Abu Jamal Nordin berkata Lipis mempunyai pelbagai produk pelancongan termasuk bangunan bersejarah yang dibina pada akhir 1880-an sehingga 1900 pada zaman pemerintahan British.
Sekurang-kurangnya ada 14 bangunan bersejarah di Lipis antaranya bangunan pentadbiran Daerah Lipis dibina pada 1919, Sekolah Menengah Clifford pada 1913, pejabat pos 1910, rumah kediaman bekas Setiausaha Kerajaan dan Masjid Negeri pada 1888 yang masih kekal yang dihasilkan oleh arkitek tempatan, Cina, India dan Arab.
"Bagi menambah baik dan menjadikan bandar warisan ini tumpuan pelancong, sebanyak RM50 juta setahun diperuntuk Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri bagi projek pembangunan secara menyeluruh," kata Abu Jamal.
Bagaimanapun tahun ini Kementerian Pelancongan menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi pembangunan produk pelancongannya, katanya kepada Bernama selepas taklimat kepada media mengenai Pembangunan Pelancongan Lipis.
Kuala Lipis sendiri mempunyai banyak bangunan dengan seni bina menarik yang boleh dijadikan produk pelancongan.
MASJID NEGERI (MADRASATHUL FIRDAUS)
Masjid Negeri yang juga dikenali sebagai Madrasathul Firdaus merupakan bangunan tertua di bandar Kuala Lipis dan dibina pada tahun 1888 oleh saudagar Arab Yaman yang bernama Habib Hassan. Reka bentuknya mempunyai identiti seni bina Melayu Nusantara dan persamaan pada pengaruh Minangkabau.
Menurut seorang penduduk, Zaki Che Rahmat, satu daripada keistimewaan Masjid Negeri itu ialah ia tidak pernah ditenggelami banjir walaupun Kuala Lipis beberapa kali dilanda banjir besar.
Walaupun kedudukannya di tebing Sungai Jelai, Masjid Negeri ini tidak terjejas semasa banjir besar melanda pada tahun 1971, menurut Zaki yang menetap di Kuala Lipis lebih 60 tahun.
BANGUNAN BEKAS SUK PAHANG
Sebuah rumah bekas kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur terletak di atas Bukit Bius, Kuala Lipis. Di sinilah tempat lahir Perdana Menteri Keenam Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.Rumah bersejarah ini siap dibina pada tahun 1920 dan pernah menjadi kediaman rasmi Menteri Besar Pahang.
Bapa Najib, Perdana Menteri Kedua (allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein pernah tinggal di sini semasa menjadi setiausaha kerajaan negeri Pahang.Bidan kerajaan Hospital Lipis menyambut Najib semasa dilahirkan di rumah ini.
PAHANG CLUB
Kembara Media itu turut dibawa melawat Pahang Club, sebuah daripada bangunan jajahan yang terawal dibina di Pahang. Penjajah British membina bangunan itu pada tahun 1907 sebagai kediaman Hugh Clifford yang pada ketika itu memegang jawatan Suprintenden Ulu Pahang yang menetap di Kuala Lipis.
Apabila Residen British itu berpindah ke Rumah Residensi pada tahun 1922, rumah kelab itu didiami Inspektor Polis British negeri hingga tahun 1926.Pada pertengahan tahun 1926, rumah kelab ini ditinggalkan dan kemudian kerajaan Inggeris menjadikan rumah itu sebagai kelab khas untuk pegawai-pegawai tinggi British.
Pada tahun 1957, keanggotaan kelab ialah hanya untuk orang kenamaan, orang British dan pegawai tinggi kerajaan, tetapi selepas negara mencapai kemerdekaan, keanggotaannya dibuka kepada semua termasuk rakyat tempatan.
PEJABAT POS
Keunikan bangunan Pejabat Pos Kuala Lipis ialah ia berbentuk bersegi dan bersifat simeteri di mana terdapat sebuah tangga yang berbentuk geometri di bahagian belakangnya.P
ejabat pos yang dibina pada 1910 itu mempunyai keunikan pada bumbung, tingkap dan tangga dan menjalani pelbagai pengubahsuaian hinggalah dinaik taraf pada 2002.
Satu lagi tempat bersejarah yang unik di Lipis ialah batu bertanda kosong yang terletak berdekatan Pejabat Pos di tengah-tengah bandar Kuala Lipis.
Batu yang yang terletak di tepi jalan utama Lipis-Jerantut, menandakan permulaan sukatan jarak bagi negeri Pahang, di mana perkiraan kosong bermula dari Kuala Lipis.
Batu itu dipercayai merupakan pusat bagi Semenanjung Malaysia jika diukur dari satu sudut Garis Pusat.
Bagaimanapun Jabatan Ukur Dan Pemetaan mengesahkan Batu GPS (Global Positioning System) merupakan batu tanda pengukuran yang digunakan oleh jabatan itu.
SEKOLAH MENENGAH CLIFFORD
Para wartawan turut dibawa melawat Sekolah Menengah Clifford, sekolah Siti Nurhaliza semasa remaja, yang pada mulanya dikenali sebagai Government English School.Sekolah itu dibuka pada tahun 1913 dan dinamakan sempena Sir Hugh Clifford, bekas residen British Pahang yang merasmikan sekolah itu pada 1929.
Nama Sekolah Menengah Clifford juga tercatat dalam sejarah sebagai sekolah yang pertama mengadakan School Certificate Class dalam tahun 1936.
Ketibaan anggota media disambut dengan senyuman oleh Pengetua Kanan SMK Clifford, Datin Ragayah Omar yang memberi penerangan mengenai sejarah serta pencapaian terkini sekolah yang menjadi kebanggan rakyat Lipis ini.
Katanya Sekolah Menengah Clifford diisytiharkan Kementerian Pelajaran sebagai sebuah daripada sekolah utama di Malaysia pada tahun 1996. Setahun kemudian menjadi perintis Sekolah Indera Shahbandar Pahang yang mengambil pelajar terpilih tingkatan 4 terpilih dari Sekolah Menengah Clifford.
Di zaman pemerintahan Jepun, sekolah ini dijadikan markas tentera Jepun dan Ibu pejabat Kempetai. Rombongan media turut dibawa melawat sebuah bilik darjah yang pernah dijadikan sebagai bilik tahanan dan penyeksaan sebelum tahanan dikatakan dihantar ke Melaka.Kini bilik itu dijadikan bilik darjah pelajar Tingkatan Enam.
STESEN KERETA API KUALA LIPIS
Perkhidmatan kereta api yang mula beroperasi pada tahun 1926, merupakan jalan darat yang pertama diperkenal di Kuala Lipis di mana sebagai permulaan ia hanya menghubungkan Kuala Lipis ke Johor Baharu di selatan, Chegar Perah di utara dan ke Tumpat, Kelantan.
Ketika zaman pendudukan Jepun dahulu, landasan kereta api yang dibina pada 1920 oleh kerajaan British digunakan sebagai laluan untuk mengangkut tentera Jepun ke Selatan untuk menawan Singapura.
Selain ia penting sebagai pengangkutan utama penduduk setempat, sebahagian besar hasil ekonomi daerah Lipis juga disalurkan melalui perkhidmatan ini seperti emas dan bijih.
KESIMPULAN PROGRAM KEMBARA DAN PERANCANGAN
Menurut Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Zukri Valenteno, program Kembara Media itu bertujuan membawa wakil media melihat hasil pembangunan yang dijalankan kerajaan negeri di Lipis.
Program yang memberi peluang kepada wakil media mengenali lebih dekat bandar warisan sejarah Kuala Lipis itu bertujuan untuk memberi maklumat kepada rakyat akan pembangunan yang dijalankan serta usaha menarik pelancong ke Pahang.
Program tiga hari yang bermula 15 Nov itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Penerangan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Majlis Daerah Lipis.
/...

Ketuanan Melayu terus dipersoal pembangkang

Utusan - 08/12/09
KUALA LUMPUR 7 Dis. - Di sebalik pelbagai reaksi membantah tindakan pemimpin DAP mempersoalkan perihal ketuanan Melayu, parti itu bertegas akan terus membangkitkan dasar itu yang disifatkan tidak adil untuk bangsa-bangsa lain.
Perkara itu ditegaskan Naib Pengerusi DAP, N. Kulasegaran sambil disokong Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini.
Kulasegaran mendakwa, tindakan beliau membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat baru-baru ini adalah kerana bimbang tentang masa depan hubungan antara kaum di negara ini.
Katanya, beliau tidak faham mengapa setelah bertahun lamanya masih ada kelompok manusia percaya kepada warna kulit atau penampilan yang lebih tinggi daripada satu kaum yang lain.
''Pandangan saya polisi ketuanan Melayu bertentangan dengan 1Malaysia dan tidak mencerminkan kesejahteraan rakyat negara ini dan sebab itu soalan saya sama ada parti politik MCA, Gerakan turut bersetuju dengan polisi itu," katanya.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga menegaskan beliau tidak akan melepaskan kerakyatan Malaysia dan pulang ke India seperti yang dituntut Gagasan Melayu Perak (GMP) dalam demonstrasi mereka Sabtu lalu.
''Awak (media) pergi beritahu mereka (GMP) saya tidak akan serahkan kerakyatan, saya rakyat Malaysia sepenuhnya dan satu lagi, saya tak takut sesiapa pun," tegasnya.
Gagasan Melayu Perak (GMP) Sabtu lalu menyerahkan memorandum kepada Kulasegaran dengan menggesa beliau mempertahankan hak-hak orang Melayu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara.
Menurut GMP, mereka kecewa dengan tindakan DAP yang tidak henti-henti mempersoalkan hak ketuanan Melayu termasuk terbaru oleh Kulasegaran sehingga menimbulkan perasaan tidak tenang di kalangan orang Melayu.
Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham ketika mengulas isu yang sama berkata, desakan GMP supaya Kulasegaran meninggalkan negara ini dan pulang ke India adalah pandangan kumpulan Melayu ekstrem dan berbaur hasutan.
Sehubungan itu, katanya, gesaan ekstrem pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu harus dikecam oleh semua parti politik termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya dapat diwujudkan budaya politik yang lebih sihat.
''Isu ketuanan Melayu tidak patut diteruskan kerana bila kita cakap tentang ketuanan sesuatu bangsa sahaja, ini menunjukkan bangsa lain tidak penting.
''Sedangkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas) kata kita semua datang daripada satu, Adam dan Hawa.
''Dan pada saya sebelum kita Kristian, Hindu atau Muslim kita adalah manusia dahulu. Agama dan bangsa datang selepas itu dan untuk mewujudkan kedamaian kita kena layan manusia lain seperti mana kita nak orang layan kita," ujarnya.
/...

Benih orkid terbaik di Ayer Hitam

Utusan - 08/12/09
MOHAMED Ismail Jaafar kini menanam 10,000 pohon orkid daripada lapan jenis terpilih di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang.
*****

KLUANG 7 Dis. - Penggemar orkid yang ingin mendapatkan benih terbaik boleh berkunjung ke Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, dekat sini.
Projek pertanian itu yang telah mengadakan ekspo baru-baru ini, memberikan peluang kepada pengunjung melihat kegiatan 30 usahawan yang mengusahakan pelbagai tanaman dan ternakan.
Antara yang menarik dikunjungi adalah tanaman orkid.
Di kawasan seluas 4,000 hektar itu, terdapat 10 pengusaha tanaman orkid yang menanam pelbagai jenis orkid bermutu.
Salah seorang pengusaha orkid terkenal di situ Mohamed Ismail Jaafar, 46, berkata, di kebun orkid yang diusahakannya, pelbagai spesies orkid dipamerkan.
"Dengan keluasan itu saya kini menanam lapan jenis orkid terpilih dengan 10,000 pohon orkid.
''Daripada jumlah itu 8,000 pohon telah matang dan sebahagian besar orkid berkenaan untuk tujuan eksport," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kata Mohamed Ismail, projek yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri itu, memberi peluang kepadanya menjadi usahawan berwibawa.
Katanya, ternyata segala usaha yang lakukan selama dua tahun dalam projek berkenaan mampu memberi pulangan yang cukup lumayan.
Hakikat itu, katanya, dapat dibuktikan dengan 8,000 pohon orkid yang telah matang, dan dia kini mampu peroleh pendapatan sekitar RM4,000 sebulan.
"Apa yang saya hendak kongsi bersama pengunjung adalah mereka boleh melihat teknologi yang kami gunakan di samping boleh beli benih terbaik serta bunga orkid yang digemari.
"Mereka juga boleh mempelajari cara mengusahakan orkid secara komersial, kerana bidang ini amat kurang diceburi oleh bumiputera," katanya.
Mengenai benih orkid, Mohamed Ismail berkata, benih berkualiti itu diperoleh dari Thailand.
Katanya, antara spesies orkid yang dimiliki ialah dendrubium, mokara, aramthera, vanda dan banyak lagi.
Sehubungan ini, katanya, mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai orkid boleh menghubunginya di talian 019 7107271.
/...

7 Disember 2009

Pemerhati bebas: Tun M tempelak Anwar Ibrahim

Utusan - 07/12/09
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempelak kerana menuduh negara ini tidak mengamalkan sistem pilihan raya yang telus hingga memerlukan pemerhati bebas asing.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bekas timbalannya memang terlalu mengagungkan bangsa asing serta merendahkan kebolehan bangsa sendiri.
Beliau menegaskan, lebih dikesalkan, Anwar sanggup bersikap demikian walaupun menikmati pelbagai keistimewaan hasil komitmen kerajaan membangunkan modal insan tempatan.
''Dia (Anwar), kalau orang putih dia percayalah... Orang Melayu dia tak percaya,'' katanya dalam nada sinis kepada pemberita selepas merasmikan Hari AIDS Sedunia di kompleks beli-belah Wangsa Walk di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Anwar supaya Australia menghantar satu pasukan pemerhati bebas bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang mungkin diadakan antara tahun 2012 atau 2013.
Anwar ketika ditemu bual oleh akhbar tempatan Australia pada 3 Disember lalu mendakwa, pasukan pemerhati bebas itu penting kerana sistem pilihan raya negara ini masih memperlihatkan beberapa kekurangan yang tidak memihak kepada pakatan pembangkang.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, perlu ada suatu kajian mendalam sebelum kerajaan melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mengelakkan ia menjadi beban kepada rakyat.
''Perjumpaan dan rundingan secara bersama dengan pihak terbabit (sektor korporat) juga perlu lebih mendalam.
''Ini penting kerana kita tidak mahu sebarang pembaharuan yang dilakukan nanti dipersoal. Malah, lebih penting mengelakkan ia daripada menjadi sesuatu yang tidak dapat ditanggung rakyat,'' katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu bagaimanapun memberi jaminan bahawa GST yang bakal diperkenalkan tahun depan tidak akan membebankan orang ramai kerana barangan keperluan harian terkecuali daripada cukai tersebut.
Terdahulu, semasa merasmikan Hari AIDS Sedunia, Dr. Mahathir menyeru semua pihak supaya memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat supaya menjauhi aktiviti kurang sihat yang boleh menyebab penularan HIV.
Katanya, di kebanyakan negara Afrika, HIV dan AIDS telah menjadi satu pandemik akibat kurangnya pendidikan mengenai bahaya penyakit tersebut.
''Negara ini walaupun HIV dan AIDS belum sampai ke peringkat itu (pandemik) tetapi jumlah pengidapnya meningkat saban hari.
''Kunci utama bagi menangani masalah ini ialah melalui pendidikan. Ini kerana AIDS kita boleh kenal pasti punca-punca tidak seperti pandemik yang lain,'' jelasnya.
/...

PM gembira Piala Monsun ditonton 1 bilion orang

Utusan - 07/12/09
KUALA TERENGGANU 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak gembira dengan sambutan terhadap penganjuran kejohanan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong di sini yang berakhir hari ini.
Perdana Menteri berkata, kejohanan tersebut telah menarik kira-kira satu bilion penonton dari seluruh dunia yang menyaksikan kejohanan itu menerusi televisyen.
Berdasarkan sambutan positif itu, kata beliau, kejohanan berprestij itu akan diteruskan sehingga 2012 yang mana kontrak penganjurannya berakhir.
Menurutnya, selepas tarikh itu, kerajaan akan menyerahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya kejohanan tersebut.
''Alhamdulillah, saya nampak Piala Monsun dapat sambutan kian meningkat dan saya berbual dengan pihak penganjur, mereka dapati kualiti penyertaan bertambah dan Piala Monsun dijadikan acara kelayakan amat penting.
''Kita lihat dari segi bilangan yang menonton menerusi televisyen mencecah satu bilion di seluruh dunia.
''Ini tentu sekali menunjukkan Piala Monsun mendapat sambutan di persada antarabangsa dan berharap peserta tempatan dapat beri saingan pada kejohanan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan penyerahan Bantuan Ihsan Bencana Banjir peringkat daerah Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang mewakili Menteri Besar Terengganu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong.
Menurut Perdana Menteri, Piala Monsun kali ini juga berjaya membantu juragan pasukan Black Match Racing iaitu Adam Minoprio yang menjadi juara baru dunia hasil kejayaan pada pusingan kelayakan di Kuala Terengganu.
''Dia tak mungkin dapat jadi juara dunia, jadi menerusi Piala Monsun ini, kita berjaya lahirkan pemenang atau juara dunia ini," kata beliau.
Kemenangan itu membolehkan pelayar dari New Zealand berusia 24 tahun itu dinobatkan sebagai juara WMRT ISAF dengan mengumpul 138 mata selepas melalui sembilan sirkit jelajah dunia itu.
/...

'Tuhan suruh berdoa yang baik-baik, bukan yang buruk'

Utusan - 07/12/09
KUALA TERENGGANU 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perbuatan mendoakan keburukan terhadap seseorang adalah tidak wajar dan bertentangan dengan ajaran Islam.
''Kita ni orang Islam, Tuhan suruh berdoa yang baik-baik dan bukan doa yang buruk kepada seseorang.
''Ini tak betul pada ajaran Islam," kata Perdana Menteri semasa berucap pada majlis Penyerahan Bantuan Ihsan Mangsa Banjir Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, di sini, petang ini.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md.Zin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokthar Nong, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.
Sebanyak 363 mangsa banjir menerima bantuan dalam majlis itu.
Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta orang ramai mendoakan kemusnahan ke atas Perdana Menteri.
Tindakan itu dikaitkan dengan isu pembayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri itu.
Sementara itu ketika ditanya semasa sidang akhbar kemudian mengenai kewajaran di sebalik 'doa bala' oleh Nik Abdul Aziz, Najib berharap para pemberita faham dengan kenyataan tersebut.
'' Faham-faham sahajalah," kata Najib sambil tersenyum.
/...

6 Disember 2009

Dosa komunis tidak diampun

Utusan (Rencana) - 06/12/09
Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
SELEPAS hampir setengah abad Darurat berakhir dan dua dekad pula Parti Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata dalam rundingan damai di Hatyai, Thailand luka yang ditinggalkan komunis cukup sukar dilupakan. Komunis telah melukakan bangsa apabila bercita-cita memerintah negara, kekejaman menjadi kaedahnya.
Kekejaman yang menjadikan semua nyawa rakyat begitu murah di tangan komunis dan pembunuhan terhadap mereka yang tidak berdosa berlaku di mana-mana saja. Ini yang membuatkan semua lapisan rakyat tidak mungkin melupakan penderitaan yang ditinggalkan oleh komunis kepada nenek moyang mereka.
Komunis menjadi lebih kejam daripada penjajah yang silih berganti bertandang di negara ini. Kerakusan untuk menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai wilayah komunis. Ini juga membuatkan komunis memilih pendekatan kekerasan bagi menjadikan Malaya sebagai negara komunis.
Perihal kekejaman dan kejahatan komunis di Malaya waktu itu diperkatakan dalam banyak buku yang ditulis berdasarkan kajian ilmiah dan juga pengalaman penulis. Misalnya Communism and the Emergency oleh Anthony Short. Buku ini menyentuh tentang usaha membanteras kegiatan komunis dan juga rundingan di Baling.
The Communism Strunggle in Malaya oleh Gene Z. Hanrahan, Hearts and Minds in Guerrilla Warfafe: The Malayan Emergency 1948 - 1960 oleh Richard Stubbs , Operation Ginger oleh Yuen Yuet Leng, Darurat 1948 - 1960 oleh Ho Hui Ling dan berbelas lagi buku yang semuanya mendedahkan keganasan serta kekejaman komunis terhadap rakyat tempatan.
Semua kajian dalam buku-buku berkenaan menjadi bukti bahawa komunis membawa kesengsaraan kepada rakyat di sebalik slogan perjuangan untuk keadilan kesaksamaan. Perjuangan menuntut kemerdekaan hanya eksploitasi komunis yang hakikatnya untuk berkuasa dan mengembangkan wilayah komunis yang berpangkalan di China.
Malah daripada buku-buku ini juga didedahkan bagaimana angkara komunis telah mencetuskan keadaan sosiopolitik yang penuh kacau bilau. Hubungan kaum penuh prejudis apabila ada kaum yang sinonim dengan komunisme dan kaum lain mencurigainya.
Walaupun hari ini negara sudah bebas daripada ancaman komunis tetapi parut dan trauma generasi lama turut dirasakan oleh generasi masa kini. Komunis tidak memilih mangsa; Melayu, Cina atau India menjadi mangsa mereka sekiranya tidak berkerjasama memberikan bahan makanan atau turut berjuang menentang kerajaan.
Generasi selepas merdeka wajar berterima kasih kepada pengarah filem Tan Sri Jins Shamsuddin yang menzahirkan bayangan kekejaman komunis menyerang balai polis Bukit Kepung di Muar. Tragedi berdarah pada 22 Februari 1950 itu dilakar semula menerusi filem Bukit Kepong dan igauan ngeri generasi era Darurat terpancar.
Kekejaman
Biarlah apa saja dilabelkan pengkritik terhadap filem Bukit Kepong, tetapi tidak boleh menafikan bahawa filem ini menyelak satu sejarah kekejaman paling tragis pada zaman Darurat.
Suatu yang pasti komunis tidak meninggalkan setitis pun catatan manis kepada rakyat, sebaliknya meninggalkan selautan sengsara yang menghantui hidup sepanjang hayat. Misalnya antara tahun 1948 hingga 1952, komunis telah membunuh tidak kurang 2,599 orang awam yang sebahagian besarnya orang Cina. Sepanjang Darurat pula, mengikut statistik sebanyak 1,865 perajurit terbunuh sementara 2,560 perajurit dicederakan oleh komunis. Bayangkan kekejaman mereka.
Komunis adalah bala kepada negara, rakyat dan kemanusiaan di negara ini. Kerana itu jangan menganggap tragedi yang telah lama berlaku akan dilupakan dan rakyat sedia memaafkan mereka yang bersekongkol dengan komunis.
Baru-baru ini bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng berhasrat untuk kembali ke negara ini, negara kelahirannya selepas lebih setengah abad melarikan diri ke luar negara. Chin Peng berhasrat mahu mati di negara kelahirannya. Tetapi hasrat Chin Peng ditentang oleh pelbagai lapisan dan kaum.
Pada masa ini Chin Peng sudah tidak berguna kepada sesiapa, apa lagi PKM sudah lama berkubur. Sementara komunisme pula menjadi ideologi muflis selepas runtuhnya negara-negara blok komunis di Eropah Timur dan sistem komunis di China sudah berubah. Jadi Chin Peng tidak berguna kepada sesiapa. Kepada negara ini, Chin Peng bukan saja tidak berguna tetapi juga merobek parut luka yang lama.
Anak kelahiran Setiawan, Perak ini menjadi paksa kejahatan yang digerakkan menerusi PKM. Darurat terpaksa diisytiharkan pada 1948 hingga 1960 sebagai satu jalan akhir untuk memerangi PKM yang bergerak secara aktif di hutan-hutan dan tali barut mereka di pinggir-pinggir bandar.
Walaupun ideologi komunis telah tersebar ke negara ini sejak awal tahun 1920-an lagi tetapi pada 1948 komunis menjadi semakin ganas. Ini dianggap sebagai kemuncak gerakan bersenjata komunis yang mahu merebut negara ini daripada British selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua. British tidak mempunyai pilihan kecuali melancarkan gerakan pembanterasan secara besar-besaran apabila negara diletakkan dalam Darurat.
Sejarah pula menunjukkan pendatang Cina pada dekad 1920-an yang menjadi ahli parti Kuomintang (KMT) memperkenalkan ideologi komunis di negara ini. Pada masa yang sama juga pemimpin-pemimpin komunis Indonesia seperti Tan Malaka, Alimin, Winanta, Boedisoejitro menyebarkan ideologi komunis di negara ini selepas penduduk di pulau Jawa menolak komunis.
Tetapi dalam tempoh Darurat antara 1948 hingga 1960 dianggap banyak mengorbankan nyawa rakyat yang tidak berdosa kerana angkara komunis. Mereka menjadi tempat komunis melepaskan kemarahan kepada British. Sejumlah besar harta benda pula menjadi abu apabila komunis mengambil pendekatan musnah dan bakar kampung-kampung Melayu dan juga Cina yang tidak memberi kerjasama kepada perjuangan mereka.
Darurat menjadi satu fragmen penting dalam sejarah sosiopolitik negara ini. Darurat juga mencetuskan ketegangan dalam hubungan kaum akibat rakyat hidup dalam kemiskinan dan ketakutan. Mereka boleh saja dibunuh bila-bila masa dan di mana-mana saja.
Komunis telah memberikan trauma yang cukup hebat kepada rakyat. Kekejaman yang dilakukan atas alasan perjuangan menentang penjajah British lebih banyak mengorbankan rakyat berbanding penjajah.
Siapa yang boleh melupakan tragis dan kejamnya pembunuhan yang dilakukan komunis dalam tragedi Bukit Kepong yang mengorbankan 23 orang anggota polis dan keluarga? Begitu juga dengan tragedi mengebom di Dewan Cina di Hale Street, Ipoh pada 10 April 1949 ketika mesyuarat MCA berlangsung. Presiden MCA Tan Cheng Lock cedera parah dalam serangan yang dilakukan kerana dendam terhadap MCA dan Tan Cheng Lock yang menjadi penghalang pergerakan komunis.
Akibat keganasan dan kekejaman komunis terhadap rakyat terutama di kampung-kampung, perintah Darurat juga mendatangkan satu lagi keperitan kepada orang awam. Sepanjang Darurat, perintah berkurung dan pemindahan telah mendatangkan kesusahan kepada orang awam.
Walaupun Darurat ditamatkan pada 31 Ogos 1960 tetapi ini bukanlah petanda negara telah bersih daripada anasir komunis yang mengalih operasi di sempadan Thailand. Sepatutnya masa dan wang yang diperuntukkan untuk memerangi komunis boleh digunakan untuk memberi pembangunan kepada rakyat selepas negara mencapai kemerdekaan.
Tetapi disebabkan kegiatan komunis masih menganggu dan menimbulkan ketakutan kepada rakyat, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukkan yang besar untuk membanteras anasir komunis. Serang hendap terhadap pasukan keselamatan terus berlaku selepas Darurat ditamatkan.
Sejarah kekejaman komunis terhadap rakyat yang tidak berdosa wajar menjadi pengajaran kepada semua. Walaupun tragedi itu sudah lama berlalu tetapi pengalaman pahit tidak mungkin dapat dilupakan oleh keluarga para perajurit yang terkorban memerangi komunis. Sampai bila sekali pun kebencian dan kemarahan kepada komunis tidak mungkin reda.
Tentunya kita tidak dapat melupakan bagaimana Timbalan Penguasa Polis Wong Lim Hoon dibunuh di Kuala Lumpur pada 18 Januari 1973, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahman Hashim dibunuh di Kuala Lumpur pada 4 Jun 1974, meletupkan Tugu Negara pada 26 Ogos 1975. Selain nama-nama di atas banyak lagi kekejaman dan kejahatan yang dilakukan oleh komunis yang tertulis dalam sejarah negara ini. Dosa mereka tidak terampun.
/...

Ahli Sunnah, Wahhabiyyah dalam perbandingan kerangka peradaban

BH (Rencana) - 06/12/09
Oleh Muhammad Uthman EL-Muhammadi

Tafsiran Sunni menyeluruh, terbuka mengikut batasan prinsip rohani serta intelektual

SELEPAS melihat perbandingan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Wahabi mengenai akidah, kerohanian dan ibadatnya, juga aspek hukum dan akhlaknya, minggu ini rencana ini bertumpu kepada pengamatan ringkas kerangka peradaban. Bagi memahami ajaran Ahli Sunnah dan perbandingannya dengan Wahabi dalam aspek ini, kita boleh bermula dengan beberapa kenyataan.
Antaranya, peradaban pada matlamat terakhirnya dalam ajaran agama adalah untuk menjadi alam yang mana kebesaran Tuhan dan kalimah-Nya terserlah; justeru kitab suci al-Quran menyatakan (maksudnya); "Dialah Tuhan yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi demikian juga, turun perintah di kalangan semua itu supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah meliputi segala-galanya dengan ilmu-Nya" - (al-Talaq:12).
Begitu juga ayat (bermaksud): "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepada-Ku /menyembah-Ku" (al-Dhariyat: 56); dan bermaksud "Bertasbih kepada Allah segala yang ada di langit dan di bumi Raja yang Maha Suci, Maha Tinggi dalam kekuasaan lagi Maha Bijaksana" (al-Jumuah:1) dan yang sepertinya.
Maka alam ini dijadikan untuk merealisasikan kebesaran dan kalam-Nya. Dan manusia dijadikan khalifah-Nya di bumi dengan diajarkan nama benda dengan khasiat dan kelebihan seperti dihuraikan oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam Tafsir al-Kabir dan al-Baidhawi dalam tafsirnya. Huraiannya dilanjutkan dalam hasyiahnya oleh Syaikh Zadeh. Dan manusia membina peradaban dengan mengimarahkan hidup di bumi.
Ahli Sunnah dan Wahabi ada beberapa titik pertemuan dalam hal ini. Bagaimanapun tafsiran Sunni adalah luas dan mencakupi sedangkan tafsiran Wahabi terbatas, sempit dan tidak kelihatan membuka ruang yang memadai untuk perkembangan tamadun. Ini terbukti dalam sejarahnya yang bermula di Najd itu.
Satu lagi kenyataan - bahawa agama sekurang-kurangnya boleh difahami pada beberapa peringkat; pertama ia wahyu dan nubuwwah (dengan pemahaman mengenai al-Quran dan hadis); kemudian agama seperti yang dihuraikan dalam teks yang menyatakan secara terperinci ilmu yang berpunca daripada wahyu dan nubuwaah itu, dan pemahaman manusia mengenai itu semua.
Tahap berikutnya adalah apabila agama diamalkan umat manusia dalam kumpulan ramai atau masyarakat dan di sinilah timbul tamadun atau peradaban. Tafsiran Sunni menyeluruh dan terbuka dalam batasan prinsip rohani dan intelektual, tafsiran Wahabi sangat terbatas dan terhad.
Berhubung peradaban, kita boleh ajukan pertanyaan � tidakkah peradaban 'khaira ummatin' di Madinah itu Ahli Sunnah sifatnya? ('ma 'ana 'alaihi wa ashabi', "mengikut cara hidupku dan sahabatku" seperti yang ada dalam hadis)? Kita jawab, ya Ahli Sunnah. Tidakkah peradaban di Damsyik itu Ahli Sunnah? Begitu juga di Baghdad, Andalusia, Istanbul, di Melaka, Samudera Pasai dan Aceh itu Sunni?
Peradaban ini dalam kerangka Ahli Sunnah yang menjadi alam yang di dalamnya ada kebesaran Tuhan dan kalam-Nya. Ya, memang ada kelemahannya kerana dunia ini bukan jannatul-firdaus, tetapi inilah alam manusiawi yang di dalamnya terjelma kebesaran Ilahi dan kalam-Nya dengan cara yang sebaik-baiknya sebelum kemunculan alam yang kekal abadi itu.
Dan alam manusiawi yang kita sebut sebagai peradaban itu muncul dalam kerangka kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukan Khawarij, Batiniyyah dan lainnya (sudah tentu bukan Wahabi sebab ia hanya muncul pada abad ke-18). Golongan lain boleh berada dan berfungsi di dalam peradaban Sunni itu sebab kerangka ini sangat toleran dan bertasamuh.
Ini terbukti dalam sejarah hampir 15 abad itu; kerangka lain jelas tidak mempunyai sifat-sifat yang ada padanya. Ia adalah kerangka 'menengah' yang menjadi corak bagi umat ini. Maka peradaban dalam kerangka inilah yang kita perlu teruskan dan semarakkan lagi kejayaannya.
Tidakkah kalangan sahabat dan Tabiin serta generasi yang diakui berikutnya, Ahli Sunnah semuanya? Tidakkah al-Juwaini pengikut Ahli Sunnah? Begitu juga Al-Baqillani, Al-Ghazali, Fakhr al-Din al-Razi, al-Sanusi dan Salah al-Din al-Ayyubi? Dan da'i terkenal al-syahid Hasan al-Banna adalah pengikut Ahli Sunnah? Dan Said Nursi di Turki itu Ahli Sunnah?
Ringkasnya mereka dan ramai yang lain adalah pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuk imam mazhab dan pengikut mereka; mereka di dunia Melayu adalah Ahli Sunnah dan pengikut Imam al-Asy'ari. Teks usul al-din di dunia Melayu adalah teks memaparkan aliran Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari.
Apakah kerangka itu? Sekadar menyebut beberapa unsur kerangka yang dicirikan oleh elemen pokok seperti: Tauhid dengan huraiannya yang mencakupi semua perkara, daripada tauhid mengenai Tuhan, kehidupan manusia, diri manusia, masyarakat dan umat. Tauhid semacam ini tidak ada dalam Wahabi.
Bagi tauhid dalam pemahaman ilmu dan tamadun, kenabian dengan kedudukannya sebagai punca ilmu pengetahuan, panduan mengenai ilmu pengetahuan, panduan hidup bertamadun dan masyarakat. Pemahaman luas mengenai sunnah begini tidak ada dalam Wahabi. Bicaranya hal sunnah - bidaah, talqin, kenduri arwah, qunut, maulidurrasul, melawat kubur, tawassul, zikir beramai-ramai, berzanji, menyebut 'sayyidina' dan yang sepertinya yang diselesaikan lebih 50 tahun lalu di Malaya (nama sebelum Malaysia).
Sukar untuk dimengertikan bagaimana ada pihak menganggap bicara seperti ini bicara pembangunan umat atau bicara mengajak kepada keluasan dan kematangan berfikir. Adakah intelektual sebegini yang hendak dikembangkan? Ini sukar dipertahankan.
Hidup dunia dan akhirat diberikan perspektif yang betul secara integrasi tidak terpisah-pisah antara keduanya, dengan itu tidak ada sekularisme dalam erti falsafah di dalamnya; demikian pula yang lain-lain yang sepertinya.
Kemuliaan ilmu pengetahuan dan kemajuannya serta pengembangannya - yang berfaedah dijayakan dan berbahaya tidak dijayakan. Epistemologi atau huraian falsafah ilmu pengetahuan yang luas sebegini tidak ada dalam Wahabi, ia sebaliknya didominasi oleh haram-halal, sunnah-bidaah, hidayah-dalalah dalam pembahagian simplistik itu.
Huraian falsafah tidak ada tempat di dalamnya. Pernah berlaku pada satu seminar atau mesyuarat, apabila terdengar kata 'alsafah' seorang pengikut fahaman itu mengeluarkan pertanyaan - bagaimana ini? Falsafah tidak ada dalam Islam (yang ada hanya al-Quran dan Sunnah); mantik tidak ada tempat di dalamnya; astronomi tidak ada tempat di dalamnya (sebab itu berlaku peristiwa puasa terpaksa diqada sebab berlaku kesilapan melihat anak bulan di sebuah negeri, akibat mereka menolak astronomi dan aplikasinya).
Kedudukan yang wajar antara agama, wahyu dan ilmu pengetahuan ada dalam sejarah Sunni. Ini tidak ada dalam Wahabi yang bermula dengan penolakan beberapa elemen teknologi dan pengetahuannya seperti yang ada dalam sejarah gerakan itu. Kedudukan sepadu antara ilmu akli dan nakli jelas misalnya dalam Kashshaf Istilahat al-Funun oleh al-Tahanawi dan yang sepertinya.
Kedudukan yang harmoni antara seni dan sains serta teknologi jelas dalam sejarah Sunni; antaranya tercatat dalam Introduction to the History of Science oleh G Sarton jilid 3; Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimahnya membuat beberapa rumusan mengenai perkembangan intelektual ini; hanya ada berlaku sedikit gangguan dalam sejarah tentang bidang ini. Dalam kerangka Wahabi, asal perkembangan begini tidak ada; ia hanya timbul kemudian dalam sejarahnya. Islamisasi ilmu dalam kerangka epistemologi Asya'irah dalam Ahli Sunnah sudah berlaku dalam alam Ahli Sunnah; dalam Wahabi ia hanya baru mula untuk berlaku.
Hubungan harmoni individu, keluarga dan masyarakat dengan adab dan peraturannya. Wahabi mempunyai ciri yang sangat malang dari segi adab dan akhlak terutama hubungannya dengan ulil amri yang menyayat hati; penolakan tasauf menjadikan jiwanya keras dan kasar, kecuali dalam kalangan mereka yang terkesan dengan pengaruh kerohanian Ahli Sunnah.
Kedudukan sepadu dan terarah dalam hubungan antara ulil amri dan umat umumnya, jelas dalam Ahli Sunnah; dalam kalangan Wahabi ia banyak menunjukkan konflik sebab ajarannya dari asal sememangnya sedemikian.
Bagi kedudukan epistemologi Asyariah dalam Ahli Sunnah (termasuk Maturidiyyah) membabitkan hubungan dengan pemikiran moden dan pasca moden pula, kerangka Ahli Sunnah paling perkasa dan utuh mengemudi manusia menghadapi pemikiran moden dan pasca moden; nampaknya tidak ada yang lain dalam dunia ini yang sepertinya. Wahabi langsung tidak boleh dibandingkan dengannya; ia seperti kanak-kanak baru mumaiyiz berbanding dengan hakim yang penuh bijaksana.
Budaya 'al-din al-nasihah' yang berkesan dan menyeluruh dalam Ahli Sunnah, bukan budaya 'anti-establishment;' dalam Wahabi nampaknya yang ada adalah budaya 'anti-establishment' daripada awal lagi. Kemajuan duniawi sebagai suasana untuk pembentukan hidup membina peribadi manusia berdasarkan 'budaya uswatun hasanah' bukan budaya 'selebriti' (walaupun selebriti dalam perspektifnya yang betul dibenarkan).
Bagi kesedaran mengenai kedudukan hubungan harmoni di kalangan bangsa dan kaum serta agama, panduan Sunni memadai dalam hal ini; panduan intelektual dan rohaniah Wahabi tidak memadai.
Demikianlah secara ringkasnya perbincangan mengenai ajaran Ahli Sunnah dalam perspektif pembangunan ummah Islamiah dan elemen penting dalam pembinaannya berbanding pandangan Wahabi. Dengan itu maka pemikiran Sunni dalam bidang ini perlu diteruskan di Malaysia dan dunia Melayu dengan membuat perincian dalam bahagian yang memerlukannya, dengan pembetulan dan penambahan di mana yang diperlukan serta langkah praktikal.
Ini berserta penyusunan langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi menjayakannya. Dan intelektualiti cara Wahhabi mesti dijauhi bagi mengelak malapetaka intelektual, rohani dan tamadun berlaku di sini. Na'udhu billahi min dhalik! Moga-moga Allah menunjukkan kita kepada jalan yang lurus, Amin. Wallahu a'lam.
/...

5 Disember 2009

Pemutihan senarai ahli UMNO diperkenal

Utusan - 05/12/09
KUALA LUMPUR 4 Dis. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan satu kaedah pemutihan ahli parti akan diperkenalkan supaya senarai ahli yang ada di setiap bahagian adalah mengikut daftar yang terkini.
Beliau berkata, ini perlu dilakukan disebabkan mengikut pindaan perlembagaan parti yang dilakukan baru-baru ini, tidak akan ada lagi kutipan yuran tahunan ahli.
''Oleh itu adalah penting untuk memastikan kesahihan senarai ahli UMNO dengan pihak ibu pejabat akan berhubung dengan semua bahagian untuk menerangkan kaedah pemutihan itu.
''Selain itu Pendaftar Pertubuhan telah luluskan pindaan Perlembagaan UMNO yang dilakukan baru-baru ini dan berkuat kuasa 10 November lalu," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Najib turut mengumumkan yang mesyuarat MT malam ini meluluskan program UMNO untuk tahun depan yang bertemakan 'UMNO Juara Rakyat'.
Menurutnya, walaupun demikian, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di peringkat bahagian akan diajak bersama bagi menjayakan program ini.
''Program-program ini meliputi pelbagai jenis aktiviti antaranya pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, bidang sosial dan berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
''Di samping itu pelbagai jenis lagi program yang telah pun kita tentukan yang mana garis panduannya diluluskan MT. Program ini akan kita jalankan mulai Januari tahun depan dan merupakan program berterusan," jelasnya.
/...

Wakil rakyat bukan Islam PKR takbir raya

IPOH 4 Dis. - Belum pun reda isu pemimpin DAP memberikan salam dan membaca ayat suci al-Quran dalam majlis-majlis ceramah anjuran mereka, kini wakil rakyat bukan Islam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mengaku beliau pernah bertakbir raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai berkata, perbuatan tersebut dilakukan sehari sebelum Aidilfitri lalu.
''Memang saya pernah ikut bertakbir sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Tetapi saya tak pasti gambar itu ada dalam Youtube atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas rakaman video di laman Youtube yang menyiarkan dirinya lengkap berbaju Melayu dan bersongkok dilihat bersama-sama sekumpulan lelaki Islam bertakbir raya dalam sebuah majlis hari raya di sebuah rumah.
Difahamkan, sebelum ini, ada individu tertentu menyebarkan gambar-gambar Ming Kai bertakbir dari rumah ke rumah di sekitar bandar raya ini semasa hari raya Aidilfitri lalu.
Terdahulu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Mohd. Khusairi Abdul Talib ketika mendedahkan perkara itu menyifatkan ia sebagai tindakan memperalatkan Islam untuk meraih sokongan orang Melayu.
''Banyak tindakan pemimpin bukan Islam dalam DAP dan PKR sebelum ini seolah-olah cuba mengelirukan umat Islam dengan melibatkan diri dalam aktiviti agama Islam.
''Terbaru, dalam video yang disebarkan di Youtube, ADUN Simpang Pulai memakai baju Melayu serta bersongkok turut bertakbir dalam satu majlis di sebuah rumah," katanya.
Menurut beliau, semakin ramai pemimpin bukan Islam berani mempermainkan Islam kerana tindakan mereka disokong rakan-rakan Islam pakatan pembangkang.
''Mereka tidak lagi menghormati sensitiviti umat Islam dan sanggup memperalatkan Islam kerana semakin terdesak untuk memenangi semula sokongan orang Melayu," katanya.
/...

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Utusan - 05/12/09
RABU lepas DAP Perak memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana perbuatan para pemimpin parti itu memijak potret tiga wakil rakyat Bebas DUN Perak yang asalnya daripada PKR dan DAP pada satu majlis 29 November.
Semalam pula Koid Teng Guan, ADUN DAP kawasan Sungai Pinang pula memohon maaf kerana menyibarkan teks SMS memperlekehkan Barisan Nasional (BN) kepada lebih 400 orang semasa sidang DUN Pulau Pinang Selasa lalu.
Baguslah mereka memohon maaf tetapi kedua-dua perbuatan terbabit amat memalukan. Ia mencerminkan kualiti kepimpinan DAP terutama dari segi nilai budaya dan kebertanggungjawaban.
Secara mudah kedua-dua peristiwa itu amat jelek dari segenap sudut. Malah tindakan Teng Guan menunjukkan secara jelas itulah kualiti seorang wakil rakyat DAP dalam DUN Pulau Pinang.
Secara mudah pada hari terbabit, Awang beranggapan beliau gagal memberi tumpuan kepada prosiding sidang DUN. Maknanya, Teng Guan gagal berfungsi sebagai wakil rakyat khususnya bagi kawasan yang beliau wakili sekurang-kurangnya pada hari tersebut.
Pengakuan ADUN Sungai Pinang itu juga sedikit sebanyak menjadi bukti jelas kualiti mereka yang dipilih menjadi calon wakil rakyat DAP.
Awang – Tidak hairan.
/...

Doa pecah perut: Muhyiddin tak tahu nak kata apa

Bernama - 05/12/09
PUTRAJAYA: "Tak tahu nak kata apa", itulah reaksi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang terkejut dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang akan mendoakan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) "pecah perut" berhubung isu bayaran royalti minyak.
Beliau berkata, kenyataan sedemikian langsung tidak mencerminkan sifat keIslaman dan terperanjat kerana ia keluar daripada seorang yang bergelar Mursyidul Am. "Rasa tak boleh apa nak dikata. Yang kita tahu sebelum ini pun, kita kata sebagai orang Islam tak pernah mendoakan seorang Islam lain itu musnah hanya kerana sebab-sebab konflik tertentu dan dalam hal Kelantan berkaitan royalti minyak".
Itu sudah diputuskan oleh Kabinet. Jadi, saya tak tahu nak kata apa kerana ini bukan pertama kali, berulang-ulang kali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-65 di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz di dalam sebuah laman web yang menyatakan hasratnya untuk berdoa sedemikian sebagai reaksi terhadap keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar memberikan wang ehsan.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan kerajaan akan membayar wang ehsan kepada kerajaan negeri Kelantan bermula tahun depan, sebagai menggantikan tuntutan royalti minyak yang dimahukan kerajaan negeri Kelantan.
Beliau berkata, kerajaan negeri Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih dan wang itu akan disalurkan dalam bentuk pembangunan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri.
Muhyiddin berkata, kenyataan itu dibuat dalam keadaan sedar oleh Menteri Besar Kelantan itu dan kalangan pemimpin Pas yang banyak terdiri daripada tokoh agama patut menegur jika Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan sebegitu.
"Ini satu perbuatan yang langsung tidak mencerminkan semangat cara Islam yang sebenarnya," katanya. Mengenai Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib yang disebut-sebut telah meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.
Protal berita The Malaysian Insider hari ini melaporkan Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan lalu.
Beliau dikatakan menyebut masalah kesihatan sebagai sebab utama dalam keputusannya untuk meninggalkan pentadbiran persekutuan.
/...

ADUN DAP mengaku sebar SMS hina BN dalam sidang DUN

Utusan - 05/12/09
PULAU PINANG 4 Dis. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang dari DAP, Koid Teng Guan mengaku menyebarkan khidmat pesanan ringkas yang memperlekeh dan menghina Barisan Nasional (BN) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sedang rancak berjalan, Selasa lalu.
SMS yang ditulis dalam bahasa Cina yang menyeru rakyat Pulau Pinang untuk 'kebumikan' BN dan bersembahyang untuk roh mereka pada perayaan 'Qing Ming' itu dipercayai disebarkan kepada lebih 400 individu.
Bagaimanapun, beliau yang menyesali perbuatan berkenaan tidak dapat menjelaskan bilangan SMS yang dihantarnya selepas memperolehnya daripada salah seorang penyokong parti pakatan pembangkang itu.
Sehubungan itu Teng Guan membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui perbuatan tersebut tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang wakil rakyat sepertinya.
''Saya ikhlas ingin meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan menyebar SMS 'jenaka' terhadap parti politik lawan," katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat DUN di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong bersama dua Naib Ketuanya, H'ng Khoon Leng dan Tan Kah Leong membuat laporan berhubung penyebaran SMS tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada pukul 9.30 malam.
Difahamkan, ADUN Sungai Pinang itu menyebarkan SMS berkenaan semasa sidang DUN sedang berjalan kira-kira pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan menerima laporan itu dan memberitahu siasatan sedang dijalankan.
''Kita ada menerima laporan serta kertas siasatan juga telah dibuka dan kita akan merekodkan keterangan daripada ADUN terbabit pada bila-bila masa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan," jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Biro Publisiti, Informasi dan Komunikasi Gerakan, Dr. Thor Teong Gee menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya meminta Teng Guan meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.
Beliau menegaskan, sebagai seorang yang dipilih oleh rakyat, Teng Guan telah menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai etika kerana bertindak sedemikian.
"Kejadian terbaru SMS ini menunjukkan beliau tidak menumpukan perhatian kepada prosiding sidang DUN.
''Sebelum ini, beliau juga pernah 'ditangkap' menghantar soalan bertulis yang ditiru daripada bekas ADUN Datuk Keramat, maka sudah jelas ADUN Sungai Pinang ini tidak pernah insaf,'' katanya pada sidang akhbar di Bilik Pembangkang di DUN.
Dalam pada itu, Teong Gee berkata, pihaknya difahamkan bahawa Teng Guan dan Guan Eng mempunyai hubungan persaudaraan.
"Kami tidak tahu sama ada ini benar. Jika ya, mungkin Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, akan mendapati sukar untuk mengambil tindakan terhadapnya. Jika maklumat ini tidak tepat, kami harap Guan Eng akan maklumkan kepada kami," katanya.
/...

3 Disember 2009

Nik Aziz tidak ambil peduli

Utusan - 03/12/09
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KOTA BHARU 2 Dis. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak ambil peduli desakan supaya beliau meletakkan jawatan daripada orang UMNO yang dianggapnya ‘budak-budak nakal’.
Beliau juga menegaskan tidak perlu memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ‘doa kemusnahan’ terhadap pemimpin negara itu.
Malah Mursyidul Am Pas itu mencadangkan kepada orang ramai supaya terus berdoa beramai-ramai tanpa menyebut nama Najib kononnya bagi menjaga hati Perdana Menteri.
Dalam kenyataannya kepada media berhubung perhimpunan aman oleh ratusan orang semalam yang menunjukkan bantahan terhadap tindak-tanduknya, beliau berkata:
“Mustahil saya perlu akur (letak jawatan) semata-mata kerana digesa oleh 200 ‘budak-budak nakal’, bawah pohon jati di pintu masuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Jika sebab desakan UMNO, sudah tentu saya berbuat begitu semasa Tan Sri Annuar Musa jadi ketua pembangkang negeri, sebaliknya dia pula yang ‘ghaib’ dari arena politik tanah air.”
Di samping itu, beliau mempersoalkan mengapa harus tunduk kepada suara kumpulan itu yang jumlahnya begitu kecil agar meminta maaf kepada Najib yang juga Presiden UMNO.
“Sedangkan Presiden UMNO selaku orang nombor satu tidak menyuruh saya meminta maaf atau menarik balik,” ujarnya.
Beliau yang juga Mursyidul Am Pas mengulas mengenai perhimpunan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) semalam.
Mereka berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran Kota Darulnaim di sini bagi menunjukkan rasa tidak senang hati terhadap kemelut dalam kepimpinan negeri dan memintanya melepaskan jawatan.
Kumpulan tersebut menyerahkan memorandum dua muka surat kepada Nik Abdul Aziz yang memintanya melepaskan jawatan, menarik balik ‘doa kemusnahan’ dan meminta maaf secara terbuka kepada Najib.
Nik Abdul Aziz sebaliknya bersyukur kerana perhimpunan semalam seolah-olah sebagai tanda kejayaannya mengkucar-kacirkan UMNO.
“Secara logiknya semua orang kena faham bahawa saya bekerja dengan Pas. Jika UMNO yang mendesak saya, maka saya sewajarnya bersyukurlah bahkan berbangga kerana sudah dikira berjaya mengkucar-kacirkan mereka.
“Mereka sudah keluh kesah. Jika saya terus dilarang untuk memohon kemusnahan UMNO secara terbuka, maka saya masih lagi boleh mengangkat doa secara bersendirian.
“Saya masih boleh meminta supaya umat Islam terus berdoa secara senyap-senyap agar Allah menurunkan kemusnahan termasuklah pemimpin UMNO yang menyekat Islam dan menyekat pemberian wang royalti itu daripada melalui kerajaan negeri,” tambahnya.
Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini, beliau bertegas dengan pendiriannya membenarkan rakyat negeri ini mendoakan agar diturunkan bala terhadap Perdana Menteri.
Bagaimanapun, katanya, doa itu biarlah dibuat secara individu bukan dilafazkan secara umum atau beramai-ramai.
Jelasnya, rakyat tidak perlu menyebut nama Najib ketika melafazkan doa tersebut secara beramai-ramai dan hanya melakukannya secara peribadi untuk menjaga perasaan pemimpin nombor satu kerajaan itu.
“Oleh kerana Perdana Menteri terasa hati bahawa sebut nama dia dalam doa maka saya minta tak payah sebut nama Yang Berhormat beramai-ramai cuma boleh sebut dalam doa bersendirian,” katanya.
/...

2 Disember 2009

DAP Perak mohon maaf isu pijak gambar ADUN

Bernama - 02/12/2009 7:18pm
KUALA LUMPUR 2 Dis. — Akibat dikecam pelbagai pihak, DAP Perak hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu memijak poster wajah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas negeri itu Ahad lepas.
Sambil mengakui perbuatan itu satu kesalahan, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berharap isu berkenaan akan dapat diselesaikan secepat mungkin.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, parti itu bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap tiga ahlinya yang meletakkan poster itu di pintu masuk ke konvensyen parti itu.
/...

BANTAH

Rakyat Kelantan berhimpun membantah isu doa Nik Abdul Aziz di pekarangan pejabat Menteri Besar di Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/Rosni Masri
*****
Lebih 1,000 rakyat Kelantan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan berhimpun di pekarangan pejabat Menteri Besar di Kota Darul Naim semalam.
Perhimpunan itu bertujuan menyerahkan memorandum mendesak Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan. Ini berikutan isu doa Nik Abdul Aziz supaya Allah memusnahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.
/...

Pembangkang tunjuk sikap tidak bermoral - TPM

Utusan - 02/12/09
PONTIAN 1 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perbuatan beberapa pemimpin DAP memijak poster wajah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas di Perak sebagai tidak bermoral.
Menurut beliau, melalui perbuatan itu rakyat boleh menilai sendiri begitu rendah akhlak para pemimpin pembangkang terbabit.
"Rakyat juga boleh menilai perbuatan mereka kerana walaupun Barisan Nasional dahulu pernah menjadi pembangkang di Perak tetapi kita tidak pernah melakukan sebegitu. Ini menggambarkan akhlak yang rendah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Loji Janakuasa Tanjung Bin di Serkat dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Malakoff Corporation Berhad, Tan Sri Abdul Halim Ali.
Kelmarin, para pemimpin DAP memijak poster poster wajah ADUN Jelapang, Hee Yit Fong; ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu pada konvensyen DAP di Ipoh.
Poster-poster berkenaan diletakkan di lantai pintu masuk dewan untuk dipijak oleh mereka yang hadir ke konvensyen tersebut.
Muhyiddin berkata, pelbagai perkara boleh berlaku dalam politik seperti para pemimpin kerajaan dan pembangkang tidak bersetuju mengenai satu-satu isu.
Namun katanya, semua pihak perlu menekankan nilai-nilai etika dan saling menghormati termasuk tidak melakukan perbuatan seperti itu.
/...

Biar Nik Aziz kekal - Muhyiddin

Utusan - 02/12/09
Oleh SAHBULAH DARWI pengarang@utusan.com.my
PONTIAN 1 Dis. - Sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menimbulkan kucar kacir dalam masyarakat termasuk mengeluarkan fatwa songsang, mencerminkan hala tuju sebenar parti itu yang membimbangkan rakyat.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, disebabkan itu, Nik Abdul Aziz patut kekal menjadi pemimpin parti itu kerana banyak perkara yang dilakukannya dapat menunjukkan wajah sebenar Pas.
"Saya rasa biarlah Nik Aziz lama dalam Pas kerana ia berguna juga. Banyak perkara yang dilakukannya mencerminkan sikap sebenar Pas.
"Kalau ketua mereka timbulkan kucar kacir, rakyat khususnya orang Islam, tentu rasa tidak selesa dan bimbang kerana beliau buat pelbagai fatwa songsang yang bercanggah dengan agama," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Loji Janakuasa Tanjung Bin di Serkat dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Malakoff Corporation Berhad, Tan Sri Abdul Halim Ali.
Muhyiddin mengulas gesaan eberapa penganalisis politik supaya Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan berikutan tindak-tanduk politik beliau yang semakin menyeleweng daripada ideologi parti sehingga mencetuskan kegelisahan umat Islam.
Mereka berpendapat, jika Menteri Besar Kelantan itu tidak berundur, dikhuatiri parti itu semakin lemah dan bakal berkubur khasnya di negeri itu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dalam politik, ahli politik tidak boleh disuruh meletak jawatan kerana sudah pasti tidak mahu berbuat demikian.
"Saya tidak fikir kalau Nik Aziz hendak dengar cakap untuk suruh letak jawatan.
"Sebab itu, lagi lama beliau memerintah, lagi baik kerana beliau mencerminkan hala tuju Pas," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, terserah kepada Nik Abdul Aziz sama ada mahu terus kekal menerajui parti berkenaan walaupun pelbagai pihak meminta beliau supaya berundur.
Namun, katanya lagi, beliau hairan kenapa ramai tokoh agama dalam Pas termasuk yang dikenalinya takut untuk menegur kesilapan pemimpin mereka.
"Inilah yang membawa kesan buruk. Inilah yang aneh kerana mereka tidak berani menegur pemimpin sendiri. Mungkin ada tulah, saya tidak tahulah."
"Maknanya, pemimpin Pas sama-sama bersubahat, dalam Islam, kalau kita tidak tegur perbuatan yang salah, kita turut bersubahat dengan orang yang melakukan kesilapan," tegasnya.
Mengenai hasrat bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkan beliau pulang, Muhyiddin berkata, pendirian kerajaan berhubung perkara itu adalah tegas.
Beliau berkata, kerajaan tetap bertegas dan tidak berganjak daripada keputusan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang semula ke negara ini.
"Keputusan itu sudah muktamad dan tidak akan berganjak walaupun apa orang lain kata. Keputusan ini dibuat oleh Kabinet, dan Kabinet masih bertegas, kita tidak akan membuat keputusan lain," katanya.
Muhyiddin berkata, beliau hairan mengapa pihak media tertentu mahu memainkan isu tersebut iaitu Chin Peng mahu pulang ke Malaysia sedangkan kerajaan telah membuat keputusan muktamad mengenainya.
Semalam, Chin Peng, 85, melahirkan hasrat untuk dapat bertemu Najib apabila Perdana Menteri melawat selatan Thailand pada minggu kedua bulan ini.
Chin Peng dilaporkan berkata, beliau ingin kembali ke Malaysia bagi menemui keluarganya dan memberikan penghormatan kepada nenek moyangnya di Sitiawan, Perak.
Namun, hasratnya itu dibantah keras oleh rakyat khususnya kalangan bekas tentera yang tahu tentang kekejaman komunis semasa di bawah pimpinan Chin Peng.
/...

1 Disember 2009

Biarlah Nik Aziz sedar sendiri

Utusan - 01/12/09
Najib Tun Razak (empat dari kiri) menerima tepukan gemuruh apabila nama Malaysia disebut pada majlis penutupan Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) oleh Perdana Menteri Trinidad and Tobago, Patrick Augusts Mervyn Manning selaku tuan rumah kali ke-20 sidang kemuncak pertubuhan itu di Port of Spain, kelmarin.
*****

PORT OF SPAIN 30 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan meminta Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik kenyataan atau memohon maaf selepas mahu berdoa supaya Allah memusnahkan masa depan Perdana Menteri jika tidak memberi royalti minyak kepada negeri itu.
Perdana Menteri berharap Mursyidul Am Pas itu sedar sendiri dengan tindakannya itu kerana ramai umat Islam merasakan kenyataan tersebut adalah keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keislaman yang dituntut agama.
“Apa pun kita perlu berbincang untuk mencari penyelesaian dan bukan cari pergaduhan. Berbalah sesama sendiri terkutuk dalam Islam, malah untuk kita mengutuk orang lain pun tidak dibolehkan oleh Islam,” katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) di sini hari ini.
Najib mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang dilaporkan berkata, beliau dan penyokongnya sudah mendoakan agar Perdana Menteri mengubah fikiran supaya memberikan royalti kepada negeri itu dan jika tidak akan berdoa supaya Allah memusnahkan masa depan Najib dan UMNO.
Tindakan Nik Abdul Aziz itu dianggap bercanggah dengan adab berdoa dalam Islam dan ada pihak menyifatkan Pas kini seolah-oleh sudah terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga menggunakan tektik menakut-nakutkan musuh politiknya dengan mempergunakan agama untuk mencapai maksud.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakari berkata, umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.
Najib berkata, Kerajaan Pusat memberi wang ihsan kepada rakyat Kelantan dan sama ada dipanggil royalti atau wang ihsan, jumlahnya tetap sama.
“Rakyat Kelantan yang akan terima, bukan kita akan guna untuk lain. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kita beri peruntukan lebih RM7 bilion untuk rakyat Kelantan walaupun diperintah pembangkang.
“Macam mana mereka hendak tuduh kita tidak adil dan sebagainya,” katanya.
/...

Lelaki ditahan guris gambar Sultan Perak

Bernama - 01/12/09
IPOH 30 Nov. - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit mengguris gambar Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di bangunan Perak Turf Club, di sini dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan hasil maklumat daripada pengawal keselamatan di kelab tersebut selepas menyedari kejadian itu.
''Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam dan lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di sini dua jam kemudian,'' katanya hari ini.
Azisman berkata, lelaki itu ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 425 iaitu khianat merosakkan harta awam.
"Kita belum mengetahui motif perbuatan lelaki itu mengguris dan merosakkan gambar Sultan dan ketika kejadian lelaki itu baru keluar dari kelab karaoke dan mabuk," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, polis menahan lima remaja berusia 15 hingga 18 tahun di bandar raya ini dipercayai terbabit dalam kegiatan samun.
Azisman berkata, lima lelaki itu ditahan dalam sebuah kereta Perodua Kembara yang ketika itu didapati dalam keadaan mencurigakan di kawasan Medan Ipoh Bestari, pada pukul 2 pagi, lima hari lepas.
''Selepas menyedari kehadiran polis, kereta yang dipandu seorang daripada remaja berkenaan melarikan diri dan mereka berjaya ditahan sejam kemudian selepas berlaku kejar mengejar,'' katanya.
Katanya, setelah pemeriksaan dijalankan didapati kesemua lelaki itu terlibat dalam beberapa siri kejadian samun awal pagi di sekitar kawasan bandar raya ini.
Polis turut merampas beberapa barang di dalam kereta tersebut iaitu sebilah pisau panjang, dua batang rotan, sebatang kayu hoki, sepasang sarung tangan hitam dan beberapa telefon bimbit.
Siasatan awal polis telah mengenalpasti sebanyak tiga kes samun dilakukan oleh remaja terbabit di kawasan Sungai Senam, Ampang Baru dan Tambun yang berlaku antara pukul 5 pagi hingga 7 pagi.
Kesemua remaja ditahan reman selama enam hari dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan.
/...

Perlu letak jawatan

Utusan - 01/12/09
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Penganalisis politik menggesa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan berikutan tindak-tanduk politik beliau yang semakin menyeleweng daripada ideologi parti sehingga mencetuskan kegelisahan umat Islam.
Menurut mereka, jika Menteri Besar Kelantan itu tidak berundur, dikhuatiri parti itu semakin lemah dan bakal berkubur khasnya di Kelantan.
Kata mereka, Pas 'hilang maruah' apabila Nik Abdul Aziz sanggup membiarkan diri menjadi 'kuda tunggangan' orang bukan Islam khasnya pemimpin DAP demi kelangsungan hayat politiknya.
Prof. Datuk Zainal Kling berkata, Mursyidul Am Pas itu sudah mula memesongkan ahli Pas supaya turut mengikut telunjuk orang bukan Islam demi menjaga hati mereka.
Sambil memberi contoh beberapa isu berkaitan kepentingan orang Islam di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, Nik Abdul Aziz tidak membela Islam tetapi sebaliknya mencari helah mempertahan pemimpin DAP yang menghina Islam dengan alasan 'mereka tidak faham Islam'.
"Sudah wajar beliau (Nik Abdul Aziz) meletakkan jawatan dalam politik dan sebagai Menteri Besar kerana tindakannya semakin menggusarkan orang Islam.
"Beliau tidak lagi dapat mempertahankan prinsip-prinsip persaudaraan Islam dalam menghadapi serangan dan ejekan orang bukan Islam demi kepentingan politiknya.
"Beliau membiarkan orang bukan Islam meremehkan al-Quran dan menghina pemimpin Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Serentak dengan itu, beliau yang juga Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba Universiti Sultan Idris (UPSI) meminta ahli Pas meneliti secara mendalam perkembangan kepimpinan parti tersebut yang sudah tersasar daripada perjuangan asal untuk memartabatkan Islam.
Pendapat itu disokong oleh Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mustafa Ishak yang menyatakan tempoh 18 tahun sudah terlalu lama untuk Nik Abdul Aziz berkuasa dan wajar bersara daripada politik.
"Beliau mengorbankan banyak prinsip perjuangan Islam demi keutuhan dirinya dan bukan parti. Sikap ini sungguh mengecewakan ahli Pas.
"Jika beliau tidak melepaskan jawatan, Pas akan semakin lemah kerana terlalu mengikut telunjuk DAP dan PKR,'' katanya.
Beliau berkata, makin lama Nik Abdul Aziz berkuasa, Pas akan semakin tidak dihormati dan boleh berkubur khususnya di Kelantan.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, tindakan Nik Abdul Aziz mendoakan orang lain ditimpa bala sudah membuktikan bahawa beliau bukan lagi ulama atau pemimpin Islam tulen.
"Beliau patut letak jawatan. Beliau sudah tidak layak menjadi pemimpin yang mendakwa parti Islam.
"Nik Abdul Aziz sudah terkeluar daripada ajaran agama Islam dan juga pemikirannya sudah gila,'' tegasnya.
Beliau berkata, tidak ada seseorang beragama Islam dan berfikiran waras mendoakan orang lain ditimpa bala.
"Terbukti beliau bukan lagi ulama. Tindak-tanduknya memalukan umat Islam Malaysia di seluruh dunia. Nik Abdul Aziz patut bertaubat dan meminta keampunan pada Allah atas perbuatan itu,'' ujarnya.
Pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berkata, isu 'menantu dan penajaan haji' telah mencalarkan imej tok guru itu.
"Beliau sudah lama menjadi pemimpin Pas. Keadaan kesihatannya juga tidak menentu. Lama atau cepat pengganti Nik Abdul Aziz perlu dicari jika Pas mahu terus hidup,'' katanya.
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, Terengganu, Asri Salleh berkata, Nik Abdul Aziz memperalatkan agama untuk kepentingan politik.
"Sudah patut sangat beliau mengundur diri kerana integriti sudah makin tercalar.
"Cara politik beliau yang memperalatkan agama juga sangat mendukacitakan umat Islam dan tidak sihat,'' katanya.
/...

Nik Aziz patut salahkan diri sendiri

Utusan - 01/12/09
KOTA BHARU 30 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya menyalahkan dirinya sendiri yang semakin menyimpang jauh apabila kepimpinannya mula dipertikaikan umum.
Sehubungan itu Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah menggesa agar Mursyidul Am Pas itu tidak terus mempertahankan jawatannya supaya maruah dan harga dirinya terus terpelihara.
''Nik Abdul Aziz perlu segera melepaskan jawatan agar tidak merugikan lagi agama, bangsa dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, biar pun dirinya mula menjadi sasaran cemuhan dan diperlekehkan, namun menjadi kewajipannya untuk bersama-sama membetulkan keadaan kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz makin menyimpang.
''Biarpun saya dianggap tidak mempunyai tauliah dan cetek tentang perkembangan semasa, saya tetap terdedah kepada perkhabaran yang sesetengahnya sudah cukup jelas dan nyata.
''Bayangkan selama ini beliau cuba menyamakan sifat Tuhan dengan manusia seperti Tuhan mencarut dan samseng. Tetapi yang lebih memilukan saya dia menolak perpaduan sesama Islam dalam saat getir.
''Pemimpin parti seperti Haji Hadi dan Nasaruddin dihina sedemikian rupa hanya kerana mereka ingin mencari kebaikan. Malah sudah kedengaran janji memberikan status seimbang antara Islam dan bukan Islam apabila Pas dapat memerintah,'' katanya.
Sehubungan itu, katanya, adalah wajib bagi semua pihak menegakkan kebenaran dan membetulkan sebarang penyelewengan.
''Saya tidak punyai kepentingan lain selain mahu turut menghentikan segala penyimpangan yang berkait dengan nafsu politik," tegasnya.
Baru-baru ini Abdullah dilaporkan berkata Nik Abdul Aziz perlu bertanggungjawab dengan kekeliruan dan semaraknya perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan berhubung agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.
Katanya, sudah sampai masanya untuk beliau membuat teguran secara terbuka, biar pun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.
Susulan itu, lidah rasmi Pas melaporkan Pusat Pembangunan Pondok Bhd (PPPB) tidak bertanggungjawab di atas kenyataan Abdullah yang tidak mempunyai tauliah mengajar.
Pemegang Amanah PPPB, Mohamad Awang dilaporkan berkata, kenyataan guru pondok terbabit hanya bersifat peribadi yang tidak selayaknya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar ulama.
Guru pondok itu dikatakan sudah diketahui umum sebagai seorang yang berpendirian kontroversi dalam banyak isu agama kerana tidak mempunyai pendedahan mengenai perkembangan semasa.
Abdullah menjelaskan, beliau mengakui tidak diberikan tauliah sebelum ini, namun segala-galanya kerana sikapnya yang mempertahankan Pas sehingga kini.
''Saya belajar agama selama 37 tahun dan saya dapat membezakan tafsiran yang benar dan bukannya berteraskan nafsu serta menyimpang," katanya.
Beliau menarik perhatian mengenai kebimbangan tentang kemungkinan Pas tidak dapat mempertahankan keistimewaan orang Melayu Islam dan pemerintahan Islam dalam kerakusan untuk berkuasa.
''Hari ini apabila Pas menolak perpaduan kerana sanggahan keras Nik Abdul Aziz, beliau tidak mengutamakan kepentingan Melayu Islam dan pemerintahannya, maka seluruh orang Pas bersalah jika apa yang dibimbangi berlaku kelak," katanya.
/...

TINDAKAN MELAMPAU

Utusan - 01/12/09
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming (gambar kanan) berjalan sambil memijak poster tiga ADUN Bebas manakala Lim Guan Eng melompat poster tersebut sambil diperhatikan ahli-ahli DAP semasa konvensyen parti itu di Ipoh, Perak, kelmarin.
Tindakan beberapa pemimpin DAP memijak poster tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Perak, ketika menghadiri konvensyen parti itu di Ipoh kelmarin sememangnya tidak boleh dimaafkan.
*****

Perbuatan yang tidak masuk akal dan melampaui batas kesusilaan itu jelas menggambarkan betapa pemimpin pembangkang termasuk yang bertaraf Ketua Menteri tidak menghormati sensitiviti rakyat negara ini.
Ternyata pemimpin pembangkang tidak boleh menerima hakikat ketiga-tiga ADUN itu sanggup keluar meninggalkan pakatan pembangkang sehingga tergamak memijak poster Hee Yit Fong (Jelapang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Cangkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang).
/...

30 November 2009

Senyum Kambing


Antara tanda-tanda bahawa Nik Aziz sudah nyanyuk:

1. Berdoa agar bala diturunkan Allah kepada sesama Islam.

2. Dakwaan wuiudnya 'Kolonel Mat' yang menjadi dalang untuk menjatuhkan dirinya dan bila ditanya dia kata tak tahu pula.

3. Mendakwa tajaan Haji nya adalah sedekah bukan rasuah.