25 Oktober 2010

Calon BN miliki kelebihan

UM - 25/10/10

SEGAMAT 24 Okt. - Barisan Nasional (BN) memiliki kelebihan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas memandangkan kedua-dua calon yang diumumkan memiliki kekuatan masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau juga yakin jentera yang digerakkan BN akan membantu memastikan kemenangan dapat dicapai dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu.

"Saya yakin calon yang diumumkan dan diletakkan di kedua-dua kawasan itu telah diteliti dengan mendalam dan Insya-Allah, mereka mempunyai kekuatan masing-masing untuk memenangi kerusi ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) Wilayah Segamat di Gugusan Felda Maokil, Labis, di sini hari ini.

Hari ini, Datin Linda Tsen Thau Lin, 54 , balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah diumumkan sebagai calon BN di Batu Sapi manakala Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, 49, pula bakal membawa cabaran di Galas.

Menurut Mohd. Shafie, pemilihan Linda Tsen sebagai calon amat tepat kerana dia bukan pemimpin yang asing di Batu Sapi.

"Dia ialah seorang ahli PBS (Parti Bersatu Sabah) di Batu Sapi dan di situ, mendiang suaminya merupakan bekas wakil rakyat dan dia seorang penggerak Wanita PBS yang cukup aktif," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Mohamad: Jangan permain isu Perlembagaan

UM - 25/10/10


MOHD. Shafie Apdal memerhatikan sekumpulan remaja mendaftar sebagai ahli di kaunter Ikon 1Malaysia pada perasmian Karnival Iktiraf Wilayah Segamat 2010 di Gugusan Felda Moakil, Segamat, Johor, semalam.

SEREMBAN 24 Okt. - Masyarakat bukan Melayu diingatkan supaya tidak lagi mempermainkan isu Perlembagaan yang telah termaktub bagi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu sensitif seperti itu boleh menghuru-harakan negara.

Jelasnya, Perlembagaan yang telah dipersetujui semua kaum sebelum negara mencapai kemerdekaan itu perlu dihormati dan tidak perlu dipersoalkan lagi.

''Pada masa sama, kita juga mahu orang Melayu tidak cepat melatah apabila perkara ini disentuh oleh mana-mana pihak kerana perjuangan UMNO adalah untuk mempertahankan bangsa, agama dan negara," katanya ketika di temui di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas rumusan dan intipati sepanjang Perhimpunan Agung UMNO ke-61 yang berakhir semalam.

Jelasnya, ketegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar dan penggulungan memperlihatkan bahawa usaha parti dalam menjadi landasan sebenar orang Melayu adalah jelas dan nyata.

Katanya, perjuangan UMNO bukan sekadar menjadi pemangkin orang Melayu bahkan mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu yang tidak terdapat dalam parti-parti lain seperti pembangkang.

''Mana ada parti-parti pembangkang yang menyentuh secara holistik termasuklah agenda memperkasakan Melayu, kedudukan agama Islam, serta bahasa Melayu. Hanya UMNO yang dapat melakukannya.

''Pas tidak, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun tidak, apatah lagi DAP yang mahu hak sama rata," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Perkasakan ekonomi Melayu

UM - 25/10/10



Mukadimah
PERLUKAH sebuah entiti baharu ditubuhkan untuk memperkasa ekonomi orang Melayu? Biarpun PNB telah berjaya dengan cemerlang, usaha ke arah itu tidak harus terhenti.

Penubuhan sebuah lagi institusi seumpama itu tetapi mempunyai konsep yang menekankan ciri-ciri keusahawanan dirasakan perlu diwujudkan.

Entiti ini akan menerajui Model Baru Ekonomi (MBE) dan membantu membawa orang Melayu kekal dalam arus pembangunan ekonomi ketika negara bergerak menjadi sebuah negara maju, kata ahli korporat tempatan, Datuk Johari Abdul Ghani.

Dalam satu pertemuan, beliau memperjelaskan lagi persoalan yang timbul daripada cadangan entiti itu dengan Wartawan Utusan Malaysia, AINUL ASNIERA AHSAN dan SARAH NADLIN ROHIM.

Berikut wawancara penuh.

UTUSAN: Pada perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Datuk menyarankan supaya kerajaan mewujudkan satu entiti lain seperti mana Permodalan Nasional Berhad. (PNB) untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu. Apakah rasionalnya?

Datuk Johari: Maksud saya sewaktu kerajaan memperkenalkan DEB pada 30 tahun lalu, pada waktu itu orang Melayu serba-serbi tidak bersedia dan menyebabkan kerajaan menubuhkan PNB untuk mengumpulkan dana-dana orang Melayu yang kecil dan dilaburkan secara langsung dalam arus pembangunan ekonomi negara pada ketika itu. Kalau kita lihat PNB telah berjaya dapat mengumpulkan dana orang Melayu dan bumiputra melebihi RM120 bilion selain turut memasuki banyak sektor perniagaan dalam negara seperti pembinaan, perladangan, kewangan, pembuatan, teknologi, perkhidmatan dan lain-lain. Kejayaan PNB ini diiktiraf sehinggakan orang Cina dan India begitu yakin dengan PNB sehingga mereka pun turut serta melabur dalam tabung-tabung yang ditadbir oleh orang Melayu.

Manakala, dalam menerajui MBE, saya mencadangkan satu entiti berfungsi yang bermiripkan PNB sebagai pemantau atau terlibat secara langsung dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 131 projek permulaan yang digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi memastikan melayu tidak tertinggal dalam arus pembangunan ini menjelang 2020.

Kenapa tidak diperluaskan sahaja peranan entiti baharu dalam PNB?

Kita tidak boleh membebankan segala-galanya kepada PNB, kalau kita berbuat demikian takut PNB akan kehilangan fokus apa yang mereka ada sekarang dan mungkin tidak akan termampu untuk melaksanakannya. Konsep semasa PNB adalah lebih menjurus sebagai pelabur amanah dan lazimnya pengurus-pengurus amanah tidak terlibat dalam operasi harian syarikat. Justeru itu, cadangan saya satu institusi khas perlu diwujudkan yang mirip PNB tetapi mempunyai konsep yang menekankan ciri-ciri keusahawan dan melatih golongan professional agar dapat terlibat secara langsung dalam 12 NKEA dan 131 projek permulaan.

Tidak boleh digunakan mana-mana entiti yang sedia ada?

Sekiranya entiti tersebut telah wujud apa yang perlu adalah memperjelaskan semula peranan mereka. Contohnya, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), mereka tidak lagi boleh bertindak macam bank, sebaliknya menjadi rakan kongsi yang membimbing usahawan serta melahirkan pengurus-pengurus yang berpengetahuan mengenai perniagaan masing-masing. PUNB tidak boleh berfikir sebagai bank sebalik sebagai pelabur jangka panjang. Sekiranya ada 10 syarikat yang dilabur dan kemungkinan hanya empat yang berjaya menjadi syarikat besar. Setidaknya sudah ada empat syarikat Melayu yang berjaya. Inilah peranan affirmative yang diharapkan dimainkan oleh entiti ini.

Jadi pada pandangan Datuk, penubuhan entiti baru seperti PNB memang wajar ditubuhkan?

Sekiranya tiada agensi yang fokus untuk memain peranan untuk mengawal selia penglibatan orang Melayu dalam MEB maka saya rasa ia perlu diwujudkan.

Kerajaan perlu memberi fokus kepada enam bidang NKEA yang terpilih, yang mana usahawan Melayu berkemampuan dan berkebolehan untuk mengambil bahagian daripada 12 NKEA yang dikenalpasti iaitu pemborong dan peruncit, pendidikan, penjagaan, kesihatan, pertanian, perkhidmatan perniagaan dan pelancongan.

Bagi NKEA selebihnya yang melibatkan modal besar dan kepakaran teknologi yang tinggi, kita beri tugas ini kepada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) supaya mereka terlibat secara langsung dalam NKEA yang lain seperti minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, infrastruktur komunikasi dan kandungan serta elektrik dan elektronik.

Apakah langkah-langkah yang perlu diambil entiti tersebut?

Kita juga perlu mewujudkan pangkalan data usahawan Melayu berjaya dalam setiap sektor ekonomi negara. Pada masa sama, kerajaan hendaklah menjadi match maker untuk memastikan syarikat-syarikat bukan bumiputra yang berjaya dapat bekerjasama dengan syarikat Melayu yang berkebolehan serta mempunyai trek rekod. Kerajaan juga perlu membantu dan menyediakan modal awal (Seed Capital) dan modal teroka secukupnya kepada usahawan Melayu yang dikenalpasti mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang cekap dan rekod kejayaan tetapi tidak mempunyai modal untuk terlibat secara langsung dalam 131 projek permulaan ini. Selain itu, perlu dipastikan peruntukan kepada institusi kewangan di bawah naungan kerajaan mencukupi untuk membiayai syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Melayu. Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif serta pengurusan kanan bank-bank ini mestilah diberi Indeks Prestasi Kerja (KPI) untuk membangunkan usahawan melayu dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara dan 131 Projek Permulaan.

Apakah antara peranan entiti baharu?

Selain melabur, entiti ini juga diharap dapat menempatkan profesional Melayu dalam syarikat besar yang dilabur supaya mereka boleh mendapat pengalaman menjalankan operasi perniagaan. Penempatan bakat baharu tidak semestinya sebagai ketua tetapi mungkin pada kedudukan di barisan kedua atau ketiga bagi melatih dan belajar bagaimana bekerja dalam syarikat besar dalam tempoh tertentu. Apabila kakitangan ini mampu berdiri sendiri, mana-mana syarikat-syarikat bumiputra yang memerlukan kepakaran mereka hanya perlu mengambilnya menjadi rakan kongsi untuk mentadbir perniagaan mereka.

Siapakah yang patut mengawal entiti tersebut?

Ia perlu diletakkan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera seperti PNB atau di bawah Majlis Tertinggi Agenda Bumiputra (MTUB).

Pada pandangan Datuk apakah yang akan berlaku sekiranya entiti khas itu tidak diwujudkan?

Kemungkinan tiada agensi yang dapat koordinasi perkembangan n penglibatan usahawan melayu dalam 12 NKEA dan 131 Projek permulaan.

Mungkinkah idea penubuhan entiti baru itu bakal dibantah oleh kaum-kaum lain?

Mereka tidak perlu menentang kerana ia tidak melibatkan mereka. Kita bukan meminta kuota sebaliknya mahu memastikan orang Melayu terus berdaya saing dalam MBE. Ia adalah mengenai usahawan Melayu.

Bolehkah orang Melayu berjaya?

Kenapa tidak. Kita lihat orang Yahudi mereka hanya ada tidak lebih dari 18 juta orang diseluruh dunia tetapi mereka memiliki kekuatan ekonomi besar sehingga mereka mampu memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi corak politik dan pentadbiran Amerika Syarikat.

Apa yang ingin saya tekankan, tidak mustahil orang Melayu Malaysia yang seramai 15 juta orang untuk mendominasi ekonomi tempatan. Perjuangan Melayu dalam ekonomi sebenarnya tidak boleh retorik tetapi praktikal. Saya berani menyatakan begitu kerana orang Melayu banyak yang berkebolehan dalam bidang keusahawanan.

Bagaimana kedudukan usahawan Melayu sekarang?

Ada yang berjaya dan mereka ini terus berkembang. Ada juga yang gagal bersaing dan tidak mempunyai cukup modal untuk berkembang. Jumlah usahawan Melayu yang berjaya jauh lebih kecil dari usahawan bukan bumiputra.

/hwa: utusan.com.my/

20 Oktober 2010

Perhimpunan Agung UMNO 2010

TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyampaikan ucapan bertemakan "Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan" pada perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.
Oct 19, 2010 10:27 pm

Budaya politik baru

UM - 20/10/10


PARA pemimpin UMNO memberi tepukan kepada Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Mohd. Naim Aziz

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu transformasi ahli-ahli UMNO digerakkan sehingga ke peringkat akar umbi bagi membolehkan mereka menterjemahkan model budaya politik baru yang bersifat inklusif, terbuka dan demokratik.

Presiden UMNO menegaskan, pembaharuan dalaman parti mesti disusuli dengan perubahan dari segi budaya, pemikiran, tindakan dan pertuturan.

‘‘Kita telah memulakan proses pemulihan politik di mana parti telah meminda perlembagaan pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dan saya mengingatkan kepada ahli, ia merupakan titik permulaan kepada budaya baru model politik UMNO bersifat terbuka, inklusif dan demokratik.

‘‘Ia tidak boleh terhenti begitu sahaja, pembaharuan UMNO mesti disusuli dari segi budaya, pemikiran dan tindakan serta pertuturan supaya perubahan itu meresap dan menular ke peringkat bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Majlis Taklimat Presiden yang menjadi tradisi pembuka tirai kepada setiap perhimpunan agung parti memberikan ‘mood’ awal kepada kira-kira 4,000 perwakilan sekali gus menggambarkan hala tuju sepanjang perhimpunan sehingga Sabtu ini.

Imej parti yang mampu berubah terserlah apabila Najib dan para pemimpin tertinggi UMNO tampil di pentas utama dengan baju seragam berwarna putih sekali gus memberikan gambaran parti yang segar, ceria dan sedang bergerak ke arah pemulihan dan pengukuhan

Dalam taklimat kira-kira satu jam itu, Najib berkata, beliau menggariskan beberapa perkara penting berkenaan sistem demokrasi berparlimen dan peranan yang perlu dimainkan oleh anggota parti ke arah pengukuhan bahtera UMNO.

Selain itu, katanya, beliau juga mengingatkan setiap ahli agar memelihara kedudukan serta imej parti dan calon yang hendak diturunkan dalam pilihan raya mesti disenangi oleh rakyat.

‘‘Oleh itu, ahli-ahli di peringkat akar umbi, saya banyak tekankan supaya bersifat inklusif dan dapat tunjukkan imej yang disenangi oleh rakyat dan sentiasa dekat di hati rakyat melalui pelbagai aktiviti dan apa yang mereka lakukan sepanjang masa.

‘‘Dengan ini, kita dapat tunjukkan UMNO adalah merupakan pemudah cara dan pelopor kepada segala kegiatan di peringkat akar umbi,’’ ujarnya

Selain itu jelas Najib, ahli-ahli juga ditekankan mengenai jasa-jasa besar UMNO dan pada masa sama mereka patut sedar tentang kelemahan menyerlah parti-parti pembangkang sejak kebelakangan ini.

Dengan ingatan dan langkah-langkah pengukuhan tersebut, beliau berkata, UMNO telah memulakan perjalanan dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

‘‘Perubahan perlembagaan yang kita lakukan pada tahun sudah adalah langkah pertama tapi mesti disusuli usaha yang boleh mengukuhkan parti melalui perkara-perkara yang saya sebut tadi.

‘‘Penyatuan di peringkat bahagian adalah amat penting dan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengukuhan parti ada kaitan mengukuhkan ke arah pilihan raya apabila ia diadakan,” katanya.

Ditanya mengenai usaha memastikan perjuangan nasionalisme UMNO tidak memberikan ancaman kepada mana-mana pihak, Najib menegaskan, negara telah mencapai kejayaan di bawah kepimpinan Melayu yang diterajui parti itu.

‘‘Selama ini, kepimpinan Melayu UMNO yang sentiasa bertimbang rasa dan adil kepada semua kaum.

‘‘Jadi ini satu prinsip yang kita pakai sejak dulu lagi, sejak zaman Tunku (Abdul Rahman), kita amalkan prinsip yang sama, yang membezakan ialah kaedahnya dan memperincikan strategi yang patut kita laksanakan, tetapi prinsip dan falsafahnya tetap sama,” katanya.

Dalam taklimat tersebut Najib berkata, beliau menjelaskan kepada pemimpin UMNO tentang pelbagai cabaran besar yang berjaya dilalui dan hasil kerjasama ahli parti, kerajaan dapat memulihkan negara daripada krisis ekonomi.

Justeru katanya, kini negara berada pada landasan pemulihan yang segar lantas membolehkan kerajaan merencanakan masa depan berdasarkan kepada pengharapan baru.

‘‘Kita boleh mencapai hasrat untuk mentransformasikan negara seperti kepada wawasan negara berpendapatan tinggi dan segala perancangan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sedang berjalan lancar,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

UMNO tidak perlu apologetik

UM - 20/10/10

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, parti itu tidak perlu apologetik apabila memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan bumiputera.

Meluahkan demikian ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Putera UMNO 2010 di sini malam ini, beliau berkata, sejarah menjadi saksi apabila UMNO memimpin, bukan sahaja orang Melayu mendapat nikmat malah semua kaum beroleh manfaat.

Dalam ucapan bertajuk 'Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan' itu, beliau mengingatkan bahawa politik berasaskan kaum yang diamalkan oleh UMNO bukanlah satu bentuk politik perkauman atau politik rasis.

Dalam soal ini, beliau menarik perhatian bahawa parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum, boleh jadi amat rasis jika ia zalim kepada kaum lain.

''Kita tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, bangga menjadi seorang Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu selagi mana kita berlaku adil kepada semua.

''Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan UMNO, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis. Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain,'' kata beliau.

Lebih 2,000 perwakilan tiga sayap parti tersebut menghadiri perhimpunan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra itu.

Muhyiddin berkata, sejarah 53 tahun UMNO menerajui negara sarat dengan bukti-bukti kejayaan.

Dari segi pembangunan ekonomi, Malaysia bangkit daripada sebuah negara bekas jajahan yang berteraskan ekonomi pertanian untuk berdiri megah sebagai negara perindustrian yang berkembang pesat.

Berkat kegigihan dan wawasan jauh kepimpinan UMNO, kata beliau, Malaysia berjaya mengatasi kemiskinan tegar dan mewujudkan golongan kelas menengah yang besar.

Kata Muhyiddin, UMNO juga berjaya mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum di Malaysia yang mana di beberapa buah negara majmuk lain, konflik mudah meletus dan berakhir dengan pertumpahan darah.

''Namun Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan pimpinan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam mengurus perbezaan, kita telah menerima perbezaan ras, budaya dan agama sebagai sumber kekuatan. Bukankah ini satu kejayaan?

''Pencapaian ini bukanlah ibarat 'yang pipis datang melayang, yang bulat datang bergolek. Ia hasil kesediaan UMNO untuk menerima taklif kepimpinan negara sebagai satu pertanggungjawaban yang besar,'' kata beliau.

Atas dasar ini, kata Muhyiddin, UMNO sejak awal lagi memilih landasan perjuangan perjuangan sebagai parti nasionalis Melayu yang inklusif.

Kata beliau: ''UMNO menerima hakikat kepelbagaian ras sebagai sesuatu yang fitrah dan sahih.

''UMNO mengakui bahawa dalam sebuah negara majmuk, kerukunan hidup hanya boleh dicapai sekiranya semua kaum mendapat jaminan hak yang sah dan berpeluang mengecap nikmat kemakmuran secara adil.

''Justeru itu, UMNO berjuang membela nasib bangsa Melayu dan memartabatkan agama Islam tanpa mengabaikan hak dan kepentingan kaum lain.''

/hwa: utusan.com.my/

'Saya terbuka dengan suara para perwakilan'

UM - 20/10/10

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan bersikap terbuka dengan apa yang disuarakan oleh para perwakilan UMNO pada perhimpunan agung parti itu yang bermula hari ini.

Presiden UMNO itu berkata, jika parti lain boleh membuat desakan terhadap kerajaan, beliau tidak melihat ia akan menjadi satu masalah jika UMNO melakukan perkara yang sama.

Bagaimanapun beliau yang juga Perdana Menteri mengingatkan ia perlu dilakukan secara bijaksana dan matang.

"Harapan saya ia satu perhimpunan yang menunjukkan kita adalah parti yang penuh dengan kebijaksanaan, matang dan kita boleh membahaskan isu-isu nasional secara beradab.

"Di samping itu ia boleh memberi pandangan bernas untuk membantu merumuskan hala tuju dasar negara," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ditanya mengenai sambutan ahli UMNO terhadap seruan transformasi beliau, Najib berkata, beliau melihat sudah wujud petanda positif walaupun ada sesetengah ahli masih memerlukan masa.

Katanya, semua orang tahu transformasi manusia tentu sekali amat mencabar namun UMNO akan cuba melakukan yang terbaik.

"Saya lihat sudah ada yang memberikan tindak balas dan ada yang mungkin memerlukan masa lagi untuk menunjukkan penghayatan sepenuhnya.

"Tetapi kita jangan berasa kecewa sebab kita berurusan dengan manusia, manusia tentu sekali amat mencabar untuk melakukan perubahan besar dalam masa yang singkat," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, UMNO tidak perlu mengambil iktibar daripada kekecohan yang berlaku pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam persediaannya untuk menghadapi pemilihan UMNO akan datang kerana parti itu mempunyai cara tersendiri.

"Kita tidak boleh ambil iktibar daripada apa yang berlaku itu, kita ada cara kita sendiri dan insya-Allah kita akan uruskan perkara ini dengan baik apabila tiba masanya.

"Ya, kita sedar tidak mudah dan ia tidak boleh dipandang ringan tetapi saya percaya ahli UMNO akan menghormati disiplin parti dan menunjukkan imej yang baik," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Pembangkang caca-marba cari laba sementara

UM - 20/10/10


MUHYIDDIN Yassin diiringi (dari kiri) Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin semasa hadir merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengibaratkan parti-parti pembangkang sebagai caca-marba dan mudah melupakan matlamat asal parti masing-masing semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara.

Timbalan Presiden UMNO menegaskan, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing.

‘‘Mereka caca marba, seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipurlara yang mendongengkan cerita.

‘‘Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa dan mencerca sesama bangsa,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC di sini malam ini.

Turut hadir pemimpin tiga sayap iaitu Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Muhyiddin berkata, ada kalangan parti politik pembangkang yang segan silu untuk berbicara mengenai matlamat parti mereka.

Mereka katanya, berbuat demikian kerana takut kehilangan sokongan rakan dan penyokong yang baru.

‘‘Malah mereka sanggup berdolak-dalik. Kepada penyokong setia berkata lain, kepada rakan baru berkata lain.

‘‘Walaupun berbeza pandangan dan prinsip dalam banyak perkara, mereka sanggup berdiam diri dan mengalah saja.

‘‘Malah mereka memberikan pelbagai alasan untuk membela rakan-rakan bersekedudukan. Dulu musuh ketat, dituduh kafir dan keparat, kini jadi sahabat, dipeluk rapat-rapat,’’ tegasnya

Menurut beliau lagi, parti politik ini juga berlumba-lumba membongkar korpus-korpus perbendaharaan politik Islam bagi menghalalkan tahalluf siasiy- persefahaman politik sementara bagi mencapai matlamat sebenar.

Mereka kata Muhyiddin, menggunakan kaedah sirr iaitu merahsiakan niat sebenar dan matlamat perjuangan serta prinsip maslahah siasah iaitu melakukan sesuatu demi kepentingan politik.

‘‘Ada pula yang sanggup berpegang kepada konsep taqiyyah, berpura-pura bagi menyembunyikan matlamat utama yang hendak dicapai.

‘‘Tindakan mereka ini tidak ubah seperti pepat di luar runcing di dalam,’’ tegasnya.

Muhyiddin turut melontarkan beberapa pertanyaan antaranya apakah tindakan yang dilakukan oleh parti politik itu akan menyebabkan rakan-rakan baru mereka mengubah prinsip dan mula menyokong matlamat parti mereka dan adakah mereka benar-benar ikhlas untuk bersahabat.

‘‘Jawapannya kita semua tahu, tidak sama sekali. Jauh panggang dari api.

‘‘Rakan-rakan baru ini masih memusuhi matlamat yang mereka dukung dahulu, masih tegar menolak syariat Islam, masih kuat memusuhi negara Islam, masih alergik dengan perkataan dakwah Islam, masih tebal faham sekularisme, masih sarat dengan cauvinisme yang mewujudkan kebencian sesama umat.

‘‘Tetapi mengapakah mereka sanggup bersekongkol dengan rakan-rakan baru ini? Jawapannya mudah. Kuasa. Bagi mereka kuasa politik adalah segala-galanya,’’ tegas beliau lagi.

Permainan politik ini kata Timbalan Perdana Menteri, tidak akan membawa apa-apa keuntungan.

Katanya, kuasa yang diperolehi cuma sedikit sahaja malah mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk melaksanakan agenda parti, kerana kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada sokongan orang lain.

Lama kelamaan kata beliau, penyokong sendiri sedar bahawa parti yang mereka sokong, pemimpin yang mereka dukung, tidak boleh melaksanakan cita-cita mereka.

‘‘Parti itu menjadi lemah kerana penyokong tidak lagi bersama mereka. Untuk mempertahankan kuasa yang sedikit, mereka semakin bergantung kepada sokongan parti lain. Tiada lagi roh perjuangan. Yang ada cuma sekelumit kuasa yang kehilangan makna. Pokoknya, parti ini menjadi hamba kepada kuasa, ‘’ kata beliau.

Bagaimanapun kata Timbalan Presiden UMNO, UMNO tidak sedemikian dan sentiasa istiqamah dengan sumpah perjuangan.

UMNO tegas beliau, tidak pernah tergelincir daripada landasannya.

Beliau menegaskan sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu yang ada pada UMNO menjadikan ia parti yang tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain.

/hwa: utusan.com.my/

'Bendung perasaan curiga antara kaum, hentikan debat perkauman'

UM - 20/10/10

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Perasaan curiga antara kaum mesti dibendung segera dan debat perkauman mesti dihentikan sekarang.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan, jangan ada mana-mana kumpulan yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

''Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang telah meletakkan asas-asas bagi negara kita.

''Saya yakin dan percaya, bahawa rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat jaminan bahawa hak-hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dipertahan dan dihormati dalam apa jua keadaan sekalipun,'' katanya.

Beliau membuat gesaan dan penegasan itu ketika merasmikan serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri menarik perhatian bahawa debat perkauman dalam masyarakat juga semakin merumitkan keadaan.

Sehubungan itu beliau mengingatkan perdebatan tentang isu perkauman tanpa batasan boleh menimbulkan provokasi yang membakar sentimen perkauman.

''Kita tentu sekali tidak mahu percikan api kemarahan akhirnya menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah kita bina.

''Sanggupkah kita menggadaikan segala nikmat yang kita kecapi semata-mata kerana amarah perkauman? Hakikatnya, tiada siapa yang beruntung sekiranya perbalahan bermaharajalela. Kalah jadi abu, menang jadi arang,'' katanya.

Oleh itu Muhyiddin dalam ucapannya memberi jaminan kepada orang Melayu dan bumiputera, bahawa UMNO sebagai parti teras Melayu, akan terus mempertahankan hak-hak keistimewaan mereka, kedudukan agama Islam, kemuliaan institusi raja-raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan memastikan orang Melayu dan bumiputera mendapat pembelaan sosial dan ekonomi yang seadil-adilnya.

''Kepada kaum-kaum lain, UMNO sebagai parti teras kenegaraan tetap menghormati hak kaum-kaum lain seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

''Sebagai sebuah parti politik Melayu yang inklusif, dan berdasarkan rekod perjuangan UMNO selama ini, UMNO akan terus memastikan bahawa, di bawah teraju UMNO, tidak ada satu kaum pun yang akan ketinggalan dalam menikmati rahmat pembangunan dan kemajuan negara,'' katanya.

Kepada UMNO, Muhyiddin berkata, cabaran yang dihadapi oleh parti itu seterusnya ialah bagaimana untuk mengekalkan kejayaan dan memperkukuhkan perpaduan.

Beliau berkata, kunci kepada kejayaan UMNO selama ini ialah kebijaksanaannya dalam mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan politik.

''Namun hakikatnya, kita tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum.

''Walaupun secara umumnya hubungan kaum di Malaysia berada di tahap yang baik, namun masih kedengaran suara-suara yang mempersoalkan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain,'' katanya.

Kata Muhyiddin, jika perkara itu tidak diurus dengan baik, keadaan ini akan menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bahawa kedudukan dan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan semakin terhakis.

Mengenai gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, ia adalah satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua warga negara berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukunegara.

/hwa: utusan.com.my/

Warisan Merdeka: Penjelasan PM

UM - 20/10/10

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan projek pembangunan Warisan Merdeka yang turut merangkumi pembinaan menara 100 tingkat yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2011, Jumaat lalu, adalah projek yang menguntungkan dan bukannya satu pembaziran.

Perdana Menteri berkata, rasional projek Warisan Merdeka itu adalah untuk merancakkan aktiviti ekonomi sekali gus mewujudkan kesan berganda kepada ekonomi negara melalui pengagihan kerjakerja kontrak.

Menurutnya, kawasan pemba ngunan itu juga akan menjadi pusat perniagaan menempatkan usahawan bumiputera dan bukan bumiputera di bawah satu bumbung yang boleh dijadikan tarikan negara.

"Zaman Tun Dr. Mahathir (Mo hamad) buat jambatan Pulau Pi nang dulu, mereka (pembangkang) serang juga tetapi sekarang orang Pulau Pinang sendiri minta jambatan kedua, apabila Tun Mahathir buat Menara Berkembar Petronas, dia juga telah dipertikaikan.

"Bila kita buat menara 100 tingkat ini, rasionalnya sama, kita nak satu bangunan yang menjadi lambang negara yang bukan sahaja moden tetapi maju," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO Ke-61, di sini hari ini.

Projek Warisan Merdeka yang akan dibangunkan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dengan kos RM5 bilion itu dibina di sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara dan dijadualkan siap pada 2015.

Sejurus projek berkenaan di umumkan Perdana Menteri, parti pembangkang sebagaimana biasa melancarkan serangan kononnya ia adalah satu projek yang membazirkan wang rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, beliau tidak pernah mengarahkan PNB melakukan projek tersebut dan menjelaskan cadangan serta rancangan itu dikemukakan sendiri oleh syarikat milik kerajaan (GLC) itu.

"Saya tidak mengarahkan PNB, mereka mencadangkan bahawa ini adalah sesuatu yang diingini pengurusan dan lembaga pengarah PNB," tegasnya.

Sementara itu, Najib sewaktu menjawab dakwaan kononnya projek Warisan Merdeka dan pe ngumuman tiada kenaikan tol se lama lima tahun di empat buah lebuh raya milik PLUS yang ter kandung dalam Bajet 2011 sebagai tiada kaitan dengan belanjawan negara, berkata:

"Sesiapa yang bentang bajet bo leh terangkan segala perkara yang menyentuh kepentingan rakyat, ucapan belanjawan itu merang kumi segala-galanya,".

/hwa: utusan.com.my/

19 Oktober 2010

Persiapan perhimpunan berjalan lancar

UM - 19/10/10


Dua pengunjung melihat poster besar gambar Persidangan Perhimpunan Agung UMNO pertama pada 19 Mei 1946 yang tersergam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam menjelang perhimpunan Agung UMNO ke-64, yang dijadual bermula hari ini. - bernama

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Persiapan yang diatur menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bermula esok dilihat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, hampir 99 peratus persiapan yang dibuat selesai seperti yang dijadualkan.

Pentas Dewan Merdeka yang sentiasa menjadi tumpuan setiap kali berlangsungnya perhimpunan terbesar UMNO itu umpamanya kini dilengkapi dengan kerusi yang lebih empuk untuk keselesaan para perwakilan sepanjang berlangsungnya perhimpunan tersebut.

Selain itu, pentas berkenaan juga diceriakan dengan beberapa potret pemimpin UMNO yang terdahulu termasuklah Perdana Menteri ketika ini, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Potret-potret berkenaan juga dilihat mewarnai pintu masuk PWTC bagi menambahkan keceriaan perhimpunan berkenaan.

Sementara itu, beberapa petugas yang ditemui melahirkan kegembiraan menjelang bermulanya perhimpunan agung itu.

Polis bantuan, Koperal Mohd. Rusdi Abdul Rahim, 25, berkata, beliau telah mengikuti latihan selama empat bulan semata-mata untuk bertugas pada pada majlis berkenaan.

''Saya dan rakan-rakan telah bersedia sepenuhnya kerana telah menerima latihan yang secukupnya sebelum ini di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

''Justeru, kami berharap agar keadaan sentiasa terkawal sepanjang perhimpunan itu berlangsung,'' katanya.

Eksekutif Sous Chef, Mohamad Mazlan Abu Bakar, 49, pula memberitahu, perhimpunan kali ini merupakan perhimpunan yang ke-22 baginya sepanjang beliau bertugas di PWTC.

''Setiap tahun saya akan berhadapan dengan pelbagai kerenah perwakilan dan bagi perhimpunan kali ini, saya berharap agar ia akan berjalan dengan lancar,'' katanya lagi.

Dalam pada itu, petugas di Unit Perkhidmatan Istimewa (SSU), Mohd. Najib Yusof, 35, berkata, beliau sudah tidak sabar menunggu esok.

''Saya akan terus memberikan yang terbaik,'' katanya yang telah berkhidmat selama 16 tahun sepanjang perhimpunan agung berkenaan berlangsung.

/hwa: utusan.com.my/

Jangan terperangkap muslihat Anwar

UM - 19/10/10

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Rakyat tidak harus terperangkap dengan muslihat terbaru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Bajet 2011 sebagai bajet pilihan raya umum.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Ezam Mohamad Noor berkata, Anwar bertindak demikian bagi mengalih perhatian berikutan keadaan di dalam PKR yang semakin huru-hara.

‘‘Selain itu, beliau juga semakin terdesak memandangkan kes perbicaraan liwat yang dihadapinya semakin membongkar kebenaran.

‘‘Justeru beliau guna taktik usang alih perhatian penyokong dan rakyat dengan kisah kononnya pilihan raya umum semakin hampir,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Ezam berkata, motif Anwar mencetuskan kononnya bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu sebagai bajet pilihan raya supaya ahli-ahli PKR memfokuskan perhatian mereka kepada pilihan raya umum.

‘‘Sebenarnya Anwar mahu mengalihkan perhatian ahli-ahli PKR yang semakin meluat dengan kepincangan pemilihan parti itu baru-baru ini,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak akan terperangkap dengan taktik alih isu oleh Anwar yang semakin tertekan.

‘‘Fokus harus terus diberikan kepada pembinaan negara melalui bajet dan kepada perbicaraan kes liwat Anwar yang mula menampilkan kebenaran dan kepalsuan beliau selama ini,’’ katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Semangat Hulu Selangor perlu disemat

UM - 19/10/10

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Semangat waja dan kerja keras yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional (BN) sehingga berjaya menawan kembali Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil April lalu harus sentiasa disemat dalam diri setiap ahli.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, jika semangat itu dijadikan peraturan kerja ahli BN, misi untuk menawan kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang kini dikuasai oleh pakatan pembangkang bakal menjadi kenyataan.

Beliau berkata, strategi seperti "menyelinap" masuk ke dalam kubu kuat pembangkang untuk mendekati pengundi merupakan langkah terbaik untuk mencapai matlamat dan membuktikan BN adalah parti yang sanggup bersusah payah demi rakyat.

"Program Juara Rakyat telah menjadi titik kebangkitan untuk BN kembali meraih sokongan pengundi yang pudar selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

"Hulu Selangor telah membuktikan jika BN dan UMNO bekerja keras tanpa jemu untuk menawan kembali hati rakyat, Insya-Allah kita akan berjaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program untuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya bertumpu di kawasan selamat sahaja.

Menurut Najib, walaupun langkah itu akan menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO terpaksa berdepan dengan cabaran, namun ia tidak harus mematahkan semangat mereka demi masa depan parti.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu, sayap penerangan UMNO kini lebih agresif termasuklah mengadakan program di kawasan Parlimen yang dikuasai pembangkang seperti Balik Pulau, Ampang dan juga Titiwangsa.

"Kita akan masuk dan rempuh semua halangan selaras dengan saranan Perdana Menteri yang mahu langkah lebih agresif.

"Pada saya, itu bukannya mustahil kerana pembangkang yang terdiri daripada gabungan tiga parti itu tidak kuat, malah ada sahaja masalah yang melanda mereka. Jadi, kesempatan ini kita akan gunakan sebaik mungkin," katanya.

Nada yang sama turut dilaungkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mengatakan bahawa sudah sampai masanya untuk pemimpin sendiri turun padang bertemu pengundi.

"Kita tidak perlukan lagi pengantara sebaliknya pemimpin-pemimpin sendiri yang perlu turun ke setiap pelosok negara untuk mendekati rakyat.

"Melalui cara ini, rakyat akan kembali mendekati kita kerana berasa selesa dengan sikap prihatin yang ditunjukkan," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, mereka juga akan menumpukan kawasan di mana menyaksikan sokongan pengundi masih berada di atas pagar.

"Kawasan atas pagar ini juga sangat penting untuk kita masuk. Malah, Pemuda UMNO juga tidak takut untuk beramah mesra dengan pengundi di kawasan yang kononnya kubu kuat pembangkang seperti di Gombak.

"Sabtu lepas, Pemuda telah mengadakan program bertemu rakyat di sana dan kehadiran pengunjung yang ramai memberi petanda positif," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, pergerakan itu sentiasa bersedia untuk mendampingi rakyat sama ada di kawasan selamat atau kawasan pembangkang kerana rakyat di kedua-dua kawasan tersebut adalah sama penting.

"Rakyat di kawasan pembangkang mesti didekati untuk membuktikan BN sentiasa memenuhi keperluan rakyat. Dengan cara itu, tidak mustahil pengundi akan memilih BN," katanya.

"Puteri sentiasa bersedia melaksanakan program-program membabitkan akar umbi di kawasan pembangkang dan lagipun kami sudah ada pengalaman sebelum ini," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

'Masa depan PKR gelap'

UM - 19/10/10

IPOH 18 Okt. - Kerakusan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) merebut kuasa menandakan bahawa parti pembangkang itu bakal berhadapan dengan masa depan yang gelap.

Bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda berkata, secara peribadi beliau melihat pemilihan yang akan berlangsung tidak lama lagi merupakan detik kehancuran parti itu.

''Budaya kotor dan jahat PKR bukan setakat perebutan jawatan di peringkat tertinggi parti, tetapi budaya kotor dan jahat mereka telah diamalkan di peringkat cabang dan negeri.

''Ia adalah sebuah parti yang menghalalkan cara, hanya indah khabar daripada rupa. Mereka seperti ayam jantan yang berkokok berdegar-degar, tetapi ekor bergelumang dengan tahi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan pengalaman yang dilaluinya kata Fauzi, budaya kotor dan jahat dalam PKR sebenarnya sudah lama wujud iaitu semasa pemilihan parti 2001 di Kemaman, Terengganu.

''Budaya fitnah, mengaibkan orang melalui surat layang dan berbagai-bagai lagi tindak-tanduk ahli dan pemimpin PKR dimulakan oleh kumpulan yang gila kuasa dan jawatan dalam parti.

''Jadi, tidak hairanlah jika sekarang pelbagai perkara berlaku dalam PKR seperti bertumbuk, bergaduh, baling kerusi, menipu ahli dan guna samseng demi kerana jawatan dan kuasa," katanya.

Katanya, perkembangan terbaru itu jelas menunjukkan walau sesiapa sahaja yang menang dalam pemilihan parti kali ini, ia merupakan titik mula kepada kehancuran PKR sendiri.

/hwa: utusan.com.my/

Pas akui kelebihan BN

UM - 19/10/10

KUALA TERENGGANU 18 Okt. - Pas mengakui Barisan Nasional (BN) memiliki kelebihan untuk menguasai dua kerusi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Batu Sapi yang diadakan serentak pada 4 November ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, kelebihan itu berdasarkan aspek logistik bagi menghadapi kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan terutama di Batu Sapi.

Sebaliknya, pihak pembangkang termasuk Pas hanya mempunyai kemudahan yang sangat terhad berbanding BN yang memiliki kelebihan dari segi kemudahan pengangkutan khususnya udara.

Beliau berkata, bagaimanapun kekurangan itu tidak sekali-kali menghalang pihak pembangkang untuk memenangi kedua-dua kerusi pada pilihan raya kecil itu nanti.

"BN ada kelebihan pada dua pilihan raya serentak di Semenanjung (DUN Galas) dan di Sabah (DUN Batu Sapi).

"Bagi kita (Pas), ia adalah terhad (kemudahan logistik) tapi ini tidak menghalang kita mencapai kemenangan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pas negeri di sini hari ini.

Mengenai kedudukan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang disebut-sebut bakal dicalonkan bagi merebut kerusi DUN Galas nanti, Mustafa tidak menafikan bekas Menteri Kewangan itu mempunyai pengaruhnya terutama di kawasan Gua Musang.

"Kita akui Ku Li (Tengku Razaleigh) ada pengaruh sendiri berbanding pemimpin (BN) lain khususnya dalam konteks Gua Musang tapi ini tidak bermakna BN boleh mempengaruhi di segi undi," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas telah menyenarai pendek nama enam orang yang bakal dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas sebelum dihantar kepada Pas Kelantan esok.

Katanya, untuk tindakan selanjutnya, Pas Pusat menyerahkan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengumumkan calon bagi merebut kerusi berkenaan.

Difahamkan, pengumuman mengenai siapa calon tersebut dijangka dibuat pada Rabu ini oleh Nik Abdul Aziz di Kelantan.

"Kita sudah terima senarai calon yang dikemukakan oleh Pas Kelantan dan kita telah pilih enam calon yang akan kita hantar semula kepada Pas Kelantan esok untuk putuskan siapa calon paling layak," ujarnya.

Mustafa menjelaskan, kesemua enam calon yang tersenarai itu terdiri daripada pemimpin Pas peringkat cawangan di kawasan Gua Musang termasuk seorang calon dari masyarakat Orang Asli.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai biodata calon-calon itu menambah, kesemua mereka yang merupakan kelahiran Gua Musang itu sebelum ini bukan dari kalangan wakil rakyat Pas.

/hwa: utusan.com.my/

Ku Li akan terus terajui UMNO Gua Musang

Bernama - 19/10/10


Tengku Razaleigh Hamzah bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perjumpaan dengan jentera peti undi Bandar Lama, Gua Musang, semalam.– BERNAMA

GUA MUSANG 18 Okt. – Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau sama sekali tidak akan berundur untuk terus menerajui UMNO bahagian itu sekiranya tanggungjawab yang amanahkan kepadanya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas gagal membuatkan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan.

Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi pilihan raya DUN itu berkata, adat pertandingan dalam pilihan raya memang ada yang menang dan kalah kerana ia bergantung kepada sokongan pengundi bagi memilih pemimpin kawasan mereka.

“Saya bagaimanapun yakin perubahan besar akan berlaku dalam masyarakat di DUN Galas sejak kebelakangan ini dan BN mampu merampas semula kerusi itu dari tangan PAS.

“Saya cukup yakin dengan apa yang berlaku sekarang di mana pengundi kembali memihak kepada kita (BN) tetapi kita tidak boleh berdiam diri dan hendaklah bekerja kuat lagi bagi mendapat majoriti lebih besar,” katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan dengan petugas peti undi Bandar Lama Gua Musang, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Makhtar Mustapha.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata, pengalamannya lebih 50 tahun dalam UMNO membuatnya yakin untuk mengatur strategi terbaik supaya rakyat lebih yakin dengan perjuangan BN.

“Kita tidak mahu lagi rakyat khususnya pengundi di DUN Galas dihantui dengan pelbagai hasutan dan halangan kerana tidak ada apa yang mereka risaukan sekiranya terus menyokong calon BN nanti, katanya.

Katanya, beliau tidak pernah membuat janji dan bercakap kosong kepada rakyat dan mereka akan lihat segala yang di janjikan tetap berjalan untuk faedah rakyat di DUN itu.

Beliau berkata, pengundi juga boleh membuat perbandingan sendiri antara pemimpin BN dengan PAS yang mempunyai konsep perjuangan berlainan tetapi hanya BN sahaja yang mampu memberi kemudahan kepada rakyat sejak dahulu sampai sekarang.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lepas.

Allahyarham memenangi kerusi DUN Galas itu selepas menewaskan calon BN, Mohamad Saufi Deraman pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti 646 undi.

Tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN Galas itu ditetapkan pada 26 Oktober ini dan hari pengundian pada 4 November.

/hwa: utusan.com.my/

Ronnie dituntut jelas dakwaan Ahli MPK salah guna kuasa

UM - 19/10/10

SHAH ALAM 18 Okt. - MCA Klang menuntut Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu supaya memberi penjelasan berhubung pelantikan seorang Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

Ketua Pemudanya, Dr. Ching Eu Boon berkata, tuntutan itu dibuat setelah pihaknya menerima laporan mendakwa ahli MPK itu mengambil wang daripada sebuah persatuan pada April tahun lalu.

Menurutnya, beliau mempunyai dokumen yang mengaitkan ahli majlis berkenaan dengan dakwaan tersebut kononnya untuk membantu persatuan berkenaan memohon tanah milik kerajaan di Klang bagi tujuan pembinaan rumah perlindungan anak yatim.

Bagaimanapun tegasnya, sehingga ke hari ini tiada sebarang perkembangan mengenai status permohonan tanah itu termasuk wang yang diberikan oleh persatuan kebajikan itu kepada individu tersebut.

''Ini yang kita kesalkan, apa tujuan sebenar beliau membuat permohonan tanah selepas itu mengambil bayaran daripada persatuan berkenaan tetapi permohonan tergantung begitu sahaja," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Eu Boon, sungguhpun ahli MPK itu ada membuat pembayaran kepada sebuah syarikat perunding untuk tujuan penyediaan pelan prahitungan pada 1 April 2009, ia bagaimanapun melibatkan jumlah beberapa ratus ringgit sahaja manakala baki wang persatuan selebihnya tidak diketahui statusnya.

Beliau meminta agar Ronnie selaku Exco yang bertanggungjawab bagi hal ehwal pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak mengambil sikap lepas tangan berhubung perkara itu.

Kata Eu Boon, beliau difahamkan pelantikan individu itu yang merupakan ahli sebuah parti pembangkang dibuat hasil sokongan Ronnie sendiri.

''Saya ada bukti bertulis berhubung pembayaran yang dibuat oleh individu berkenaan dalam soal permohonan tanah tersebut daripada persatuan kebajikan itu termasuk resit bayaran kepada syarikat perunding terbabit," katanya.

Eu Boon yang juga Pegawai Penyelaras Barisan Nasional (BN) Pandamaran memberi tempoh selama 10 hari bermula hari ini kepada Ronnie dan ahli MPK itu supaya memberi penjelasan mengenai dakwaan salah guna kuasa itu atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Kata beliau, sekiranya Ronnie atau individu itu berbuat demikian, pihaknya akan mengemukakan laporan mengenai perkara itu kepada polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

/hwa: utusan.com.my/

18 Oktober 2010

Perhimpunan Agung UMNO 2010

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto Rosdan Wahid (BH - Oct 18, 2010 6:01 pm)

Umno Tak Mampu Berbalah, Perlu Perkuat Diri Bersama Parti Komponen BN

Bernama - 17 Oktober, 2010 19:47 PM

Oleh Ahmad Shukran Shaharudin

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Perhimpunan Agung Umno ke-61 bakal berlangsung selama lima hari bermula Selasa hingga Sabtu ini seharusnya menjadi kesinambungan peringatan bagi anggota Umno untuk memperkuatkan parti, selain berusaha terus menerus mendapat sokongan jitu daripada kalangan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu bagi memastikan parti itu terus relevan.

Sudah banyak kali pemimpin-pemimpin Umno -- yang terdahulu ataupun yang sedang memegang jawatan mengingatkan supaya parti keramat orang Melayu itu seharusnya relevan, inklusif bukan hanya kepada orang Melayu malah juga berkhidmat dan mendapat sokongan bangsa-bangsa lain.

Ini selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada April 2009 bagi memastikan keamanan dan kestabilan dalam negara berkekalan dalam usaha negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

Umno yang merupakan parti terbesar dalam negara dengan keanggotaan 3.4 juta orang tidak mampu berbalah sesama sendiri, malah harus merapatkan saf bagi memastikan pilihan raya umum ke-13 nanti membawa keputusan yang memberangsangkan untuk Umno dan BN.

Najib pada Jun lepas berkata beliau mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) menghentikan perbalahan secara terbuka dan menumpukan kepada usaha-usaha serta amalan yang memperkukuhkan parti masing-masing dan BN.

"Sebagai komponen BN kita mesti buat BN kuat. Kita tidak sepatutnya berbalah di hadapan umum, kita patut lawan pembangkang, bukan sesama kita, lawan musuh kita," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Parti Progresif Penduduk (PPP).

Umno, sebagai parti tunjang atau tulang belakang yang memerintah negara, perlu menunjukkan contoh terbaik kepada semua parti komponen dan tidak boleh hanya bersandarkan kepada kelemahan parti pembangkang untuk mendapatkan sokongan.

Untuk memastikan Umno terus relevan dalam abad ke 21, Najib semalam turut mengusulkan kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Selain itu, Umno terus berusaha memastikan masalah dalaman di peringkat negeri diselesaikan dengan baik, contohnya di Terengganu, melalui Konvensyen Umno Terengganu 2010 yang diadakan semalam, telah memberi gambaran jelas bahawa Umno negeri itu yang sebelum ini menghadapi masalah dalaman, kini semakin pulih.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata konvensyen yang bertujuan membincangkan hala tuju dan masa depan parti membuktikan kesepakatan di kalangan pemimpin Umno negeri itu semakin utuh.

Beliau tidak menafikan berlaku perselisihan faham dan masalah dalaman tetapi melalui Konvensyen Umno, ia berjaya merapatkan semula pemimpin di negeri itu.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam mengulas keadaan kelam kabut dalam pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan anggota Umno bahawa: " Rakyat memerhati kekuatan kita.

Kita perlu perkuat diri sendiri dan bukan hanya bersandarkan kelemahan pihak lawan." Perkelahian antara pemimpin bahagian, cawangan dan juga peringkat negeri harus dielakkan kerana ini akan memberi kesan yang negatif kepada Umno seterusnya BN bagi menghadapi pilihan raya kelak.

Bagi Umno, perhimpunan kali ini bukan saja akan hanya membahaskan tiga usul iaitu membahaskan ucapan dasar Presiden, ekonomi serta pendidikan dan agama, malah persidangan kali ini akan turut membicarakan usaha-usaha pembangunan kerajaan dalam Pelan Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia ke-10 RMK-10) serta Bajet 2011, dan kemungkinan mengenai persiapan Umno menghadapi dua pilihan raya kecil pada 4 Nov ini dan pilihan raya umum ke-13.

Pemimpin Umno perlu merapatkan barisan dan mempamerkan semangat 1Umno pada perhimpunan ini bagi memastikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dan juga Parlimen Batu Sapi, Sandakan, Sabah yang akan diadakan serentak pada 4 Nov milik BN.

Pada perhimpunan kali ini, Umno membuat perubahan dengan mengadakan sidang antarabangsa sehari sebelum persidangan Umno bermula dengan menjemput pemimpin parti politik luar negara untuk bertukar-tukar fikiran mengenai isu 'Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru'.

Acara julung kali yang didakan itu telah menerima penyertaan seramai 63 peserta daripada 22 parti politik dari 20 negara.

Melalui persidangan itu, wakil antarabangsa dapat melihat pendekataan baru Umno melalui Model Politik Baru yang menjurus kepada pembangunan teknologi maklumat masa kini, selain memperlihatkan kepada dunia konsep kongsi kuasa BN.

Menerusi forum itu juga para perserta dijangka dapat berkongsi pandangan bagaimana menghadapi serangan dunia maya serta membina kekuatan politik.

Perhimpunan Umno yang akan bermula Selasa ini dengan perasmian tiga sayap Umno oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno akan dihadiri 4,907 perwakilan.

Mereka terdiri daripada 2,543 perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung UMNO, 793 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 795 Pemuda dan 776 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

/hwa: bernama.com.my/

Puteri mahu bangkitkan kerumitan daftar ahli

BH - 2010/10/18

SETIAUSAHA Kerja Umno, Datuk Abd Rauf Yusoh (kanan) memantau raptai penuh Perhimpunan Agung UMNO 2010 ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.


Oleh Zanariah Abd Mutalib

zanariah@bharian.com.my


Pengundi muda dibimbangi beralih arah ke parti pembangkang

PUTRAJAYA: Proses pendaftaran yang rumit sehingga memakan masa berbulan bagi membolehkan seseorang itu menjadi ahli baru UMNO adalah antara isu yang akan dibangkitkan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO, Rabu ini.

Ketuanya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, berkata sekiranya perkara itu berterusan, beliau bimbang golongan muda akan beralih kepada pembangkang kerana proses pendaftaran parti itu lebih mudah.

“Ada antara mereka menghantar empat borang tapi masih gagal berdaftar. Mereka bukan menolak kita mentah-mentah tetapi menghadapi kesukaran teknikal yang harus kita atasi,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kekangan yang dihadapi Puteri dalam menarik golongan muda menyertai pergerakan itu.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, golongan muda sukakan sesuatu yang mudah dan ringkas, justeru UMNO perlu memenuhi kehendak itu bagi memastikan kesinambungan sokongan terhadap UMNO.

Katanya, sehingga kini, Puteri mempunyai hampir 350,000 ahli selepas 20,000 ahli disingkirkan melalui proses pemutihan awal tahun ini ekoran tidak dapat dikenal pasti dan dijejak.

/hwa: bharian.com.my/