9 Jun 2013

969 bukan nombor bertuah

TAKSUB kepada nombor bukan satu perkara yang terhad kepada masyarakat Asia semata-mata tetapi ia merupakan fenomena yang menjangkau kawasan lebih luas di setiap sudut dunia.
Malahan dalam kalangan negara maju seperti di Eropah, masih terdapat golongan yang sensitif nombor.
Di China, nombor 3 dan 8 dialu-alukan kerana membawa makna hidup dan kaya. 4 pula merupakan nombor yang perlu dielakkan kerana ia membawa bunyi maut.
Nombor 9 bagaimanapun merupakan nombor kontroversi. Ia dianggap nombor bertuah di China kerana berbunyi lama dan berpanjangan. Di Jepun, 9 bagaimanapun dianggap sebagai nombor malang yang membawa maksud penderitaan.
Di benua Eropah pula, nombor 17 dianggap nombor kurang bertuah kerana dalam bahasa Latin ia membawa bunyi berakhirnya hayat seseorang. Bertentangan dengan 17, 13 dianggap sebagai nombor bertuah di Itali.
Namun bukan semua orang boleh menerima 13 sebagai nombor bertuah kerana ramai yang melihat nombor itu sebagai nombor malang. Di sesetengah tempat, 13 hari bulan yang jatuh pada Jumaat dianggap sebagai hari paling teruk dalam sebulan.
Pada hari ini, taksub kepada nombor telah berkembang kepada perkara yang jauh lebih serius malahan membimbangkan. Nombor atau gabungan nombor tertentu bukan sahaja boleh melambangkan identiti sesuatu kaum, malahan ia menyembunyikan maksud kesangsian, perkauman malahan kebencian.
Di Myanmar, nombor 969 telah digunakan sebagai lambang oleh penganut agama Buddha yang fanatik untuk menentang nombor 786 yang dikatakan menjadi lambang segelintir orang Islam.
Kenapa nombor-nombor itu dipilih sebagai lambang yang dikaitkan dengan agama sukar dijelaskan, namun yang ingin ditegaskan ialah segelintir penganut Buddha Myanmar begitu taksub kepada 969 terutamanya selepas beberapa kejadian rusuhan kaum berlaku di negara rantau Asia Tenggara itu.
Rusuhan itu dilaporkan terus merebak di mana bermula dari Rakhine, merebak ke Meiktila sebelum menghampiri Yangon yang merupakan bandar terbesar. Apa yang mengejutkan, bandar Lashio yang berhampiran dengan sempadan Myanmar-China juga tidak terkecuali daripada rusuhan antara orang Islam dan Buddha.
Rusuhan di Lashio membawa satu mesej yang teramat signifikan yakni rusuhan agama di Myanmar semakin berleluasa dan tidak boleh dipandang sebagai kes terpencil. Rusuhan yang bermula di kawasan sempadan Myanmar-Bangladesh, kini merebak ke kawasan sempadan Myanmar-China.
Di sebalik rusuhan agama di Myanmar, nombor 969 memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Di mana sahaja terdapat 969, di situlah ketegangan kaum dikesan dan ketegangan itu mungkin bertukar bentuk kepada rusuhan pada bila-bila masa.
Nombor 969 merupakan lambang bahawa orang Islam tidak dialu-alukan. Sekiranya nombor ini dipaparkan di premis perniagaan, maka ia bermakna pemilik kedai itu tidak berhasrat untuk berjual beli dengan orang yang beragama Islam.
969 menjadi popular selepas seorang sami Buddha mengajak penganut Buddha tidak membeli-belah di kedai peniaga beragama Islam kerana kekayaan orang Islam dikatakan akan memusnahkan agama dan penganut Buddha di Myanmar.
Pengaruh 969 tidak harus dipandang rendah kerana polis Malaysia turut mengesan kemunculan gerakan ini di sekitar Lembah Klang. Beberapa pergaduhan antara warganegara Myanmar termasuk yang menyebabkan kematian telah berlaku di Pasar Borong Selayang yang menjadi tumpuan pelbagai etnik Myanmar.
Fenomena fobia Islam bukan perkara baharu di Myanmar terutamanya di kawasan sempadan Myanmar-Bangladesh. Kadar kelahiran yang tinggi dalam kalangan etnik Rohingya selain kemasukan pendatang beragama Islam dari Bangladesh di wilayah itu menjadi kebimbangan etnik Rakhine yang beragama Buddha.
Khabar angin tersebar luas bahawa unsur Islam telah menyerap masuk ke dalam pejabat Aung San Suu Kyi iaitu pemimpin demokrasi dan wanita paling berpengaruh di seluruh Myanmar termasuk dalam kalangan etnik minoriti. Sebarang tanda prihatin Suu Kyi kepada orang Islam akan mengundang kritikan.
Suu Kyi yang juga pemenang Hadiah Keamanan Nobel bagai tersepit di antara dua pihak. Penganut Islam mendakwa beliau tidak memperjuangkan nasib mereka tetapi dalam kalangan penganut agama Buddha pula, Suu Kyi dilihat tidak tegas dalam menyuarakan hak penduduk majoriti.
Fobia terhadap Islam juga bermakna fobia terhadap nombor 786, gabungan nombor yang sering digunakan oleh segelintir orang Islam khususnya dari Asia Selatan. Penganut Buddha di Myanmar melihat 786 melambangkan konspirasi Muslim menawan dunia pada kurun ke-21 kerana jika dicampurkan, 786 menjadi 21.
Seorang sarjana terkenal Myanmar, Dr. Maung Zarni telah menyamakan gerakan anti Rohingya di Myanmar sebagai satu bentuk neo-Nazi.
Terdapat juga pihak yang meletakkan lambang 969 bersama dengan lambang Nazi. Ia sekali gus membangkitkan imaginasi tentang gerakan anti Yahudi yang pernah dilakukan Nazi.
Kini 969 yang melambangkan agama Buddha dan 786 yang melambangkan segelintir umat Islam saling bertentangan di Myanmar, ia seakan-akan bom jangka masa yang akan meletup bila-bila masa untuk membawa Myanmar ke konflik etnik yang lebih besar.
Pada ketika kerajaan Myanmar berjaya berdamai dengan tentera etnik Karen dan Chin yang mana kebanyakannya terdiri daripada minoriti beragama Kristian, isu dengan penduduk Islam pula memuncak dengan rusuhan-rusuhan yang berlaku.
969 dilihat sesetengah pihak sebagai lambang perpaduan, nasionalis dan ia juga dikaitkan dengan keagamaan. Namun gabungan nombor ini turut menyembunyi perasaan paranoid dan fobia penganut Buddha terhadap Islam.
Sekiranya sentimen fobia terhadap Islam tidak diuruskan, ia boleh bertukar kepada permusuhan dan kebencian.
Sebaran khabar angin pula mengapi-apikan keadaan seterusnya membawa tumpahan darah seperti yang pernah berlaku di Sitwe, Meiktila dan Lashio, di mana masjid dibakar dan sami dibunuh.
Oleh demikian, nombor 969 yang didukung sebahagian penganut agama Buddha di Myanmar bukan nombor bertuah, tetapi nombor dahsyat yang mampu menghancurkan masa depan negara itu.

Kenapa negara Islam mudah 'dirasuk'?

KEINGINAN Israel untuk menjadi kuasa terkuat di rantau negara Arab dengan meletakkan sasaran menguasai telaga minyak hampir berjaya, kini Israel berusaha pula untuk menjatuhkan kepimpinan Islam yang baru ditegakkan semula di Turki.
Sejak Jumaat lalu, berlaku rusuhan rakyat Turki menentang kepimpinan Recep Tayyip Erdogan atas beberapa perkara remeh termasuk keengganan kerajaan berkompromi dengan kumpulan sekular.
Alasan itu sebenarnya dicipta oleh Israel kerana marahkan sokongan Erdogan yang menyokong Syria.
Syria sedang mengalami kehancuran akibat rusuhan pemberontak yang dibantu oleh kuasa-kuasa Barat bagi menghancurkan kepimpinan Bashar al-Assad, yang juga dilihat salah satu kuasa terkuat selepas ketiadaan Muammar Gaddafi.
Ketika Iran diserang dengan propaganda membina reaktor nuklear bagi membangunkan senjata, Israel sentiasa menyalurkan pelbagai maklumat palsu hasil risikannya kepada Washington.
Kepimpinan White House sudah lama diyakini tunduk dengan kepentingan menjaga kedudukan Israel bukan sahaja percaya dengan dakwaan perancangan pembangunan senjata nuklear bahkan turut menyimpan hasrat menyerang Iran sebagai melunaskan dendam lamanya.
Iran pernah memalukan British selepas Perang Dunia Kedua kerana memiliknegarakan telaga minyak yang dikuasai British Petroleum. Akibatnya, British memohon pertolongan Amerika Syarikat yang dilihat sebagai kuasa besar yang baharu selepas menundukkan Jepun dengan mengebom Hiroshima dan Nagasaki untuk melancarkan pelbagai helah dan tekanan menyingkirkan Perdana Menteri Iran yang memiliknegarakan telaga minyak.
Turki yang muncul sebagai sebuah negara maju dalam kalangan negara-negara Islam sedikit kecewa dengan sikap Israel yang turut memainkan peranan memperlambatkan kemasukan negara itu ke dalam Kesatuan Eropah walaupun pelbagai syarat yang ditetapkan berjaya dipenuhi.
Penolakan itu ada kaitannya dengan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), yang ditunjangi oleh Gullen Movement, iaitu sebuah gerakan sosial yang berlandaskan nilai-nilai Islam.
Israel begitu kecewa dengan Turki yang bersimpati dengan Palestin dan pernah membenarkan sukarelawan dari seluruh dunia menggunakan pelabuhan Ankara memulakan pelayaran 'Pembebasan Gaza.' Dalam Flotila Pembebasan Gaza menerusi kapal Marvi Marmara, tujuh sukarelawan Turki dibunuh oleh komando Israel setelah kapal tersebut diserang hendap di perairan antarabangsa di Laut Mediteranean pada awal pagi 31 Mei 2010.
Protes terbaharu rakyat Turki dikatakan bermula hanya atas alasan menentang penebangan 600 batang pokok bagi memberi laluan pembinaan semula sebuah taman dekat Dataran Taksim di Istanbul. Ekoran pertempuran dengan pihak polis, sejak rusuhan seminggu lalu seramai 300 orang dilaporkan cedera akibat terkena tembakan gas dan meriam air.
Bagaimanapun, ada pihak tertentu yang disokong oleh kumpulan sekular dan dikhuatiri ada kaitan dengan peranan Israel, mendesak Erdogan meletakkan jawatan atau berundur.
Israel sedar, jika kepimpinan Erdogan tidak disingkirkan, Turki dijangka akan bangkit sebagai kuasa terkuat di rantau Timur Tengah. Kekuatan yang dimiliki oleh Turki akan menyebabkan peranan Israel kian melemah, kerana Turki terus memberikan sokongan membantu pembinaan baharu 800 buah unit rumah di sebuah kawasan yang dirampas daripada penduduk Palestin.
Untuk mengalihkan pandangan masyarakat antarabangsa, Israel mencipta amaran bahawa Turki telah membunuh beribu-ribu rakyatnya dengan menggunakan senjata nuklear, sebagaimana tuduhan ke atas Bashar melepaskan senjata biologi.
Kesemua dakwaan itu sebenarnya ada kaitan dengan agenda Yahudi untuk melumpuhkan kerajaan-kerajaan Arab dan Islam, dan memetakan laluan tertentu bagi mendesak Bashar tersingkir.
Persoalannya kenapakah Amerika begitu ghairah untuk membantu Israel? Kejelekatan hubungan Israel-Washington itu sebenarnya disebabkan cengkaman pengaruh Yahudi dalam struktur kuasa politik dan ekonomi, yang mana kemenangan Obama bagi menguasai White House bagi penggal kedua pada tahun 2011 mempunyai kaitan dengan peranan Yahudi.
Meskipun Obama pernah dilihat pro-Islam, ia hanyalah sekadar retorik untuk mendapat sokongan kumpulan penduduk minoriti dan rakyat Amerika yang berasal daripada golongan hispanik dan Amerika-Afrika. Keturunan Amerika-Afrika kebanyakannya beragama Islam.
Keturunan Amerika-Afrika lebih menyukai Obama berbanding calon presiden daripada Republikan yang terang-terangan membenci Islam dan mahu menjayakan agenda neo-konservatif.
Ketika ini, Erdogan telah memohon maaf di atas kekasaran pasukan keselamatan dalam menangani perusuh. Bagaimanapun, bantahan jalanan secara besar-besaran itu tetap dikhuatiri mendapat sokongan tidak langsung daripada Israel menerusi penyaluran bantuan kewangan ataupun penyaluran maklumat palsu bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Erdogan.
Israel turut menyebarkan propaganda bahawa kepimpinan Erdogan sebagai langkah memerangi kumpulan Syiah. Erdogan dikatakan tidak begitu mesra dengan pengikut Syiah dan keadaan ini agak berlainan dengan Syria. Bashar dikatakan berasal daripada pengikut Syiah, kumpulan minoriti Islam di Syria.
Percaturan antara Suni dan Syiah ini merupakan agenda Yahudi untuk menjadikan kedudukan umat Islam terus berperang. Gambaran buruk terhadap kelompok Islam moniriti terus dilaporkan menerusi media Barat, dengan tujuan menimbulkan persepsi buruk dan membangkitkan kemarahan Islam majoriti.
Perkara yang sama pernah dilaksanakan oleh Amerika Syarikat, berdasarkan maklumat palsu agenda perisikan Israel di Iran sehingga menyebabkan Ahmadinejad terpaksa berwaspada dengan perusuh-perusuh yang melaungkan prinsip demokrasi.
Israel tidak perlu menghabiskan belanja yang besar bagi membiayai peperangan. Hanya dengan sedikit bantuan, penyebaran maklumat palsu akan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap pemimpin yang dilihat mampu menghalang cita-cita besar Yahudi.
Pemimpin-pemimpin yang dinilai sebagai penghalang, akan 'digulingkan' dari dalam, yakni dengan menyebarkan maklumat palsu dan membangkitkan kebangkitan rakyat menentang pemimpin yang sah dan dipilih menerusi pilihan raya.
Begitu juga halnya dengan apa yang berlaku di negara kita. Jika di negara-negara kawasan Asia Barat yang sentiasa bergolak tidak lari daripada senario dan kerakusan Israel bagi menguasai negara-negara Islam, maka di Malaysia anasir-anasir dalaman yang menjadi pelaku utamanya.
Bagi memastikan agenda pemerkasaan Islam sebagai agama rasmi negara tidak tercapai, anasir-anasir terbabit memastikan agenda perpaduan dan persatuan umat Islam tidak boleh terlaksana.
Politik kebencian disebarkan dan dipropagandakan bagi menarik sokongan orang ramai kononnya telah berlaku tindakan autoritarian dan penyimpangan kuasa berlaku. Semuanya diprovokasi bagi menenggelamkan perpaduan dan kesatuan umat Islam.
Jika perpaduan umat Islam terlaksana, maka hal ini akan membahayakan agenda mereka yang sentiasa mengalami fobia dan perasaan anti Islam.
Anasir-anasir ini yang bergerak dan berjuang atas platform ideologi sosialis dan isu kesamarataan akan sentiasa menjadikan isu perpaduan umat Islam sebagai isu yang boleh memecahbelahkan struktur rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, bangsa dan agama.
Apa yang lebih menyedihkan, gerakan dan perjuangan ini turut disokong oleh sebahagian umat Islam yang tidak sedar diperkudakan oleh pihak lain. Ketidaksedaran atau pura-pura tidak sedar ini terutama berpunca daripada tindakan gelojoh pihak Islam yang sangat inginkan kuasa sebagai matlamat akhirnya. Hatta, segala prinsip dan asas perjuangannya yang begitu sebati dan sinonim akhirnya tergadai demi kerakusan kuasa.
MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
Pengurus Besar Analisa Dan PenyelidikanYayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Apa sumbangan DAP kepada perpaduan rakyat?

KUALA LUMPUR 6 Jun - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berterusan menuduh UMNO sebagai parti perkauman dilihat melucukan kerana DAP sendiri terbukti mengamalkan gaya politik cauvinis melampau sehingga meresahkan orang Melayu di negara ini.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, Guan Eng perlu bertanya kepada diri sendiri berhubung sumbangan partinya dalam menjamin keharmonian rakyat pelbagai kaum seperti yang berjaya dilakukan Barisan Nasional (BN) sejak lima dekad lalu.
"DAP dakwa mereka memperjuangkan politik berbilang kaum tetapi itu cakap-cakap kosong dan retorik semata-mata, kalau kita tengok parti ini, bukan parti untuk kaum selain Cina. Tanyalah ahli-ahli parti yang telah keluar dari DAP, orang Cina pun kata parti itu sangat perkauman.
"Meskipun UMNO mewakili masyarakat Melayu, Cina diwakili MCA manakala India MIC, penyatuan menerusi BN berkesan sebagai satu ramuan yang dapat menyatukan hati seluruh rakyat Malaysia, tidak seperti DAP dan pembangkang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng melalui artikel yang disiarkan di laman webnya di www.limguaneng.com baru-baru ini.
Artikel itu menyebut keengganan UMNO menjadi parti tunggal yang inklusif atau berbilang kaum menunjukkan parti tersebut berterusan mahu memecah-belahkan rakyat negara ini mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tuduhan Guan Eng itu dilihat bertujuan menutup imej sebenar DAP.
Mengulas lanjut, Tunku Aziz menegaskan, Guan Eng tidak perlu runsing terhadap UMNO atau BN sama ada ingin menjadi parti tunggal atau sebaliknya, tetapi perlu menumpukan kepada masalah dalaman DAP yang kian memuncak.
Beliau berkata, Setiausaha Agung DAP itu seharusnya memberi perhatian kepada pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) dan bantahan ahli parti cauvinis itu terhadap kepimpinannya.
"Guan Eng tidak mempunyai kelayakan mengeluarkan sebarang pendapat berhubung parti lain kerana masalah dalaman DAP pun dia tidak mampu menyelesaikan, jadi kenapa dia tuding jari," katanya.
Dalam pada itu, bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, memang menjadi tabiat bagi Ahli Parlimen Bagan itu untuk memulakan sesuatu isu dan bertindak 'lepas tangan' apabila perkara tersebut mendatangkan kontroversi terhadap karier politiknya.
Sambil merujuk kepada isu penggunaan kalimah Allah katanya, Guan Eng tiba-tiba 'lesap' daripada perhatian umum setelah isu tersebut menjadi polemik yang serius dalam kalangan umat Islam.
"Dalam hal parti tunggal ini, saya menghormati pendirian UMNO yang sentiasa terbuka untuk menganjurkan perbincangan berbanding DAP apabila sentiasa dipimpin Guan Eng dalam segala urusan membuat keputusan," tegasnya.

Pemuda UMNO tolak cadangan BN parti tunggal

KUALA LUMPUR 6 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO menolak cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal dan mahu parti itu terus kekal mewakili orang Melayu.
Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin sebaliknya berkata, cadangan itu buat masa sekarang amat tidak sesuai dan yang lebih penting ketika ini, UMNO perlu diperkukuh dan diperkuatkan lagi sekali gus mampu memberi sumbangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Pemuda mahu prestasi UMNO untuk menghadapi PRU-14 dilonjakkan lagi.
"Atas sebab itu Pemuda tidak dapat menerima cadangan BN dijadikan sebagai parti tunggal," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda yang pertama selepas PRU-13 di sini.
Ketetapan Pemuda itu dibuat rentetan daripada cadangan Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn sebelum ini yang mahu BN bersifat sebagai satu parti.
Mesyuarat selama tiga jam itu turut dihadiri Naib Ketua, Datuk Razali Ibrahim, barisan exco dan Ketua-ketua UMNO negeri
Dalam pada itu, Khairy berkata, Pemuda telah membuat ketetapan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Khairy berkata, keputusan itu bukan bermakna Pemuda menyekat amalan demokrasi dalam UMNO tetapi menjadi keutamaan kepada semua pemimpin untuk terus memperkukuhkan kedudukan parti.
"Walaupun kita menghormati proses demokrasi, atas kesedaran bahawa kita perlu memperkukuhkan UMNO, agenda transformasi menjadi keutamaan, Pemuda membuat ketetapan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memegang jawatan masing-masing," kata Khairy.
Beliau berkata, hanya Najib dan Muhyiddin yang layak memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengesyorkan supaya keahlian terus BN dihidupkan semula seperti yang telah diputuskan pada Konvensyen BN tiga tahun lalu.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan mereka yang enggan menyertai parti komponen tetap boleh menyertai BN.
"Cuma BN perlu memperkemaskan sistem cara keahlian terus BN ini dapat dilaksanakan," ujar beliau.

Sikap DAP punca perpecahan kaum

KUALA LUMPUR 6 Jun - Perpecahan kaum yang semakin serius kini adalah disebabkan sikap DAP yang menolak 'semangat perkongsian' antara kaum khususnya melibatkan Melayu, Cina dan India, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut bekas Perdana Menteri, hal itu kerana DAP mahukan orang Cina yang telah mendominasi ekonomi, menunjukkan penguasaan seterusnya iaitu dalam bidang politik di negara ini.
Malah jelasnya, perkara itu dikuatkan lagi menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila DAP memainkan sentimen perkauman untuk menarik sokongan pengundi Cina daripada Barisan Nasional (BN) dengan menggambarkan MCA sebagai 'pak turut' UMNO.
"Walaupun DAP mendakwa sebuah parti pelbagai kaum, secara faktanya ia adalah parti orang Cina dengan anggota dan pemimpin utamanya adalah orang Cina. Apabila mereka mengadakan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) baru-baru ini, selain Karpal Singh, semua anggota yang dipilih adalah orang Cina.
"Kebencian terhadap orang Melayu telah dimulakan melalui slogan Malaysian Malaysia dengan gambaran bahawa orang bukan Melayu telah didiskriminasi atau dianggap rakyat kelas kedua," katanya seperti dipetik dalam blognya, http://chedet.cc hari ini.
Dr. Mahathir memberitahu, penyokong meritokrasi dan puak ekstremis Cina dalam DAP turut mendakwa kerajaan BN telah melakukan diskriminasi dengan mengutamakan orang Melayu dalam banyak perkara.
"Untuk itu setiap kali polisi kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dipertahankan, orang yang mempertahankannya sama ada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dilabel sebagai rasis," ujarnya.
Jelas beliau, jika lebih banyak bukti diperlukan mengenai peranan puak rasis Cina dalam pilihan raya umum lalu, demonstrasi menuduh BN menipu ketika pilihan raya walaupun dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Parti Keadilan Rakyat (PKR), kebanyakannya dihadiri oleh orang Cina terutama golongan muda kaum itu.
"Sama ada di dalam mahupun di luar negara, golongan muda Cina memakai baju hitam. Kurangnya rasa hormat terhadap bendera Malaysia ditunjukkan belia Cina di Taiwan dengan menterbalikkan bendera.
"Protes-protes ini kelihatan bersifat urusan orang Cina manakala Pas dilihat seakan tidak menyokong," tegasnya.
Katanya, pakatan pembangkang bukanlah satu bentuk gabungan sebenar tetapi hanyalah 'pakatan pilihan raya' untuk menentang BN.
"Pakatan itu jelas memberi untung kepada cauvinis Cina dalam DAP sementara Pas, parti yang mempunyai paling ramai Melayu dalam pakatan pembangkang mendapat untung yang kecil," tambahnya.

Perkasa tujuh wasiat Raja-Raja Melayu

KUALA LUMPUR 5 Jun - Kerajaan diminta melaksana dan memperkasa tujuh wasiat Raja-Raja Melayu supaya kepentingan serta hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terjamin.
Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam (gambar) berkata, langkah itu perlu diambil segera berikutan banyak kepentingan orang Melayu seperti tanah rizab Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi semakin terhakis.
Katanya, wasiat itu juga perlu diingatkan kembali kepada rakyat apatah lagi dengan perkembangan semasa yang turut memperlihat institusi diraja dipertikai pihak tertentu.
"Lihat bagaimana tanah rizab orang Melayu semakin mengecil dan kini tinggal kurang 30 peratus berbanding 50 peratus seperti yang terkandung dalam wasiat itu.
"Malah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan juga telah mula berani dipertikai kaum lain yang sepatutnya tidak berlaku kerana perkara itu jelas terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merumuskan kertas kerjanya yang bertajuk '7 Wasiat Raja-raja Melayu: Satu analisis sejarah dan Perlembagaan Negara Malaysia' dalam Seminar Institusi Raja (SIRaj) di sini hari ini.
Beliau berkata, wasiat itu masih relevan dan akan terus diguna pakai kerana kesemua tujuh wasiat tersebut telah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sistem pentadbiran negara yang mengamalkan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen berjaya diadun dengan baik selama lebih 55 tahun.
"Perubahan perspektif mungkin berlaku kerana beberapa faktor seperti perubahan masa dan persekitaran. Namun, kedudukan pemerintahan beraja sebagai pengimbang kepada sistem pentadbiran dan pengurusan negara yang dipimpin rakyat akan terus kekal selagi Perlembagaan tidak diubah," katanya.

Akta Derhaka perlu diwujudkan

BEKAS Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd. Noor Abdullah dalam sidang akhbar selepas membentangkan kertas kerja pada Seminar Institusi Raja di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/ WAHIDIN SALIM
*****
KUALA LUMPUR 6 Jun - Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah mencadangkan supaya Akta Derhaka diwujudkan bagi membendung penularan gejala menghina institusi diraja yang semakin serius kebelakangan ini.
Malah, beliau turut mencadangkan agar hukuman minimum kepada pesalah jenayah menderhaka kepada raja itu nanti mestilah ditetapkan tidak kurang daripada dua tahun penjara.
Katanya, undang-undang derhaka kini terletak di bawah cabang Akta Hasutan 1948 sedangkan perbuatan menghasut dan menderhaka adalah dua perkara yang berbeza. - UTUSAN ONLINE

Perlembagaan, Islam dan Institusi Raja

KEPADA Mu Ya ALLAH! dipohonkan petunjuk - dimohon hidayat, mengupayakan Hamba-Mu ini menghuraikan mauduk 'Perlembagaan dan Islam - Peranan Institusi Raja'; yang mengandungi tiga kata kunci; pertama: Perlembagaan, kedua: Islam, ketiga: Institusi Raja.
Menghadap Paduka Kekanda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis; menghadap Paduka Kekanda Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis. Ampun Tuanku, sembah Paduka Adinda mohon diampun. Sesungguhnya Paduka Adinda berasa begitu terhormat dengan keberangkatan hadir Paduka Kekanda berdua, mencemar duli untuk turut mengikuti huraian Paduka Adinda atas mauduk yang telah diamanahkan. Paduka Adinda juga amat menghargai keberangkatan hadir Paduka Anakanda Raja Muda Perlis bersama Paduka Anakanda Raja Puan Muda Perlis.
PERLEMBAGAAN
PERLEMBAGAAN sesebuah negara adalah undang-undang yang telah digubal, lalu diterima pakai sebagai prinsip dan panduan pemerintahan. Dalam konteks negara Malaysia, ia dikenali sebagai Perlembagaan Malaysia, lebih kerap dirujuk sebagai Perlembagaan Persekutuan; malah naskhah asalnya lebih dikenali sebagai Perlembagaan Merdeka.
Proses menggubal Perlembagaan Persekutuan, bermula daripada persidangan yang berlangsung di London dari 18 Januari hingga 6 Februari 1956. Delegasi Persekutuan Tanah Melayu terdiri dari:
i. Empat wakil Raja-Raja Melayu
ii. Ketua Menteri bersama tiga Menteri Persekutuan Tanah Melayu.
iii. Pesuruhjaya Tinggi Inggeris berserta barisan penasihat.
Suruhanjaya Reid ditubuhkan; diberikan tanggungjawab melakukan kajian, seterusnya mengemukakan perakuan kandungan Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya Reid diketuai oleh Hakim Lord Reid, dan dianggotai oleh:
i. Sir Ivor Jennings, pakar perundangan perlembagaan negara-negara Komanwel
ii. Sir William McKell, mantan Gabenor Jeneral Australia.
iii. Mr. B. Malik, mantan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi India.
iv. Justice Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Tinggi Pakistan Barat.
Antara Jun hingga Oktober 1956, Suruhanjaya Reid mengadakan 118 sesi pendengaran (hearings) sebelum merumuskan perakuan pada 20 Februari 1957. Antara perakuan utama yang terkandung dalam draf pelan induk Perlembagaan Merdeka menyentuh perkara-perkara berikut:
(i) Keunggulan Perlembagaan.
(ii) Badan Kehakiman yang bebas dengan kuasa melakukan kajian semula kehakiman (judicial review).
(iii) Kerajaan berteraskan sistem Persekutuan.
(iv) Raja Berperlembagaan di Peringkat Persekutuan dan Negeri.
(v) Perlindungan khas hak Raja-Raja Melayu.
(vi) Kedudukan istimewa orang Melayu.
(vii) Hak kerakyatan kepada setiap orang yang dilahirkan di Persekutuan.
(viii) Hak agama, budaya dan bahasa kalangan bukan Melayu.
Permohonan Perikatan, begitu juga hasrat UMNO mahu meletakkan Islam di bawah kuasa Persekutuan tidak diterima; di sebaliknya Suruhanjaya Reid menerima tuntutan Raja-Raja Melayu, mengekalkan agama di bawah kuasa negeri. Ini mungkin diasaskan kepada faktor bahawa kuasa Raja berhubung Islam tidak pernah disentuh, di masa negeri-negeri Melayu berada di bawah pentadbiran de facto Residen Inggeris.
Kumpulan Kerja Pakatan Tiga Pihak (Tripartite Working Party) mewakili Raja-Raja Melayu, Perikatan dan Kerajaan Kolonial telah ditubuhkan untuk mengkaji perakuan Suruhanjaya Reid. Raja-Raja Melayu diwakili oleh Penyimpan Mohor Besar, Haji Mustapha Albakri, Shamsuddin Nain, Tunku Ismail dan Neil Lawson, QC; Perikatan diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, Datuk Abdul Razak, Ong Yoke Lim dan V.T. Sambanthan, dan Kerajaan Kolonial, diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi MacGillivray, Ketua Setiausaha Negara, Sir David Watherston, Peguam Negara TV A Brodie, dan E.O. Laird berperanan sebagai setiausaha.
Antara 23 Februari hingga 27 April 1957, Kumpulan Kerja telah mengadakan dua puluh tiga mesyuarat, melakukan pengubahsuaian kepada perakuan asal Suruhanjaya Reid. Antara pengubahsuaian signifikan yang dilakukan menyentuh perkara-perkara berikut:
(i) Memperkukuh peranan Majlis Raja-Raja; sebagai forum yang melantik Ketua Negara; Majlis Raja-Raja berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung urusan lantikan tertentu menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan; dan Majlis Raja-Raja perlu dirunding dalam perkara-perkara penting seperti perubahan sempadan dan wilayah, serta perkara yang menyentuh bidang kuasa Raja.
(ii) Menggugurkan perakuan yang meletakkan batasan masa lima belas tahun untuk melindungi keistimewaan orang Melayu.
(iii) Islam dikanunkan sebagai agama Persekutuan tetapi tidak mengubah status Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.
(iv) Menjamin kebebasan beragama kepada bukan Islam.
(v) Membenarkan pengajaran bahasa Cina dan Tamil serta penggunaan bahasa-bahasa tersebut dalam urusan tidak rasmi.
Suruhanjaya Reid, memberi perhatian aspek pergantungan kewangan negeri-negeri dari sumber pendapatan di peringkat Persekutuan. Dalam tahun 1956, keseluruhan perolehan pendapatan Persekutuan berjumlah tujuh ratus empat puluh empat (744) juta ringgit, sementara jumlah perolehan pendapatan negeri-negeri hanyalah sembilan puluh sembilan (99) juta ringgit.
Raja-Raja dan Perikatan tidak menemui kata sepakat dalam isu menyentuh agihan dan perkongsian hasil negara di antara pusat dengan negeri, lalu wakil Raja-Raja telah memulau mesyuarat yang berlangsung pada 9 April 1957. Kompromi akhirnya dicapai apabila Perikatan memberikan persetujuan memperuntukkan geran kepada negeri.
Ketika kesetiaan warga kepada negeri masih begitu mendalam - ketika warga kuat memiliki kebanggaan terhadap warisan, adat dan tradisi setempat, Raja-Raja Melayu telah mempamerkan jiwa besar, memberi perkenan untuk memungkinkan penubuhan sebuah Persekutuan. Jiwa besar yang dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu telah memudahkan urusan penggubalan Perlembagaan. Lantas Perlembagaan Merdeka berjaya disiapkan mengikut jadual.
Sesungguhnya sembilan Raja Melayu pada hakikatnya telah membuktikan sebaik-baik contoh, semangat untuk merealisasikan perwujudan sebuah negara bangsa, dengan perkenan mengurniakan sebahagian besar kedaulatan dan menyerahkan sebahagian besar kuasa negeri masing-masing untuk memungkinkan tertubuhnya sebuah Persekutuan, di bawah konsep Federalisme. Apabila Raja menemui kata muafakat, warga mencapai kata sepakat.
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 5 Ogos 1957 oleh Sir Donald Charels MacGillivray bagi pihak Ratu Inggeris dengan lapan Raja Melayu; dan bagi Negeri Sembilan, ditandatangani secara bersama oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berserta empat Undang dan Tengku Besar Tampin. Pada tarikh keramat, 31 Ogos 1957, Duke of Gloucester bagi pihak Ratu Inggeris menyerahkan Perlembagaan Persekutuan kepada Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera, dalam gegak gempita teriakan Merdeka: berkibarlah bendera Jalur Gemilang, berkumandanglah lagu Negaraku, lalu lahir sebuah negara merdeka lagi berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan berperanan sebagai carta dan kompas, sauh dan layar kepada sebuah bahtera merdeka. Pada September 1963, Parlimen Malaysia menggubal Akta Malaysia 26/1963, memberi wajah baru kepada Perlembagaan Merdeka selaras dengan pembentukan negara Malaysia.
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Terkandung 183 perkara di dalamnya. Perlembagaan Negara kita adalah antara Perlembagaan bertulis yang paling komprehensif, mengandungi pelbagai perkara, begitu menyeluruh, digubal secara terperinci - dihalusi secara teliti. Dalam bab akhir buku An Introduction To The Constitution of Malaysia, Tun Mohamed Suffian telah mencatat frasa berikut:
Petikan: For such a small country Malaysia has a fearfully long and elaborate Constitution and the visitor from Mars may be forgiven for thinking that our Constitution must have been devised by a mad professor of constitutional law".
Perlembagaan sesebuah negara, sui generis sifatnya, iaitu berada dalam kelas tersendiri. Perlembagaan Persekutuan tidak sekadar dokumen undang-undang. Perlembagaan Persekutuan pada hakikatnya mengandungi semangat dan roh negara, mencerminkan persetujuan-persetujuan yang di capai ketika negara memperoleh kemerdekaan.
Ia memperlihatkan semangat persefahaman - ia mempamerkan kesediaan berkompromi pelbagai pihak - ia memanifestasikan pencapaian kata sepakat antara takhta dengan rakyat, antara rakyat sesama rakyat yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Perlembagaan Persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi.
Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan - aspek sejarah bernegara, berpayungkan Raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa peribumi. Amanat yang terkandung dalam tujuh wasiat Raja-Raja Melayu dianyam secara tersirat dalam dokumen yang tersurat.
Terpahat secara tersirat - tertera secara tersurat di dalam Perlembagaan Persekutuan semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain, diberikan jaminan untuk dilindungi pada setiap masa.
Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan tanpa perkenan Raja-Raja. Perkara-perkara yang telah sama-sama dipersetujui ketika penggubalan Perlembagaan Merdeka, menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak boleh sama sekali diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek. Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditafsirkan secara menyeluruh kerana kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa.
Perlembagaan Persekutuan hendaklah dijadikan rujukan utama dalam mengurus tadbir negara. Ia mengatasi segala undang-undang lain. Tidak ada undang-undang lain yang harus mencabar keunggulannya. Mematuhi dan menghormati perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan satu pilihan tetapi adalah satu kemestian untuk membolehkan sistem pemerintahan demokrasi yang sejati dapat ditegakkan.
ISLAM
Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara. Islam mula berakar di Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Terdapat penemuan-penemuan yang menunjukkan Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka. Raja Kedah, Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam dalam tahun 1136 Masihi, menukar nama kepada Sultan Mudzafar Shah, dan mengasaskan Kesultanan Islam di Kedah.
Di Melaka, Parameswara setelah memeluk Islam, menukar nama kepada Raja Iskandar Shah. Dengan pengislaman Raja Melaka pada tahun 1409, Islam bertapak lebih kukuh di alam Melayu, dijadikan agama rasmi di Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458).
Penduduk di Nusantara Melayu, memeluk Islam kerana dorongan dan dakwah Raja-Raja, bukan kerana ditakluk atau dipaksa. Islam berevolusi menjadi titik penyatuan negara bangsa di bawah pemerintahan Raja-Raja. Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara.
Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat. Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru.
Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu; ia mencetuskan satu revolusi pemikiran; mengupayakan umat menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur. Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya. Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan alam mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme - daya intelektualisme, mengangkat adab dan susila serta kesedaran umat terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan.
Lalu berlaku pengubahsuaian dalam sistem pemerintahan, menjelmakan identiti baru. Raja dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai 'penjelmaan Tuhan di bumi', status yang meletakkan Raja sama taraf dengan Tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah 'bayangan Allah di muka bumi (zillulah fi al-Ard)". Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia - para anbia.
Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah Ilahi yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan, melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu. Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak. Di negeri Perak, Undang-Undang 99 digubal, berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerapkan pengaruh Islam dalam pentadbiran.
Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu kekal meneruskan tradisi pemerintahan beraja berteraskan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris. Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam. Proses peralihan sistem perundangan dilakukan dari negeri ke negeri dengan penerimaan Common Law Inggeris, mengganti perundangan berlandaskan syarak; akibatnya Islam terpisah dari arus perdana pentadbiran, malah hal ehwal Islam ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan institusi-institusi yang dibatasi bidang kuasanya.
Terbukti, bahawa dalam era pemerintahan Kesultanan Melayu. urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek-aspek perundangan, ekonomi, pendidikan dan sosial, telah diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini. Pengiktirafan tersebut selanjutnya diperkukuhkan melalui penghakiman kes Raman lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah "lex loci of the land".
Berasaskan hakikat ini, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan agar Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Parti Perikatan adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India, tiga kumpulan etnik utama di kalangan penduduk Tanah Melayu.
Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat lima belas negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka, Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:
Petikan:
"If in these countries a religion has been declared to be the religion of the State and that declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration is included in the Constitution of Malaya. In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists. All that is required is to transplant it from the State Constitution and to embed it in the Federal".
Pengiktirafan Islam sebagai agama Negara bukan komponen baru di bumi ini, ia sebenarnya adalah kesinambungan tradisi dan penerusan hak yang telah lama berakar, ia adalah 'Magna Carta', satu kontrak sosial yang tersirat, di samping termaktub sebagai komponen yang tersurat di dalam Perlembagaan.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain, telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya, berserta keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh Raja-Raja Melayu yang tidak tersentuh dan tercacat, termaktub dalam Perkara 3(2) Perlembagaan.
Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.
Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan . Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain - lawan - Fatimah Sihi dan yang lain, telah memberikan tafsiran berikut:
Petikan: "... Peruntukan 'Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai' bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggungjawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihala tuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam...."
Setelah hampir lima puluh enam tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah empat belas kali Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah tiga belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan.
Segala persetujuan, wajib dihormati. Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh - berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun.

China perlu lebih bersifat terbuka

TIDAK dapat dinafikan isu pertindihan sempadan maritim Laut China Selatan yang melibatkan kedaulatan beberapa negara ASEAN merupakan satu masalah yang agak genting dan jika tidak ditangani dengan sempurna ia mampu mencetuskan konflik bersenjata.
Masalah pertindihan sempadan ini menjadi lebih rumit apabila ia turut melibatkan dua kuasa besar iaitu China dan Amerika Syarikat (AS). Beijing terlibat secara langsung kerana ia merupakan salah satu negara luar ASEAN yang mendakwa sebahagian besar kawasan Laut China Selatan adalah milik mereka.
Manakala AS pula terpaksa turut terlibat secara tidak langsung kerana menurut Washington untuk memastikan laluan perkapalan kawasan tuntutan bertindih itu bebas daripada sebarang ancaman. Masalah menjadi bertambah rumit apabila negara ASEAN yang terlibat membuat percaturan sama ada memihak kepada Washington atau Beijing dalam mencari penyelesaian kemelut ini.
Washington dan Beijing saling tidak mempercayai antara satu sama lain dengan membuat tuduhan wujudnya agenda tersirat daripada perlakuan tersurat kedua-dua kuasa besar tersebut. Beijing umpamanya sering menuduh Washington cuba mengekang kebangkitan China di rantau Asia Pasifik apabila Presiden Barack Obama memperkenalkan strategi pengimbangan kuasa yang lebih memberi perhatian terhadap rantau Asia berbanding dengan Eropah sebelum ini.
Sementara Washington pula sering merasa sangsi terhadap niat sebenar China dengan agenda permodenan angkatan tentera mereka kerana Beijing dipercayai menyembunyikan jumlah sebenar perbelanjaan pertahanan tahunan mereka daripada diketahui masyarakat antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis makan malam Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-27 beberapa hari lepas berpendapat Laut China Selatan sepatutnya menjadi pemangkin kepada penyatuan bukan sahaja dalam kalangan ASEAN tetapi juga kuasa besar yang terlibat.
Tetapi sifat curiga-mencurigai yang sudah sekian lama wujud antara dua kuasa besar ini telah menjerumus kepada keadaan yang agak mustahil untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai titik persefahaman, malah berkemungkinan isu sebaliknya akan tercetus.
Ketika era Perang Dingin antara AS dan Soviet Union beberapa dekad yang lepas, situasi yang serupa wujud kerana kedua-dua kuasa besar ini saling mempamerkan pendirian syak dan prasangka antara satu sama lain. Senario sebegini wujud kerana tidak ada perbincangan secara terbuka mengenai dasar pertahanan yang diamalkan dan akibatnya ialah masing-masing membuat tafsiran mengikut acuan sendiri.
Krisis Peluru Berpandu Cuba umpamanya yang tercetus pada tahun 1962 antara Soviet Union dan AS yang hampir menjerumus kepada perang nuklear adalah kerana timbul salah faham antara kuasa besar tersebut.
Pada era Perang Dingin perbincangan secara bersemuka mengenai dasar pertahanan kedua-dua kuasa besar itu tidak berlaku dan amat berbeza dengan suasana hubungan diplomatik AS dan Rusia yang lebih terbuka hari ini.
Kesangsian AS ataupun ASEAN terhadap niat sebenar China mengenai dasar Laut China Selatan ada dalilnya kerana Beijing tidak begitu terbuka mahu membincangkan dasar mereka. Era sebelum 1990-an menyaksikan bagaimana China menyisihkan diri daripada arus masyarakat antarabangsa di mana penglibatan Beijing dalam forum antarabangsa jarang berlaku.
Walaupun situasi hari ini jauh berbeza berbanding dua dekad lepas di mana Beijing banyak turut serta dalam perbincangan umpamanya dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ASEAN + 3, Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Plus dan juga Forum Serantau ASEAN (ARF), keterbukaan Beijing terutama sekali yang melibatkan pengamalan diplomasi pertahanan begitu dicurigai.
Umpamanya penerimaan Beijing terhadap Kod Tatacara Laut China Selatan masih belum dapat ditentukan secara sahih. Begitu juga dengan pengisytiharan bandar Sansha sebagai pusat pentadbiran bagi keseluruhan kawasan Laut China Selatan yang dituntut menimbulkan banyak pertanyaan mengenai niat sebenar Beijing.
Awal tahun ini agensi pemetaan negara itu telah mempamerkan peta baru China yang termaktub 80 peratus kawasan Laut China Selatan yang dituntut Beijing. Sebelum ini pun dalam pasport antarabangsa tertera peta China yang secara tersurat mempamerkan Laut China Selatan adalah milik mereka.
Tidak wujudnya sifat terbuka China terutama sekali mengenai dasar yang berkait dengan Laut China Selatan menyukarkan lagi keadaan untuk meyakinkan AS atau ASEAN bahawa Beijing ikhlas mahu menyelesaikan kemelut tuntutan bertindih maritim.
Tidak boleh dipersalahkan Beijing seratus peratus dalam hal ini kerana dasar Washington juga banyak menimbulkan syak wasangka. Kehadiran kapal perang pesisir AS iaitu USS Freedom yang pada ketika ini berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Changi bukan sahaja memberi isyarat tidak baik kepada China malah juga kepada rantau Asia Tenggara.
Minggu hadapan Presiden Obama akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping di California dan tema perbincangan akan berkisar mengenai hubungan strategik kedua-dua kuasa besar. Walaupun pertemuan diadakan jauh dari rantau Asia Tenggara tetapi apa yang pasti adalah isu Laut China Selatan bakal menjadi topik utama perbincangan.
Presiden Obama sudah pasti akan mendesak supaya Beijing lebih bersikap telus dan terbuka mengenai isu permodenan Angkatan Tentera China (PLA) terutama sekali yang melibatkan PLA-Laut. Presiden Jinping juga hampir pasti akan menyeru AS supaya menerima kehadiran China sebagai rakan strategik Washington untuk kebaikan semua.
Adalah menjadi harapan pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut mampu menjernihkan keadaan yang lebih telus supaya perasaan syak wasangka terhadap niat sebenar sama ada Washington atau Beijing di rantau Asia Pasifik dapat dikurangkan.
PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Diskriminasi paksa Melayu berubah

PERKARA Lapan, Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tentang kesamarataan menyebut tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras dan keturunan dalam mana-mana perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
Malangnya walaupun perkara itu termaktub dalam Perlembagaan tertinggi negara, dari segi realiti amalan itu tidak dilaksanakan terutama dalam kalangan syarikat Cina dan syarikat dimiliki pihak asing di negara ini.
Ini terbukti apabila siswazah kaum Melayu yang baru menamatkan pengajian didiskriminasikan semasa mereka memohon pekerjaan di sektor swasta yang sebahagian besar dimiliki kaum lain.
Apa yang dinyatakan ini bukan kata-kata kosong penuh emosional yang dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ultra-Melayu sebaliknya berasaskan fakta saintifik yang dikumpul hasil kajian lapangan.
Cukup unik, kajian itu dibuat oleh seorang ahli akademik Cina daripada sebuah universiti awam utama negara yang dilaksanakan untuk tujuan kajian ilmiah tanpa sebarang agenda politik.
Menurut kajian itu, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan siswazah kaum Cina lebih berkemungkinan untuk dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini.
Kajian selama enam bulan itu mendapati, syarikat yang dimiliki oleh kaum Cina dan pihak asing lebih mengutamakan graduan kaum Cina untuk bekerja dengan mereka.
Daripada 3,012 resume yang dihantar untuk 753 pekerjaan kepada syarikat terbabit, kaum Melayu hanya mempunyai 4.2 peratus peluang untuk dipanggil menghadiri temu duga.
Kaum Cina pula mempunyai sebanyak 22.1 peratus peluang walaupun mereka mempunyai kelulusan setara dan lepasan universiti sama dengan kaum Melayu.
Kajian itu melibatkan 439 jawatan kosong di syarikat yang dimiliki kaum Cina, 131 jawatan di syarikat milik asing dan 73 jawatan di syarikat milik Melayu dan selebihnya di syarikat yang dimiliki secara bersama oleh pelbagai kaum.
Dalam erti kata lain, siswazah kaum Cina mempunyai lima kali lebih kemungkinan untuk dipanggil temu duga berbanding siswazah Melayu.
Kajian itu melibatkan siswazah yang baru menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan yang memohon bekerja dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan kewangan.
Menurut kajian itu, siswazah daripada IPTA yang dikenali dan diiktiraf iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) lebih diutamakan majikan.
Sesuatu yang mengejutkan, kajian itu mendapati syarikat milik orang Melayu lebih cenderung mengambil lebih ramai siswazah Cina berbanding siswazah Melayu, walaupun perbezaan bilangan antara siswazah kedua-dua kaum tidak terlalu ketara.
Sebenarnya kajian berkenaan bukanlah kali pertama dibuat kerana beberapa kajian lain yang dibuat sejak 33 tahun lalu juga menghasilkan kesimpulan yang serupa.
Antaranya kajian pada 1980 oleh pakar ekonomi, D. R. Snodgrass yang membuat kesimpulan syarikat yang diterajui kaum Cina kebiasaannya tidak akan menggajikan pekerja Melayu.
Satu lagi kajian oleh pakar ekonomi dari Norway yang turut terbabit merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB), Tan Sri Just Faaland pada 2003 juga mendapati pendapatan pekerja bumiputera adalah 32 peratus lebih rendah berbanding pekerja Cina.
Kajian lain oleh Chr. Michelsen Institute (CMI) pada 2005 bagi pihak Bank Dunia juga mendapati bukan Cina dihalang daripada bekerja dalam sektor swasta dan sesiapa yang telah bekerja akan mengalami diskriminasi termasuk gaji yang rendah dan payah untuk naik pangkat.
Satu lagi kajian oleh pakar ekonomi Bank Dunia, Branko Milanovic pada 2006 pula mempersoalkan kenapa pekerja Cina menerima gaji lebih tinggi antara 20 hingga 40 peratus walaupun mempunyai kelayakan dan menunjukkan prestasi sama dengan pekerja bumiputera.
Fakta telah dinyatakan dan kita kini ingin bertanya apakah yang akan dilakukan oleh orang Melayu bagi memastikan mereka tidak terus dipinggirkan dalam bidang ekonomi dan sektor pekerjaan swasta di negara sendiri?
Perkara paling mudah adalah membuat desakan supaya tauke Cina menghormati Perlembagaan Persekutuan dengan memberikan pekerjaan secara sama rata kepada semua etnik.
Hakikatnya desakan itu telah dibuat sejak kajian Snodgrass didedahkan 33 tahun lalu dan ia tidak pernah diendah oleh tauke-tauke Cina terbabit.
Cara lain seperti yang dicadangkan oleh ahli akademik Cina yang membuat kajian terbaharu berkenaan adalah supaya kerajaan menggubal Akta Peluang Saksama di sektor swasta dan awam serta menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi memantau pelaksanaan akta berkenaan.
Cadangan lain adalah supaya kerajaan memberikan insentif kepada syarikat yang mempunyai pekerja berbilang kaum yang seimbang.
Selain itu, orang Melayu juga perlu membuang sikap buruk mereka dan hendaklah sanggup belajar nilai etika dan budaya kaum Cina yang telah membuatkan kaum itu berjaya dalam bidang perniagaan dan kerjaya masing-masing.
Seperti yang dinyatakan dalam kajian terbaharu tersebut, diskriminasi yang dihadapi siswazah Melayu bukan disebabkan prejudis perkauman sebaliknya faktor-faktor lain.
Walaupun kajian itu tidak menyatakan apakah faktor-faktor berkenaan, komen pelbagai pihak sebelum ini menyatakan ia berpunca daripada persepsi salah bahawa pekerja Melayu tidak sanggup bekerja kuat dan tidak menghayati nilai etika dan budaya yang telah menyebabkan kaum Cina berjaya dalam bidang ekonomi.
Persepsi ini juga berpunca kerana graduan kaum Melayu dianggap berjaya mendapat pendidikan tinggi bukan hasil daripada usaha sendiri sebaliknya kerana sokongan dasar afirmatif seperti DEB.
Sebab itu, kajian terbaharu itu mendapati siswazah Melayu dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang didominasi kaum Cina yang terdedah dengan nilai etika dan budaya kaum berkenaan mempunyai lebih banyak peluang untuk dipanggil temu duga oleh syarikat milik etnik Cina.
Peluang juga lebih cerah jika siswazah kaum Melayu berkebolehan menulis, bertutur dan membaca dalam bahasa Cina.
Jika sebelum ini orang Melayu begitu ghairah untuk mempelajari nilai etika kerja orang Jepun, kenapa kita tidak mula belajar rahsia kaum Cina yang telah membolehkan mereka berjaya dalam bidang ekonomi dan pekerjaan.
Tidak mustahil pada masa depan orang Melayu akan diberikan kepercayaan untuk menerajui syarikat Cina dan kaum itu menerajui syarikat Melayu.
Ketika itu, kita sudah pasti telah mencapai apa yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai national reconciliation atau perdamaian kebangsaan.

DAP terbukti amal perkauman - Mohd. Puad

KUALA LUMPUR 5 Jun - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh UMNO sebagai parti perkauman kerana menolak cadangan semua parti komponen di bawah Barisan Nasional (BN) bergabung menjadi sebuah parti tunggal dilihat bertujuan menutup imej sebenar DAP.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, DAP sebenarnya lebih terbukti sebagai parti perkauman selepas berjaya menambah kerusi melalui tsunami Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berbanding Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"DAP tidak menang pun sebarang kerusi di kawasan majoriti Melayu, bahkan tidak berani bertanding di kawasan tersebut.
"Malah, melalui monopoli undi Cina, DAP berjaya membantu PKR menewaskan calon UMNO yang bertanding di kerusi yang peratus pengundi Melayu dan Cina hampir seimbang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng melalui artikel yang disiarkan di laman webnya di www.limguaneng.com baru-baru ini.
Artikel itu menyebut, keengganan UMNO menjadi parti tunggal yang inklusif atau berbilang kaum menunjukkan parti itu berterusan mahu memecah-belahkan rakyat negara ini mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka.
Menurut Mohd. Puad, DAP resah selepas isu tsunami Cina diperbesarkan kerana bimbang orang Melayu akan menjauhkan diri daripada parti itu apatah lagi perkara tersebut boleh menjejaskan hubungan mereka dengan Pas.
Perkara itu, kata beliau, turut menjelaskan mengapa DAP bersungguh-sungguh membantah penayangan filem Tanda Putera kerana mahu menutup sejarah dan cuba membohongi rakyat tentang sikap perkauman mereka.
"DAP sebenarnya berjaya menghasut pengundi muda Cina bahawa sosial kontrak tidak bermanfaat dan perlu dibatalkan.
"Sedangkan sosial kontrak yang membantu negara menangani masalah kaum di negara ini termasuk mewujudkan sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),'' katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, walaupun UMNO hanya untuk orang Melayu tetapi parti itu komited dengan dasar yang inklusif.
"Dasar itu menjadi dasar utama BN sedangkan pembangkang sehingga hari ini gagal didaftarkan kerana terhalang dengan dasar kecinaan DAP yang tidak serasi dengan dasar Islam Pas yang juga sebuah parti hanya untuk orang Islam," katanya.

Sikap dwi standard syarikat swasta milik kaum Cina, Hak graduan Melayu dinafikan

KUALA LUMPUR 5 Jun - Sikap dwi standard syarikat swasta milik kaum Cina yang lebih memberi peluang pekerjaan kepada graduan Cina menafikan hak graduan Melayu yang mungkin lebih layak mendapatkan pekerjaan terbabit.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Bukhari A. Rahim berkata, tindakan itu juga memperlihat sikap diskriminasi dan perkauman menebal syarikat milik kaum Cina tersebut.
"Saya percaya ramai graduan terutama dalam kalangan Melayu juga berkualiti tinggi malah kaya dengan kemahiran insaniah namun diketepikan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik sebuah universiti awam yang mengesahkan wujudnya diskriminasi terhadap graduan Melayu yang memohon pekerjaan di syarikat swasta yang majoritinya dimiliki kaum Cina dan asing.
Menurut kajian itu, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan graduan kaum Cina menjadi pilihan untuk dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Wan Nur Hidayat Wan Muhamad berkata, kerajaan perlu lebih tegas menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan setiap rakyat tanpa mengira kaum diberi peluang sama rata untuk mendapatkan pekerjaan.
Katanya, ketika ini, penyisihan terhadap graduan Melayu terutama di syarikat milik kaum Cina dan asing begitu ketara meskipun graduan tersebut memiliki keputusan pendidikan setara serta merupakan lepasan universiti sama dengan graduan Cina.
"Kementerian Sumber Manusia juga perlu menyediakan undang-undang lebih tegas berbanding Akta Peluang Saksama yang terdapat ketika ini bagi memastikan perkara ini tidak berlarutan," katanya.

Syarikat Melayu kena utamakan bangsa sendiri

Amir Baharuddin 
*****
KUALA LUMPUR 5 Jun - Syarikat-syarikat Melayu di negara ini perlu mengutamakan pengambilan anak-anak bangsa sendiri bagi mengisi sebarang kekosongan jawatan yang diperlukan.
Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Amir Baharuddin berkata, gejala polarisasi kaum dalam pengambilan pekerja yang berlaku di negara ini, mengharuskan mereka memainkan peranan dalam membela nasib graduan Melayu.
"Usahawan dan ahli korporat Melayu mesti sedar dengan situasi semasa, keutamaan harus diberikan kepada anak bangsa sendiri sejajar usaha meneruskan kelangsungan pembangunan Melayu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau turut menyarankan supaya kerajaan menguatkuasakan syarat 30 peratus kakitangan sama ada di peringkat pentadbiran atau operasi syarikat Cina dan asing adalah orang Melayu.
"Demi kejayaan Gagasan 1Malaysia, kerajaan harus bertegas dan sentiasa memantau operasi syarikat berkenaan, ini kerana Melayu mewakili 65 peratus komposisi penduduk," ujarnya.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai kajian oleh penyelidik sebuah universiti awam mengesahkan wujud diskriminasi terhadap graduan Melayu yang memohon pekerjaan di syarikat swasta dimiliki kaum Cina dan asing.
Menurut kajian itu, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan graduan Cina menjadi pilihan untuk dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Kolej Universiti Shahputra, Mohd. Nizam Malek mengesa syarikat Melayu supaya memberi peluang kepada graduan Melayu untuk diambil bekerja meskipun tidak memiliki kemahiran.
"Kebanyakan syarikat sekarang mahukan pekerja yang mempunyai kemahiran insaniah, pada zaman dahulu tiada ketetapan sebegini, namun, masih berjaya melahirkan pekerja yang berkualiti.
"Mungkin syarikat akan memikirkan tentang kos untuk menghantar pekerja berkursus atau sebagainya, tetapi melihat kepada situasi semasa, syarat pengambilan pekerja perlu dilonggarkan demi kepentingan Melayu," tegasnya.

Syarikat Cina bagai kacang lupakan kulit - GMP

Mohd. Hilmi 
*****
KUALA LUMPUR 5 Jun - Sikap rasis syarikat Cina yang menyisihkan graduan Melayu dalam permohonan pekerjaan dalam organisasi mereka disifatkan sebagai kacang lupakan kulit.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang dibentuk kerajaan untuk membantu orang Melayu secara tidak langsung membuka banyak peluang ekonomi kepada syarikat-syarikat Cina.
Kata beliau, usaha itu sepatutnya dibalas dengan menyediakan ruang pekerjaan kepada orang Melayu namun perkara sebaliknya berlaku selepas syarikat Cina menunjukkan sikap perkauman dalam organisasi syarikat mereka.
"Penyisihan ini bukan perkara baharu tetapi sudah lebih 20 tahun berlaku, perbuatan mereka terancang dan ini realiti, kita memang terasa dengan sikap sebegini.
"Dasar kerajaan telah banyak memberi manfaat kepada syarikat Cina, tidak salah jika mereka berlaku adil, panggilan kerja untuk graduan Melayu hanya dibuat bagi mencukupkan kuota bumiputera, jawatan pun sebagai kakitangan bawahan sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini mendedahkan kajian sekumpulan penyelidik sebuah universiti awam mengenai wujud diskriminasi terhadap graduan Melayu yang memohon pekerjaan di syarikat swasta yang majoriti dimiliki kaum Cina dan asing.
Menurut kajian itu, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan graduan Cina menjadi pilihan dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini.
Sementara itu, Presiden Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Perak, Shamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, sikap tersebut menyerlahkan belang sebenar syarikat-syarikat Cina yang gagal mengamalkan semangat setia kawan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Tambahnya, diskriminasi itu secara tidak langsung menjarakkan hubungan kaum dan boleh memberi kesan buruk jika berlarutan.
"Perkara ini sudah berleluasa bukan sahaja dalam isu panggilan temu duga, malah turut membabitkan tangga gaji dan peluang kenaikan pangkat.
"Sehubungan itu, saya mohon kerajaan memantau keadaan ini sebab perkara sama wujud dalam syarikat Melayu," katanya.

Lagi sokong dua jawatan tertinggi tidak ditandingi

KUALA LUMPUR 5 Jun - Cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO pada penghujung tahun ini dilihat sebagai tindakan wajar terutama ketika parti itu sedang berusaha memperkukuh kepimpinannya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, walaupun sokongan rakyat kepada UMNO semakin kuat, kedudukan Barisan Nasional (BN) tidak kukuh sepenuhnya selepas gagal memenangi dua pertiga kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum lalu.
"Kita berharap Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menerajui UMNO dan BN bagi memastikan kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya yang juga Timbalan Menteri Kewangan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO hujung tahun ini bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.
DI PUTRAJAYA, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ahli UMNO ketika ini seharusnya lebih mengutamakan keutuhan parti dan sebarang bentuk perpecahan wajib dihindari.
''UMNO mesti bertambah kukuh dan kuat . Sehubungan itu, setiap ahli parti mestilah sentiasa bersedia untuk menerima perubahan yang menjurus kepada kelangsungan parti,'' katanya.
DI PULAU PINANG, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Najib dan Muhyiddin telah menunjukkan corak kepimpinan yang baik sehingga BN mampu merampas semula Kedah selain mengekalkan kemenangan di negeri-negeri lain dalam PRU-13.
Ujarnya, UMNO ketika ini sedang melalui proses transformasi dan keadaan parti perlu lebih stabil dan kita harus memberi fokus pada persiapan awal untuk menghadapi PRU-14 kelak.
Di JOHOR, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah kerja-kerja memperkemas dan memperkukuhkan parti selepas PRU-13.
"Ada baiknya dalam tempoh ini kita melihat kembali sebarang kelemahan dalam parti seterusnya memperbaikinya bagi menghadapi PRU Ke-14," katanya.
DI KUALA TERENGGANU, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, apa yang lebih utama adalah untuk memperkukuhkan kedudukan parti agar dapat kembali menarik keyakinan rakyat secara meluas.

Dua lagi didakwa penyokong pembangkang hina Agong

KUALA LUMPUR 5 Jun - Pengendali blog Kedah Ke KL (http://kedahkekl.blogspot.com) hari ini meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dua lagi yang didakwa penyokong pakatan pembangkang yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook.
Menurut pengendali blog tersebut, dua individu terbabit dikesan menggunakan nama Syed Baniamin dan Wan Azizan.
Syed Baniamin dikatakan menulis komen: "Text yang dibaca tu siapa tulis? 27 juta rakyat pun akan muntah bila dengar text tu."
Wan Azizan seterusnya menulis komen yang bunyinya amat biadab terhadap Seri Paduka: "Aku pun menyampah tengok Agong berucap.. so what??? teks ditulis orang lain yang bodonya Agong tu baca je.. macam lembu kena cucuk hidung."
Bagaimanapun, semakan terhadap akaun Facebook milik Syed Baniamin hari ini mendapati dua komen tersebut tidak lagi dipaparkan.
Syed Baniamin cuba mengalihkan isu dengan memaparkan gambar-gambar sekumpulan individu berhimpun bagi mendesak Datuk Seri Idris Jusoh dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu pada 2008.
Pengendali blog Kedah Ke KL juga mendakwa mengenali Syed Baniamin sebagai salah seorang petugas media siber Pas yang membantu kempen calon Pas bagi Parlimen Jerlun, Datuk Ismail Salleh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Tuanku Abdul Halim ketika menyampaikan titah ucapan sempena ulang tahun keputeraan rasmi baginda yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 Jun lalu mahu rakyat negara ini akur dengan keputusan PRU-13 yang telah ditentukan mereka sendiri.
Sekumpulan pengguna Facebook bertindak biadab terhadap titah ucapan baginda menerusi komen yang dipaparkan pada laman sosial.
Ekoran komen biadab itu, seorang wanita yang menggunakan nama Melissa Gooi ditahan polis semalam di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 manakala empat lagi individu lain sedang dikesan untuk membantu siasatan.

3 Jun 2013

Anwar jahil murakkab sindir ‘Ustaz UMNO’


Anwar jahil murakkab sindir  ‘Ustaz UMNO’ 
 Harussani Zakaria
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai jahil murakkab apabila menyindir golongan agama yang memetik ayat suci al-Quran berhubung keperluan rakyat taat kepada pemimpin dengan menggelar mereka sebagai ‘Ustaz UMNO’ bodoh.

Sambil meminta Ketua Umum PKR itu bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata gelaran jahil murakkab bermaksud orang jahil tidak tahu dia jahil, sesuai dengan Anwar yang tidak tahu apa diperkatakannya.
 
Pembohongan kepada umat Islam
Beliau berkata, ucapan pemimpin pembangkang itu satu pembohongan kepada umat Islam apabila mempertikaikan ayat suci al-Quran dan hadis Nabi yang sahih.

Katanya, ayat al-Quran dan hadis Nabi jelas menyatakan kewajipan bagi umat Islam supaya mentaati kerajaan pemerintah yang sah dan menggesa Anwar merujuk kepada juzuk empat kitab Riyadhussalihin oleh Imam Nawawi dalam bab mentaati pemerintah.

“Hadis itu tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa juga kerana ia diriwayatkan dan disepakati sahihnya oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

“Tak payah nak mengata ustaz, Anwar sendiri adalah orang yang jahil murakkab, jahil berganda, dia tak tahu apa-apa. Saya harap Anwar bertaubat dan kembali ke jalan yang benar,” katanya kepada BH.
Anwar membuat sindiran itu ketika berceramah di Bukit Katil, Melaka turut mendakwa tindakan mentaati kerajaan yang sah sebagai cubaan menegakkan penipuan, malah beliau dilaporkan meminta golongan agama kembali ke sekolah agama untuk mendalami Islam. 
 
 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Anwarjahilmurakkabsindir__8216_UstazUMNO__8217_/Article/index_html | hwa 3Jun

Jangan buang masa dengan politik berlebihan

PUTRAJAYA 3 Jun - Pilihan raya sudah selesai dan rakyat tidak harus menoleh ke belakang serta membuang masa dengan terlibat dalam politik berlebihan (excessive pilitics).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara sebaliknya perlu bergerak ke hadapan dan kerajaan perlu menumpu perhatian kepada usaha menunaikan amanah yang diberikan rakyat.
"Lebih sebulan berlalu selepas pilihan raya, masanya sudah tiba untuk tidak toleh ke belakang dan mesti mengorak langkah ke depan.
"Kita tidak boleh membuang masa dengan terlibat dalam politik berlebihan kerana ia akan mengalih pandangan daripada usaha yang besar iaitu menunaikan amanah yang diberikan rakyat untuk memastikan negara membangun lebih pesat,'' katanya berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. - UTUSAN

Australia iktiraf PRU-13

Bob Carr - Menteri Luar Australia
*****
MELBOURNE 2 Jun - Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr telah menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Malaysia pada 5 Mei lepas, mempunyai kredibiliti dan boleh dipercayai.
Menjawab soalan Editor Luar Negara akhbar The Australian, Greg Sheridan, di stesen televisyen "Sky" mengenai kredibiliti Malaysia, Ahad, Carr berkata: "Nah... mereka pasti adalah kerajaan yang berwibawa.
''Saya menelefon rakan sejawat Anifah Aman (Datuk Seri) pada Jumaat untuk mengucapkan tahniah serta mengatakan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan beliau pada Sidang Kemuncak Asia Timur di Brunei dan juga forum lain,'' katanya.
Carr mengulangi matlamat kerajaan Australia supaya tidak campur tangan dalam urusan politik domestik di Malaysia.
Sheridan mengingatkan Carr terhadap banyak 'komen histeria' mengenai PRU-13 di Australia, bukan kurangnya daripada Senator Nick Xenophon bahawa Malaysia adalah diktator dan Anwar Ibrahim (Datuk Seri) adalah Nelson Mandela di Asia Tenggara, Carr berkata:
''Ia adalah pilihan raya Malaysia. Seperti yang saya nyatakan di Senat semasa menjawab soalan Xenophon bahawa kita bukan suruhan jaya pilihan raya untuk Malaysia.
''Kita tidak boleh membuat keputusan mengenai keadilan atau ketidakadilan dan kita bukan mahkamah pertikaian yang menentukan sama ada seseorang dengan dakwat calit di jari selepas mengundi mampu membuang undi lain atau tidak... kita tidak boleh masuk campur ke dalam perkara-perkara seperti itu,'' katanya.
Carr berkata, ia adalah pilihan raya Malaysia yang dijalankan di bawah peraturan berbeza daripada pemahaman rakyat Australia.
''Tetapi kerajaan (Australia) - kita tidak boleh masuk campur dalam urusan hal ehwal dalaman negara yang mana kita menikmati hubungan mesra,'' katanya.
Menteri Luar itu berkata, rakyat Malaysia sendiri akan membuat penentuan pada masa depan mengenai kaedah dan peraturan pilihan raya mereka dan Australia tidak mempunyai peranan dalam soal itu. - BERNAMA

3 perkara paling Anwar takuti

EZAM MOHD. NOOR 
*****
KUALA LUMPUR 2 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menganjurkan siri perhimpunan haram di seluruh negara kerana mahu mengalih tumpuan rakyat daripada tiga perkara yang paling ditakutinya.
Ketiga-tiga perkara itu ialah rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah dan pendedahan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung aktiviti seks beliau,
Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, Anwar akan memastikan ketiga-tiga perkara tersebut 'dilenyapkan' daripada minda rakyat walaupun tindakannya itu akan mengundang kemudaratan terhadap agama, bangsa dan negara.
"Anwar sememangnya cenderung untuk melakukan pelbagai tindakan terdesak bagi memastikan 'pekung' di dadanya tersisip rapi dalam bajunya kerana beliau tahu ketiga-tiga perkara itu akan menyebabkan karier politiknya boleh terkubur.
"Jadi, dalam tindakan terdesak terbaharunya ini, beliau mengheret penyokongnya untuk turun ke jalan supaya perhatian rakyat teralih daripada isu sebenar yang menyelubungi Anwar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ezam berkata, politik yang dibawa Anwar bukan berlandaskan menyelesaikan masalah rakyat atau negara tetapi semata-mata untuk memuaskan nafsu peribadinya sahaja.
Bukti paling jelas, katanya, ialah pendedahan sahabat karib Anwar iaitu bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang memberitahu Ketua Pembangkang itu sanggup berbohong dan mengkhianati janji kerana mahu menjadi Perdana Menteri.
"Setiap rakyat yang waras seharusnya sudah nampak jelas jenis pemimpin apa Anwar ini, iaitu jenis pemimpin yang mempergunakan rakyat bagi menyelesaikan masalah peribadinya bukan pemimpin yang sanggup berkorban kepentingan peribadinya untuk rakyat.
"Negara ini sudah terlalu lama menjadi mangsa pemimpin songsang ini dan memang sampai masanya untuk riwayat politik songsang Anwar ditamatkan demi kepentingan rakyat dan negara," tegasnya.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, secara lazimnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan bersungguh-sungguh mencipta suatu peristiwa besar bagi melindungi kegelisahannya maka sebab itu perhimpunan haram digerakkan.
"Anwar telah menggerakkan segala jentera PKR untuk menjayakan perhimpunan haram, biarpun gagal mendapat sokongan penuh daripada pemimpin tertinggi Pas dan DAP. Ternyata perhimpunan tersebut adalah agenda peribadi beliau, tetapi menipu penyokong pembangkang dan rakyat Malaysia kononnya untuk menyelamatkan negara,'' ujarnya.
Seorang lagi bekas Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Muhamad Rahimi Osman berkata, Anwar kini benar-benar terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap segala isu yang dihadapinya.
Jelasnya, terlalu banyak dosa Anwar kepada negara, sehinggakan Ketua Pembangkang itu tidak lagi mampu menjawab satu persatu isu tersebut dan cara terbaik bagi melarikan diri adalah dengan menghasut rakyat turun ke jalanan atas sesuatu perkara yang remeh dan tidak benar.
"Anwar juga risau dengan tindakan undang-undang yang akan diterimanya jika disabitkan bersalah atas tiga isu tersebut, jadi, tindakan berhimpun ini juga adalah usaha menakut-nakutkan kerajaan agar menunjukkan dia masih popular dalam kalangan rakyat.
"Saya gesa rakyat agar tidak percaya kepada Anwar dan kerajaan tidak akan sekali-kali membiarkan beliau bebas bermaharajalela atas segala kesalahan yang telah dilakukan," tegasnya.

Pas tolak cubaan ganas gulingkan kerajaan

Mahfodz Mohamed 
*****
KUALA LUMPUR 2 Jun - Pas menolak penggunaan kaedah politik ganas bagi menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Pas tidak berminat untuk mencetuskan keadaan huru-hara dan yakin pihak berkuasa melakukan yang terbaik bagi menjaga ketenteraman negara.
Menurut beliau, sebarang bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 hendaklah dilakukan secara demokratik.
"Ada dua cara iaitu berhimpun secara aman atau failkan petisyen. Jangan sampai gulingkan kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mahfodz mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam yang meminta semua pihak menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah negara.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa memberitahu, ahli-ahli Pas telah dididik untuk menerima keputusan pilihan raya secara baik sebagai tanda reda dengan ketentuan Allah.
Menurut beliau, sebahagian besar ahli Pas tidak menyertai siri demonstrasi jalanan anjuran pakatan pembangkang baru-baru ini kerana mereka menghormati ketetapan yang diputuskan pucuk pimpinan parti.
"Kalah atau menang itu ketentuan Allah. Mengapa bila kalah kita protes sedangkan bila menang kita terima? Sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya, kita ada mahkamah yang akan menentukan keputusan petisyen," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Norazli meminta ahli-ahli Pas menggunakan saluran yang betul sekiranya tidak bersetuju dengan ketetapan pucuk pimpinan parti menolak kaedah kekerasan untuk menggulingkan kerajaan.
"Kita tidak sepatutnya kritik melalui Facebook dan sebagainya. Suarakan pandangan kita pada muktamar Pas nanti," ujarnya.
Menurut beliau, Pas juga seharusnya bekerja keras memenangi hati rakyat mulai sekarang sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130603/po_02/Pas-tolak-cubaan-ganas-gulingkan-kerajaan#ixzz2V7dNl1MO
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa 3Jun

Rakyat perlu akur keputusan PRU-13

KUALA LUMPUR 31 Mei - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu rakyat di negara ini akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang telah ditentukan oleh mereka sendiri.
Sambil merakamkan tahniah kepada Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih, Seri Paduka berharap semua pihak di negara ini memelihara keutuhan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak merdeka.
"Jika ada perbezaan pendapat, gunakanlah kaedah penyelesaian seperti mana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," titah Seri Paduka sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong esok yang disiarkan secara langsung menerusi RTM di sini malam ini.
Seri Paduka bertitah: "Tindakan menanam kesangsian kepada institusi yang telah diamanahkan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelolakan pilihan raya di negara ini ialah perbuatan yang amat berbahaya dan hanya bakal menuai badai pertelingkahan yang tidak berkesudahan."
"Janganlah kita sekali-kali melemah dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan Falsafah Persekutuan yang selama ini mendasari ramuan kejayaan Malaysia," titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim bertitah, sebarang perubahan politik di negara ini perlulah dilakukan secara aman dan menerusi peti undi berpandukan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
"Apakah kita sanggup melihat Malaysia yang tercinta ini hancur dan lumpuh disebabkan perbuatan kita sendiri. Merosakkan sebuah kejayaan amat mudah, namun untuk membinanya kembali amatlah sukar.
"Oleh itu, janganlah benarkan ia terjadi, wariskanlah Malaysia yang bersatu dan berjaya, kepada generasi Malaysia yang mendatang. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah, seribu penyesalan sudah tidak berguna," titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong mengingatkan Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih supaya berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan terbaik untuk rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Tuanku Abdul Halim turut mengajak rakyat bersama-sama meneruskan usaha mencapai matlamat nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Seri Paduka mengingatkan semua pihak bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati saat ini bukannya datang bergolek, sebaliknya hasil daripada pelaksanaan yang teliti dan rapi oleh para pemimpin terdahulu.
"Menjelang tanggal 31 Ogos ini genaplah 56 tahun kita mencapai kemerdekaan, manakala pada 16 September pula kita akan meraikan 50 tahun pembentukan Malaysia.
"Hakikatnya, walaupun secara relatifnya Malaysia merupakan sebuah negara yang masih muda, namun kita telah berjaya meletakkan kedudukan negara pada tempat yang membanggakan seperti yang ada pada hari ini.
"Namun, walau sempurna mana pun strategi yang telah dirangka oleh kerajaan, walau secekap mana pun pelaksanaannya, jika tidak wujud keamanan dalam negara, mana mungkin semua hasrat yang diimpikan mampu dizahirkan," titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan anutan agama dipersatukan dengan lima prinsip Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. - BERNAMA

UMNO muncul parti terkuat

Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut kelihatan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - BERNAMA 
*****
KUALA LUMPUR 31 Mei - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO muncul parti terkuat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu apabila jumlah kerusi yang dimenangi hampir menyamai dengan jumlah dimenangi oleh pakatan pembangkang.
Menurutnya, jumlah kerusi yang dimenangi oleh UMNO sebagai parti tunggal adalah sebanyak 88 kerusi manakala jumlah kerusi yang dimenangi oleh tiga parti pembangkang hanya lebih satu kerusi iaitu 89 kerusi.
Selain itu katanya, berlaku peningkatan dari segi jumlah kerusi yang dimenangi oleh UMNO pada pilihan raya kali ini berbanding PRU-12, iaitu daripada 79 kerusi kepada 88 kerusi.
"Selain itu kita juga mengambil kira kemenangan Barisan Nasional (BN) di Perak dan Kedah memandangkan kita kalah di dua negeri ini pada PRU-12 lalu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Mesyuarat MT yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga Naib Presiden, Ketua-ketua sayap serta ahli-ahli MT itu merupakan mesyuarat MT kali pertama selepas PRU-13.
Najib berkata, UMNO juga mendapat pertambahan undi sebanyak 30 peratus pada pilihan raya umum baru-baru ini berbanding PRU-12.
"Walaupun sukar untuk menentukan secara tepat sebab sebahagian kawasan itu bercampuran, hasil kajian kita mendapati UMNO menerima peningkatan dari segi jumlah undi sebanyak 30 peratus berbanding PRU-12," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, UMNO akan terus berjuang dan dalam masa sama berusaha memantapkan lagi kekuatan parti tersebut sebagai parti terbesar bagi orang Melayu di negara ini.
Sehubungan itu katanya, mesyuarat MT bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang dipengerusikan oleh Muhyiddin untuk mengkaji semula pentadbiran di ibu pejabat.
"Antaranya mewujudkan bidang pengkhususan sepenuh masa dalam beberapa bidang seperti penyelidikan, latihan, media sosial dan penerangan. Kita mahu mewujudkan tenaga sepenuh masa yang profesional dan berdedikasi dalam menguruskan bidang-bidang tersebut.
"Tujuannya ialah untuk memastikan setiap arahan serta keputusan parti dilaksanakan dengan lebih berkesan," ujarnya.