20 April 2010

Dr. Halili keluar PKR sertai UMNO

UM - 20/04/2010
DR. Halili Rahmat (kiri) ketika membuat sidang akhbar mengenai pengisytiharannya keluar PKR dan masuk UMNO di Petaling Jaya, semalam. Di sebelahnya bekas Setiausaha Agung PKR, Salehuddin Hashim.

PETALING JAYA 19 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima satu lagi tamparan apabila Datuk Dr. Halili Rahmat yang merupakan salah seorang pemimpin dan juga bekas doktor peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO.
Dr. Halili, 58, yang turut bersama-sama Anwar mengasaskan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada 1999, mengambil keputusan tersebut selepas mendapati PKR bukan lagi sebuah parti politik berasaskan perjuangan.
Sebaliknya, beliau berkata, PKR lebih condong menjadi parti yang mementingkan kuasa daripada membawa kesejahteraan kepada rakyat walaupun telah diberi mandat untuk mentadbir beberapa negeri.
"PKR juga telah dikuasai sekumpulan kecil pemimpin yang berfikiran sempit. Mereka memajukan ideologi berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh masyarakat Melayu khususnya dan Malaysia amnya.
"Berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya lihat beliau ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan politik dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika membacakan kenyataan tiga muka surat pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.
Dr. Halili merupakan bekas Bendahari PKR Hulu Selangor dan pernah menjadi calon PKR pada dua pilihan raya umum iaitu pada tahun 1999 dan 2004.
Pada 1999, beliau bertanding di Parlimen Hulu Selangor tetapi tewas kepada calon BN, Datuk G. Palanivel manakala pada 2004, beliau tewas kepada calon BN, Datuk Zainal Abidin Sakom bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.
Selain aktif sebagai ahli politik, beliau juga merupakan seorang pakar bedah otak dan saraf.
Beliau telah menjadi doktor peribadi Anwar sejak 1994 dan kini berkhidmat dengan tiga hospital swasta di ibu kota.
Dr. Halili mengakui kesungguhan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri membuatkannya mengambil keputusan untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dengan memberi sokongan penuh kepada barisan kepimpinan negara.
Dalam pada itu, beliau sedar ada pihak yang bakal melemparkan pelbagai tuduhan antaranya kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.
"Saya tidak pernah meminta atau menawarkan diri untuk dipilih menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil kali ini.
"Walaupun pernah bertanding sebelum ini tetapi saya berasa amat berat untuk bertanding apabila memikirkan realiti masyarakat bawahan telah berubah.
"Saya perlu membuat penjelasan ini kerana saya tidak mahu nama saya digunakan oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendirian saya dengan PKR masih sama," katanya.
Mengenai dakwaan beliau dibeli oleh UMNO, Dr. Halili berkata, beliau seorang pakar bedah dan tidak harus timbul tuduhan seperti itu.
Berkaitan pilihan raya kecil itu, beliau berkata, sebagai anak jati Hulu Selangor amat sukar baginya mempertahankan kredibiliti PKR memandangkan parti itu tidak melakukan apa-apa untuk kesejahteraan pengundi di kawasan tersebut sejak merampasnya daripada BN dua tahun lalu.
"Saya faham Allahyarham wakil rakyat terdahulu uzur tetapi yang menghairankan mengapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat Allahyarham dalam memberi khidmat kepada pengundi Hulu Selangor?" katanya.
Ujar beliau, PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya tetapi mengabaikan amanah rakyat seperti dijanjikan semasa tempoh berkempen.
"Perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku dan saya telah diberitahu oleh penduduk kampung sama ada di Hulu Yam, Rasa, Kuala Kubu, Sungai Buaya dan Serendah bahawa mereka akan memastikan perkara ini tidak lagi berlaku.
"Rakan-rakan dan saudara-mara saya juga faham bahawa perjuangan saya selama ini adalah untuk perubahan dan bukan untuk membela seseorang individu," ujarnya.
Ditanya sama ada beliau akan membantu BN pada pilihan raya kecil tersebut, Dr. Halili berkata, beliau akan ke Australia untuk menyaksikan anaknya menerima ijazah sarjana undang-undang.
"Jangan kata saya lari pula. Dua minggu lepas anak saya lulus ijazah sarjana undang-undang dan Khamis ini adalah hari konvokesyen di universitinya. Perancangan ini sudah lama," katanya.
Sementara itu ketika berceramah di Sungai Buaya di Hulu Selangor, Dr. Halili berkata, beliau bukanlah seorang ahli politik tetapi seorang doktor.
Sehubungan itu katanya, beliau tidak tahu untuk mengutuk atau mengata sesiapa selain hanya mahu menyebelahi pihak yang benar.
Katanya, kejayaan negara di bawah kepimpinan Najib telah banyak memberi kesedaran kepadanya di pihak manakah beliau sepatutnya berada.
/hwa-utusan.com.my

Dua calon Bebas V.S. Chandran, Johan Md. Diah tarik diri

UM - 20/04/2010
HULU SELANGOR 19 April - Kurang tiga jam sebelum tempoh akhir menarik diri tamat, persaingan merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini, menjadi dua penjuru apabila calon Bebas, V.S Chandran dan Johan Md. Diah menarik diri.
Mereka menyerahkan borang penarikan diri kepada Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan.
Dengan penarikan diri itu, pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) P.Kamalanathan dan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.
Chandran, ahli perniagaan dan bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor menyerahkan borang penarikan diri kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Beliau yang ditemui pemberita selepas itu menjelaskan, penarikan diri itu berpunca rasa hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain amat menyayangi Barisan Nasional (BN) yang menjadi platform perjuangannya sejak 35 tahun lalu.
"Saya diberi nasihat bahawa BN tidak ada kena mengena dalam masalah saya dengan MIC, sebelum ini saya jadi calon Bebas kerana terlalu marahkan MIC.
"Saya akan pastikan penyokong saya menyokong BN, saya tahu bagaimana nak uruskan mereka kerana P. Kamalanathan adalah calon BN walaupun dia ahli MIC," katanya.
Tegasnya, beliau tidak menyesal dengan keputusan untuk menjadi calon Bebas sebaliknya gembira kerana berpeluang mencipta sejarah peribadi dalam politik.
Beliau turut menafikan dibayar untuk menarik diri.
Sementara itu, Nor Hisham memberitahu, Johan menandatangani surat penarikan diri pada pukul 9.15 malam ini.
"Saya menyerahkan semula borang pencalonan yang dihantarnya selepas beliau menandatangani surat penarikan diri berkenaan," katanya.
Terdahulu, pada pukul 6 petang, Johan mengadakan sidang akhbar pembukaan bilik gerakannya di Felda Sungai Tengi di sini hari ini.
Pada sidang akhbar itu, Johan mengibaratkan dirinya seekor kancil yang berada di antara dua ekor gajah dan bersedia untuk berlari laju meninggalkan gajah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula menyifatkan penarikan diri Johan itu sebagai bonus tambahan kepada BN.
"Bonus terbesar BN adalah kemasukan Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat ke dalam UMNO dan disusuli dengan penarikan diri oleh dua calon Bebas.
"Bonus lain adalah Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) diketuai presiden dan timbalannya hadir menemui saya untuk menyatakan sokongan mereka kepada BN di Markas Induk BN di Bukit Beruntung kira-kira pukul 6 petang tadi," ujarnya.
/hwa-utusan.com.my

18 April 2010

Pengundi tetap nilai peribadi calon – TPM

MM - 18/04/2010
MUHYIDDIN Yassin bersama pemimpin parti komponen menjulang tangan semasa mengiringi calon Barisan Nasional, P. Kamalanathan (lima dari kanan) di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu, semalam.

HULU SELANGOR 17 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) tidak akan membangkitkan isu peribadi calon lawan namun perkara itu tetap menjadi kriteria utama yang akan dinilai pengundi dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam pemilihan apa sekali pun pelbagai perkara diambil kira sebagai strategi termasuk soal peribadi seseorang calon.
“Kita tidak boleh mengetepikan isu tersebut begitu sahaja kerana walaupun kita tidak membangkitkannya, pengundi tetap mahu menilai latar belakang akhlak, moral dan integriti seseorang calon. Mereka hendak tahu siapa P. Kamalanathan (calon BN) dan siapa itu Datuk Zaid Ibrahim (calon Parti Keadilan Rakyat),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengiringi Kamalanathan ke pusat penamaan calon pilihan raya itu di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru di sini hari ini.
Muhyiddin ditanya apakah BN akan membangkitkan isu peribadi Zaid sepanjang kempen yang bermula hari ini bagi meraih undi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak perlu membangkitkan isu peribadi kerana kalau pun ia tidak dilakukan namun perkara tersebut tetap akan menjadi penilaian utama pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.
“Orang sudah tahu sejarah Zaid dalam Kabinet, apabila beliau meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan berhubung beberapa perkara. Selain itu beliau pernah ‘bergaduh’ dengan Pas apabila mengambil tindakan undang-undang berhubung hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh parti tersebut.
“Saya tidak mahu cerita lebih kerana Zaid juga kawan saya, biarlah pengundi buat penentuan, apa pun kita tidak boleh mengetepikan soal peribadi dan perwatakan calon kerana pengundi mahu orang yang betul-betul bersih dan bersedia bekerja keras untuk rakyat, sebab itu kita pilih Kamalanathan,” katanya.
Muhyiddin berkata, melalui kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan gagasan 1Malaysia serta usaha usaha membela rakyat yang menjadi pendekatan BN selama ini, parti itu mahu pengundi memahami bahawa kepimpinan parti akan memberikan apa sahaja sokongan supaya kawasan Hulu Selangor akan terus mencapai kemajuan sama ada dalam ekonomi, pembangunan sosial mahupun kebajikan.
“Kita yakin melalui kempen yang dilaksanakan, rakyat akan menyokong BN.
“Kita akan ambil peluang untuk memberikan penjelasan kepada mereka dalam apa juga isu yang dibangkitkan oleh pembangkang kerana kita sudah ada jawapan, kita tidak akan lari tetapi akan berhadapan dengan rakyat bagi membuat penerangan,” katanya.
/hwa-utusan.com.my

Pembangkang ketandusan modal

MM - 18/04/2010
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan SAIFUL HAIZAN
pengarang@utusan.com.my
HULU SELANGOR 17 April - Para pemimpin UMNO menyifatkan pendekatan pakatan pembangkang menggunakan isu Apco sebagai modal kempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor mulai hari ini sebagai bukti pakatan itu tidak bersedia memikul tanggungjawab sebagai kerajaan negeri kerana ketiadaan isu khususnya program untuk membangunkan Selangor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pembangkang hanya bergantung kepada isu nasional sedangkan sepatutnya, sebagai sebuah kerajaan negeri yang mentadbir negeri termaju di negara ini, mereka seharusnya tampil dengan isu tempatan bagi membolehkan rakyat menilai hala tuju pentadbiran.
Tegasnya, agak ganjil dan pelik kerana sebagai sebuah kerajaan negeri, pembangkang tiada isu yang boleh diketengahkan untuk membangunkan Selangor sebaliknya ghairah pula hendak berkempen mengenai Apco sedangkan kerajaan telah menjelaskan bahawa syarikat itu tiada kaitan dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Isu ini tidak akan memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) kerana pengundi di sini sangat memahami siapa yang mampu memberi kesejahteraan dan pembangunan kepada mereka.
"Pembangkang dipercayai hendak membuat laporan polis di semua balai polis di Hulu Selangor berhubung isu Apco ini semalam tetapi ia tidak berlaku dan kita juga dapat lihat sesi ceramah yang dijalankan mereka juga gagal mendapat sokongan," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai isu Apco yang dipercayai akan menjadi senjata utama pembangkang untuk menyerang BN pada kempen pilihan raya kali ini ketika ditemui semasa proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mempunyai fakta yang kukuh untuk mematahkan niat jahat pembangkang yang cuba menanam kebencian khususnya di kalangan pengundi Melayu dengan mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan One Israel melalui Apco.
Tegasnya yang juga Naib Presiden UMNO, BN juga tidak bimbang dengan isu tersebut kerana jelasnya pembangkang yang kini tertekan ekoran pelbagai masalah yang timbul dalam pakatan tersebut.
"Isu yang dibawa ini isu nasional tetapi pendekatan kita ialah memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat yang masih memerlukan pembangunan.
"Buktinya kita telah dapat lihat sebelum pilihan raya bermula lagi apabila Perdana Menteri melancarkan program Juara Rakyat di Bukit Sentosa dan memberi kelulusan segera bantuan bagi memulihkan pangsapuri penduduk yang uzur sedangkan pembangkang tiada melakukan apa-apa," jelasnya.
Manakala, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula berkata, pendekatan pembangkang yang mahu menggunakan isu tersebut sebagai senjata adalah perbuatan hipokrit kerana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya dakwa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mempunyai lebih ramai kenalan berbangsa Yahudi.
"Bukan kita tak tau siapa Anwar dan siapa rakan-rakannya. Dia lebih ramai kenalan Yahudi, nasihat saya, tak payahlah jadi hipokrit kerana rakyat sekarang sudah bijak.
"Meraka nak burukkan kerajaan melalui isu Apco tetapi siapa yang banyak membantu bangsa Palestin dan menentang Israel? Kita, kerajaan BN dan bukannya Anwar," tegasnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata Apco bukannya satu syarikat milik Yahudi ataupun berpangkalan di Israel.
Sebaliknya, kata beliau, Apco ialah sebuah syarikat antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai 51 penasihat antarabangsa dan membuka pejabat di 29 buah negara.
"Dia bukan memberikan nasihat tentang dasar negara, dia hanya memberikan nasihat komunikasi kepada dasar-dasar yang telah kita lakukan untuk menembusi jaringan komunikasi peringkat dunia bagi semua kementerian.
"(Agensi) perhubungan awam kita tidak mampu membuat perkara itu, oleh kerana Apco ada pejabat di 29 buah negara dia mempunyai keupayaan," katanya.
/hwa-utusan.com.my

4 penjuru

BM - 2010/04/18
Beberapa pemimpin, penyokong cedera berasak-asak di pusat penamaan calon

KUALA KUBU BHARU: Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.
Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan akan ditentang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (PKR), bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor, VS Chandran dan peniaga, Johan Mohd Diah, masing-masing calon Bebas.
Bagaimanapun penyokong yang bersesak-sesak ke pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di sini, semalam, menyebabkan beberapa pemimpin parti komponen, petugas media dan pengawal pengiring menteri cedera ringan terkena kawat berduri yang diletakkan pihak berkuasa untuk mengawal orang ramai.
Antara yang cedera dalam kejadian jam 9.25 pagi ialah Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak, Datuk R Ganeson. Mereka diberikan rawatan oleh pegawai perubatan dari sebuah ambulans yang ditempatkan di perkarangan pusat penamaan calon.
Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan mengesahkan nama calon yang bertanding pada jam 11.15 pagi. Keempat-empat calon menyerahkan borang pencalonan selepas pusat penamaan dibuka pada jam 9 pagi dan tiada bantahan ketika tempoh bantahan selama satu jam tamat.
Norhisham mengumumkan Zaid menyerahkan borang pada jam 9.06 pagi, diikuti Kamalanathan 9.30 pagi, Chandran empat minit kemudian dan Johan pada jam 9.36 pagi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai perarakan calon BN dari Pejabat Umno Hulu Selangor. Pemimpin parti komponen lain yang turut hadir ialah Samy Vellu; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Pengerusi BN Selangor dan Pengarah Jentera Pilihan Raya kecil Hulu Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan ribuan penyokong. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.
Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal menang dengan majoriti 198 undi menewaskan penyandang ketika itu, Datuk G Palanivel yang kini Timbalan Presiden MIC.
Parlimen Hulu Selangor yang bersaiz besar sedikit daripada Melaka itu terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Hulu Bernam (N05), Kuala Kubu Bharu (N06) dan Batang Kali (N07), yang ketiga-tiganya dikuasai BN.
Beribu-ribu penyokong daripada BN dan pembangkang tiba di pekan kecil Kuala Kubu Bharu sejak awal pagi menyebabkan kesesakan lalu lintas beberapa kilometer menuju ke pusat penamaan.
Turut tercedera dalam kejadian bersesak-sesak itu ialah pengawal pengiring Muhyiddin yang cuba melindungi beliau daripada diasak penyokong BN yang tidak menyedari kewujudan sekatan berkenaan.
Perarakan calon PKR diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.
/hwa-bhrian.com.my

Memenangi hati rakyat

MM (Rencana) - 18/04/2010
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
KETIKA membentangkan kertas kertas bicara sosial pada Konvensyen Barisan Nasioanl (BN) Negeri Selangor baru-baru ini, saya telah menghujahkan beberapa perkara pokok yang mesti dapat dilihat dilaksanakan jika BN mahu kembali memerintah termasuk memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Pertama, pemimpin mesti dapat dilihat latar belakang dan akhlaknya baik. Kebaikannya itu bermula dengan dia berjaya menjaga diri sendiri dengan imej bersih serta keluarganya, bertunjangkan keikhlasan. Saya memetik kata-kata ahli falsafah Cina, Konficius yang berbunyi, if you want to rule the state, first put your house in order, to put your house in order, first cultivate yourself morally, to cultivate yourself morally, first put your heart right, to put your heart right, you must be sincere.

Kata-kata ini amat bertepatan dengan Islam walaupun bukan datang daripada ‘orang Islam’. Namun, dalam hati kecil ini sentiasa berkata kemungkinan besar Konfucius merupakan salah seorang Nabi daripada ribuan Nabi dalam Islam, kerana kata-katanya langsung tidak bercanggah dengan roh Islam.

Pemimpin mesti dapat dilihat berakhlak sedemikian, tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Mereka mesti menjadi contoh yang terbaik kepada rakyat bagi membolehkan mereka dipilih oleh rakyat. Sesungguhnya, tanggungjawab memimpin teramat berat, bukan sekadar main-main atau ingin mencuba nasib. Ada perhitungan dunia dan akhirat. Menjadi pemimpin bukanlah tiket untuk membuncitkan perut atau mengumpul harta. Kekayaan negara mesti digunakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Pemimpin yang mempunyai skandal, hendaklah diketepikan kerana rakyat hari ini bijak memilih antara permata dan kaca. Tindakan bekas ketua wanita MCA, Chew Mei Fun patut dipuji, walaupun dalam beberapa perkara saya tidak boleh bersetuju dengan pandangan beliau mengenai Islam dan hak asasi manusia. Beliau terpaksa melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, berpegang kepada prinsip tidak dapat menerima pemimpin yang rendah moral dan akhlaknya. Tindakan ini mesti dihormati dalam melahirkan sebuah masyarakat berintegriti tinggi dan bermaruah. Jika ramai pemimpin seperti ini, BN tidak perlu merasai bimbang dalam menghadapi pilihan raya atau berhadapan dengan rakyat. Secara automatik, mereka akan diterima rakyat.

Kata-kata dahulu kala seperti ‘jika BN letak tunggul kayu sekalipun akan menang pilihan raya’ tidak dapat diterima pakai lagi. Tunggul hari ini bukan hanya akan dipatahkan, malah dicampak rakyat entah ke mana. Justeru, pemimpin mesti mempunyai integriti yang amat tinggi. Menjadi role model kepada rakyat, terutama kanak-kanak yang sentiasa melihat pemimpin sebagai contoh teladan. Jika pemimpin terlibat dalam seks bebas dan korupsi bagaimanakah kita hendak mengatakan kepada rakyat supaya menjauhi perkara terkutuk itu kerana cakap sudah tidak serupa bikin.

Manfaatnya
Pendek kata, sebagai pemimpin mereka mesti dapat mengalir manfaatnya kepada manusia. Seperti kata Pendeta Za’ba, hidup ini mesti melakukan kebajikan dengan berjasa kepada orang. Sebaik-baik kebajikan itu biarlah kekal berpanjangan biarpun kita telah mati kerana demikian itulah iaitu salah satu daripada tiga perkara yang dikatakan oleh Nabi kita tidak putus amal seseorang anak Adam daripadanya apabila ia (anak Adam itu) mati. Perkataan itupun tidak tertentu bagi orang Islam sahaja melainkan ‘anak Adam’.

Kedua, pemimpin parti-parti komponen BN janganlah bertindak mendesak dan mengugut UMNO ketika parti Melayu ini berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan orang Melayu. Sebaik-baiknya berikanlah sokongan kepada UMNO untuk bangkit kembali menjadi sebuah parti Melayu yang kuat dengan penuh integriti. Sokonglah UMNO selagi mana ia berada di landasan yang betul. Perbetulkannya, jika ia mula melencong daripada landasan.

Parti-parti komponen BN hendaklah mengumpulkan kekuatan dan mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan bukannya mengambil kesempatan ketika orang lain ditimpa musibah atau tidak berupaya. Memang tidak dapat dinafikan inilah peluang keemasan dan kesempatan yang perlu dipergunakan untuk menuntut itu dan ini, tetapi saya ingatkan belajarlah memahami psiki orang Melayu. Melayu jarang meluahkan kemarahannya di khalayak, tetapi mereka mudah memendam rasa. Menyimpan sesuatu yang terbuku di hati, kemudian diterjemahkan dalam bentuk sukar dikawal. Inilah yang paling saya bimbang sekian lama memahami bangsa ini.

Ketiga, mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Kemajmukan masyarakat di negara ini tidak berlaku secara semulajadi. Negara bermula dengan satu bangsa iaitu bangsa Melayu, dengan tidak menafikan orang asli. Hakikat ini mesti diterima oleh semua manusia di dunia ini. Tidak ada negara dalam dunia ini bermula dengan berbilang kaum. Ia bermula dengan satu kaum yang menduduki sesuatu kawasan atau negara. Nama kaum itu akan menjadi nama sesebuah negara. Tidak perlu saya ulangi kenapa Siam menjadi negara Siam, bangsa Cina menjadi negara China, dan bangsa India membentuk negara India. Fikir-fikirkanlah kenapa ia berlaku sedemikian.

Justeru, tidak timbul Melayu itu adalah pendatang kerana nama Tanah Melayu sudah jelas mencerminkan kedudukannya di kepulauan Melayu. Tindakan mengungkit perkara itu hanya akan mengundang musibah kepada BN.

Lanjutan daripada itu, slogan Ketuanan Melayu jangan pula dilihat sebagai melambangkan Melayu itu tuan, manakala bukan Melayu itu hamba. Laungan ketuanan Melayu hanya sekadar untuk mengingatkan sahaja bahawa negara ini berakarkan kepada sistem kenegaraan Melayu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, sudah tentu kita akan merempat di bumi ini. Tetapi adakah ia berlaku sedemikian rupa? Siapakah tuan, siapakah hamba sebenarnya?

Fahamilah konsep keadilan dalam Islam. Keadilan itu bukannya sama rata dan sama rasa, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam boleh memberikan keadilan, tetapi Islam tidak dapat memberikan sama rata dan sama rasa, sebab agama Islam itu sendiri tidak boleh disamakan dengan agama lain. Tetapi Islam memberikan jaminan keadilan. Dengan sebab itu, kita lihat orang bukan Islam boleh membina empayar kekayaan dan hidup aman damai di bumi Islam, tetapi belum tentu orang Islam boleh merasai perkara yang sama di bumi bukan Islam. Lagi pula orang Islam jarang cemburu dengan kekayaan yang dimiliki oleh bukan Melayu.

Keempat, menolak rasuah lebih hina daripada daripada makan babi. Maksud saya, imej seorang pemimpin BN mesti bersih dan bebas daripada rasuah. Memberi dan menerima rasuah, kedua-dua masuk neraka. Rasuah adalah perbuatan yang dapat dilihat dan masyarakat kita mula jijik dengannya. Rasuah adalah amat bahaya kepada agama, bangsa dan negara, tidak ada kompromi dalam isu ini. Pemimpin yang hendak mewakili rakyat mesti menjauhkan diri daripada perbuatan ini. Sama ada mereka mahu menjadi pemimpin cawangan atau bahagian sehinggalah ke peringkat negeri dan pusat, pemimpin yang jelas terlibat dalam rasuah dan politik hendaklah ditolak untuk cuba diketengahkan atau bertanding.

Kelima, mencari persamaan dalam kehidupan beragama, bersatu atas kebaikan dan menolak kemungkaran. Tidak ada agama yang menerima keburukan. Semuanya menganjurkan kebaikan. Maka nilai kebersamaan itu mesti dicari. Misalnya, seks bebas, pergaulan bebas, berzina, hiburan melampau, minum arak, judi dan sebagainya. Tidak ada satupun agama yang membenarkan perbuatan terkutuk ini. Justeru, tidak timbul soal untuk berhujah mempertahankan bahawa ianya adalah hak asasi manusia. Bila mana hak asasi manusia tertembung dengan hak Pencipta, maka hak pencipta mesti diutamakan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Mempertahankan kemungkaran dan kemaksiatan hanya akan mengundang bala, sedangkan kita tahu ia ditolak oleh semua agama. Jika ada agama yang menjadi anutan parti-parti politik komponen BN mengatakan bahawa kemungkaran dan kemaksiatan tersebut boleh diterima dan dibenar, sila buktikan pada saya. Saya akan jawab, nilai moral agama mereka amat rendah tarafnya. Mereka tidak layak untuk menganuti agama tersebut, kerana agama itu terlalu suci. Kesucian itu mesti dipelihara, tidak dapat tidak.

Perasaan
Keenam, menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan yang menjadi anutan orang Melayu. Perlu diingatkan bahawa orang Islam tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal atau urusan bukan Islam. Justeru, sudah sampai masanya orang bukan Islam tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung hati dan perasaan orang Islam.

Saya lihat kerajaan hari ini sudah mula cenderung ke arah itu. Semakin cenderung UMNO kepada Islam, semakin ia mendapat sokongan, kerana agama tidak pernah menipu manusia. Tuhan tidak pernah menipu manusia, melainkan manusia yang selalu menipu Tuhan. Yakinlah.

Kembalilah kepada rakyat, barulah kita dapat menawan hati rakyat kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat.

Sikap cemari masjid dikutuk

MM - 18/04/2010
Oleh AMIZUL TUNIZARAHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 17 April – Pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mewakili umat Islam di negeri ini mengecam tindakan penyokong pembangkang membaling telur busuk dan memijak papan tanda membantah pembabitan Apco Worldwide di Masjid Sultan Idris Shah II di sini semalam.
Menurut mereka, tindakan ‘biadab’ dan ‘kurang ajar’ kumpulan tersebut bukan sahaja mencemarkan kesucian masjid malah sangat memalukan agama Islam.
Pengerusi Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, perbuatan mereka merosakkan lagi imej Islam yang kini terjejas teruk akibat dakyah Barat.
“Sekiranya hendak membantah, ada banyak cara lain boleh dibuat, bukannya memilih rumah ibadat untuk berpolitik bagi meraih perhatian rakyat.
“Perbuatan itu memalukan umat Islam,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan penyokong pembangkang mencemarkan kesucian Masjid Sultan Idris Shah II semasa mengadakan demonstrasi di sini petang semalam.
Dalam perhimpunan tersebut, mereka membaling telur busuk dan selipar pada papan tanda mengecam pembabitan Apco Worldwide sehingga menyebabkan jemaah masjid terkena percikannya.
Tindakan tersebut turut mendapat kecaman Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegaskan perbuatan itu adalah haram dan patut dihentikan.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, tindakan pembangkang khususnya penyokong tegar Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menghairankan kerana itulah sikap sebenar mereka.
Katanya, sikap sama pernah ditunjukkan semasa membantah pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar dengan berkumpul di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar dan berbaring di jalan raya untuk menahan kenderaan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
“Ini adalah sikap mereka yang telah lama kita tahu dan sebab itu mereka beria-ia hendak duduk dalam jawatankuasa masjid kerana hendak mempolitikkan masjid berkaitan apa jua keadaan, baik berhimpun secara haram atau menghina dan memaki hamun sesama umat Islam,” ujarnya.
Menurut beliau, dakwaan pembangkang mengenai pembabitan Apco Worldwide dalam pembentukan gagasan 1Malaysia sebenarnya cuma satu tuduhan untuk mengelirukan rakyat.
Jelasnya, semua sedia maklum, idea 1Malaysia lahir daripada pemikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan tiada langsung kaitan dengan firma Israel mahu pun Amerika Syarikat.
“Sebenarnya, pembangkang risau tengok rakyat berbilang kaum semakin bersatu melalui konsep 1Malaysia kerana itu timbul tuduhan meniru slogan ‘Satu Israel’ dan kononnya kita guna khidmat firma negara itu sedangkan ia tidak tepat,” katanya.
Ketua Penerangan Kesatuan Anak- anak Muda Islam (KAMI) Perak, Hafizul Abd. Hamid pula meminta penyokong pembangkang terutama daripada Pas dan PKR supaya berhenti mempolitikkan masjid untuk kepentingan sempit politik parti mereka.
“Tindakan pembangkang khususnya penyokong Pas langsung tidak melambangkan identiti parti itu sebagai pejuang Islam.
“Apa yang berlaku semalam adalah satu perbuatan biadab dan kurang ajar, apatah lagi ia dilakukan di pekarangan masjid dan menjelang sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Isnin ini,” katanya.
/hwa-utusan.com.my

Wanita UMNO tidak reda cara PKR berpolitik

MM - 18/04/2010
HULU SELANGOR 17 April - Pergerakan Wanita UMNO akan berjuang habis-habisan untuk memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan kerana tidak reda dengan cara Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpolitik.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, berdasarkan pemerhatian, pihaknya mendapati PKR tidak ikhlas dan menggunakan taktik kotor dengan mengadu domba di kalangan rakyat pelbagai kaum.
Jika dibiarkan beterusan katanya, negara boleh menjadi huru-hara manakala status Selangor sebagai 'periuk nasi' negara boleh musnah.
"Sebab itu kita jentera Wanita begitu cekal, kita akan bekerja dengan penuh dedikasi sebab kita mesti menangkan calon BN untuk perpaduan negara
"Jentera Wanita turun dengan rela hati untuk jaga keselamatan negara, perpaduan, pembangunan ekonomi dan yang mustahak kita tak mahu perpecahan kaum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, jentera pergerakan itu akan dikerah habis-habisan bagi menangkis dakyah pembangkang dengan fakta.
Katanya, kritikan-kritikan yang dilemparkan pembangkang bukannya sukar untuk ditangkis kerana mereka hanya pandai mengkritik namun tidak mempunyai perancangan sendiri.
Untuk tujuan itu, jelasnya, jentera Pemuda dipecahkan kepada tiga unit mengikut pecahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diketuai oleh Exco Pemuda Pusat dan dibantu Ketua Pemuda Bahagian seluruh Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Hulu Selangor.
"Di Hulu Selangor jumlah pengundi muda lelaki di bawah umur 40 tahun adalah di sekitar 11,700 orang manakala jumlah keseluruhan generasi muda lelaki dan perempuan di sekitar 33 peratus.
"Kita tidak nafikan jumlahnya adalah kurang berbanding kawasan lain yang biasanya 50-50 namun di Hulu Selangor golongan muda ini tetap menjadi penentu," katanya.
/hwa-utusan.com.my

'Usah singkap kisah lama Zaid'

BH - 2010/04/18
PAS menganggap calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim, sudah berubah selepas pulang menunaikan ibadat haji tahun lalu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi, ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah laman blog yang menyifatkan Zaid sebagai peminum arak tegar, beliau berkata, sebagai umat Islam, beliau hanya mempercayai perkara itu selepas mendengar dari mulut tertuduh sendiri.
“Saya tak baca blog, sebagai orang Islam kita perlu menerima daripada orang berkenaan bukannya blog, dia (Zaid) baru balik (menunaikan) haji, dia pergi haji, Insya-Allah perubahan selepas dia pergi haji,” katanya di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di sini, semalam.
Ditanya adakah Pas sudah menghalalkan tindakan Zaid sebelum ini yang ingin menyaman kerajaan Pas Kelantan kerana mahu melaksanakan hudud, beliau berkata, perkara itu sudah berakhir dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga sudah menarik balik samannya.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pula berkata parti lawan tidak boleh menggunakan isu yang ditimbulkan sesetengah laman blog bagi menyerang Zaid dan menyifatkan calon PKR berkenaan sudah berubah.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, menyifatkan apa yang berlaku terhadap Zaid sebelum ini adalah sejarah dan tidak perlu diungkit.
/hwa-bharian.com.my

15 April 2010

ADUN Bakar Arang dari PKR keluar parti

BERNAMA - 15/04/2010 3:58pm
ALOR SETAR 15 April - Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Kedah, Tan Wei Shu hari ini mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Adun Bebas kerana kecewa dipergunakan untuk kepentingan individu tertentu.
/hwa-utusan.com.my

Melayu sajakah harus bersikap liberal?

Oleh Rejal Arbee
BH - 2010/04/15
Memperjuang hak dianggap pelampau, tindakan sama bangsa lain tidak pernah dipersoal NAMPAKNYA kini sudah ada istilah baru yang menjadi bahan perbincangan sesetengah puak untuk memecahkan lagi orang Melayu, iaitu Melayu liberal.
Puak ini seolah-olah mahu memberi gambaran bahawa orang Melayu terus saja mempertahankan apa yang termaktub dalam perlembagaan mengenai kedudukan Melayu, malah Bahasa Melayu sebagai tidak liberal.
Maka itu, Melayu yang mahu pertahankan hak mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dilabelkan sebagai pelampau. Apakah perjuangan mereka ini salah dan tidak senada dengan slogan 1Malaysia yang dilaungkan sekarang?
Usaha dilakukan ini menimbulkan beberapa persoalan. Apakah sikap Melayu begitu akomodatif sekali selama ini masih tidak memadai bagi mereka yang begitu mudah mahu melabelkan Melayu? Kenapa orang Melayu saja dikehendaki bersikap liberal? Bagaimana dengan orang Cina dan India? Apakah mereka ini tidak perlu bersikap liberal dan berakomodatif terhadap Melayu?
Orang Melayu yang dilabelkan sebagai pelampau ini bukan pun mahu lebih daripada diperuntukkan. Hanya hendak perjuangkan apa yang hak seperti termaktub dalam perlembagaan saja. Apakah perjuangan ini pun dianggap melampau?
Siapa sebenarnya yang melampau dalam hal ini? Bila bahasa kebangsaan sendiri pun diabaikan. Inikah dikatakan warga yang berbangga menjadi rakyat Malaysia? Kalau benar begitu kenapa bahasa Melayu terus saja diabaikan seperti dilakukan sesetengah orang kononnya orang Malaysia.
Lihat saja beberapa pemaju perumahan yang berterusan abaikan bahasa Melayu, malah dalam risalah yang mereka edarkan ke rumah-rumah termasuk kawasan seperti Shah Alam iaitu lebih 90 peratus didiami Melayu. Pemaju hanya menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin mengenai rumah yang mereka hendak jual.
Apakah boleh disimpulkan daripada sikap begini? Apa muslihat pemaju perumahan itu?Bagaimana pula dengan pengerusi akhbar China yang berucap dalam bahasa Mandarin dalam satu upacara ulang tahun akhbar itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi tetamu kehormat. Sepatah pun bahasa Melayu tidak digunakannya. Memang disedari ia adalah suatu acara akhbar Cina dan tentu tidak salah berucap dalam Mandarin.
Tetapi memandangkan tetamu kehormatnya ialah Perdana Menteri dan ada beberapa orang Melayu lain, tidak bolehkah sekurang-kurangnya dia memulakan ucapannya dengan kata-kata aluan dalam bahasa Melayu? Orang ini bukan saja tidak menghormati bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini, malah tidak menghormati tetamunya.
Jelas daripada sudut pandangan mereka yang menimbulkan persoalan Melayu liberal ini orang Melayu tidak boleh pertahankan hak mereka. Tetapi bukan Melayu boleh saja bersikap demikian tanpa dilabelkan sebagai pelampau? Maka itulah akhbar Melayu yang pertahankan hak Melayu dilabel pelampau, tetapi akhbar berbahasa Cina berterusan pertahankan hak Cina dan mengkritik Melayu termasuk pertubuhan seperti Perkasa tidak pula dilabelkan pelampau.
Maka itulah mereka ini tidak pula mahu menyebut mengenai Cina liberal atau India liberal. Apakah dari sudut pandangan mereka, orang bukan Melayu tidak perlu bersikap liberal?
Apa liberalnya jika hingga kini selepas merdeka lebih 53 tahun, masih ada di antara mereka ini sedikit pun tidak mahu menghormati bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini?
Sebagai perbandingan lihat saja keadaan di Thailand tidak siapa pun boleh terfikir orang Thailand tidak boleh bertutur bahasa Thai. Lihat juga dengan keadaan di Indonesia. Tidak terfikir langsung seorang rakyat Indonesia tidak boleh berbahasa Indonesia. Malah rakyat Indonesia berketurunan Cina pun bertutur bahasa Indonesia. Bolehkah kita mengharapkan keadaan sama di Malaysia?
Kalau bukan Melayu mungkin hanya golongan baba saja bertutur sesama mereka dalam bahasa Melayu. Malangnya golongan baba ini pula semakin pupus.Bagaimana pula dengan sikap akomodatif Melayu yang sanggup menerima sesiapa saja tanpa kira bangsa, ras atau latar belakang sebagai Melayu hanya dengan berpegang kepada tiga syarat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu beragama Islam, bertutur bahasa Melayu secara lazim dan memegang kepada adat resam Melayu. Apakah sikap begini inklusif masih tidak memadai?
Apakah dengan peruntukan yang amat liberal dan begitu akomodatif ini tidak menunjukkan orang Melayu sudah pun bersikap liberal se jak dulu? Di manakah dalam dunia ini ada puak majoritinya yang bersikap begitu liberal sekali sanggup menerima siapa saja ke dalam kelompok mereka dengan syarat yang begitu liberal?
Maka itu apabila ada sesetengah puak di sini menyebut pemilihan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat patut dicontohi Malaysia, saya pernah menyebut bagaimana tidak fahamnya orang ini dengan kedudukan di Malaysia. Orang Melayu di sini sudah lama sedia menerima siapa saja tidak kira bangsa sebagai Melayu asalkan mereka mematuhi tiga kehendak Perlembagaan.
Itu saja. Maka, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman sejak awal lagi diterima sebagai Melayu walaupun ibunya orang Thailand. Tidak seperti Obama yang walaupun ibunya orang putih masih dianggap majoriti kulit putih di Amerika sebagai negro. Jadi siapa yang lebih liberal?
Maka, Melayu sejak dulu lagi sentiasa bersikap inklusif bukan eksklusif di mana siapa saja boleh diterima sebagai Melayu. Melayu juga mungkin hanya satu-satu saja bangsa yang bersifat demikian menerima bangsa apa pun sebagai Melayu.
/hwa-bharian.com.my

'Kaum ganti agama'

Oleh Azrina
Ahzanbhnews@bharian.com.my
BH - 2010/04/15
Mufti minta ubah nama Jawatankuasa Perhubungan Antara AgamaPUTRAJAYA: Semua mufti semalam sepakat mencadangkan kerajaan menggugurkan perkataan 'agama' yang digunakan Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama, sebaliknya ditukar dengan ‘kaum’ bagi mengelakkan kekeliruan, terutama di kalangan umat Islam.
Cadangan itu dikemukakan pada sesi taklimat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mengenai penubuhan jawatankuasa itu yang mendapat bantahan mufti dan beberapa pertubuhan Islam.
Jamil Khir berkata, cadangan itu dikemukakan kerana mufti berpendapat hal berkaitan agama Islam terletak dalam tanggungjawab Majlis Raja-Raja serta tidak boleh dibincangkan dan perkara itu jelas termaktub dalam Perlembagaan.
Pada sidang media selepas taklimat itu, Jamil Khir berkata, beliau akan memaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, mengenai pandangan dan cadangan mufti berhubung isu itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan mengenai pertukaran perkataan ‘agama’ itu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Jawatankuasa itu yang ditubuhkan Kabinet pada Februari lalu dan diketuai bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak, bertanggungjawab mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama, termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat serta isu tanah perkuburan.
Dalam taklimatnya, Jamil Khir antara lain menjelaskan mengenai skop bidang kuasa jawatankuasa berkenaan yang tidak mencampuri urusan agama Islam yang masih terletak di bawah ketua agama, iaitu Sultan setiap negeri.
Taklimat itu diadakan berikutan arahan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, bagi memberi penjelasan berhubung keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa itu.
Semua mufti hadir pada majlis taklimat itu, yang terdahulu menghadiri Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.
Jamil Khir berkata, semua mufti amat mengalu-alukan dialog dan perbincangan persefahaman bagi mengelakkan wujud kekeliruan orang ramai mengenai agama Islam.
Namun, katanya, perbincangan mengenai isu yang menyentuh agama Islam hendaklah menggunakan saluran sedia ada, seperti Panel Penasihat Perpaduan Negara bagi mengelak campur tangan pihak tertentu dalam hal ehwal agama Islam.
/hwa-bharian.com.my

Kompleks hotel mega dibina di Mekah


15/04/2010
Gambar ilustrasi artis menunjukkan kompleks Menara Abraj al-Bayt berdekatan dengan Masjidil Haram di Mekah. - AFP
*****
DUBAI 14 April - Sebuah kompleks hotel gergasi yang sedang dalam pembinaan di Mekah bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia dan di atasnya akan dibina sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London.
Pengurus besar hotel berkenaan, Mohammed al-Arkubi pada sidang media di sini semalam berkata, kompleks tujuh menara hotel yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt itu akan mengandungi 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidilharam.
Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang kira-kira 11 meter daripada ketinggian menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang mencecah 828 meter.
Menara Jam Diraja Mekah akan dibina daripada struktur konkrit setinggi 662 meter dan puncak menara logam setinggi 155 meter yang dilitupi dengan simbol bulan sabit.
Malah struktur konkrit Menara Jam Diraja Mekah itu adalah lebih tinggi daripada bangunan kedua tertinggi di dunia pada masa kini iaitu Taipei 101 di Taiwan, yang setinggi 508 meter.
"Fasa pertama hotel akan dibuka pada akhir Jun ini, manakala jam itu akan mula beroperasi pada akhir Julai, iaitu menjelang bulan Ramadan yang dijangka bermula sekitar 10 Ogos," kata Arkubi.
Jam buatan Jerman itu, digambarkan sebagai 'yang terbesar di dunia', mempunyai muka selebar 45 meter dan setinggi 43 meter di keempat-empat sisi menara, katanya.
Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang.
Kompleks itu dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Saudi. - AFP

Letak Zaid bukti PKR terlalu terdesak

BH - 2010/04/15
BUKIT BERUNTUNG: Pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor memudahkan PKR untuk memperkudakannya kerana beliau masih baru dalam parti itu.
Pengarah Pilihan Raya Kecil Barisan Nasional (BN) bagi kawasan itu, Datuk Seri Noh Omar, berkata PKR melihat pemimpin lama sudah tidak menaruh sepenuh kepercayaan terhadap parti dan tidak berpeluang untuk menang, justeru Zaid adalah pertaruhan terbaik kerana beliau masih belum tahu selok belok parti.
“Kalau siapa (pemimpin lama) nak jadi calon pun, mungkin tak boleh menang... jadi eloklah ambil Zaid yang baru dua tiga hari masuk PKR, yang tidak tahu tembelang dan mungkin mudah dipergunakan,” katanya selepas melawat pangsapuri kos rendah Bukit Sentosa di sini, semalam.
Kelmarin, PKR mengumumkan Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dipecat daripada Umno pada 2008 sebagai calon mereka untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau yakin pengundi bijak menilai dan memilih wakil anak tempatan yang akan dipertaruhkan BN, berbanding Zaid yang berasal dari Kota Bharu.
“Dia (Zaid) kata lama duduk di Selangor tapi berapa kali dia datang ke Hulu Selangor dan adakah beliau tahu mengenai kawasan ini.
“Kalau mahu pilih wakil rakyat, kita kena pastikan dia tahu selok-belok kawasan supaya senang untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Sementara itu, beliau turut membidas tindakan kerajaan Selangor yang menjadikan Pejabat Daerah Hulu Selangor sebagai pusat pentadbiran sementara kerana ia mengganggu urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang turut berada di situ untuk mengendalikan pilihan raya kecil berkenaan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata lebih ramai calon lain yang layak dipertaruhkan PKR berbanding Zaid.
“Tapi oleh kerana dia kaya, jadi mungkin PKR boleh gunakan kekayaan dia untuk berkempen.
“Kita akan keluarkan rekod berapa kali dia datang Parlimen ketika menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu dari 2004 sampai 2008,” katanya.
/hwa-bharian.com.my

Tiada perpecahan – TPM

UM - 15/04/2010
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA dan MUZDALIFAH MUSTAPA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 14 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap dakwaan pihak tertentu kononnya wujud pertelingkahan di antara UMNO dan MIC berhubung bakal calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, adalah perkara biasa.
Timbalan Perdana Menteri berkata, khabar angin seperti itu hanyalah satu perkara yang menjadi ‘berita menarik’ untuk diperkatakan pada sesuatu pilihan raya.
“Tiada ada perpecahan. Pada masa seperti ini di mana kita berhadapan dengan pilihan raya kecil, semua perkara menjadi menarik. Semua orang mahu membuat penilaian masing-masing tentang apa-apa pun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia ke-14 bertemakan ‘Pembangunan Minda Generasi Muda - Terhadap Kreativiti dan Inovatif dalam Sistem Pendidikan’ di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas dakwaan bahawa kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu kini bertelingkah berhubung siapa yang bakal menjadi calon bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, 25 Mac lalu.
Mengulas mengenai peluang BN, Muhyiddin berkata, sentimen terkini dan angin perubahan pengundi memberi kelebihan kepada BN untuk menang pada pilihan raya kecil itu.
Bagaimanapun, katanya, BN tidak boleh terlalu yakin dan mengambil mudah, sebaliknya, perlu lebih berhati-hati berhadapan tentangan besar pihak pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara yang paling penting kepada BN sekarang adalah bekerja keras untuk berhadapan dengan cabaran daripada pembangkang.
“Saya difahamkan pembangkang sudah mula menggerakkan jentera mereka. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim juga dikatakan sudah mula berkampung di sana,” katanya.
Beliau berkata, BN akan mengatur strategi yang tepat untuk memastikan kemenangan calonnya.
Tambahnya, segala persiapan jentera BN sudah berjalan lancar dan pihak yang bertanggungjawab terutama parti-parti komponen telah diberikan tugas masing-masing.
Ditanya mengenai calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, Muhyiddin berkata, keputusan itu adalah hak dan strategi parti berkenaan.
Katanya, apa yang lebih penting bagi BN adalah meletakkan calon yang dikehendaki pengundi serta lebih memahami keperluan rakyat di kawasan tersebut.
“Saya difahamkan beliau (Zaid) dipilih kerana dia banyak duit. Itu maklumat saya dapat. Bukan sebab dia boleh berkhidmat atau sebagainya. Siapa yang tidak kenal Zaid,” katanya.
Beliau berkata, calon PKR itu juga mempunyai rekod keluar masuk pelbagai parti politik dan perkara itu boleh dijadikan pengukur oleh pengundi bagi memilih calon terbaik di situ.
/hwa-utusan.com.my

Wakil rakyat PKR sendiri bantah pemilihan Zaid

UM - 15/04/2010
KUALA LUMPUR 14 April - Usaha pembangkang mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor bakal berdepan tugas sukar apabila pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon yang akan menggalas cabaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditentang oleh ahli parti itu sendiri.
Wakil rakyat PKR yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, Zaid tidak mungkin dapat memahami kehendak pengundi Hulu Selangor kerana beliau bukan pemimpin tempatan dan ditambah pula dengan gaya hidup elit serta liberal yang diamalkannya.
"Jika menang sekali pun, pembaharuan yang mungkin dibawa oleh Zaid di Hulu Selangor ialah lebih banyak pusat hiburan bakal diwujudkan dan bukannya kemajuan seperti yang dikehendaki rakyat,'' katanya sinis ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan PKR menamakan Zaid sebagai calon yang sekali gus, mengetepikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud.
Selain itu, pemilihan tersebut turut mengetepikan Ketua Pemuda, Shamsul Iskandar Md. Akin dan Bendahari PKR Cabang Hulu Selangor, Dr. Halili Rahmat yang sebelum ini turut disebut-sebut berpotensi sebagai calon.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan calon PKR berkata, Zaid dipilih kerana parti itu mahu calon yang sudah teruji dalam politik.
Selain itu, pemilihan Zaid dibuat kerana beliau mempunyai keistimewaan tersendiri kerana sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri demi mempertahankan hak rakyat.
Mengulas lanjut, Choo Keong berkata, pemilihan Zaid juga bermakna PKR tidak mempunyai ruang untuk menyerang Barisan Nasional (BN) seperti yang menjadi kebiasaan setiap kali kempen pilihan raya sebaliknya parti itu pula yang perlu bersifat defensif.
"Inilah yang bakal terjadi jika kita memilih calon yang mempunyai gaya hidup terlalu moden untuk bertanding di kawasan pinggir bandar yang majoritinya pengundi Melayu beragama Islam,'' jelasnya.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula berkata, pemilihan Zaid membuktikan bahawa Ketua Pembangkang itu tunduk kepada DAP hanya semata-mata untuk mengejar undi bukan Melayu di Hulu Selangor.
Katanya, Anwar tidak mempedulikan perasaan Pas yang tidak selesa dengan Zaid ekoran amalan gaya hidup moden selain bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan berhubung pelaksanaan hukum hudud suatu ketika dahulu.
"Anwar akan menonjolkan Zaid sebagai hero kepada kaum bukan Melayu di Hulu Selangor kerana pembangkang menyasarkan untuk memperoleh 90 peratus undi kaum Cina dan India memandangkan pengundi Melayu kini lebih condong kepada kerajaan.
"Zaid akan dicanang sebagai pemimpin yang kononnya bakal membela nasib bukan Melayu khususnya kaum Cina dengan mengambil contoh penentangan bekas menteri itu semasa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),'' kata Anuar.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor terpaksa diadakan pada 25 April selepas kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.
/hwa-utusan.com.my

Percaturan 'tiga anak Ibrahim'

UM - 15/04/2010
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
SEORANG pemimpin muda Pas ketika ditanya apakah akan berlaku jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, beliau menjawab, 'pembangkang sudah kalah di pusingan awal.'
Kenyataan itu dibuat kerana pemimpin muda tersebut amat memahami sentimen di dalam Pas yang sudah pasti tidak selesa apabila Zaid yang sebelum ini pernah menentang pelaksanaan hukum hudud perlu dibantu untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya berkenaan.
Untuk rekod, Zaid pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 beberapa tahun lalu dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, Zaid menarik balik saman tersebut.
''Pas tidak terlibat dalam memilih calon kerana segala-galanya terletak di tangan PKR, mereka yang buat keputusan. Oleh itu, suka atau tidak suka, Pas hanya perlu menyokong sahaja," katanya dalam pertemuan dengan penulis di sebuah restoran di Kuala Lumpur kelmarin beberapa jam sebelum Zaid disahkan sebagai calon PKR.
Sememangnya pemilihan Zaid agak mengejutkan ramai pihak bukan sahaja di kalangan ahli pakatan pembangkang, malah di luar parti pun turut tertanya-tanya apa keistimewaan Zaid sehingga beliau mampu menjadi pilihan utama kepada pucuk pimpinan PKR berbanding dengan beberapa calon yang disebut-sebut sebelum ini.
Antara mereka ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Samsul Iskandar; bekas calon PKR pada pilihan raya umum 1999, Dr. Halili Rahmat dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamad.
Bagaimanapun, ternyata sekali Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan disokong oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Zaid bertanding. Ia kerana menurut sumber, Anwar mahu 'menghantar semula' Zaid ke Parlimen.
Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pilihan raya kecil itu adalah pilihan raya yang merupakan 'talian hayat' kepada pakatan pembangkang yang mana kemenangan mampu meningkatkan semula sokongan rakyat terhadap pembangkang yang dilihat kebelakangan ini sudah semakin suram.
''Oleh itu, perletakan Zaid sebagai calon dilihat sebagai satu usaha terdesak yang cuba untuk mengambil kesempatan terhadap keinginan rakyat yang sememangnya dari awal inginkan calon Melayu sebagai wakil Parlimen mereka," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, dari sudut strategik, sebenarnya PKR telah melakukan satu perjudian besar dan terlalu berisiko apabila meletakkan Zaid memandangkan beliau boleh dianggap sebagai calon yang disifatkan sebagai berprofil tinggi.
''Jika beliau mengalami kekalahan dalam pilihan raya ini, maka sudah pastilah arena beliau dalam politik pembangkang arus perdana juga akan terjejas. Kelibat beliau sebagai seorang yang disegani dan mendapat sokongan penuh para pemimpin PKR sudah pasti akan dinilai dan dipersoalkan semula oleh ahli terutamanya tentang kerelevanannya dalam pimpinan PKR pusat sendiri," katanya.
Berdasarkan pandangan Ahmad Masrizal ini, ia menyaksikan pertarungan pembangkang di Hulu Selangor lebih kepada percaturan 'tiga anak Ibrahim' iaitu Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim.
Ketiga-tiga mereka bertanggungjawab menyusun strategi untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti tipis iaitu 198 undi. Di atas pentas Anwar akan menabur janji, di bilik gerakan Khalid menyusun strategi dan di lapangan Zaid menagih undi.
Penulis difahamkan, PKR tidak mahu mengikut rentak Barisan Nasional (BN) yang mengesahkan akan meletakkan calon dari MIC kerana begitu yakin bahawa undi orang Melayu akan memihak kepada mereka, biarpun siapa juga calon PKR.
Namun begitu satu fakta yang harus diperingatkan Zaid pernah mempersoalkan status orang Melayu sewaktu berucap dalam persidangan Law Asia 2008 apabila menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlakunya pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini.
Oleh itu, meletakkan Zaid sebagai calon bukanlah satu percaturan terbaik kecuali PKR merasakan kalau pun kalah, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan atau maksudnya, tiada apa-apa yang merugikan. Ini kerana Zaid bukan orang Kuala Kubu Baharu tetapi orang Kota Bahru, Kelantan. Jadi, beliau masih boleh bertanding di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang kalau tewas di Hulu Selangor.
Ini berbeza jika PKR meletakkan anak tempatan, kalau calon itu tewas sudah tentulah ia menjejaskan kredibiliti calon tersebut sekali gus menyulitkan PKR untuk mempertaruhkannya pada pilihan raya umum akan datang.
Pemilihan Zaid yang pernah bercuti selama enam bulan daripada aktiviti PKR pada Oktober lalu juga, sudah tentulah mewujudkan persoalan mengenai apa yang hendak dilakukan oleh Pas dalam membantu jentera pembangkang di Hulu Selangor. Ini kerana sanggupkah mereka memenangkan seorang individu yang suatu ketika dahulu pernah menentang apa yang hendak dilaksanakan oleh parti tersebut.
''Itulah masalahnya tetapi kita akan tetap bekerja keras kerana apa yang penting kita ingin memastikan jentera Pas menang, walaupun PKR mungkin kalah dalam pilihan raya ini," kata pemimpin muda parti itu.
Sememangnya, jentera Pas menjadi harapan PKR dan DAP untuk menggerakkan kempen. Penulis diberitahu awal-awal lagi, parti itu sudah menempah berpuluh-puluh buah rumah di kawasan Parlimen berkenaan untuk dijadikan pusat gerakan, itulah semangat parti yang memperjuangkan hukum hudud tersebut.
Malangnya jentera Pas yang akan bekerja siang dan malam untuk memastikan kemenangan seorang calon yang mungkin sebahagian besar ahli parti itu tidak begitu menyenanginya. Kalau mereka hendak mengharapkan jentera PKR atau DAP, ia pasti mengecewakan.
Oleh itu, pemimpin-pemimpin Pas perlu bersedia untuk memberi jawapan yang bernas jika ditanya mengenai hubungan parti itu dengan Zaid sebelum ini termasuklah sanggupkah mereka menambah seorang lagi Ahli Parlimen dalam pembangkang yang sudah pasti tidak akan 'selari' dengan dasar yang diperjuangkan oleh Pas.
Tetapi bak kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh Pas adalah lebih mudah berbanding kerusi PKR kerana di dalam PKR, terlalu banyak masalah.
Bagaimanapun, BN tidak boleh memandang remeh cabaran pembangkang dengan hanya berasaskan kepada pertimbangan bahawa calon PKR adalah orang luar atau merasakan Hulu Selangor adalah kubu kuat BN atau tidak digemari oleh Pas.
Tambahan pula difahamkan Anwar dan Khalid bertindak meletakkan Zaid setelah mereka dikatakan mendapat isyarat daripada sebahagian besar pengundi Cina di Hulu Selangor yang mahukan Zaid, selain ada sentimen kekecewaan di kalangan sesetengah orang Melayu yang mahukan UMNO bertanding.
Semua fakta ini seharusnya memberi peringatan kepada BN bahawa perjuangan di kawasan yang dikatakan kubu kuat mereka bukanlah semudah yang disangka biarpun BN berpeluang untuk merampas kembali kerusi tersebut.
/hwa-utusan.com.my

Zaid Ibrahim tanding Hulu Selangor

UM - 14/04/2010
HULU SELANGOR 13 April – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang pernah memperlekehkan konsep ketuanan Melayu diumumkan sebagai calon untuk menggalas cabaran parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.
Pencalonan Zaid yang dipecat daripada UMNO pada Disember 2008 diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis ceramah di Pusat Komuniti Serendah di sini malam ini.
Pengumuman itu sekali gus menutup peluang Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin dan Bendahari PKR Cabang Hulu Selangor, Dr. Halili Rahmat yang turut disebut-sebut mempunyai potensi sebagai calon.
Anwar sewaktu berucap berkata, Zaid dipilih kerana PKR mahu meletakkan calon yang sudah teruji dalam politik.
Katanya, Zaid mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri demi mempertahankan hak rakyat.
“Lepas jadi ahli parti, dia menjelajah ke seluruh negara dan dia ada beritahu saya jika dipilih sebagai calon, dia akan bekerja dan jika tidak dipilih, dia pun akan bekerja seperti biasa.
“Dia pun bukannya orang luar kerana telah bermastautin selama 30 tahun di Selangor,” katanya.
Sementara itu, Zaid dalam reaksi segera dalam majlis itu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana memberi kepercayaan kepadanya walau pun baru menjadi ahli PKR.
Beliau melahirkan keyakinan kerana mampu menjadi suara rakyat Hulu Selangor dan Selangor.
“Saya terima dengan penuh keinsafan bahawa beban yang dipikul Anwar dan rakan-rakan amat berat.
Zaid dikenali ramai sebagai pemimpin kontroversi kerana pernah mempersoalkan status orang Melayu sewaktu berucap dalam Persidangan LawAsia 2008 apabila menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlakunya pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini.
Berikutan itu, Zaid dihujani kritikan termasuklah kenyataan keras bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendesaknya keluar daripada rumpun bangsa Melayu.
Sementara itu, sumber dalaman Pas memberitahu Utusan Malaysia bahawa pemilihan Zaid menimbulkan dilema kepada jentera pilihan raya Pas kerana beliau pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 beberapa tahun lalu dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Zaid menarik balik saman tersebut selepas itu. Sumber itu berkata, Pas juga tidak dibawa berunding oleh PKR dalam soal pemilihan calon, sebaliknya membuat keputusan secara bersendirian.
“Sebenarnya kami berdepan dilema, lebih-lebih lagi Zaid adalah orang yang menyaman kerajaan Pas Kelantan dalam isu hudud, tapi apa boleh buat, PKR tidak berunding dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang,” katanya.
Tindakan Zaid pada masa itu dikecam oleh kepimpinan kerajaan Pas Kelantan termasuklah Exco kanan, Datuk Husam Musa yang menyifatkan sebelum ini tidak pernah ada orang Islam yang sanggup mencabar hukum Allah di mahkamah.
/hwa-utusan.com.my

200 keluar PKR Kulim sertai MIC

UM - 14/04/2010
KULIM 13 April - Setelah sekian lama berasa tertipu dengan janji manis Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekumpulan 200 penyokong parti pembangkang itu di kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu bertindak menyertai MIC semalam.
Mereka menyerahkan borang keahlian MIC kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada satu majlis di Taman Tunku Putra, hari ini.
G. Thanagaran yang mengetuai kumpulan itu berkata, rata-rata masyarakat India di kampung itu mengambil keputusan berkenaan kerana tidak yakin lagi dengan perjuangan PKR yang hanya pandai berjanji namun gagal menunaikannya.
Malah, dakwanya, para pemimpin PKR termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee tidak mempedulikan masalah yang dihadapi rakyat meskipun beberapa kali diadukan kepadanya.
"Yang Berhormat Lim (Soo Nee) tidak pernah menunjukkan muka kepada penduduk di kawasan ini walhal sebelum ini kami memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjadi wakil rakyat.
"Akibatnya banyak isu yang dihadapi kami tidak selesai. Jika dibiarkan berterusan, kami khuatir nasib tidak akan terbela. Sebab itulah, kami tak percaya lagi kepada PKR," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, bekas Ketua PKR cawangan Taman Tunku Putra, M. Verasamy berkata, pihaknya juga mengambil langkah meninggalkan PKR dan membubarkan cawangan itu selepas menyedari perjuangan PKR tidak berfungsi seperti yang digambarkan di peringkat awal kononnya untuk membela nasib rakyat.
Abdul Aziz pula berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan penyokong pembangkang menyertai MIC dan mengembalikan kekuatan BN di Kedah.
/hwa-utusan.com.my

13 April 2010

Najib temui Obama

UM - 13/04/2010
OTHMAN MOHAMAD
BARACK Obama mengadakan perbincangan dua hala dengan Najib Tun Razak di Washington Convention Center sebelum mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, Amerika Syarikat, semalam. – AFP

WASHINGTON 12 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Walter E. Washington Convention Center di sini, sebelum mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di tempat yang sama.
Pertemuan kira-kira setengah jam itu yang membuka lembaran baru dalam hubungan Kuala Lumpur-Washington turut disertai oleh Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan tujuh lagi pegawai tinggi kerajaan.
Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebelum ini memberitahu wartawan Malaysia, pertemuan hari ini akan menyentuh pelbagai perkara mengenai kepentingan bersama dan antarabangsa.
Ini termasuk soal perdagangan dan pelaburan, keselamatan antarabangsa dan rantau Asia Tenggara serta peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam konteks dunia Islam.
Najib juga mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden AS, Joseph Biden di kediaman rasminya di sini sebelum kembali semula ke Walter E. Washington Convention Center.
Sebelum ke sidang kemuncak dua hari itu, Perdana Menteri mengambil kesempatan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, John Key yang turut menghadiri sidang kemuncak itu yang disertai oleh 47 pemimpin dunia.
Sidang kemuncak yang bertujuan menangani isu-isu berkaitan senjata nuklear bermula selepas itu dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Obama.
Najib akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara AS, Hilary Clinton pada majlis makan malam.
/hwa-utusan.com.my