3 Februari 2013

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)



DATUK Seri Najib Razak ketika hadir ke Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Parlimen Pandan dan Ampang di Taman Dagang di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Effendy Rashid
Feb 2, 2013 1:43 pm

PM lancar Bantuan Lesen 1Malaysia

NAJIB Tun Razak menunjukkan isyarat 1Malaysia ketika melancarkan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah, semalam. Turut kelihatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (tiga kanan); Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir (kanan) dan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrol Hisham Hashim (dua kanan). - BERNAMA
ALOR SETAR 31 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, c (BL1M) yang dilancarkan hari ini dapat membantu lebih ramai golongan muda mendapatkan lesen motosikal B2 dengan mudah dan murah.
Perdana Menteri berkata, skim tersebut sekali gus dapat mengatasi masalah yang timbul sebelum ini iaitu golongan muda mempunyai motosikal tetapi tidak mempunyai lesen.
"Kadar bayaran biasa ialah RM350 ke atas seorang tetapi dengan BL1M, RM199 sahaja seorang dan kalau gagal ujian komputer, kita akan beri percuma ujian lagi," katanya ketika melancarkan BL1M di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini.
Najib berkata, skim itu diharap membolehkan semua golongan muda berusia 17 hingga 40 mempunyai lesen di seluruh negara.
Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, BL1M diilhamkan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) bagi mengatasi masalah kos pengambilan lesen memandu yang tinggi dalam kalangan penduduk, khususnya belia di luar bandar.
Katanya, BL1M juga merupakan suatu produk yang relevan dengan keperluan anak muda dan masyarakat memandangkan lebih 200,000 penunggang motosikal tidak mempunyai lesen.
"Menerusi program itu, para belia yang berusia 17 hingga 40 tahun layak menikmati diskaun hampir 50 peratus untuk mengambil lesen menunggang motosikal jenis B2 dengan hanya membayar RM199," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 500,000 penduduk dijangka meraih manfaat daripada BL1M itu.
"Program ini terbuka kepada rakyat yang tidak mempunyai sebarang lesen memandu. Peserta akan menjalani kursus ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan berpeluang menduduki ujian berkomputer bahagian satu hingga tiga kali," jelasnya.
Orang ramai yang berminat untuk memohon BR1M boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.bl1m.my.
Sementara itu, penyedia perkhidmatan e-kerajaan, My E.G. Bhd. (MYEG) telah dilantik bagi mentadbir dan menguruskan pelaksanaan program (BL1M di seluruh negara.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr. Norraesah Mohamad berkata, pihaknya gembira kerana telah dipilih untuk mengurus serta mentadbir BL1M dalam usaha membantu golongan sasaran.
"Bertepatan dengan matlamat mengutamakan rakyat, kami percaya BL1M akan dapat meningkatkan kesedaran tentang etika pemanduan berhemat sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jalan bengkok ke Putrajaya

LUKMANUL Hakim merupakan seorang penasihat yang bijaksana dan kisah nasihatnya sentiasa menjadi iktibar dalam jiwa masyarakat Islam, kerana kebanyakan kisahnya menjadi teladan bagi membantu orang Islam menyelesaikan kemelut.
Antara kisah yang terkenal ialah bersama anaknya pergi ke pasar dengan menunggang keldai. Sebagai orang yang bijaksana, Lukmanul Hakim menyuruh anaknya menunggang keldai manakala dia melihatnya.
Ketika di separuh jalan, ada seseorang mencemuh kerana merasa aneh dengan sikap Lukmanul Hakim. Antara kata-kata kesat ialah "Sungguh tidak beradab budak ini", kerana membiarkan lelaki tua itu berjalan sedangkan anak lelakinya menunggang keldai."
Mendengarkan cemuhan itu, Lukmanul Hakim menyuruh anaknya berjalan dan dia menunggang keldai. Setibanya di kawasan keramaian, terdengar suara: "Apa dah jadi dengan orang tua ini? Budak disuruh berjalan, tapi dia menunggang keldai."
Kemudiannya, Lukmanul Hakim mengajak anaknya bersama-sama menunggang keldai dan setibanya di suatu tempat lain, ada pula yang mengomel: "Tidak berhati perut betul kedua manusia ini. Sanggup mereka mendera haiwan kecil itu". Lukmanul Hakim dan anaknya kemudian turun. Mereka sama-sama melihat keldai.
Dua beranak itu terus dikritik: "Bodoh betul kedua orang ini. Ada kenderaan tidak digunakan. "Setibanya di kampung terakhir, Lukmanul Hakim mengikat keempat-empat kaki keldai, dan kemudiannya dua beranak itu mengusungnya.
Bila sampai di suatu tempat, orang ramai yang melihat perbuatan itu ketawa terbahak- bahak. Tidak kurang juga yang menempelak: "Gila agaknya kedua orang ini? Bukankah keldai itu boleh berjalan sendiri. Mengapa pula mereka mengusungnya?.
Lukmanul Hakim kemudiannya meninggalkan tempat itu dan seterusnya bertanya kepada puteranya: "Wahai anakku! Kamu sudah dengar apa kata orang melihat apa yang kita lakukan?
Dalam politik perkara sama sentiasa berlaku. Pasca pilihan raya umum (PRU) misalnya mempunyai banyak persamaan dengan kisah yang digambarkan Lukmanul Hakim dan anaknya dengan seekor keldai. Maknanya, bagi seseorang yang bertanggungjawab, mendengar pendapat orang dan bertindak sebagaimana yang dimahukan masih belum mampu memuaskan orang lain.
Golongan yang merasakan dirinya lebih baik itu akan menggunakan apa sahaja keadaan dan peluang untuk membolehkan hujahnya diterima sebagai munasabah ataupun terbaik.
Contohnya, ketika seluruh dunia bergelut dengan kenaikan harga minyak, ada golongan melihat kenaikan itu kerana kegagalan menguruskan sumber ekonomi, walhal secara logiknya, kenaikan adalah disebabkan banyak faktor bukan kawalan kerajaan. Sikap menonjolkan kehebatan dirinya dan pada masa sama memandang rendah dan menafikan kejayaan orang lain mempunyai kemiripan dengan sifat-sifat syaitan.
Sebagaimana yang digambarkan oleh Allah dalam al-Quran, syaitan telah mendakwa dirinya sebagai makhluk yang terhebat yang pernah Allah ciptakan sehinggakan sanggup mencerca makhluk ciptaan Allah lain. Rancangan Allah untuk menciptakan manusia mendapatkan reaksi negatif dan tentangan sengit daripada syaitan.
Walhal, syaitan sendiri tidak tahu objektif Allah menciptakan manusia. Ketika Allah memerintahkan syaitan untuk bersujud kepada Adam sebagai tanda menghormati kehadiran manusia pertama, dengan angkuhnya syaitan menyatakan: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api, sedang dia Engkau jadikan dari tanah" (Al A'raf, 12).
Oleh kerana menganggap dirinya bijak dan pakar, maka dicadangkan agar keuntungan hasil minyak yang diperoleh Petronas digunakan untuk menstabilkan harga minyak dalam pasaran domestik. Cadangan itu tidak mengambil kira, bahawa monopoli minyak bukanlah oleh Petronas, kerana beberapa syarikat lain turut terbabit, termasuk syarikat- syarikat multinasional Belanda dan Amerika Syarikat.
Proses carigali minyak dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak, kerana usaha itu memerlukan kepakaran spesifik dan perbelanjaan besar. Maka, apabila minyak ditemui dan kemudian berjaya dihasilkan, ia tentunya akan melibatkan perkongsian antara dua atau tiga pihak. Maknanya, segala keuntungan Petronas akan digunakan membayar kenaikan harga minyak, yang untung ialah syarikat-syarikat asing yang tidak perlu mengetepikan sebahagian keuntungan perkongsian itu untuk menstabilkan harga minyak.
Ia adalah sama dengan cemuhan terhadap Lukmanul Hakim apabila menyuruh anaknya menunggang keldai. Tindakan itu dilihat sebagai perkara yang tidak prihatin seorang anak kerana membiarkan orang tua berjalan di sisi keldai. Apabila Lukmanul Hakim menunggang keldai, maka orang ramai turut berkata sinis.
Apabila harga minyak mencapai tahap kestabilan, pemimpin yang bercadang menurunkan harganya apabila "esok memerintah" berdiam diri mengenai harga, tetapi lantang pula bercakap untuk menggunakan keuntungan Petronas bagi membolehkan semua rakyat mendapat pendidikan tinggi secara percuma.
Lagak bijaknya tidak munasabah, kerana sistem pendidikan tinggi di Malaysia bukanlah dominasi kerajaan sahaja, swasta turut diberikan peluang melabur. Maknanya, kalau setiap orang belajar dengan percuma, tentunya kos yang ditanggung oleh pengusaha swasta terpaksa diserap oleh kerajaan sepenuhnya.
Seandainya setiap tahun seramai 200,000 orang belajar di kolej-kolej swasta, maknanya setiap tahun kerajaan perlu memperuntukkan belanja teramat besar. Bayaran yuran untuk program diploma menjangkau RM17 hingga RM 25,000. Ini bererti bagi keseluruhan pelajar, kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih RM4 bilion setahun. Perbelanjaan ini belum termasuk lain-lain kos seperti kos sara hidup ataupun penginapan.
Jika dicampurkan dengan peruntukan tahunan yang diberikan kepada sektor pendidikan sekitar RM 20 hingga RM 30 bilion, ini bererti satu pertiga keuntungan Petronas setahun adalah untuk pendidikan. Bagaimana pula keperluan sektor-sektor lain seperti kesihatan, pengangkutan awam, keselamatan dan keagamaan. Tentunya ia akan menyebabkan Malaysia terus berbelanja di luar kemampuan, dan lama kelamaan akan menyebabkan muflis.
Tidak seperti yang dijanjikan oleh pemimpin pembangkang. Ketika cuba meraih populariti, pembangkang hanya tahu berjanji dengan kata-kata "jika memerintah" akan diberikan semuanya kepada rakyat walaupun semakin hari semakin janggal kedengarannya.
Rakyat Selangor yang banyak menerima tempias janji pakatan pembangkang. Kini mereka bangkit untuk menagih janji tersebut dan bersedia untuk mengheret kerajaan negeri ke mahkamah setelah hampir lima tahun masih belum ditunaikan walaupun sudah memerintah.
Pemimpin pakatan pembangkang begitu sibuk merancang untuk "ke Putrajaya" tetapi mengetepikan tanggungjawabnya terhadap rakyat yang susah dan menderita. Bahkan, ada laporan sebuah keluarga "terlepas pandang oleh Menteri Besar" di sebuah negeri, terpaksa hidup dalam suasana sukar dan susah sehingga ada ketikanya, tidak mampu membeli beras sedangkan pemimpin berkenaan begitu fasih mempertahankan "negara berkebajikan."
Terbaharu ialah keinginan Menteri Besar Selangor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dua minggu selepas sambutan Tahun Baru Cina. Tujuannya untuk memberikan tekanan kepada Perdana Menteri agar segera membubarkan Dewan Rakyat, ini kerana Menteri Besar sebenarnya tidak lagi mampu bertahan dengan bantahan rakyatnya sendiri.
Selagi beliau tidak membubarkan DUN, selagi itulah dia tertekan dengan kemarahan rakyat yang menagih setiap janji yang pernah dilontarkan ketika berkempen sepanjang PRU12.
Dua tahun lalu, Menteri Besar Selangor mengambil pendirian yang berbeza dan enggan membubarkan DUN sebelum sampai tempoh matang. Jika beliau benar-benar membubarkan DUN pada 25 Januari ini, bermakna Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah terasa peritnya untuk menghabiskan tempoh pemerintahannya yang masih berbaki tiga bulan. Maknanya, dia berada dalam keadaan yang terdesak. Beliau bukan sahaja terdesak untuk melepaskan diri daripada kemarahan rakyat bahkan dari dalam parti sendiri kedudukannya masih belum terjamin.
Itulah antara keburukan kepimpinan pakatan pembangkang yang pernah mendakwa merekalah yang pakar dan mampu menguruskan ekonomi dengan lebih baik. Dakwaan itu hanya sekadar memerangkap minda pengundi kerana realitinya, aset yang diwarisi semakin menipis dan menyusut. Lebih ramai rakyat ternanti-nanti bilakah janji akan ditunaikan kerana sesungguhnya "penantian itu suatu penyiksaan."

Gejolak dalam akar umbi Pas sudah semakin ketara

MUNGKIN pemimpin-pemimpin tertentu di dalam Pas boleh mendabik dada mengatakan apa yang berlaku ke atas Nasharudin Mat Isa tidak akan menjejaskan parti tersebut.
Malahan bagi sesetengah daripada mereka, penyingkiran atau lebih tepat lagi pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas itu dari kerusi Majlis Syura Ulama Pas adalah 'satu rahmat'.
Ini memandangkan bagi mereka seperti mana kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, satu lagi halangan besar semakin hampir untuk dilepasi.
Sememangnya selama ini, mereka melihat Nasharudin adalah halangan dalam usaha mereka memperkukuhkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Segala-galanya bukan kerana Nasharudin menuntut apa-apa kedudukan atau melakukan tindakan yang boleh menjejaskan imej Pas tetapi disebabkan Nasharudin mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas, tegas dalam soal mempertahankan kesucian Islam dan tidak bersedia berkompromi dengan mana-mana juga pihak yang boleh menjejaskan kepentingan Islam.
Namun malangnya, di dalam Pas sekarang seolah-olah tidak boleh ada pemimpin yang bersikap demikian. Justeru tidak hairanlah penulis menerima pelbagai maklum balas daripada penyokong-penyokong tegar Pas berikutan apa yang berlaku.
''Pemecatan Ustaz Nasharudin dari Majlis Syura bukti Pas tunduk kepada desakan DAP. Apa dosa beliau? Bagaimana Pas ingin memperjuangkan Islam jika pemimpin tiada pendirian? Berdosakah mengiringi Perdana Menteri ke Gaza demi Islam."
Itu antara Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima oleh penulis daripada penyokong Pas yang melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap apa yang berlaku ke atas Nasharudin.
Selain itu, satu sumber dalaman Pas memberitahu penulis, ketika ini pemimpin-pemimpin Pas semakin tertekan kerana isu Nasharudin dikatakan menambahkan lagi beban parti itu selepas mereka dilihat tidak berupaya menangani isu kalimah Allah.
''Pas bernasib baik kerana ada orang seperti Datuk Harun Taib dan Datuk Dr. Haron Din yang terus konsisten mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.
''Tetapi saya tidak fikir mereka berada dalam keadaan selesa kerana kedua-dua mereka dikatakan sering sehaluan dengan Nasharudin dalam mempertahankan prinsip perjuangan Pas," kata sumber tersebut ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Penulis difahamkan apa yang meresahkan pemimpin-pemimpin Pas kini ialah gejolak di peringkat akar umbi semakin ketara apabila ada penyokong menganggap masanya sudah tiba untuk mereka memberikan mesej yang jelas kepada kepimpinan parti itu.
''Selama ini, ahli-ahli Pas bersabar apabila kepimpinan parti tetap mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP biar pun mereka lihat ia lebih banyak rugi daripada untung.
''Tetapi kali ini mereka tidak boleh bertahan lagi kerana Pas sudah semakin ketara menggadaikan segala-galanya demi mencapai cita-cita politik dengan kedua-dua parti itu," kata seorang pemimpin muda Pas ketika menghubungi penulis.
Menurut pemimpin muda itu, kepimpinan Pas juga gagal memberikan alasan yang kukuh kenapa Nasharudin digugurkan daripada Majlis Syura, bagi ahli-ahli parti itu alasan kononnya Nasharudin tidak menghadiri mesyuarat hanyalah alasan semata-mata.
''Sejak awal lagi, apabila Nasharudin sanggup berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah, penyokong-penyokong Pas sudah melihat ada sesuatu yang tidak kena.
''Ini memandangkan tidak ada seorang pun pemimpin Pas daripada golongan bukan ulama mempertahankan Nasharudin sebaliknya mereka menganggap itu perbalahan peribadi antara Nasharudin dan Karpal.
''Hujah ini cukup aneh kerana Nasharudin mempertahankan prinsip dan matlamat perjuangan Pas, bukannya soal peribadi. Sejak itu, penyokong-penyokong Pas melihat bahawa ada agenda untuk melihat Nasharudin disingkirkan daripada parti itu," kata pemimpin muda tersebut.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin Pas di peringkat kawasan yang dihubungi penulis mempersoalkan apakah tindakan Nasharudin mengikut Perdana Menteri ke Gaza adalah satu dosa.
''Sepatutnya Pas berbangga biar pun Nasharudin pergi atas nama Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia tetapi semua orang tahu beliau adalah pemimpin Pas, jadi kenapa perlu melihat tindakan beliau satu kesalahan.
''Kalau ada dalam kalangan pemimpin Pas mengatakan lawatan Perdana Menteri itu hipokrit, saya berpendapat Pas lebih hipokrit kerana sanggup mengambil tindakan ke atas mana-mana juga pemimpin mereka yang dilihat berjuang mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas," kata pemimpin Pas itu.
Mungkin Pas akan menganggap bahawa bantahan terhadap pemecatan Nasharudin hanyalah perkara kecil dan dengan angkuh berkata, tidak peduli bekas Timbalan Presiden Pas itu hendak menyertai parti mana sekali pun. Namun percayalah sentimen ini tidak dikongsi oleh sebahagian ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi yang semakin keliru, celaru dan tertanya-tanya apa sudah jadi dengan parti tersebut.
Sebab itulah, satu kajian menunjukkan 95 peratus ahli dan penyokong Pas tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti tersebut khususnya dalam menangani isu kalimah Allah dan dalam soal hubungan dengan PKR dan DAP.
Tidak apalah, jika kepimpinan Pas terus mahu berasa angkuh, sombong dan mendabik dada kononnya penyokong-penyokong tegar mereka tidak akan lari dan akan tetap mengundi mereka, namun penentu kemenangan sesebuah parti bukan bergantung kepada penyokong tegar sahaja tetapi juga kelompok lain.
Dan dalam isu melibatkan Pas khususnya tindak tanduk mereka sejak berkawan dengan PKR dan DAP serta nasib yang menimpa Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharudin, ternyata Pas tidak layak untuk diberikan sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kerana apabila Pas menang, sudah pasti PKR dan DAP yang senang.
Keadaan itu berlaku kerana semua orang tahu sejauh mana keupayaan kepimpinan Pas yang ada sekarang melawan kudrat dan kehendak kedua-dua parti yang cukup kemaruk kuasa tersebut, kesudahannya Pas yang berhasrat menjadi tulang belakang pakatan pembangkang, hanyalah menggigit tulang kerana segala isi pasti akan dimamah oleh PKR dan DAP.
Mungkin penyokong-penyokong Pas akan menganggap apa yang diperkatakan oleh penulis adalah satu lagi usaha memecah belahkan pakatan pembangkang, kalau begitu desaklah supaya Pas dominan dalam pakatan berkenaan, jika itu gagal dicapai maka usahlah bermimpi di siang hari untuk menggantikan UMNO kerana Pas hanyalah pak turut sebab itulah Dr. Hasan dipecat dan Nasharudin 'dibuang' dari Majlis Syura, apa maksud penulis? Fikirlah sendiri!

Perihal DAP mahu pancing anak raja dan pemecatan Nasharudin

PENDEDAHAN bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung usaha DAP memujuk anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz agar menganggotai parti itu mengejutkan banyak pihak.
Ini kerana banyak melihat DAP yang sering kali memperlekehkan raja-raja Melayu itu cuba mempergunakan pengaruh anak raja untuk memancing undi pengundi Melayu.
Blog Badut Rakyat (badutrakyat.blogspot. com) berkata, biarpun penyertaan seorang putera raja ke arena politik bukanlah salah walaupun jarang berlaku, namun perlakuan DAP yang memancing dengan menjanjikan jawatan menteri besar dan juga menteri Kabinet adalah perlakuan yang biadab.
"Apatah lagi dengan prinsip utama DAP yang tidak mengiktiraf institusi raja-raja, maka tindakan tersebut membawa makna bahawa DAP hanya ingin memperalatkan baginda untuk meraih undi Melayu semata-mata dengan keyakinan yang mereka dapat membonekakan baginda sekiranya strategi ini berjaya.
"Mungkin ramai yang masih ingin menepis hakikat ini dan menuduh penulis sebagai rasis dan paranoid. Namun, tidak salah kita mengambil sikap berhati-hati memandangkan sehingga ke saat ini, kita masih tidak mendapat jaminan yang DAP tidak akan meneruskan agenda menghapuskan Artikel 153, sekali gus raja-raja Melayu sekiranya pembangkang memerintah negara," katanya.
Katanya, tawaran DAP kepada Tunku Zain adalah bertitik tolak kepada strategi parti yang monopoli oleh satu kaum sahaja itu semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
"Raja-raja adalah benteng kita, jika raja- raja juga sudah dihina sebegitu rupa dengan rasuah jawatan yang jauh lebih rendah daripada kedudukan baginda, maka apakah kita masih ingin terus percaya kepada DAP?" katanya.
Beruang Biru dalam RBF Online (www. rbfonline.net) pula berkata, tawaran DAP kepada Tunku Zain itu kerana parti tersebut tahu bahawa golongan istana mempunyai pengaruh amat besar terhadap orang Melayu dan sedikit sebanyak boleh membantu memenangkan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
"Inilah sebenarnya strategi DAP untuk menyucikan parti itu daripada stigma anti-Melayu dan anti-Islam yang telah melekat pada tubuh badannya sejak ditubuhkan.
"DAP sanggup memanipulasi keputusan pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat untuk meletakkan seorang 'Melayu celup' menjadi wakil tunggal Melayu walaupun sebelumnya semua calon Melayu kalah teruk.
"DAP berharap jika seorang anak raja boleh diyakinkan untuk bertanding pada PRU-13 nanti atas tiket parti itu, sudah tentu ramai orang Melayu akan terpengaruh," katanya.
Justeru, blog itu mengingatkan kaum Melayu agar tidak terjebak dengan permainan silap mata DAP yang secara luaran menarik hati dengan segala idealisme yang mengasyikkan tetapi akhirnya baru tersedar diri telah tertipu.
NASHARUDIN DIPECAT
BEKAS Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah dipecat keanggotaannya dalam Majlis Syura Pas dengan alasan yang sangat remeh. Malahan Ahli Parlimen Bachok itu juga disahkan tidak tersenarai sebagai calon bagi mempertahankan kerusi yang disandangnya itu.
Walaupun Pas mendakwa pemecatan Nasharudin kerana tidak menghadiri mesyuarat, namun ramai yang melihat tindakan keras parti itu berkaitan penglibatan Nasharudin dalam rombongan Perdana Menteri yang melawat Gaza tempoh hari dan beberapa negara Arab lain sebelum ini.
Zulkifli Noordin (zul4kulim.blogspot.com) berkata, pemimpin dan penyokong Pas sepatutnya merasa bangga kerana Nasharudin ikut serta dalam lawatan bersejarah ke Gaza tersebut.
Ini kerana, ketika tidak ramai pemimpin Pas yang menjejakkan kaki ke bumi Palestin, sudah pasti langkah yang diambil oleh Nasharudin itu akan memberikan kebanggaan kepada Pas yang selama ini tekun menyokong perjuangan rakyat Palestin termasuk mengadakan pelbagai kutipan derma jihad di masjid-masjid dan ceramah.
"Teman pada masa itu cukup yakin pimpinan dan ahli Pas akan buka jubah dan serban dan menghamparkannya di KLIA untuk menyambut wira dan hero mereka pulang daripada bumi Gaza!
"Sudah pasti semua muffler Palestin yang melilit leher mereka selama ini akan kalungkan di leher hero Pas yang baru pulang dari bumi anbia' ini.
"Tetapi tidak! Rupanya para pasrasit berjaya melilit leher tengkuk Ustaz Nasha (Nasharudin) sehingga dipecat daripada Majlis Syura," katanya.
Katanya, pelbagai pendedahan yang dibuka Allah mengenai pekung penyakit di dalam Pas itu sepatutnya membuka mata rakyat terutama umat Melayu dan Islam.
"Semakin hari semakin terserlah kurap- kurap politik di dalam Pas ini," katanya.
Blog Selangor 13 (selangor13.blogspot.com) dalam nada sinis berkata, Majlis Ulama Pas sudah pasti tidak akan memecat Nasharudin jika dia mengikuti lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana, bagi Pas adalah satu dosa besar jika ada pemimpin mereka mengikuti lawatan UMNO dan begitulah nasib yang terjadi ke atas Nasharudin.
"Barangkali dalam pakatan pembangkang ini, kalau nak sokong apa-apa kena ikut Anwar, baru anda selamat. Jika ikut UMNO, anda jadi lepat..
"Agak-agak kalau Ustaz Nasha pergi ke Palestin dengan Anwar kena buang tak? Walhal macam mana ustaz nak pergi kalau pemimpin-pemimpin utama pakatan termasuk Anwar sendiri tak pergi?" katanya.
Lebih pelik lagi, bagaimana Anwar mahu melawat dan menyatakan sokongan terhadap Palestin sedangkan dia sendiri pernah membuat kenyataan menyokong negara Israel.

Kalau janji bukan satu manifesto, apa lagi selepas ini?

Lebih 100 orang ibu tunggal mengadakan bantahan menuntut elaun gaji yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Kenanga, tahun lalu. 
*****
KALAU janji bukan manifesto dan ia tidak wajib dipenuhi maka apakah ertinya berkempen di pentas politik dan menampilkan buku berwarna jingga sebagai satu modal untuk menarik sokongan rakyat.
Kerajaan negeri Selangor difahamkan mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas sambutan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Mei. Langkah ini walaupun tidak menghairankan rakyatnya sekurang-kurangnya membuatkan mereka tidak sabar untuk mendengar manifesto terbaru Pakatan Rakyat sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan selewatnya hujung Mac atau awal April tahun ini.
Kata pujangga, jangan suka mengungkit nanti ada hati yang sakit. Namun jika ditelusuri pentadbiran kerajaan negeri Selangor selama lima tahun kebelakangan ini, tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan manifesto berwarna-warni yang diedarkan sempena PRU ke-12 lepas.
Satu demi satu butiran manifesto dipersoal dan diungkit oleh rakyat, yang menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan dokumen tersebut.
Bukan setakat mempersoalkan kandungan manifesto pakatan rakyat yang dianggotai parti DAP, PKR dan Pas malahan tindakan undang-undang turut diambil oleh rakyat Selangor bagi menuntut janji-janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan.
Rakyat Selangor seramai hampir 6,000 orang menuntut rebat air percuma dari kerajaan negeri Selangor sebagaimana yang diberikan kepada jutaan rakyat negeri tersebut. Alasan rebat air percuma hanya diberikan kepada meter individu dan bukan pengguna meter pukal amat menghiris hati rakyat yang terlibat. Tindakan belah buluh atau berbahagi kasih sayang menunjukkan di mana adilnya parti yang menggelarkan diri mereka PKR.
Selain kes tersebut, kes tuntutan elaun yang dijanjikan di dalam manifesto oleh ibu tunggal menunjukkan rakyat telah muak dengan janji-janji yang tidak ditepati oleh kerajaan PKR. Selama lima tahun ibu tunggal menanti elaun yang dijanjikan, namun sehingga artikel ini ditulis kes tuntutan tersebut masih belum dibicarakan secara penuh di mahkamah.
Namun kemenangan awal terserlah apabila kerajaan negeri Selangor gagal mengetepikan saman yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal baru-baru ini. Kegagalan membatalkan saman tersebut menunjukkan bahawa manifesto adalah satu harapan yang diberikan oleh pihak parti yang bertanding dalam pilihan raya kepada rakyat.
Bagi rakyat Selangor mereka telah membaca, meneliti, membincangkan, mengulas malah menyimpan manifesto tersebut dan menganggap ia sebagai janji yang perlu dipenuhi apabila pihak yang membuat janji mendapat mandat mentadbir Selangor.
Sokongan telah diberi dan mandat telah diterima, namun apa yang mereka dapat hanyalah alasan demi alasan oleh pihak terbabit hingga mereka menjadi bosan. Ibu-ibu tunggal yang menyaman turut kecewa apabila Menteri Besar Selangor yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Abdul Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta bukti kukuh bahawa kesemua ibu tunggal tersebut memberi bukti mereka memangkah Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum 2008.
Soalnya, di manakah kewajaran dan keadilan permintaan itu, bukankah undi itu rahsia dan atas sebab kerahsiaan itu juga maka ada pihak yang sanggup menyarung baju kuning menuntut pilihan raya lebih telus dan adil. Seorang pemimpin pembangkang mahu undi didedahkan kemudian hari manakala satu pihak lagi mahu jari pengundi dicelup dakwat hitam supaya tiada penipuan berlaku.
Inikah dinamakan perjuangan demi menegakkan keadilan?Rakyat dijadikan sepak raga disepak ke sana sini dengan isu dan helah politik atas nama kebebasan bersuara.
Justeru, kepada pemimpin pembangkang yang mengatakan janji manifesto bukan satu kemestian untuk dipenuhi, perlulah menarik kembali kenyataan tersebut. Rakyat Selangor sudah bijak menilai dan mampu menghakimi setiap dokumen yang disajikan kepada mereka setiap kali pilihan raya yang sudah masuk edisi ke 13 pada tahun 2013 ini.
Sekilas ikan di air di Langat 2 yang semakin kering, sudah tahu sama ada ia jantan mahupun betina. Begitu juga dengan manifesto pilihan raya, buku jingga mahupun dasar Kerajaan Pusat kesemuanya adalah menjurus kepada janji.
Ibarat seorang pengantin dan tok kadi. Apabila tok kadi menjalankan upacara akad nikah akan ada ijab dan kabul. Sebelum dinikahkan pengantin lelaki akan bertaklik. Iaitu janji untuk melayani isteri dengan penuh kasih sayang dan tidak akan mencederakannya.
Dalam soal pilihan raya, manifesto adalah taklik dari parti yang bertanding dan ijab dan kabul adalah proses menyetujui kandungan manifesto yang mana pengundi seumpama pengantin perempuan setuju dengan taklik tersebut. Namun hari ini pengundi di Selangor membantah taklik yang dibuat maka jatuhlah talak ke atas kerajaan negeri.
Jika sudah jatuh talak atau taklik di bawa ke mahkamah maka layakkah lagi kerajaan negeri hendak bertaklik sekali lagi sedang pengantin perempuan sudah merajuk?
Jadi begitu keadaannya apakah patut kerajaan yang sama mengeluarkan manifesto sekali lagi?

Hadi Awang semakin angkuh-Puad


SHAH ALAM 1 Feb. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai angkuh apabila membuat kenyataan parti itu tidak boleh bekerjasama dengan UMNO.
Beliau berkata, kenyataan Abdul Hadi itu juga jelas menggambarkan pemimpin Pas berkenaan tidak berfikir secara matang dan berpandangan jauh dalam arena politik.
"Sikap Abdul Hadi itu juga jelas menunjukkan dia seorang pemimpin politik yang sudah tidak relevan pada masa kini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Karangkraf 2013 di sini hari ini.
Mohd Puad mengulas kenyataan Abdul Hadi yang dilapor sebuah akhbar hari ini bahawa Pas tidak boleh bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam perkongsian kuasa di negara ini kerana parti itu (BN dan Umno) tidak tahu memerintah.
Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata sikap Pas itu juga jelas tersasar dengan pendirian parti yang kononnya memperjuangkan Islam apabila sanggup bekerjasama dengan DAP yang berbeza agama tetapi menolak UMNO.
Sementara itu, Mohd Puad turut mencabar Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh mengambil tindakan terhadap beberapa penyokong PAS yang baru-baru ini mengadakan demonstrasi membantah gesaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
"Saya telah kenal pasti tiga daripada mereka yang terlibat adalah anggota Pas yang turut memijak poster Guan Eng dan lambang parti DAP, jadi Karpal sebagai peguam patut ambil tindakan dan desak untuk memecat mereka yang terlibat," katanya. - BERNAMA

7,531 PDM mula beroperasi

JASIN 1 Feb. - Sebanyak 7,531 Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di seluruh negara mula beroperasi hari ini.
Ketua Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Maslan berkata, setiap negeri wajib membuka PDM bagi menjalankan gerak kerja sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bilik Gerakan PDM Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai hari ini. - UTUSAN

Pastikan mandat lebih kukuh

Najib Tun Razak sempat menepuk mesra salah seorang penduduk yang terharu dengan keramahan beliau ketika menghadiri Mesyuarat Bersama Kepimpinan UMNO Negeri di pejabat parti itu di Alor Setar, Kedah semalam. - BERNAMA
*****
ALOR SETAR 31 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sasaran Barisan Nasional (BN) untuk memastikan meraih mandat yang lebih kukuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bertujuan membolehkan parti itu memberi khidmat bakti lebih hebat kepada rakyat.
Perdana Menteri berkata, melalui mandat tersebut BN dapat melakukan pelbagai perubahan terancang dan menentukan pertumbuhan dalam sektor tertentu dengan lebih pesat bagi mengembangkan lagi ekonomi serta meningkatkan pendapatan negara.
“Bila negara ada pelaburan besar, hasil kerajaan pun bertambah, bila hasil tambah, kita buat apa? Kita bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bagi bantuan untuk pelajar, bagi untuk orang muda dan pelajar universiti, itu setakat ini.
“Kita boleh buat dengan lebih hebat pada masa akan datang kalau dapat mandat yang lebih kukuh daripada rakyat, kemakmuran negara akan diberikan kepada rakyat, inilah falsafah BN.
“Kita kena bagi faham sebab pembangkang tak faham. Kita kena terus berjuang pastikan BN dapat mandat yang besar," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 rakyat negeri itu yang menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.
Yang turut menyambut ketibaan beliau ialah Pengerusi Badan Perhubungan BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Pengerusi MCA negeri, Datuk Chong Itt Chew dan Timbalan Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Najib berkata, pelabur asing terus yakin untuk melabur di negara ini dan yang terbaharu Qatar Holding LLC (Qatar Holding) melabur RM2 bilion bagi membina Harrods Kuala Lumpur dan membelanja RM2.5 bilion untuk membina Four Season Place Kuala Lumpur.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan rakyat, sesuatu perubahan yang dilakukan secara mendadak dan tanpa dirancang boleh mendatangkan kesan tidak baik berbanding yang sedia ada hari ini.
“Saya berada di Mesir baru-baru ini, walaupun keadaan tenang semasa saya di sana, tetapi selepas itu bergolak balik.
“Saya bukan menidakkan Presiden Mesir, Mohamed Morsi. Morsi menerima saya dengan baik, dia seorang kawan, tetapi kesan daripada perubahan yang tidak dapat dikawal menyebabkan nilai mata wang merudum, inflasi meningkat, industri pelancongan hampir lumpuh, keadaan keselamatan pun tak terjamin, malah Medan Tahrir bergolak," katanya.
Pada majlis sama, Najib turut berkongsi pengalaman beliau sewaktu berada di Gaza dan meminta rakyat negeri itu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Palestin dengan terus menjaga keharmonian kaum di negara ini.
Sementara itu, Najib mahu jentera pilihan raya BN di semua peringkat melakukan gerak kerja secara lebih sistematik bagi meningkatkan lagi usaha menawan semula Kedah pada PRU-13.
Dalam pertemuan dengan Ketua-ketua UMNO bahagian negeri, Perdana Menteri juga menekankan tentang pentingnya setiap pemimpin bersatu padu dan memberikan fokus kepada pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Tukar kerajaan undang bencana...

Dr. Mahathir Mohamad memotong kek ulang tahun ke-20 Institut Kepimpinan Strategik Asia di Hotel Sunway, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI 
*****
KUALA LUMPUR 31 Jan. - Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya hanya kemenangan majoriti dua pertiga oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti mampu melonjakkan transformasi negara dan ekonomi yang digarap oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Justeru, bekas Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya bersedia untuk menerima padah yang bakal menanti sekiranya mahu melakukan perubahan atas sebab mahu melihat pertukaran kerajaan semata-mata.
Menurut beliau, pertukaran kerajaan akan menyaksikan perubahan radikal, sekali gus boleh merencatkan keseluruhan pergerakan proses pembangunan negara.
"Pertukaran akan hanya mengundang bencana kerana menyebabkan ketidaktentuan dalam pelbagai aspek, politik, kestabilan negara dan ekonomi. Adakah rakyat bersedia untuk menerima akibat ini? Fikirlah baik-baik," tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan tengah hari anjuran Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI), di sini hari ini.
Majlis sempena sambutan ulang tahun ke-20 ASLI itu turut dihadiri oleh isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Presiden ASLI, Mirzan Mahathir dan Ketua Pengawai Eksekutif ASLI, Tan Sri Michael Yeoh.
Dr. Mahathir berkata, rakyat Malaysia boleh menjadikan kisah pertukaran pemerintahan di Uganda sebagai iktibar.
"Rakyat Uganda pernah menolak kerajaan Milton Obote dan memilih Idi Amin atas alasan Obote tidak mesra rakyat meskipun pemerintahannya cukup baik.
"Akibatnya, pemilihan Amin mengakibatkan Uganda kucar-kacir dan akhirnya rakyat menderita. Begitu juga dalam pemilihan Barrack Obama dengan alasan rakyat Amerika Syarikat mahukan perubahan kerajaan yang lebih baik.
"Memanglah selepas dua hari kemenangannya, Obama membuat keputusan drastik dengan menutup penjara Guantanamo tetapi sampai hari ini penjara itu masih berpenghuni.
"Apa yang boleh saya katakan ialah bukan mudah untuk melakukan perubahan apatah lagi apa yang ada sudah terlalu kukuh," katanya.
Tegas beliau, rakyat perlu sedar, pakatan pembangkang langsung tidak mempunyai agenda terhadap pembangunan negara berbanding Kerajaan BN.
Beliau yakin dan percaya hanya Kerajaan BN mampu melaksanakan kepimpinan yang lebih baik sekiranya diberikan majoriti besar dalam PRU-13 nanti.
"Saya akui bukan mudah bagi Perdana Menteri untuk memerintah negara dalam keadaan majoriti lemah. Dalam keadaan sekarang, Najib terpaksa menghadapi permintaan dan gangguan pelbagai pihak sehingga menjejaskan tumpuan kepada perkara lain.
"Saya tahu orang akan tuduh saya berat sebelah dalam perkara ini, tetapi perkara ini perlu diakui, terlalu banyak gangguan politik memang tidak baik untuk negara," katanya.

Tun M akui Anwar terlibat dalam 'projek IC'

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak penglibatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pemberian kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah.
Bekas Perdana Menteri berkata, perbuatan Anwar itu di luar pengetahuannya kerana tidak pernah memberi arahan tersebut.
"Projek IC (kad pengenalan) itu boleh berlaku tanpa pengetahuan dan arahan daripada atasan.
"Anwar ketika itu memang mempunyai kuasa tetapi apa yang berlaku tidak semestinya atas arahan.
"Beliau (Anwar) selalu membuat perkara yang bertentangan dengan arahan. Dan, kadangkala perbuatannya lebih daripada arahan yang dikeluarkan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis makan tengah hari anjuran Institut Kepimpinan Strategik Asia sempena ulang tahun ke-20 badan pemikir itu, di sini hari ini.
Dr. Mahathir sebelum ini dituduh memberikan kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah sebagai ganti undi.
Ditanya adakah beliau mempunyai bukti tentang perkara tersebut katanya; "Kadangkala kita tahu apa yang berlaku cuma tidak ada bukti untuk ditunjukkan.''
Katanya, beliau bersedia untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin di Sabah jika dipanggil.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) kerana perbelanjaan domestik negara cukup kukuh.
Dr. Mahathir berkata, meskipun begitu, negara amat bertuah kerana pelabur asing terus-menerus mengintai peluang untuk menjalankan perniagaan di sini.
Menurut beliau, yang menariknya, pelabur mengintai masuk ke Malaysia bukan sekadar membuat pelaburan berjuta-juta sebaliknya berbilion-bilion.
"Ini menunjukkan pelabur asing cukup berkeyakinan dengan ekonomi dan kestabilan negara ini," katanya.
Katanya, keupayaan negara mencatatkan kadar keluaran dalam negara kasar melebihi lima peratus sangat membanggakan berbanding pertumbuhan Amerika Syarikat iaitu tidak sampai satu peratus dan negara Eropah kini dalam kemelesetan ekonomi.
"Jika fakta itu tidak cukup meyakinkan, kita boleh melihat banyak kren di tengah-tengah bandar di seluruh negara, sebagai tanda projek pembinaan giat dijalankan," katanya.
"Hotel mahupun kondominium yang berada di tengah-tengah bandar pula terang-benderang, menunjukkan bilik mereka ditempah dan kediaman pula berpenghuni.
"Apabila kediaman berpenghuni, ini membawa maksud pembelian rumah bukan untuk tujuan spekulator dan saya yakin Malaysia tidak berhadapan dengan masalah ini.
"Saya berpendapat pakar ekonomi boleh menjadikan teori ini sebagai pertunjuk bahawa ekonomi Malaysia cukup kukuh dan berdaya saing," katanya sambil disambut tepukan daripada lebih 2,000 hadirin.
Beliau yakin pertumbuhan Malaysia akan terus konsisten dan berada pada tahap tertinggi sekiranya negara berjaya mencapai sasaran 70 juta orang penduduk.
"Kalau kita mempunyai pasaran domestik besar, saya yakin pertumbuhan negara akan lebih pantas," katanya.

Pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas dapat liputan akhbar asing

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Pemecatan Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa (gambar) daripada Majlis Syura Ulama Pas bukan sahaja menggegarkan politik tanah air, malah mendapat perhatian akhbar luar negara, The Australian.
Dalam artikel ditulis oleh Pengarang Asia Pasifik akhbar berkenaan, Rowan Callick, pemecatan itu dikatakan ekoran tindakan Nasharudin menyertai lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza, Palestin sebagai tetamu Hamas, baru-baru ini.
Artikel itu turut memetik kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu: "Pas tidak seharusnya mengutamakan politik sehingga memecat Nasharudin. (Lawatan ke Gaza) sepatutnya dijadikan model kerjasama untuk orang melihat Muslim Malaysia, walaupun dari pembangkang, dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk membawa mesej keamanan sejagat."
Artikel yang disiarkan di laman web http://www.theaustralian.com.au itu kemudiannya merujuk kepada pensyarah Sains Sosial University of New South Wales, Australia, Clive Kessler yang memberitahu lawatan Najib itu didorong oleh senario politik tempatan berikutan pilihan raya umum yang semakin tiba.
Menurut Kessler, Najib cuba menampilkan dirinya sebagai 'Pejuang Islam' di sebalik cubaannya sebelum ini untuk menjadi jaguh dalam gerakan kesederhanaan antarabangsa.
Katanya, ia juga bertujuan meneruskan sokongan Mahathir yang mana anaknya, Datuk Mukhriz telah melawat ke Gaza baru-baru ini di samping mempromosikan reputasi Malaysia sebagai contoh negara Islam walaupun kedudukannya jauh dari Asia Barat.
Kessler memberitahu, perkara itu adalah versi Malaysia dalam 'budaya merendah diri'.
Paling penting, kata Kessler, lawatan itu sedang digunakan sama ada untuk memecahkan parti Pas atau menarik penyokongnya meninggalkan parti itu dan mengundi UMNO pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, berikutan keputusan tidak memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum 2008, UMNO menyedari ia perlu mendapat kembali kedudukan yang memperoleh sokongan masyarakat Islam Melayu.
Katanya, lawatan ke Gaza itu berbentuk 'kesucian' dalam politik dan seterusnya menjadikan UMNO lebih mengutamakan Melayu dan Islam.
Ditambah dengan penegasan menerusi pemerintahan beraja di negara ini, keadaan mungkin akan menampakkan Pas meminggirkan pakatan pembangkang dan menuju kepada UMNO.

Pas dicabar buktikan bukan ahli pijak bendera DAP

BUKIT MERTAJAM 31 Jan. - Pas dicabar untuk membuktikan bahawa pihak yang membuat demonstrasi serta memijak bendera DAP di hadapan pejabat Pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini bukan ahli parti itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Pas tidak boleh berdiam diri dan perlu menjawab dakwaan Karpal bahawa kumpulan itu bukan ahli Pas.
Menurutnya, dakwaan Karpal itu juga seolah-olah ingin menutup masalah hubungan dengan Pas terutama mengenai isu kalimah Allah.
"Saya juga nak tanya Karpal sama ada beliau boleh kenal seseorang itu ahli Pas atau tidak apabila mendakwa kumpulan terbabit bukannya ahli Pas tetapi orang upahan pihak tertentu.
"Saya juga nak cabar Pas supaya ambil tindakan terhadap ahli-ahli Pas ini sama seperti tindakan yang dikenakan terhadap Nasharudin Mat Isa (bekas Timbalan Presiden Pas)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Menangani Isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di sini hari ini.
Mohd. Puad turut melahirkan rasa hairan dengan tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyambut hari lahir ke-82 di rumah Karpal baru-baru ini.
"Nik Aziz juga kena berkata benar sama ada pernah potong kek hari lahir sepanjang hidupnya atau dibuat sebab takutkan Karpal,'' ujarnya..

Pembangkang dikutuk politikkan kematian William

IPOH 30 Jan. - Ketika seluruh negara bersimpati dengan insiden malang yang menimpa William Yau Zhen Zhong, 6, parti pembangkang pula terus mempolitikkan isu tersebut sehingga pada tahap dilihat menghina kematian kanak-kanak malang itu.
Sebuah portal berita propembangkang, Malaysia Chronicle dalam satu artikelnya semalam menggunakan ayat dari kitab Matius 24:28 yang bermaksud 'di mana ada bangkai, di situ burung-burung hering akan berkumpul' bagi memperlekehkan belas kasihan pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap William.
Malah perasaan simpati yang ditunjukkan pemimpin BN digambarkan sebagai mengambil kesempatan meraih keuntungan politik dan menyalahkan kerajaan atas kematian tersebut.
Artikel itu kemudiannya dikongsi Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitternya berbunyi: The Carcass Gatherers: BN politicians rush to cash in on William's death (Himpunan bangkai: Ahli-ahli politik BN berkejar raih keuntungan politik atas kematian William)."
Pemimpin Pas itu turut berkongsi pautan artikel berkenaan dalam laman sosial tersebut.
Tindakan Mohammad Nizar itu bagaimanapun dibidas seorang pengikut beliau yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak bertamadun.
"Showing sympathy is bad? You call William's remains a carcass. Uncivilized. (Tunjukkan simpati itu tidak baik? Kamu kata mayat William bangkai. Tidak bertamadun)," kata Rais Hussin seperti dipetik daripada akaun Twitter Mohammad Nizar.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika mengulas mengenai kenyataan Mohammad Nizar itu berkata, walaupun pemimpin Pas berkenaan berkongsi pautan portal tersebut, beliau sepatutnya perlu lebih sensitif terhadap perasaan keluarga William.
Zambry turut mempersoalkan adakah tindakan pemimpin BN melahirkan rasa simpati terhadap keluarga William dianggap sebagai sesuatu yang amat teruk.
"Ini amat keterlaluan kepada keluarga mangsa. Adakah kita tidak ada jiwa kemanusiaan langsung. Kalau ikut cara dia, seolah-olah tidak ada rasa simpati, tidak kira sama ada anda pembangkang atau kerajaan, kita semua manusia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Zambry, beliau tidak hairan dengan tindakan terbaharu Mohammad Nizar itu kerana pemimpin Pas berkenaan sememangnya merupakan seorang yang pelik.

Hasan Ali anggap tindakan terhadap Nasharuddin terlalu kejam

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Pemecatan Nasharudin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama Pas disifatkan sebagai terlalu kejam kerana ia dilakukan tanpa sebarang pertuduhan ataupun memberi peluang kepada bekas Timbalan Presiden Pas itu membela diri.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, tindakan pucuk pimpinan Pas itu amat mengecewakan kerana ia dibuat tanpa sebarang notis dan ia diumumkan selepas Nasharudin pulang dari Gaza, Palestin.
"Saya juga dipecat dari Pas tanpa sebarang pertuduhan, sekarang sudah setahun lapan bulan dan saya masih tidak tahu apa salah saya dan saya yakin Ustaz Nasha pun tidak tahu apa salahnya.
"Baru-baru ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah meminta waktu sejam penuh dalam siaran televisyen untuk membela diri berikutan isu Amanat Haji Hadi.
"Dia minta satu jam tetapi Hasan Ali dan Ustaz Nasha tidak diberi walau seminit untuk membela diri, terus dipecat," katanya ketika berucap pada program Fakta Sahih: Jom Tolak Pakatan di Bandar Baru Bangi, di sini malam tadi.
Yang turut hadir Presiden Pertubuhan Nambikai, Kalai Vanar; bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Abdul Ghani Haroon serta Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal.
Menurut Hasan, sekiranya penyertaan Nasharudin dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza dijadikan alasan pemecatan, perkara itu tidak wajar kerana lawatan tersebut berbentuk kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam.
"Dalam usia Ustaz Nasha semuda 30-an, bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor sudah nampak potensinya dan mahukannya menjadi Setiausaha Agung Pas.
"Ilmu Ustaz Nasha juga tinggi, saya boleh kata dalam seluruh Pas, tiada siapa boleh bercakap bahasa Inggeris dan bahasa Arab sefasih Ustaz Nasha," katanya yang merupakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor.
Beliau percaya nasib yang menimpa Nasharudin itu kerana ketegasannya mempertahankan akidah umat Islam dalam isu kebebasan beragama yang dicetuskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar serta isu kalimah Allah yang dipolitikkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pilih calon Islam UMNO

KOTA BHARU 31 Jan. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas kawasan Gaal, Datuk Dr. Nik Mazian Mohamad menyeru umat Islam supaya memilih calon Islam daripada UMNO sekiranya calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang bertanding dalam pilihan raya umum ini bukan beragama Islam.
Beliau yang bercakap kepada portal berita Mole.my berkata, adalah lebih baik mengundi calon Islam bagi memastikan prinsip agama itu dapat dipertahankan.
"Dalam memilih calon Islam UMNO dan calon PKR, pengundi perlu membuat penilaian siapa lebih baik. Jika calon PKR itu bukan Islam maka lebih baik pengundi memilih calon UMNO untuk memastikan kepentingan Islam terbela dan terpelihara," katanya kepada portal tersebut.
Pada 15 November lalu, Pas yang memilih bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk mencapai matlamat politiknya mengarahkan ahli-ahli parti itu supaya mengundi calon-calon bukan Islam dalam kalangan pakatan pembangkang.
Nik Mazian yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Pasir Puteh bagaimanapun menekankan umat Islam wajib memilih calon Pas yang memperjuangkan Islam di negara ini.

Tuduhan Mahfuz berasaskan surat palsu

PUTRAJAYA 31 Jan. - Dakwaan mengenai kewujudan surat pekeliling Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengarahkan kad pengenalan tidak dikutip dihantar ke Sabah untuk pelupusan adalah tidak berasas dan hanya bersandarkan surat palsu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, siasatan JPN menunjukkan surat pekeliling yang ditunjukkan Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar itu adalah palsu dan tidak dikeluarkan jabatan tersebut.
''JPN mengesahkan surat itu palsu dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd. Said telah membuat laporan polis semalam.
''Ini menunjukkan Mahfuz telah membuat tuduhan berasaskan sepucuk surat yang palsu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Imigresen di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Mahfuz dalam satu sidang akhbar semalam mendakwa JPN melalui surat pekeliling bertarikh 14 Disember lalu telah mengarahkan semua kad pengenalan yang tidak dikutip pemohon melebihi 18 bulan dihantar ke satu alamat di Keningau, Sabah.
Hishammuddin berkata, orang ramai diminta supaya tidak bertindak melulu dan menerima segala tuduhan yang tersebar terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
''Beri masa kepada pihak berkuasa untuk mengesahkan maklumat itu. Tuduhan tidak berasas jika dieksploitasi adalah cukup berbahaya terutamanya kalau menyentuh agama dan perkauman.
''Kita pasti akan membawa individu yang bersalah ke muka pengadilan jika dakwaan berkenaan benar, tetapi banyak tuduhan itu adalah tidak berasas," katanya.
Mengulas isu kematian C. Sugumar di dalam tahanan polis, Hishammuddin berkata, pelbagai maklumat yang digerak-gemburkan melalui media sosial adalah tidak berasas.
''Saya cadangkan kepada Ketua Polis Negara untuk mewujudkan unit khas untuk jawab dakwaan-dakwaan seperti ini dengan secepat mungkin
''Begitulah keadaannya menjelang pilihan raya dan mereka akan beralih dari satu isu kepada isu lain," katanya.
Menurutnya, beliau telah menjemput dua menteri dari MIC iaitu Datuk Seri G. Palanivel dan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam untuk mengunjungi Bukit Aman bagi memahami kes tersebut.

Pastikan tiada elemen rasuah dalam kes Anwar-Nalla

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Pihak berkuasa perlu memastikan kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan berhubung dakwaan Ketua Pembangkang itu biseksual bebas daripada sebarang elemen rasuah atau peras ugut.
Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, di samping itu, badan kehakiman negara juga perlu mempercepatkan proses perbicaraan berkenaan demi kepentingan rakyat.
Katanya, keadaan ini kerana rakyat sudah tidak sabar untuk mendengar keterangan isteri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali iaitu Shamsidar Taharin yang dikaitkan dalam kes berkenaan.
"Rakyat tidak sabar mendengar keterangan Shamsidar mengenai hubungan sulit antara beliau dan Anwar seperti didakwa Nallakaruppan. Kita harap Azmin tidak akan mengupah berpuluh ribu orang untuk serbu mahkamah bagi menghalang Shamsidar naik ke kandang saksi.
"Kita juga mahu tahu mengapa Anwar suka pakai rambut palsu yang ditempah khas dari India apabila keluar malam dengan Nallakaruppan satu ketika dulu," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.
Anwar memfailkan saman fitnah ke atas Nallakaruppan serta Utusan Melayu (M) Berhad pada 26 Mac tahun lalu ekoran petikan ringkas di muka hadapan Utusan Malaysia pada 20 Mac tahun lalu bertajuk 'Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla' dan berita penuh di muka surat enam bertajuk 'Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual'.
Nallakaruppan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Mei lalu pula menyenaraikan kira-kira 10 orang merangkumi wanita dan lelaki bagi membuktikan dakwaannya berhubung seksualiti bekas rakan baiknya itu.
Antara wanita yang dikaitkan dengan Anwar, dakwa Ahli Dewan Negara itu dalam dokumen tersebut ialah Shamsidar, Norlaila Abdul Majid dan Soma Rodrigo @ Anne.
Nama lain yang turut dikaitkan oleh Nallakaruppan ialah Mior Abdul Razak, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, Dr. Munawar Ahmad Anees, Azizan Abu Bakar, Ismail Mat Rabi @ Ismail Harun, Hairany Mat Nafees dan seorang bernama Rashid.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini menetapkan tarikh perbicaraan kes itu pada 13, 14 dan 15 Februari ini.
Aminah berpendapat, Nallakaruppan juga boleh mendedahkan perkara itu di luar mahkamah bagi memastikan tiada sebarang kelewatan.
"Kita meminta penjelasan dari Nallakaruppan mengenai perkara ini secepat mungkin sama ada di dalam atau di luar mahkamah. Rakyat Malaysia perlu tahu episod rambut palsu Anwar sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.

1 Februari 2013

DAP 'jaguh' sekat media

KUALA LUMPUR 30 Jan. - DAP akan menjadi jaguh dalam menyekat kebebasan bersuara terutama melibatkan media jika pakatan pembangkang dapat menguasai Kerajaan Pusat dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengingatkan perkara itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) berkata, DAP tidak kisah atau melompat jika media menyiarkan laporan yang 'menghentam' Pas atau PKR.
Tetapi katanya, kepemimpinan parti itu akan melenting kalau mereka diusik meskipun laporan itu berlandaskan fakta.
"Kebebasan media ala Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pulau Pinang memperlihatkan cara beliau mendominasi satu-satu media.
"Itu bukan pendirian beliau sahaja tetapi sebenarnya kepemimpinan DAP. Dia bagi alasan semua media arus perdana adalah alat UMNO untuk menjatuhkan Kerajaan DAP Pulau Pinang, sedangkan media membuat tugas hakiki mereka melaporkan kebenaran.
"Jika media yang dikatakan alat UMNO itu melaporkan sesuatu penyelewengan di Pulau Pinang, isu tersebut akan diputarbelitkan oleh Guan Eng hanya kerana media tersebut bukan 'tokong' kepada Guan Eng," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Guan Eng yang mengelak untuk memberi sebarang ulasan ketika berhadapan dengan akhbar The Star dan memilih memberi kenyataan secara bertulis sahaja kerana bimbang kenyataannya akan diputar belit.
Menurutnya, Guan Eng sentiasa 'mencabul' hak kebebasan media yang kononnya diperjuangkan oleh pemimpin pembangkang selama ini dengan mengadakan sekatan terhadap beberapa media di Pulau Pinang.
"Slogan kebebasan bersuara hanya retorik murahan DAP dan pakatan pembangkang. Bayangkan, baru empat tahun memerintah pelbagai sekatan luar biasa telah dikeluarkan oleh mereka terhadap media yang menyokong kerajaan.
"Sebelum 2008, mereka cuba menjadi jaguh kebebasan media, kebebasan bersuara dan sebagainya, kenapa pula sekarang ini tiba-tiba mereka menjadi marah dengan kebebasan media yang diamalkan oleh media arus perdana," jelasnya.
Tunku Aziz juga mendakwa, sekatan terhadap media akan bertambah parah sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat penuh untuk memerintah negara.
"Kebebasan media yang ada kini akan terus lenyap sekiranya pembangkang memerintah, mereka akan cuba untuk memansuhkan media arus perdana yang sedia ada atas alasan media tersebut berat sebelah," ujarnya.

Pembangkang dikutuk politikkan kematian William

IPOH 30 Jan. - Ketika seluruh negara bersimpati dengan insiden malang yang menimpa William Yau Zhen Zhong, 6, parti pembangkang pula terus mempolitikkan isu tersebut sehingga pada tahap dilihat menghina kematian kanak-kanak malang itu.
Sebuah portal berita propembangkang, Malaysia Chronicle dalam satu artikelnya semalam menggunakan ayat dari kitab Matius 24:28 yang bermaksud 'di mana ada bangkai, di situ burung-burung hering akan berkumpul' bagi memperlekehkan belas kasihan pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap William.
Malah perasaan simpati yang ditunjukkan pemimpin BN digambarkan sebagai mengambil kesempatan meraih keuntungan politik dan menyalahkan kerajaan atas kematian tersebut.
Artikel itu kemudiannya dikongsi Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitternya berbunyi: The Carcass Gatherers: BN politicians rush to cash in on William's death (Himpunan bangkai: Ahli-ahli politik BN berkejar raih keuntungan politik atas kematian William)."
Pemimpin Pas itu turut berkongsi pautan artikel berkenaan dalam laman sosial tersebut.
Tindakan Mohammad Nizar itu bagaimanapun dibidas seorang pengikut beliau yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak bertamadun.
"Showing sympathy is bad? You call William's remains a carcass. Uncivilized. (Tunjukkan simpati itu tidak baik? Kamu kata mayat William bangkai. Tidak bertamadun)," kata Rais Hussin seperti dipetik daripada akaun Twitter Mohammad Nizar.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika mengulas mengenai kenyataan Mohammad Nizar itu berkata, walaupun pemimpin Pas berkenaan berkongsi pautan portal tersebut, beliau sepatutnya perlu lebih sensitif terhadap perasaan keluarga William.
Zambry turut mempersoalkan adakah tindakan pemimpin BN melahirkan rasa simpati terhadap keluarga William dianggap sebagai sesuatu yang amat teruk.
"Ini amat keterlaluan kepada keluarga mangsa. Adakah kita tidak ada jiwa kemanusiaan langsung. Kalau ikut cara dia, seolah-olah tidak ada rasa simpati, tidak kira sama ada anda pembangkang atau kerajaan, kita semua manusia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Zambry, beliau tidak hairan dengan tindakan terbaharu Mohammad Nizar itu kerana pemimpin Pas berkenaan sememangnya merupakan seorang yang pelik.

Kemesraan Karpal, Nik Aziz lakonan semata-mata

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kemesraan yang diperlihatkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh, disifatkan tidak lebih daripada lakonan kedua-dua belah pihak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berpendapat, agak sukar untuk melihat keikhlasan dalam kerjasama politik kedua-dua pemimpin parti pembangkang itu kerana masing-masing mempunyai ideologi yang terlalu berbeza dan penyokong fanatik tersendiri.
"Mereka boleh berlakon supaya masyarakat tengok tiada masalah tetapi realitinya saya fikir mereka susah untuk menyelesaikan dan menyelaraskan pendirian mereka.
"Dalam hal ini, mereka tidak lagi mengira untung rugi kerana matlamat mereka hanya satu iaitu untuk menjatuhkan UMNO, kehendak masing-masing memang berbeza tetapi mereka berpakat asalkan UMNO hancur," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam laporan berita propembangkang, Malaysiakini pada 27 Januari lalu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan membuat 'kejutan' apabila menyambut hari jadi yang ke-82 di rumah Karpal di Jalan Scotland, Pulau Pinang.
Portal berita itu juga melaporkan, Nik Abdul Aziz memotong kek sempena ulang tahun kelahirannya sambil disaksikan pemimpin DAP, Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut Nakhaie, dengan PRU-13 semakin hampir, beliau tidak terkejut untuk melihat lebih banyak lakonan menarik daripada pemimpin-pemimpin parti pembangkang.
"DAP kita tahu menuntut hak kesamarataan semua kaum, tiada hak istimewa orang Melayu, bumiputera dan kedudukan agama Islam, pendek kata acuan yang sama seperti Singapura.
"Pas pula menggunakan Islam sebagai slogan dan retorik dalam kehendak jelas mereka untuk memusuhi UMNO," katanya.
Mengulas lanjut kata Nakhaie, beliau melihat kelebihan kini diperoleh DAP berikutan Pas telah banyak melonggarkan asas perjuangan mereka termasuk dalam soal pelaksanaan hukum hudud, penubuhan negara Islam dan kalimah Allah.
"Orang akan terus tertanya macam mana Nik Abdul Aziz boleh anggap merayakan Maulidur Rasul sebagai bidaah tetapi dia pula boleh merayakan hari jadi dia, ini antara lakonan-lakonan yang kita akan nampak," katanya.