29 Mei 2008

Ahmad Shabery lepas Ketua Penerangan Umno Terengganu

PHONM PENH: Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini melepaskan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Umno Terengganu sejajar dengan langkah Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Idris Jusoh semalam.
Ahmad Shabery berkata, langkah itu diambil bagi memberi peluang kepada kepemimpinan Umno negeri yang baru untuk melantik tokoh lain yang dirasakan berkelayakan bagi memegang jawatan itu sekaligus memudahkan soal penyelarasan pentadbiran negeri dan parti.

"Secara moral saya melepaskan jawatan ini kerana saya dilantik oleh Datuk Seri Idris Jusoh, yang sekarang tidak lagi menjadi Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

"Maka dengan sendirinya jawatan saya sebagai Ketua Penerangan Pehubungan Umno negeri gugur,” katanya di sini.

- Bernama, 29/05/08.

Akar umbi Umno mahu kaji selidik sokongan kepada pemimpin, kata Mukhriz

TEMERLOH: Ahli Umno peringkat akar umbi mahu satu kaji selidik dilakukan berhubung sokongan kepada kepemimpinan parti itu sekarang, kata Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Katanya, kajian itu boleh dilakukan dengan mengedar borang khas kepada ahli bagi membolehkan mereka menyatakan pendirian sebenar sama ada menyokong kepimpinan sekarang atau sebaliknya.
"Mungkin ramai ahli Umno yang ingin meluahkan perasaan mereka tetapi malangnya hak mereka itu dinafikan oleh pemimpin yang lebih mementingkan kedudukan mereka, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan anggota Pemuda Umno Kuala Krau, dekat sini, malam tadi.
Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berkata beliau sudah bertemu dengan beberapa anggota Umno yang mula melahirkan rasa bosan kerana suara mereka sering dinafikan dan mereka mengambil sikap tidak lagi mahu bergerak aktif dalam parti.
"Tindakan ahli yang tidak puas hati memprotes secara diam lebih bahaya daripada menyuarakan pandangan kepada parti, katanya.
Mukhriz berkata anggota bawahan turut mencadangkan agar mereka diberi peluang mengundi pada pemilihan parti akan datang.
"Proses pemilihan sekarang sudah tidak lagi sesuai kerana wakil mereka boleh dibeli dan akhirnya mengkhianati kehendak ahli akar umbi, katanya.
- Bernama, 29/05/08.

Pemulihan UMNO : Adab Dan Harapan

Post on Monday, May 26 @ 10:31:18 MYT
Dr Novandri Hasan Basri
Penulis ingin membincangkan empat perkara yang saling berkaitan di antara satu sama lain. Isunya adalah mengenai krisis yang melanda di dalam parti UMNO.
1. Pada 23hb Mei 2008, penulis berkesempatan untuk berSMS dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda UMNO Malaysia mengenai kekusutan dan salah faham yang timbul tentang perletakkan ahli Tun Dr Mahathir dan konsep pelan pemulihan UMNO yang dibaca di dalam media-media.
Penulis menulis, ‘Assalamualaikum Dato Seri. Can you elaborate more regarding ‘pelan pemulihan UMNO’ as discussed in MT meeting? If I may give my opinion, there’s lack of of 2 way communication between leaders and grassroots.
We’re kept in the dark, guessing & wondering without any guidance. Our point of reference are newspaper & tv & not from our own leaders.
This is not healthy & frustrating. Dato Seri, as you too, we love UMNO but not because of anybody’s order or authority. But at the same time, we can’t just swallow every order without rationalizing & wanting more info.
Dato’ Seri, if the explanation is precise & solid, we can help in reducing the misunderstanding in this cyber world which mainly are from the youth. Please Dato Seri…’
Jawapan SMS daripada Datuk Seri Hishammuddin (dengan izin Datuk Seri) ‘we are going to finalize only in the retreat 4 – 5th June 2008. Will bring down (to grassroots) after that.'
Kekusutan
2. Apabila berlakunya sesuatu kekusutan di dalam penilaian penulis mengenai parti UMNO, sebagai generasi pasca-merdeka, penulis sentiasa cuba mencari pandangan tokoh-tokoh veteran pejuang UMNO.
Bagi penulis, mereka adalah insan-insan terbaik untuk mendapat ilham, petunjuk dan semangat. Lebih-lebih lagi seperti para pembaca sekalian, kita hanya mempunyai rasa cinta dan setia kita kepada UMNO.
Pandangan mereka menjadi lebih berharga apabila mereka sudah lagi tidak mempunyai sebarang kepentingan di dalam UMNO.
Maksudnya, pandangan mereka lebih berani, ikhlas dan patut diterima dengan hati yang terbuka, terutamanya pemimpin-pemimpin UMNO sekarang.
Baru-baru ini, seorang pejuang veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani telah memberi nasihat yang pada pendapat penulis sangat bernilai di dalam menangani kekusutan UMNO.
Secara ringkas, Tan Sri Aishah Ghani merupakan salah seorang pejuang Melayu yang menyertai perhimpunan yang menuntut kemerdekaan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada Mac tahun yang sama. Beliau menyertai UMNO Kampung Baru pada tahun 1949.
Pada tahun 1963 beliau menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta Naib Ketua Wanita UMNO.
Tan Sri merupakan wanita yang pertama di Malaysia serta wakil wanita Malaysia yang pertama ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (1967 hingga 1972). Beliau menjadi wakil Malaysia ke Persidangan Suruhanjaya Taraf Wanita PBB.
Pada tahun 1972, Aishah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sehingga 1984. Pada 1 Mac 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat dan memegang jawatan ini sehingga tahun 1984.
Dengan pengalaman yang sangat luas, nasihat Tan Sri Aishah Ghani tentunya perlu didengar.
Tan Sri Aishah Ghani berkata bahawa beliau yakin kemelut Dr Mahathir dan Abdullah dapat diselesaikan "jika Pak Lah beransur sikit".
"Cadangan saya dalam hal ini Pak Lah beritahu bila nak berundur. Dulu dia pernah cakap tapi tak beritahu bila. Jadi sekarang masanya dia beritahu.”.
"Bukan apa, orang muda sekarang bukan senang nak percaya. Bila ada jangka waktu orang yang harap Pak Lah berundur tak adalah nak gesa dia, sebab dah tahu bila dia nak buat," katanya.
Tan Sri Aishah berkata beliau banyak mendengar "cakap-cakap" daripada kalangan anggota parti sendiri yang sinis dengan kenyataan Abdullah untuk melepaskan jawatan.
"Itulah masalahnya, cuma cakap saja tapi orang tak nampak. Macam kenyataan (timbalan perdana menteri) Datuk Seri Najib (Razak) kata dia akan bincang pasal peralihan kuasa dengan Pak Lah, buatlah cepat. Jangan cakap saja," katanya.

Tan Sri Aishah, 85, berkata sebagai "orang lama" yang membesar di dalam parti beliau sedih dengan apa yang berlaku dalam Umno sekarang.
"Kami ni dah tak boleh buat apa-apa, dah tak ada kuasa, cuma anggota biasa sahaja. Yang kami ada cuma pengalaman dan kasih sayang kami terhadap Umno, dan kerana kasih sayang kamilah kami masih beri pandangan dan nasihat. Sama ada mereka (pemimpin sekarang) nak ikut atau tidak terpulang kepada mereka," katanya.
Kebenaran
3. Penulis ingin membawa para pembaca sekalian kepada satu perspektif ilmiah yang perlukan penelitian. Terdapat 4 persoalan utama yang perlu dijawap:-

i. Berapakah sebenarnya jumlah ahli-ahli UMNO yang mahukan Pak Lah mengundur diri?

ii. Bagaimana caranya kita dapat mengira dan mengumpul data-data tersebut?

iii. Jika benar, bagaimana caranya untuk kita menterjemahkan data-data tersebut kepada satu tindakan yang mesti digunapakai oleh kepimpinan tertinggi UMNO?

iv. Bagaimanakah cara dan bila Pak Lah perlu meletak jawatan?


Penulis perlu berasional apabila membincangkan perkara ini kerana kita dituntut untuk berfikir, mengkaji dan execute dengan seragam, bersama-sama dan taktikal agar ianya tampak besar serta mewakili suara majoriti ahli-ahli UMNO.

Dalam masa yang sama, jika suara-pandangan yang lantang meminta Pak Lah meletakkan jawatan itu bukannya suara majoriti ahli-ahli UMNO, apakah ahli-ahli akan berpegang kepada prinsip demokrasi dan kembali bersama-sama memperkuatkan parti UMNO atau pun terus menjadi pressure group atau trouble shooter?

Secara ringkas, ‘polls’ yang terdapat di dalam beberapa bloggers menunjukkan bahawa UMNO memerlukan perubahan kepimpinan. Akan tetapi, petunjuk kepada ‘polls’ tersebut tidak boleh dijadikan sandaran utama kepada persoalan di atas kerana limitasi-limitasi ‘polls’ tersebut.

Blog Datuk Khir Toyo
Sehingga hari ini, 17150 orang telah menjawap ‘polls’. 15195 (88%) mahukan kepimpinan tertinggi UMNO ditukar. Manakala 1955(11%) menjawap tidak perlu.

Web KMU.Net
Apakah Perlu Pak Lah Lakukan?
Meletak Jawatan 89.92% (10115)Terus Menjadi PM 10.08% (1134)
Total Votes: 11249
Blog tunku

Should Pak Lah Resign?
Yes, he has failed 2921 (86%)No, he has strong support 125 (3%)Lets give him another chance 322 (9%)
Votes so far: 3368

Minda Intelek Melayu
Apakah Pak Lah Patut Menawarkan Diri Untuk Bertanding Semula Jawatan Presiden UMNO?
Tidak 444 (87%)Ya 65 (12%)
Votes so far:509
Adab & Harapan

4. Apakah ketiga-tiga perkara di atas dapat disimpulkan menjadi satu keputusan yang dapat meredakan segala kekecewaan, kemarahan dan kebingungan rakyat sekarang?
Kesimpulannya, penulis dapati bahawa kepimpinan UMNO sedang mendengar suara-suara ahli UMNO.

Seperti para pembaca sekalian, penulis juga mahukan tindakan yang efektif dan bukannya sekadar ucapan pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak membawa sebarang perubahan.

Akan tetapi secara adabnya, pemimpin tidak boleh dimalukan. Lebih-lebih lagi jika pemimpin tersebut merupakan seorang pemimpin tertinggi di dalam sebuah negara.

Realitinya, kaedah menurunkan pemimpin tersebut akan bakal dicatitkan di dalam sejarah dan akan diperturunkan kepada generasi-generasi seterusnya.

Dan jika berpegang kepada penerangan sms Datuk Seri Hisahammuddin, kita perlu memberi sedikit ruang kepada kepimpinan UMNO yang sedia ada untuk memastikan pertukaran kepimpinan tertinggi UMNO berlaku secara adab dan tidak memalukan sesiapapun.

i. Jika benar beliau tidak dapat memenuhi kategori seseorang pemimpin yang diharapkan oleh sesetengah rakyat tetapi apakah kita tidak sudi untuk memberi muka kepada beliau?

ii. Apakah Pak Lah begitu jahat sehinggakan kita tidak mahu beliau beredar dari arena politik secara terhormat?

iii. Apakah kita begitu marah kepada beliau sehinggakan kita tidak peduli kesan buruk yang pasti ditanggung oleh cucu-cicit dan keturunan beliau?

Dalam masa yang sama, seperti nasihat Tan Sri Aishah Ghani, kepimpinan UMNO perlu menjelaskan tarikh dan mekanisme dengan jelas, segera dan tepat mengenai petukaran kepimpinan tertinggi.

Hanya dengan cara ini sahaja, segala kekeliruan dan kekecewaan ahli-ahli dari akar umbi dapat dibendung dengan efektif dan konstruktif.

Mungkin ada di antara pembaca sekalian yang tidak bersetuju dengan penulis dan mengganggap bahawa penulis sedang memimpikan penyudahan yang tidak mungkin akan terjadi.

Tapi seperti kata Martin Luther King, Jr. (15 Januari 1929-14 April 1968) seorang pemimpin hak asasi terkenal dan lelaki termuda yang dianugerahkan gelaran Hadiah Keamanan Nobel (1964) - Everything that is done in the world is done by hope.

Ya, penulis sedang mengharap.

Jangan ungkit Ketuanan Melayu - Dr. Zambry

IPOH 28 Mei - Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mempertikaikan Ketuanan Melayu hanya menggambarkan sikap berani melulunya mahu melihat konsep Malaysian Malaysia dilaksanakan di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan bekas Setiausaha Politik Lee Kuan Yew itu bukanlah menghairankan kerana ia merupakan ideologi yang telah lama diperjuangkan oleh DAP sebelum ini.
''Saya tidak hairan dengan tindakan Lim Kit Siang dan DAP yang menolak ketuanan Melayu.
''Ia semakin jelas dan sikap berani melulu Penasihat DAP yang mahu melihat konsep Malaysian Malaysia dilaksanakan di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kit Siang di Parlimen baru-baru ini yang mendakwa rakyat hari ini telah bosan dengan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu.
Dr. Zambry berkata, Kit Siang tidak sepatutnya mempertikaikan ketuanan Melayu kerana ia sememangnya hak mutlak orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor itu berkata, apa yang menghairankan ialah terdapat orang Melayu yang seia sekata dengan Kit Siang termasuk mereka yang menjunjung pakatan pembangkang.
''Mereka begitu dangkal hanya melihat ketuanan Melayu semata-mata dalam konteks Perlembagaan negara sedangkan apa yang diperjuangkan oleh DAP ialah perjuangan ideologi.
''Saya harap orang Melayu yang terpengaruh dengan Kit Siang kembali sedar dengan permainan beliau itu," katanya.
Katanya, perkara ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia telah terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
''Apa yang dikatakan oleh Kit Siang itu adalah tidak wajar kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan.
''Apa yang diperjuangkannya kini adalah ideologi berterusannya dan akhirnya nanti kedudukan hak-hak istimewa orang-orang Melayu akhirnya turut dipersoalkan.
''Ini apa yang kita lihat sekarang seperti bidang kuasa raja-raja dalam pentadbiran Islam dan saya tidak bimbang mereka juga mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB)," katanya.
Dr. Zambry berkata, kesemua ini menampakkan kecenderungan berterusan mereka untuk menidakkan kedudukan orang Melayu di negara ini yang tidak perlu diungkitkan lagi.
''Ini merupakan satu peringatan kepada orang Melayu bahawa satu demi satu kedudukan orang Melayu di negara ini mula dipertikaikan," katanya.
- UM, 29/05/08.

Henti cabar orang Melayu

Oleh Norizan Abdul Muhid
MELAKA 28 Mei - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang menghentikan perbuatannya mengeluarkan kenyataan berkaitan ketuanan Melayu kerana ia mencetuskan suasana tidak selesa di kalangan orang Melayu di negara ini.
Menurut beliau, Kit Siang tidak sepatutnya mempertikaikan ketuanan Melayu kerana ia sememangnya hak mutlak orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini.
''Kit Siang tidak perlu sibuk-sibuk mengeluarkan kenyataan berkaitan ketuanan Melayu kerana tanah ini hak orang Melayu, jadi, tiada siapa yang berhak boleh mempertikaikannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kit Siang di Parlimen baru-baru ini yang mendakwa rakyat hari ini telah bosan dengan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu.
Mohd. Ali berkata, konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu jelas tercatat dalam sejarah dan tidak perlu diungkit-ungkit terutama oleh pihak pembangkang.
Kata Ketua Menteri Melaka itu, DAP sengaja membangkitkan isu tersebut semata-mata ingin menarik perhatian rakyat dan pada masa sama tidak mempedulikan perasaan orang Melayu.
Beliau menjelaskan, ketuanan Melayu bukan menganggap kaum lain sebagai hamba dan berlagak sebagai tuan seperti yang dianggap oleh DAP.
''Pembangkang amat jelas tidak memahami konsep tersebut.
''Kit Siang tidak tahu konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu sebab itu beliau boleh buat kenyataan sedemikian," katanya.
Sementara itu, Mohd. Ali turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Selangor mengharamkan sebarang program berkaitan konsep Islam Hadhari yang dilihat lebih bersifat politik dan tidak mementingkan soal masyarakat itu sendiri.
Katanya, penganjuran Islam Hadhari telah diiktiraf oleh para mufti dan ulama tempatan malah disokong oleh negara-negara jiran terutama di kalangan negara Dunia Melayu Dunia Islam.
''Memang jelas pembangkang yang memimpin kerajaan Selangor sekarang tidak tahu langsung konsep Islam Hadhari, mereka hanya ingin mainkan isu ini kerana untuk menarik perhatian rakyat untuk menyokong mereka," katanya.
- UM, 29/05/08.

Perletakan jawatan Idris bukti kelemahan Pak Lah

Sudah dijangka. Itulah riaksi rakan-rakan dalam UMNO di Bahagian Besut. Apa yang boleh dilakukan oleh Dato' Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi BPUNT, dalam masa yang sama beliau cuma seorang wakil rakyat biasa.
Asakan oleh Ahmad Said - Menteri Besar Terengganu agar jawatan itu diberikan kepada beliau, mempercepatkan lagi Idris untuk melepaskan jawatan tersebut.
YB. Rosol Wahid selaku Setiausaha BPUNT juga mengikuti langkah Idris.
Walau apa juga yang berlaku, ini sedikit sebanyak mengundang krisis dalaman UMNO Terengganu.
Presiden parti selaku Perdana Menteri mesti bertanggungjawab diatas krisis yang berlaku dalam UMNO Terengganu kerana sikap tidak tegas dan kelemahan kepimpinannya adalah faktor berlakunya ketidak stabilan politik di tanah air.
Sehubungan itu, Pak Lah wajar melepaskan jawatan dalam kerajaan dan parti supaya usaha pemulihan parti boleh dilakukan dengan segera.
-- Putra Alhaq.

Idris letak jawatan

BESUT 28 Mei - Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri atas alasan ingin mengukuhkan perpaduan parti di negeri itu.
Menurutnya, beliau telah menyatakan hasrat tersebut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu pertemuan di ibu negara hari ini dan Perdana Menteri menerima peletakan jawatan tersebut.
''Saya akan menghantar surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu kepada Setiausaha Agung UMNO esok," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Idris memberitahu, tindakannya itu adalah sebagai menghormati keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang memilih Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dalam kemelut yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Katanya, peletakan jawatannya juga sebagai menghormati kemahuan Menteri Besar sekarang selain bertujuan untuk menyelaraskan soal pentadbiran politik dan negeri.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosol Wahid ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini turut mengumumkan peletakan jawatannya.
Beliau berkata, peletakan jawatannya itu berkuat kuasa hari ini sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Idris.
Menurutnya, Idris telah berbincang dengannya mengenai hasrat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tiga hari lalu.
Jelasnya, Idris memberi alasan peletakan jawatannya adalah kerana mahu melihat UMNO Terengganu terus bersatu padu.
''Saya cadangkan supaya beliau merujuk perkara tersebut kepada Presiden UMNO.
''Selepas hasrat Idris itu diterima oleh Perdana Menteri, saya juga mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri," ujarnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil itu, pelantikan beliau ke jawatan itu dibuat oleh bekas Menteri Besar itu. Sehubungan itu sudah sewajarnya beliau mengambil tindakan yang sama seperti diambil Idris.
Sebelum ini, Idris yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sejak 2004 itu menyatakan tidak akan meletakkan jawatan tersebut walaupun tindakan itu boleh menyebabkan kebuntuan politik di Terengganu.
Katanya, beliau menerima Datuk Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu yang mempunyai para penyokongnya sendiri tetapi Idris juga mendapat sokongan besar ahli-ahli kerana berjaya memimpin UMNO Terengganu memenangi Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008.
Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri bahawa UMNO Terengganu kini berpecah dua dengan satu kumpulan menyokong Idris, manakala kumpulan yang lain menyokong Ahmad sehingga menimbulkan kekeliruan di negeri ini.
Ahmad pula sebelum ini, menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri jika dilantik ke jawatan itu oleh pucuk pimpinan parti kerana sudah menjadi tradisi jawatan itu dipegang oleh Menteri Besar.
- UM, 29/05/08.

KHAIRY LIABILITI UMNO - MUKHRIZ

KUALA LUMPUR 28 Mei - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin adalah liabiliti kepada parti.
Beliau mendakwa, itulah persepsi ramai terhadap Khairy dan beliau bersetuju mengenainya.
''Saya kira betul, saya sendiri sebut kepada beliau dalam mesyuarat Exco (Pemuda UMNO Malaysia) bahawa rata-rata kalau kita tanya orang di kedai-kedai kopi lepas pilihan raya hari itu, antara sebab kita kalah ialah faktor Perdana Menteri dan faktor Khairy.
''Ini orang sebut secara terbuka,'' katanya dalam temu ramah yang disiarkan akhbar dalam talian, Agenda Daily.
Mukhriz berkata, beliau bersetuju bahawa Khairy adalah satu liabiliti kepada parti kerana campur tangannya dalam soal-soal penting seperti pemilihan calon-calon untuk bertanding.
''Selama ini pun orang bercakap tetapi kita biarkan. Kadang-kadang persepsi itu lebih penting daripada realiti,'' katanya.
Mukhriz ditanya apakah nasihatnya kepada Khairy dalam menghadapi persepsi itu dan beliau berkata, ia terpulang kepada Khairy termasuk dalam soal sama ada hendak bertanding atau tidak jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Diminta pandangannya bahawa bila seseorang itu sudah dicap liabiliti kepada sesuatu organisasi maka dia harus menarik diri, Mukhriz berkata: '' Tidak juga, ini apa yang orang cakap, terpulang kepada empunya diri''.
Ditanya lagi pandangannya dalam soal ini, beliau menambah: ''Kita tak ada tempat dalam UMNO nak mengikut cara dia (Khairy)."
- UM, 29/05/08.

28 Mei 2008

DAP dicabar buktikan ketuanan Melayu langgar Perlembagaan

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan KHAIRUL AZWAN TAJUDDIN
KUALA LUMPUR 27 Mei - Pihak tertentu yang masih mempertikaikan hak istimewa dan ketuanan Melayu adalah golongan yang buta sejarah dan sengaja mewujudkan sentimen bagi kepentingan politik masing-masing.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar (gambar) berkata, ia tidak sepatutnya dipertikaikan lagi kerana kedua-dua perkara itu telah dipersetujui oleh semua kaum sejak zaman sebelum merdeka.
''Jadi, hak istimewa dan ketuanan orang Melayu seperti kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan agama Islam sebagai agama rasmi tidak harus dibangkitkan oleh mana-mana pihak.
''Kalau ada yang mempersoalkannya (ketuanan Melayu) terutama DAP, saya cabar mereka untuk buktikan bahawa konsep itu menyalahi Perlembagaan (Persekutuan) negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2007 Majlis Amanah Rakyat (Mara) Peringkat Ibu Pejabat, Wilayah Persekutuan dan Selangor di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan dua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Dr. Tan Seng Giaw yang mengatakan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu kini tidak lagi relevan serta harus digantikan dengan konsep ketuanan Malaysia.
Pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam, kedua-dua pemimpin DAP itu mendakwa rakyat negara ini sudah bosan dengan konsep ketuanan Melayu dan perkara itu diterjemahkan apabila pihak pembangkang menang di lima negeri pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang dan Pengerusi Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara menambah, orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini telah banyak berkorban terhadap hak mereka.
Menurutnya, hak-hak warganegara Malaysia yang lain seperti kebebasan memilih kerajaan dan kebebasan beragama tidak pernah disekat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Justeru, beliau menasihatkan DAP agar tidak memainkan isu sensitif sebegitu yang hanya akan mengelirukan rakyak.
- UM, 28/05/08.

23 Mei 2008

Ahli Umno tidak akan dilantik pegawai masjid di Selangor

SHAH ALAM: Ahli Umno dan individu yang terbabit dalam perniagaan tidak akan dilantik sebagai pegawai dan pentadbir masjid yang baru oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali, berkata senarai nama pegawai dan pentadbir masjid yang baru itu sudah disiapkan dan diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam menyiapkan senarai ini sebelum mendapat perkenan Sultan," katanya ketika menjawab soalan Dr Abd Rani Osman (Pas-Meru) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.Hassan berkata, pegawai dan pentadbir masjid yang bakal dilantik itu adalah di kalangan mereka yang mengutamakan intergriti, amanah dan ikhlas dalam menjalankan tugas.
Katanya, pegawai dan pentadbir masjid baru itu akan dihantar mengikuti Program Pembangunan Insan bagi memastikan mereka menjalankan tugas dengan perasaan takut kepada Allah. Hassan (Pas-Gombak Setia) itu berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan e-khutbah sesuai dengan era baru kerajaan Pakatan Rakyat.
"Cara penyampaian khutbah hari ini membuatkan jemaah tertidur sedangkan khutbah spatutnya menjadi corong ilmu, corong pembangunan ummah dan corong bangkitkan semangat jihad," katanya.Menjawab soalan Suhaimi Shafie (PKR-Sri Muda) jika ada pegawai dan pentadbir masjid menyeleweng urusan kewangan, Hassan berkata, laporan polis akan dibuat jika ada unsur jenayah.
Bagaimanapun, jika kesalahan pegawai dan pentadbir masjid atau surau itu hanya membabitkan peringkat kampung, individu akan dipanggil untuk memberi keterangan sebelum dinasihatkan melepaskan jawatan.
- BH, 23/05/08.

21 Mei 2008

Parlimen jadi Central Market pula, kata ketua penyokong kerajaan

KUALA LUMPUR: Sekiranya pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat kecoh umpama pasar dan hanya tiga soalan sahaja dapat dijawab dalam sesi soal jawab, hari ini ada pula anggota menyifatkan Parlimen, institusi tertinggi pembuat dasar negara, seperti ’Central Market’.

Sikap sesetengah anggota Parlimen yang membawa masuk pelawat untuk tujuan tertentu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan anggota Parlimen yang lain.

Apa tidaknya sekumpulan kira-kira 20 lelaki dan wanita dipercayai penyokong Hindraf yang pada mulanya mengadakan sidang akhbar dan akhirnya bertukar menjadi majlis sambutan Hari Jadi semasa sidang berhenti rehat jam 1 tengah hari.

Majlis hari jadi itu adalah untuk anak kepada pemimpin Hindraf P Waythamoorthy, Wvaishnari, 6, dan kumpulan itu bernyanyi beramai-ramai “Happy Birthday To You” di lobi Parlimen berdekatan tempat rehat anggota Parlimen berhampiran tangga keluar.Sebiji kek dengan enam lilin diletakkan di atas meja kawasan lobi berkenaan.

Bukan setakat sekali, malah berkali-kali lagu itu dinyanyikan dan Ahli Parlimen Padang Serai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Gobalakrishnan dilihat mendukung anak kecil berkenaan dan membawa bertemu Ahli Parlimen lain.

Ahli Parlimen yang berada berdekatan pula diberi bunga ros merah, bagaimanapun keadaan terkawal dan tidak ada kejadian tidak diingini berlaku.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC), Datuk Tiong King Sing mengingatkan Ahli Parlimen pembangkang bahawa Parlimen bukan tempat sewenang-wenangnya membawa orang luar masuk.

"Dulu macam pasar kini macam Central Market pula.Sebagai institusi tertinggi dalam negara tak seharusnya orang luar dibawa sewenang-wenangnya.

"Perkara ini saya akan bawa kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.Beliau berkata Ahli Parlimen pembangkang tidak harus menggunakan isu Hindraf dan kanak-kanak untuk menjadi juara isu berkenaan.

— Bernama,

20 Mei 2008

Bush mohon maaf insiden Al-Quran dijadikan sasaran menembak

BAGHDAD 20 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush memohon maaf kepada Perdana Menteri, Nuri al-Maliki atas tindakan seorang askar AS menjadikan naskhah al-Quran sebagai sasaran latihan menembak
Stesen televisyen tempatan hari ini melaporkan, kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri menyatakan, Bush telah menyampaikan permohonan maafnya kepada Nuri melalui satu panggilan telefon yang dibuat lewat malam tadi.
“Perdana Menteri telah menerima permohonan maaf daripada Presiden AS George W. Bush berhubung insiden askar AS menjadikan naskhah al-Quran sebagai sasaran latihan menembak,” lapor stesen Al-Iraqia.
Menurut laporan itu, Nuri telah memaklumkan kepada Bush tentang kekesalan dan kemarahan rakyat serta kerajaan Iraq atas tindakan keji askar AS terbabit.
“Bush memberitahu askar berkenaan akan dibicarakan,” lapor Al-Iraqia.
Kabinet Iraq yang bermesyuarat hari ini menuntut askar berkenaan dikenakan tindakan keras dan memberi amaran “tindakan keras” akan diambil jika insiden serupa berulang lagi.
Semalam, komander tertinggi tentera AS, Mejar Jeneral Jeffrey Hammond telah bertemu pemimpin masyarakat dan mengeluarkan kenyataan memohon maaf mengenai insiden yang berlaku pada 11 Mei itu, dan berjanji akan mengambil tindakan tegas ke atas askar berkenaan.
Askar AS terbabit yang turut menulis kata-kata menghina di dalam kitab tersebut telah pun diarah meninggalkan Iraq.
– Agensi, 20/05/2008 9:04pm

Mukhriz tidak akan keluar UMNO

KUALA LUMPUR 20 Mei - Anak Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz menegaskan tidak akan meletak jawatan atau keluar daripada UMNO walaupun beliau bersetuju dengan tindakan bapanya itu.
"Saya akan menjadi suara lantang dalam UMNO yang menegur kepimpinan parti," katanya pada sidang akhbar di sini petang ini.
Serentak dengan itu beliau mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi segera meletakkan jawatan.
- Utusan.20/05/2008 6:32pm

Syarat Dr Mahathir mustahil dipenuhi?

Begitulah komen Tun Musa Hitam, mengulas tindakan Tun Mahathir keluar dari UMNO setelah tidak berpuashati dengan kepimpinan parti setelah pilihanraya umum ke-12 lepas.
Entahlah, apa motif Musa Hitam memberikan riaksi sedemikian, semacam bunyi dendam politik yang tidak sudah beliau terhadap Mahathir.
Nampaknya ramai masuk gelanggang kembali untuk menjadi hero dalam UMNO. Persoalannya adakah ini boleh membantu menyelesaikan polimik yang berlaku dalam UMNO masa ini.
Kita semua tahu betapa Mahathir amat menyayangi UMNO dan bagaimana UMNO dipertahankan serta dinobatkan dalam arena politik tanah air malah di persada antarabangsa.
Situasi yang berlaku dalam UMNO hari ini hasil kelemahan kepimpinan UMNO hari ini. Tanggungjawab ini mesti dipikul tetapi sehingga ini tiada penyelesaian yang terbaik diambil untuk membaiki malah hari demi hari timbul pula masalah-masalah baru.
Pak Lah kena melepaskan jawatan dan kepimpinan baru nanti boleh membaiki dengan azam dan semangat baru. Seperti Mahathir menyerah kepimpinannya kepada Pak Lah, UMNO muncul dengan kekuatan baru dalam pilihanraya umum ke-11 tahun 2004.
Kepada Musa Hitam, tiada yang mustahil dalam dunia politik hari ini.
- Putra Lembah Utara, Mei 2008.

19 Mei 2008

Penubuhan JPP Bertentangan Dengan Demokrasi, Kata Nik Aziz

KUALA KRAI, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri ini bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Beliau berkata langkah kerajaan pusat menubuhkan JPP itu telah mewujudkan dua kerajaan dalam sebuah negeri dan menyebabkan berlaku bercanggahan dalam melaksanakan projek di negeri ini. "Ia tidak berlaku sebelum ini tetapi apabila saya dilantik Menteri Besar, JPP pun ditubuhkan oleh kerajaan pusat dengan alasan untuk menyalurkan peruntukan kepada Kelantan," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Krai di sini, hari Ahad. Nik Aziz berkata semua peruntukan kepada Kelantan disalurkan melalui agensi di bawah kerajaan pusat termasuk projek pembangunan dan kemudahan awam. "Kita nak buat apa-apa (projek) dengan duit, tidak boleh buat sebab kena orang dia (kerajaan Pusat) sendiri sama ada penghulu atau wakil rakyat yang buat," katanya. Sehubungan itu, beliau berpendapat kewujudan JPP di negeri ini menunjukkan kerajaan pusat tidak percaya dengan kakitangan kerajaan negeri sedangkan daripada segi kelulusan akademik, mereka mempunyai kelayakan sama taraf dengan kakitangan kerajaan lain. -- BERNAMA .
KOMEN: TAK PAYAH CAKAPLAH TOK GURU, DEMO DAH NYANYUK SANGAT.

Kuasa ‘kepenghuluan’ sekat suara akar umbi UMNO

Oleh Ainol Amriz Ismail
JELEBU 18 Mei – Kuasa ‘kepenghuluan' yang diamalkan sesetengah pemimpin negeri menyebabkan berlaku sekatan bersuara dalam UMNO dan mengakibatkan pemimpin atasan tidak tahu masalah sebenar di peringkat akar umbi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amalan kuasa ‘kepenghuluan’ menyekat perbahasan usul dalam Perhimpunan Agung UMNO dan menjadikannya cuma pertemuan ‘untuk berpantun, senyum dan gelak ketawa’.
Menurut beliau, para pemimpin UMNO di peringkat bahagian terpaksa memberi penghormatan dan menurut kehendak pemimpin negeri masing-masing.
“Apabila keadaan ini wujud, maka berlakulah sekatan bersuara dan (gejala) ditentukan terlebih dahulu apa yang hendak dihujahkan pada perhimpunan. Inilah yang ditentukan oleh sistem ‘kepenghuluan',” ujarnya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program perjuangan dan cabaran pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 di Dewan Budaya di sini hari ini, Rais memberitahu, implikasi budaya politik itu amat serius.
“Bila suara akar umbi dikekang dan tidak dapat disampaikan seperti yang dilunaskan oleh parti, maka pucuk pimpinan hanya dapat cerita pantun, senyum dan gelak ketawa.
“Pemimpin tidak tahu apa luahan sebenar yang datang dari akar umbi,'' tegas beliau.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata, parti-parti lain di Malaysia tiada memiliki kuasa ‘kepenghuluan' di negeri-negeri tetapi UMNO ada Menteri Besar yang mempunyai kuasa yang kuat dan besar.
Beliau meminta budaya itu ditukar. “Jika tidak diubah pada pemilihan UMNO hujung tahun ini, ia hendaklah diubah selepas pemilihan parti berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, Rais juga mengkritik ‘elemen subsidi’ dalam bentuk kuota pencalonan pada pemilihan parti selain mencurigai angka keahlian UMNO yang mencecah lebih tiga juta orang.
Beliau berpendapat angka sebesar itu tidak mencerminkan kedudukan sebenar parti.
“UMNO terlalu konservatif. Dalam keadaan itu, generasi muda banyak yang menghindarkannya.
“Bagi saya, dalam keadaan ini jugalah, pemilihan pucuk pimpinan parti daripada jawatan Naib Presiden hinggalah kepada Presiden, kalau boleh perlulah diasaskan oleh suara rakyat yang sebenar,'' ujar beliau.
Mengenai langkah beberapa pemimpin menyatakan hasrat untuk bertanding termasuk bagi jawatan Naib Presiden UMNO, Rais meminta ahli-ahli UMNO tidak membuat penilaian negatif.
- UM, 19/05/08.

18 Mei 2008

Insentif: Selangor dalih lagi

Oleh ZABRY MOHAMAD
SHAH ALAM 17 Mei - Insentif pelajaran RM1,000 untuk anak-anak Selangor yang memulakan pengajian di peringkat diploma dan ijazah pada tahun ini akan dihadkan kepada golongan miskin berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan sahaja.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, insentif itu tidak dapat diberikan kepada setiap anak negeri pada tahun ini seperti janji dalam manifesto pilihan raya kerana kekurangan peruntukan.
"Belanjawan bagi tahun ini sudah banyak dipakai dan tidak banyak baki yang tinggal. Kita akan rangka rancangan kewangan bagi tahun depan supaya janji-janji negara berkebajikan yang telah kita buat semasa pilihan raya umum dapat dipenuhi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, hari ini.
Pemberian insentif atau hadiah sebanyak RM1,000 kepada setiap pelajar negeri itu yang berjaya melanjutkan pengajian di IPT merupakan antara kandungan manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
Dianggarkan seramai 20,000 anak Selangor berjaya melanjutkan ke IPT setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali baru-baru ini memaklumkan bahawa pemberian insentif tersebut masih diteliti dan ditawarkan kepada calon yang mendapat tempat bagi kursus ijazah sarjana muda sahaja.
Menurut Abdul Khalid, mereka yang berhasrat untuk memohon insentif RM1,000 supaya mendapat pengesahan pendapatan keluarga daripada pegawai daerah atau wakil rakyat di kawasan masing-masing terlebih dahulu.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga sedang menyediakan prosedur bagaimana orang ramai boleh memohon insentif yang terbuka kepada semua kaum dan kursus di peringkat diploma dan ijazah itu.
- MM, 18/05/08

Azam Mukhriz jika dipilih Ketua Pemuda

JOHOR BAHRU 17 Mei - Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berazam menggerakkan usaha menawan semula lima negeri yang diperintah oleh parti pembangkang pada pilihan raya akan datang jika diberi kepercayaan untuk memimpin sayap parti itu pada pemilihan Disember ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, tanggungjawab untuk merampas semula negeri-negeri yang jatuh ke tangan parti pembangkang itu merupakan cabaran terbesar pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Oleh itu, sesiapa juga yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan ini harus bersedia untuk memikul tanggungjawab dan cabaran besar ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai ahli panel pada Forum UMNO Pasca Pilihan Raya: Suara Hati Rakyat di Hotel M. Suites di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu, pakatan pembangkang terdiri daripada Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya menawan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
BN juga tewas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain gagal merampas kembali Kelantan daripada Pas.
Mukhriz berkata, negeri yang ditawan parti pembangkang itu boleh ditawan semula sekiranya semua ahli UMNO bersatu padu dan bersama-sama memperjuangkan matlamat parti bagi menebus semula maruah agama, bangsa dan negara.
"Ini semua mampu kita laksanakan jika kepentingan rakyat menjadi keutamaan dan bukan kepentingan peribadi, keluarga, saudara mara mahupun rakan-rakan.
"Untuk menebus semula maruah bangsa, kita tidak harus mengamalkan sifat takut atau tidak berterus terang kerana itu semua tidak memberi kebaikan kepada parti," katanya.
Mukhriz berkata, bagi memastikan UMNO sentiasa relevan, pemimpin harus bijak menyelesaikan masalah rakyat dan meyakinkan mereka dengan dasar-dasar yang diterapkan.
Selain beliau, beberapa individu termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo juga menyatakan kesediaan bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dikosongkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein setelah memimpin sayap itu sejak sedekad lalu.
Selain itu, dua lagi calon yang disebut-sebut ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

16 Mei 2008

Batu Putih berpihak kepada kita

JOHOR BAHRU 15 Mei - Wisma Putra yakin keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda mengenai tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura yang akan diumumkan pada 23 Mei ini, akan berpihak kepada negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keyakinan itu bersandarkan hujah dan fakta yang dikemukakan pasukan pakar perundangan negara sepanjang prosiding yang bermula 6 hingga 23 November tahun lalu.
Menurutnya, segala fakta itu berkait rapat dengan sejarah, perjanjian, hujah kependudukan dan kawalan serta terma menurut rekod yang ada pada Malaysia.
"Kesungguhan pasukan kita dengan semangat serta nilai yang tinggi menjurus ke arah kemenangan Malaysia," katanya selepas taklimat tertutup Isu Kedaulatan Batu Putih kepada kerajaan Johor di sini hari ini.
Turut hadir pada taklimat lebih sejam itu ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, ahli Exco kerajaan negeri serta ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Johor.
Rais kemudian turut menghadap Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail di Istana Bukit Serene tengah hari ini berhubung kes pulau tersebut.
UM, 16/05/08.

15 Mei 2008

Peluang kedua kepada usahawan gagal

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperkenalkan Skim Peluang Kedua bagi memberi peluang kepada usahawan yang pernah gagal membangunkan semula perniagaan mereka.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata peluang kedua ini hanya dberi kepada usahawan yang gagal disebabkan oleh faktor luaran, dan bukan disebabkan oleh kesilapan diri sendiri seperti salah guna wang atau kelemahan pengurusan.
Katanya peluang itu juga terbuka kepada usahawan dalam bidang pertanian yang ternakan mereka terjejas disebabkan penyakit serta kalangan subkontraktor yang tidak mendapat bayaran daripada kontraktor selepas selesai menjalankan tugas mereka.
“Kalau tidak ada pendapatan yang masuk dalam tempoh tak bela ayam (umpamanya), macam mana nak bayar hutang. Satu lagi, kalau subkontraktor, mereka juga tak dapat bayar hutang kepada agensi kerajaan jika mereka sendiri tidak dibayar.
“Jadi, kita tidak boleh terus memaksa mereka membayar hutang dan akhirnya kita bankrapkan mereka. Sebaliknya, kita kena tolong dengan cara sama ada memberi pendahuluan semula atau tambah pinjaman,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Noh berkata bagi menjayakan program itu pegawai berkaitan dari kementerian diarah turun padang untuk menyiasat kedudukan dan punca sebenar kegagalan usahawan yang terbabit sebelum mereka diberi bantuan menerusi skim itu.
Selain usahawan yang gagal, graduan yang disenarai hitam kerana tidak membayar pinjaman pendidikan juga diberi peluang mendapatkan pinjaman dan menjadi usahawan.
“Kementerian tidak akan ambil kira kerana mereka ’blacklist’. Kalau kita tak bagi peluang mereka berniaga, macam mana mereka nak bayar hutang pinjaman,” katanya.
- Bernama, 15/05/08.