15 November 2010

Berdolak-dalik isu ketua pembangkang

UM - 15/11/10

IPOH 14 Nov. - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng cuba berdolak-dalik apabila enggan mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim yang mengutarakan seorang pemimpin dari Pas sepatutnya menjadi ketua pakatan pembangkang.

Beliau sebaliknya cuba mencari 'jalan selamat' dengan mengatakan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang menjalani proses pengundian parti dan tidak sesuai untuknya mengulas isu tersebut.

"Untuk bercakap apa-apa mengenainya, ia mungkin akan disalah erti. Saya tidak akan menjawabnya. Terima kasih atas soalan tersebut.

"Saya merasakan tidak sesuai untuk mengulasnya sekarang. Awak boleh tanya saya selepas pengundian mereka tamat pada hujung bulan ini," katanya pada sidang akhbar sebelum proses pengundian pemilihan parti negeri berlangsung.

Turut hadir pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak Ke-15 yang diadakan di sini hari ini ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Beliau diminta mengulas kenyataan Zaid yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Pusat PKR dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan sebelum ini mencadangkan seorang pemimpin Pas perlu mengetuai pakatan pembangkang yang dilihat lemah ketika ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada krisis dalaman PKR akan turut menjejaskan peluang kemenangan DAP pada pilihan raya akan datang, Guan Eng sekali lagi enggan mengulas.

Bagaimanapun, Kit Siang yang turut berada dalam sidang akhbar itu, mencelah dan cuba 'mematikan' pertanyaan lanjut pemberita mengenainya.

"Pemilihan parti adalah fokus anda. Kita berharap pada akhirnya, DAP akan menang, pakatan pembangkang juga menang dan rakyat juga akan menang, noktah, ok," katanya.

Terdahulu, Koo Ham mengakhiri ucapan alu-aluannya meminta ahli parti tidak beremosi kerana konvensyen itu terbuka kepada media.

/hwa: utusan.com.my/

Pas jangan mimpi ganti UMNO

UM - 15/11/10

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pas usah bermimpi untuk menggantikan UMNO sebagai parti pilihan bagi orang Melayu selagi ia gagal menjadi parti yang dominan di dalam pakatan pembangkang.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, realitinya Pas tidak sekuat UMNO kerana parti itu bukannya berperanan sebagai ‘tulang belakang’ pakatan pembangkang sebaliknya hanya menjadi ‘pak turut’ kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, berbanding UMNO meskipun parti itu menjalinkan kerjasama dengan MCA, MIC serta parti-parti komponen lain, ia telah diiktiraf sebagai parti tunjang kepada BN.

‘‘Inilah hakikat yang berlaku. Pas hanya sekadar pak turut kepada DAP dan PKR. Mereka tidak boleh buat apa-apa sekiranya mereka terus gagal menjadi parti dominan di dalam pakatan pembangkang.

‘‘Apa yang orang Melayu boleh harapkan kepada Pas jika peranan parti itu di dalam pakatan pembangkang tidak sehebat DAP dan PKR. Saya percaya orang Melayu yang rata-ratanya berpendidikan boleh membuat penilaian yang terbaik tentang perkara ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas seminar yang dianjurkan oleh Pas bertajuk ‘Pas Sedia Ganti UMNO’ yang telah dirasmikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Shah Alam, semalam.

Di dalam ucapan perasmiannya Abdul Hadi antara lain telah membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap UMNO.

Nakhaie berkata, semua pihak harus sedar DAP yang kini rakan sekutu kepada Pas serta PKR tidak akan menerima perjuangan Islam sampai bila-bila.

‘‘Pemimpin-pemimpin Pas yang naif sahaja yang mahu bersahabat dengan DAP,’’ katanya lagi.

Penasihat Agama Menteri Besar Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Pas perlu melupakan hasratnya untuk menggantikan UMNO kerana ternyata parti itu sehingga kini gagal menjadi sebuah parti alternatif terbaik bagi orang Melayu.

Selain faktor bersahabat dengan DAP beliau berkata, faktor kegagalannya menjadikan Kelantan sebagai negeri berteraskan Islam juga perlu diambil kira.

‘‘Cuba kita lihat di Kelantan. Pemerintahannya telah masuk tahun yang ke-20 tetapi apa yang kita perhatikan maksiat dan perbuatan keji masih berlaku di negeri berkenaan.

‘‘Sekiranya mereka berjaya menerapkan nilai-nilai Islam saya percaya maksiat tidak berlaku di Kelantan. Perkara-perkara keji tidak berlaku di Kelantan. Adakah mereka gagal mendapat keberkatan daripada Allah?’’ katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak perlu dihairankan kerana Islam di kalangan pemimpin Pas Kelantan hanya dalam bentuk luaran sahaja tetapi dari segi akhlak dan peribadi langsung tidak mencerminkan sedemikian.

‘‘Sebagai contoh maki hamun dan sumpah seranah yang sering keluar di mulut pemimpin-pemimpin Pas. Jelas, ini bukan akhlak Islam,’’ katanya.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata, hakikat politik ketika ini sebahagian besar orang Melayu merupakan penyokong UMNO.

Ditanya mengenai pelbagai tuduhan Abdul Hadi di dalam ucapannya itu termasuk mengatakan UMNO tidak bersolat, Mahmood Zuhdi berkata itu merupakan kenyataan daripada orang kecewa.

/hwa: utusan.com.my/

Pas sedia teraju kepimpinan parti sekiranya diterima pakatan

UM - 15/11/10

KUALA TERENGGANU 14 Nov. - Pas bersedia pada bila-bila untuk memikul tanggungjawab menerajui kepimpinan parti pembangkang sekiranya parti lain dalam pakatan menerimanya.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, Pas tidak ada sebarang masalah kerana ia mempunyai keupayaan dari segi pengaruh dan kekuatan.

"Kalau ada orang lantik kita (pemimpin Pas), kita terima saja. Kalau kawan-kawan (parti dalam pakatan pembangkang) setuju lantik kita, kita setuju saja. Apa salahnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim semalam bahawa pemimpin daripada Pas seharusnya diletakkan sebagai pemimpin pakatan pembangkang.

Zaid turut menamakan beberapa pemimpin Pas berkenaan iaitu Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa serta empat Ahli Parlimen Pas iaitu Dr. Hatta Ramli (Kuala Krai), Dr. Mujahid Yusuf Rawa (Parit Buntar), Dr. Dzulkefli Ahmad (Kuala Selangor) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu seterusnya berkata, pihaknya yakin mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dan demokrasi sekiranya pemimpin Pas diberi peluang menerajui pakatan pembangkang.

Ini kerana katanya, Pas merupakan sebuah parti yang sentiasa mempunyai hala tuju yang lebih terurus, teguh serta terjamin dalam menghadapi senario politik kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita yakin Pas mampu memimpin (pakatan pembangkang) dengan baik dan kita yakin dapat tangani segala kemelut dalaman (Pas), seterusnya bergabung dengan rakan parti lain (DAP dan PKR).

"Pas sentiasa stabil dan kukuh. Kalau kawan-kawan (DAP dan PKR) setuju dan bagi kita peluang terajui (pakatan pembangkang), kita tak ada masalah," ulang Harun lagi.

/hwa: utusan.com.my/

14 November 2010

Penduduk sepakat gotong-royong

HM - 14/11/10

JERTIH: Semangat kekitaan untuk menjayakan Program Qurban dan Aqiqah sumbangan Harian Metro ditunjukkan penduduk 10 kampung di Peti Undi Kubang penduduk kawasan terbabit.

Penduduk dari Kampung Tok Donik, Lapang Kotak, Telok, Pak Demalik, Gong Pak Cheng, Alir Lintah, Gong Terap, Gong Mak Som, Gong Badang dan Kubang Benban selaku tuan rumah membuktikan semangat itu apabila mereka keluar beramai-ramai bergotong-royong di lokasi penyembelihan korban semalam.

Program gotong-royong diketuai Pengerusi Peti Undi Kubang Bemban, Anuar Mahmood, turut disertai 100 penduduk termasuk wanita yang menjalankan kerja menyediakan jamuan kepada peserta.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Bemban, Zakaria Jusoh berkata, penduduk tidak sabar untuk menyertai program paling berprestij di kawasan itu.

Katanya, kesediaan Harian Metro dan Penyelaras DUN Jertih memilih kawasan itu sebagai lokasi program Sempena Ulang Tahun ke 20 akhbar ini amat dihargai.

Menurutnya, sebaik mengetahui kampung itu dipilih pihaknya sudah tiga kali bermesyuarat bagi mengatur perjalanan program yang turut disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurutnya, program gotong- royong itu juga sebahagian gerak kerja penduduk untuk melihat program terbabit berjaya dan mendapat sokongan semua pihak.

Zakaria berkata, pihaknya juga akan memastikan pelbagai acara sampingan bagi memeriahkan majlis dengan lebih 1,000 jemputan termasuk rombongan warga Harian Metro diketuai Pengarang Kumpulan, Datuk Mustaffa Omar itu.

Pada majlis itu, 12 lembu disumbangkan Harian Metro selain dua sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan dikorbankan.

/hwa: hmetro.com.my/

12 November 2010

Terengganu catat prestasi terbaik

BH - 2010/11/12


KUALA LUMPUR: Terengganu terus mengungguli keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk tahun ke-10 apabila muncul negeri terbaik dalam peperiksaan itu tahun ini apabila seramai 3,560 atau 15.4 peratus daripada 23,147 murid mendapat 5A dan 7A.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Terengganu, Razali Daud berkata, walaupun jumlah calon berkurangan tahun ini, berbanding 23,944 calon tahun lalu, murid mendapat A dalam semua mata pelajaran meningkat 0.1 peratus berbanding 15.3 peratus tahun lalu manakala calon yang mendapat keputusan 4A/6A+1B pula seramai 2,138 atau 9.2 peratus.

Katanya, seramai 11,542 calon pula memperoleh keputusan A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman) meningkat 3.9 peratus, manakala mereka yang mendapat keputusan minimum C meningkat sebanyak 1.5 peratus.

“Pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan) dan Bahasa Inggeris pula menunjukkan penurunan sebanyak 6.9 peratus dan 1.5 peratus,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, seramai 2,548 daripada 23,305 calon memperoleh keputusan cemerlang atau semua A dan daripada jumlah itu, 1,841 calon dari sekolah kebangsaan (SK), 682 sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan 25 SJK Tamil.

Di IPOH, seramai 4,201 murid atau kira-kira 10 peratus daripada 42,057 calon UPSR memperoleh keputusan cemerlang 5A, meningkat 1.21 peratus berbanding 8.78 peratus tahun lalu.

Timbalan Pengarah JPN Perak, Mohd Idris Ramli, berkata seramai 26,610 calon atau 63.27 peratus mencapai tahap penguasaan minimum iaitu memperoleh gred A, B dan C dalam mata pelajaran diambil iaitu peningkatan 1.5 peratus berbanding pencapaian 61.77 peratus tahun lalu.

Di GEORGETOWN, seramai 2,839 calon memperoleh 5A/7A dengan seramai 16,065 calon atau 66.74 peratus lulus semua mata pelajaran.
Timbalan Pengarah JPN, Ahmad Tarmizi Kamaruddin, berkata tiga sekolah yang terbaik ialah SK Bertam, Perai; SJKC Kwang Hwa, Sungai Nibong dan SJKT Mak Mandin.

Di SEREMBAN, seramai 2,324 murid atau 12.4 peratus daripada 18,790 murid di negeri itu berjaya memperoleh 5A dan 7A dengan peningkatan murid cemerlang sebanyak 0.03 peratus.

Timbalan Pengarah JPN Sembilan, Jamali Salam, berkata gred purata negeri juga meningkat kepada 2.19 berbanding 2.20 pada 2009, manakala pencapaian sekolah luar bandar turut memberi sumbangan besar apabila 1,243 murid memperoleh 5A dan 7A , berbanding 1,081 dari sekolah bandar.

Di KUANTAN, seramai 3,359 atau 12.88 peratus daripada 26,074 murid SK dan SJK di Pahang mendapat keputusan cemerlang 5A dan 7A dan jumlah itu meningkat sebanyak 1.09 peratus berbanding 11.79 peratus tahun lalu.

Pengarah JPN Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif, berkata seramai 17,997 daripada 26,074 calon atau 69.02 peratus menguasai semua mata pelajaran memperoleh gred A, B dan C berbanding 68.39 peratus tahun lalu.

Di KOTA KINABALU, seramai 1,190 daripada 43,886 calon UPSR di Sabah memperoleh gred A dalam semua lima atau tujuh subjek yang diambil.

Pengarah JPN Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin, berkata daripada jumlah itu, 995 calon dari SK memperoleh 5A manakala 195 calon dari SJKC mendapat 7A dan jumlah itu meningkat 277 calon atau 0.73 peratus berbanding 911 calon tahun lalu, membabitkan 248 calon dari SK dan 31 calon SJKC.

Di MELAKA, Pengarah JPN, Datuk Isa Abu, berkata seramai 1,505 atau 10.4 peratus daripada 14,473 calon yang menduduki UPSR berjaya memperoleh 5A atau 7A.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 126 adalah calon bukan Melayu yang belajar di SK, manakala dua calon bukan Cina dari SJKC pula iaitu Syakirin Al-Husna Mohd Kamil dari Masjid Tanah dan Sakhti Shanti Sathamai Selvanathan (SJKC Ping Ming) memperoleh 7A.

Di KOTA BHARU, seramai 5,127 atau 14.49 peratus daripada 37,861 calon UPSR di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang 5A dan 7A.

Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang, berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.18 peratus berbanding tahun lalu selain menyifatkannya sebagai pencapaian terbaik dalam tempoh tujuh tahun.

Di KANGAR, Pengarah JPN Perlis, Mansor Lat, berkata seramai 414 pelajar atau 9.4 peratus daripada 4,402 calon di Perlis memperoleh 5A atau 7A.

Di JOHOR BAHRU, seramai 6,172 daripada 58,197 calon di negeri itu memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Di ALOR SETAR, Pengarah JPN Kedah, Abdullah Saad, berkata seramai 3,866 daripada 39,781 calon memperoleh keputusan semua A, meningkat daripada 9.36 peratus tahun lalu kepada 10 peratus tahun ini.

/hwa: bharian.com.my/

Terengganu catat terbaik UPSR

UM - 12/11/10


Sebahagian murid Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 bersorak gembira setelah berjaya memperolehi 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang diumumkan, semalam. - BERNAMA


HULU TERENGGANU 11 Nov. - Terengganu mencipta sejarahnya tersendiri apabila sekali lagi muncul sebagai negeri terbaik keseluruhan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama sedekad.

Pencapaian yang diumumkan hari ini menepati, sasaran Jabatan Pelajaran dan kerajaan negeri bagi memastikan pencapaian anak negeri terus kekal pada tahap cemerlang.

Seramai 3,560 orang daripada 23,147 calon UPSR di negeri itu mendapat semua A (15.4 peratus) dengan menunjukkan peningkatan sebanyak satu peratus berbanding tahun lalu.

Selain itu, daripada jumlah tersebut seramai 2,138 orang (9.2 peratus) mendapat 4A 1B manakala seramai 15,462 (66.8 peratus) mendapat minimum C dalam semua subjek.

Bagaimanapun, nilai Gred Purata Negeri (GPN) negeri itu sedikit menurun berbanding tahun lalu iaitu 2.22 kepada 2.25 peratus.

Pengarah Pelajaran negeri, Razali Daud berkata, meskipun berlaku sedikit penurunan dalam keputusan GPN serta beberapa subjek, namun Terengganu masih mencatatkan pencapaian cemerlang berbanding negeri-negeri lain dalam UPSR kali ini.

Katanya, tahun ini, sebanyak lima mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam keputusan UPSR negeri itu iaitu Bahasa Melayu Pemahaman Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)), Matematik, Sains, Bahasa Melayu Penulisan (SK dan SJKC).

"Bagi keputusan Bahasa Melayu Pemahaman SK, seramai 22,667 calon mengambil kertas itu dan 11,542 calon memperoleh A manakala pencapaian subjek Matematik, seramai 23,143 calon mengambil kertas itu dan 8,336 calon memperoleh A," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, bagi pencapaian mata pelajaran Sains, seramai 23,140 calon menduduki kertas itu dan seramai 7,280 calon memperoleh A manakala subjek Bahasa Melayu Pemahaman (SK dan SJKC), seramai 466 calon mengambil kertas itu dan daripada jumlah tersebut seramai 171 orang memperolehi gred A.

Tambahnya, seramai 57 calon mendapat A dalam subjek Bahasa Melayu Penulisan (SJKC) daripada 266 calon yang menduduki mata pelajaran itu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 35 sekolah berada dalam kelompok sekolah berpencapaian tinggi dengan Nilai Gred Purata Sekolah (GPS) di bawah 1.8 peratus dengan diungguli Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok, Setiu, (69.23 peratus).

Ini diikuti Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu Tok Dor, Besut (58.33 peratus), SK Kampung Tayor (50 peratus), SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu (46.81 peratus) dan SK Tok Randor (46.15).

"Antara sekolah lain adalah SK Bukit Tadok, SK Tepus, SK Dusun, SK Mangkok, SK Kuala Berang, SK Jenang, SK Tengku Mahmud II, SK Seri Berang, SK Kuala Berang, SK Guntung Luar, SK Kampung Dalam Fikri Sungai Tong, SK Dendang, SK Tengku Mahmud, SK Lembah Jaya, SK Tengku Ampuan Intan, SK Beladau Kolam, SK Rantau Petronas, SK Langgar, SK Felda Kerteh I dan SK Tok Raja.

"Juga SK Sultan Ismail, SK Paka II, SK Sultan Sulaiman I, SK Kampung Raja, SK Paya Bunga, SK Ladang Gajah Mati, SK Paka II, SK Amer dan SK Tok Motong," jelasnya.

Pada tahun ini, kesemua calon UPSR negeri dari 347 sekolah termasuk 472 calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menduduki peperiksaan itu di 371 pusat peperiksaan.

/hwa: utusan.com.my/

Zaid mahu tubuh 'Keadilan Baru'

UM - 12/11/10


ZAID Ibrahim (kiri) bersalaman dengan penyokongnya di pejabat PKR Taman Intan, Sungai Petani, Kedah, kelmarin. - utusan/OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 11 Nov. - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim akan menubuhkan parti politik baru sekiranya dikenakan tindakan pecat oleh pucuk pimpinan PKR.

Beliau berkata, parti yang mungkin dinamakan 'Keadilan Baru' itu akan diwujudkan bagi meneruskan perjuangan jangka panjangnya iaitu melakukan transformasi politik di negara ini.

"Kalau mereka pecat saya, maka saya kena buat (parti) Keadilan Baru. Takkanlah saya nak pencen dan balik nak jadi peguam, tua dah tak boleh.

"Saya akan teruskan perjuangan. Saya percaya dapat melakukan transformasi politik dengan cara begini.

"Apa yang saya cuba lakukan mungkin tidak berjaya sepenuhnya, tetapi ia memang menjadi hasrat saya dari awal," katanya pada majlis dialog bersama lebih 100 ahli PKR dari kawasan Kedah Tengah di Pejabat PKR Taman Intan di sini malam tadi.

Bekas calon Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika diajukan soalan oleh salah seorang ahli parti tentang rancangannya sekiranya dikenakan tindakan pecat daripada PKR.

Menurut Zaid, adalah tidak menjadi satu masalah baginya jika dikenakan tindakan atas alasan mendesak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presidennya, Azmin Ali berundur.

Ini kerana, katanya, beliau telah melakukan yang terbaik untuk mewujudkan sistem politik bersih dalam PKR, tetapi tidak dapat diterima oleh pucuk pimpinan.

"Saya tinggalkan UMNO, saya lepaskan jawatan Menteri Kabinet, saya tinggalkan syarikat guaman yang paling berjaya. Saya sudah korbankan segalanya.

"Saya mempunyai visi untuk membetulkan keadaan dan mahu menjadikan sistem politik di negara ini lebih telus. Itulah harapan saya. Malangnya, dalam PKR tidak berlaku perkara begitu," katanya.

Ditanya adakah masalah yang berlaku dalam PKR tersebut pernah dibincangkan secara dalaman, Zaid berkata, beliau pernah menjalankan sesi tegur menegur dalam biro politik.

Di KOTA BHARU Zaid menganggap Anwar sebagai orang yang 'takut dengan bayang-bayang' sendiri sehingga sanggup mereka-reka cerita dan menyerang individu yang cuba menghalang anak emasnya, Azmin Ali daripada menggenggam jawatan nombor dua parti itu.

Kata Zaid, beliau sendiri tidak mempunyai masalah dengan Anwar sebelum ini tetapi sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu, Anwar tiba-tiba sahaja menyerangnya secara peribadi termasuk dituduh sebagai ejen UMNO.

/hwa: utusan.com.my/

Jadikan kemenangan Galas, Batu Sapi titik kebangkitan BN - TPM

UM - 12/11/10

KOTA KINABALU 11 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dijadikan titik permulaan bagi menyemarakkan kebangkitan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Untuk itu, tegas Timbalan Perdana Menteri, setiap parti komponen BN perlu memperkukuhkan parti masing-masing selain memastikan permuafakatan di antara parti terus terpelihara.

''BN kini sudah kembali tetapi dengan cabaran berbeza. Kita perlu bersedia berdepan dengan corak baru pemikiran dan harapan masyarakat hari ini.

''Jika tidak, tidak mungkin mereka (rakyat) akan menyokong kita, jika kita tidak membawa perubahan," katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hongkod Koisan, Penampang di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kemenangan besar BN di Batu Sapi dan Galas menunjukkan keyakinan rakyat semakin bertambah kepada gabungan parti kerajaan itu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua ahli BN supaya tidak leka dan mendabik dada dengan kejayaan tersebut.

''Kita perlu bekerja dengan lebih gigih lagi memperkuatkan parti kerana jika kita kuat, musuh kita akan gentar dan lari.

''Lihat parti pembangkang, kini cacamarba. PKR (Parti Keadilan Rakyat) kini 'parti kian runtuh' tetapi BN semakin kuat hasil usaha dan permuafakatan semua pihak," ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin yang akan berangkat ke Jepun bagi mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), turut berterima kasih dan amat menghargai kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri kepadanya sepanjang tempoh bercuti sakit baru-baru ini.

''Sepanjang tempoh itu saya berpeluang mewakili Perdana Menteri bertemu pemimpin dunia seperti Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton; Perdana Menteri Australia, Julia Gillard; Presiden Austria, Dr. Heinz Fischer dan Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh," katanya.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan mendakwa bukan bumiputera kurang menyertai tentera kerana semangat patriotik mereka belum cukup tinggi, Muhyiddin berkata, Zahid perlu membuat penjelasan mengenainya.

''Kalau sudah dianggap terlanjur, tidak ada masalah minta maaf. Saya pun biasa minta maaf, kalau saya silap. Kata-kata ini kalau sudah keluar susah hendak ditarik balik," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Kemelut PKR: Pas, DAP perlu nyatakan pendirian

UM - 12/11/10


Sultan Ahmad Shah ketika merasmikan Penjara Bentong sambil diperhatikan Hishammuddin Tun Hussein, Adnan Yaakob dan Zulkifli Omar (kanan) di Felda Mempaga, Bentong, Pahang, semalam. - Utusan/SAIFUL BAHARI ASHARI ASHARI

BENTONG 11 Nov. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta parti komponen dalam pakatan pembangkang agar menyatakan pendirian mereka berhubung kemelut yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Pas dan DAP menyatakan pendirian mereka kerana sebelum ini pakatan itu hanya sering menuding jari dan mencari kesalahan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Pas dan DAP juga perlu menyatakan janji mereka kepada rakyat dalam konteks pakatan pembangkang berikutan krisis yang melanda PKR kini.

"Sepatutnya kita perlu tanya Pas dan DAP...apa pendirian mereka, apa pandangan mereka, dan apa sebenarnya janji mereka sekarang kepada rakyat dalam konteks pakatan.

"Sebelum ini, jika parti MCA buat sesuatu atau kemelut, parti komponen dalam BN iaitu UMNO dan MIC terpaksa menjawab begitu juga sekiranya UMNO dilihat melakukan sesuatu yang tidak kena, MCA pula kena jawab.

"Itulah sebenarnya satu fahaman yang ada dan konsisten selama ini dalam BN," katanya selepas majlis perasmian Kompleks Penjara Bentong oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir, Sultanah Pahang, Sultanah Khalsom; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Penjara Malaysia, Datuk Wira Zulkifli Omar.

Selasa lalu, Datuk Zaid Ibrahim memberitahu, segala permasalahan yang timbul dalam PKR termasuk kekalutan pada pemilihan parti yang menyaksikan pelbagai aktiviti penyelewengan serta penipuan berleluasa, adalah manifestasi kelemahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zaid berkata, kelemahan Anwar terbukti apabila beliau hanya pandai menyalahkan BN apabila misi 16 September gagal, ahli Parlimen keluar parti selain kehilangan pentadbiran negeri Perak, sedangkan semua perkara berlaku berpunca daripadanya.

Selain itu, beliau mendakwa kelemahan Anwar juga semakin terserlah apabila hanya 6,000 ahli parti keluar mengundi dalam pemilihan PKR dan pada masa yang sama parti itu kini dilihat semakin tidak bermaya untuk menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat.

Sehubungan itu, beliau yang baru mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden mendesak supaya Anwar bersama 'anak emasnya', Azmin Ali berundur daripada PKR kerana kedua-duanya disifatkan sebagai punca kepada segala masalah.

Tambah Hishammuddin, apa yang berlaku dalam PKR itu merupakan mesej kepada ahli-ahli UMNO dan parti komponen yang lain untuk memastikan BN terus bekerja dan konsisten.

Jelasnya, kejayaan pada Pilihan Raya Kecil di kerusi Batu Sapi dan Galas membuktikan kerjasama parti komponen dalam BN serta momentum itu menunjukkan kelebihan yang ada pada UMNO dan BN.

"Akhirnya, orang ramai dapat melihat sendiri bahawa yang mereka tuduh, rupa-rupanya mereka lebih teruk lagi," katanya.

Sementara itu, Tiong Lai turut bersetuju dengan pandangan Hishammuddin dan berkata, BN perlu memantapkan parti itu selain berusaha gigih meningkatkan perkhidmatan agar menjadi lebih baik.

/hwa: utusan.com.my/

Anwar tak layak jadi pemimpin - Choo Keong

UM - 12/11/10

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak diangkat sebagai pemimpin walaupun hanya di peringkat parti, oleh itu lebih baik beliau mengundurkan diri daripada politik.

Demikian ditegaskan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang berkata, kontroversi serta pergolakan PKR ketika ini jelas membuktikan Anwar gagal bertindak sebagai seorang pemimpin berwibawa serta mempunyai kredibiliti di negara ini.

''Dalam keadaan rumah tangga yang begitu bergolak, bagaimana Anwar mahu menjadi seorang pemimpin di peringkat negara. Apakah caranya beliau boleh mempengaruhi orang lain untuk menakluk Putrajaya.

''Saya kira Anwar terlalu sukar untuk menjayakan misinya itu kerana keadaan partinya yang kini cukup bergolak. Bagi saya lebih baik beliau mengundurkan diri," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kemelut yang melanda PKR berikutan pemilihan parti ketika ini.

Terbaru, calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada pertandingan serta meletak semua jawatan dalam parti kerana mendakwa berlaku penyelewengan serta penipuan di dalam pemilihan tersebut.

Choo Keong berkata, imej PKR mula tercalar apabila berlaku kejadian ahli Parlimen parti keluar beramai-ramai apabila sedar ia bukan lagi parti yang relevan untuk rakyat negara ini.

''PKR ditubuhkan bukan untuk rakyat tetapi hanya untuk memperjuangkan nasib seorang pemimpin. Sebenarnya banyak keburukan PKR yang rakyat tidak tahu kerana ia disorok. Apa yang didedahkan di media hanya sedikit sahaja," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Pergolakan PKR jejas pakatan

UM - 12/11/10

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Pas mengakui kemelut yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) ekoran pemilihan yang diadakan parti itu ketika ini memberi kesan kepada masa depan pakatan pembangkang.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, keadaan yang berlaku dalam PKR itu turut memberi kesan kepada tahap keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang kerana parti itu merupakan salah satu anggota pakatan.

''Sebagai satu keluarga besar dalam pakatan pembangkang sudah pasti apa yang berlaku dalam PKR akan memberikan implikasi terhadap masa depan dan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pakatan pembangkang.

''Jadi, saya berharap ini proses biasa dalam PKR yang bagi saya ia melibatkan satu proses demokratik. Saya hormat cara pemilihan yang diadakan kerana itulah bentuk pemilihan yang telah diputuskan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut berpendapat apa yang berlaku dalam PKR itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada pakatan pembangkang.

/hwa: utusan.com.my/

Perubahan kepimpinan UMNO negeri 26 Nov.?

UM - 12/11/10

PUTRAJAYA 11 Nov. - Majlis Tertinggi (MT) UMNO dijangka mengadakan mesyuarat pada 26 November ini dengan agenda utama dipercayai ada kaitan dengan perubahan atau rombakan membabitkan kepimpinan UMNO negeri-negeri.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun berkata, tarikh mesyuarat sebenar masih belum ditetapkan tetapi mengesahkan isu itu akan diputuskan pada satu mesyuarat MT 'akhir bulan ini'.

''Ya, isu melibatkan perubahan kepimpinan UMNO di peringkat tertentu yang dibangkitkan oleh Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan dibincangkan dalam satu mesyuarat MT hujung bulan ini," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh ketika dihubungi berkata, tarikh tentatif mesyuarat MT itu ditetapkan pada 26 November ini namun penetapan tarikh sebenar akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan parti.

Pada 23 Oktober lalu, Najib ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO berkata, perubahan dalam kepimpinan UMNO di peringkat tertentu akan diumumkan apabila sampai masanya supaya parti itu lebih bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum kelak.

''Saya akan maklumkan bila sampai masa, tak lama lagilah. Semua kemungkinan boleh (melibatkan kepimpinan UMNO negeri)," kata Presiden parti itu.

Pengumuman perubahan itu dikatakan bagi memenuhi hasrat perwakilan yang meminta Pengerusi Perhubungan UMNO negeri khususnya di negeri-negeri yang kini bukan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), diterajui pemimpin tempatan.

Ketika ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor disandang oleh Najib, Wilayah Persekutuan dipegang Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pulau Pinang (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), Terengganu (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Kedah oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Ketika ini jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor disandang oleh Datuk Seri Noh Omar, Wilayah Persekutuan (Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin), Pulau Pinang (Datuk Zainal Abidin Othman), Terengganu (Datuk Ahmad Said) manakala di Kedah oleh Datuk Ahmad Bashah Md. Hanapiah.

Pada Mei lalu, Najib menggesa semua pengerusi perhubungan UMNO negeri bergerak lebih aktif dalam melaksanakan program Juara Rakyat yang bertujuan mendekati rakyat bagi memahami masalah yang mereka hadapi.

Kemudian pada Ogos, beliau memberi kata dua pula kepada kepimpinan UMNO Kedah dan Perlis supaya menamatkan segala bentuk persengketaan dalaman jika mahu membina jentera yang benar-benar kuat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

/hwa: utusan.com.my/

11 November 2010

YB. Ab Aziz Yusoff

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusoff mengangkat sumpah dihadapan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas memenangi kerusi DUN Galas di Sidang DUN di Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi. Nov 11, 2010 10:57 am

Krisis PKR paling getir

UM - 11/11/10

Seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Datin Seri Wan Azizah Ismail sebagai Presiden untuk campur tangan dan memperbetulkan segala kekalutan dalam proses pemilihan pemimpin parti itu yang berpunca daripada tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

Calon Naib Presiden PKR, N. Gobalakrishnan telah menghantar satu memorandum dengan meminta pucuk pimpinan parti memberi penjelasan berhubung dakwaan berlaku kecacatan serta penipuan dalam pemilihan parti itu.

Bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakarupan mengesahkan badai yang melanda PKR adalah 100 peratus berpunca daripada Anwar dan ‘anak emasnya’, Azmin dengan menyatakan telah menjangkakan perkara itu akan berlaku sejak tiga tahun lalu.

/hwa: utusan.com.my/

Nalla sudah lama tahu Azmin 'anak emas' Anwar

UM - 11/11/10

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Tuduhan mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 'anak emasnya', Azmin Ali sebagai punca kepada badai yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah benar dan 100 peratus tepat.

Bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakarupan bukan saja tidak hairan dengan perkara itu malah sudah lebih awal menjangkakannya kerana telah bercakap mengenai pakatan 'Anwar-Azmin' sejak tiga tahun lalu sewaktu meninggalkan PKR.

Jangkaan tepat itu katanya, dapat dibuat kerana beliau sendiri pernah diminta Anwar untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden PKR meskipun banyak mendapat pencalonan dalam pemilihan parti itu bagi memberi laluan kepada Azmin.

"Anwar dan Azmin memang ada pakatan dan mereka berkongsi segala-galanya. Cuba anda katakan pada saya, apa yang mereka tidak kongsi bersama?

"Sebelum pemilihan pun saya ada buat kenyataan menjangkakan manipulasi Anwar dan Azmin dalam pemilihan kali ini. Kini jelas segalanya benar dengan pendedahan Zaid semalam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nallakarupan menambah, pendedahan Zaid itu mungkin disebabkan bekas penyelaras pakatan pembangkang itu telah mengetahui sedikit sebanyak mengenai rahsia di antara kedua-duanya.

"Tetapi sebagai bekas rakan karib Anwar, saya tahu jauh lebih banyak daripadanya. Kalau rahsia itu terbongkar, saya pasti sesiapa saja yang berprinsip akan meninggalkan Anwar dan Azmin," ujarnya.

Mengulas tuduhan Zaid bahawa Anwar dan Azmin perlu menyelesaikan 'masalah peribadi' yang banyak dihadapi kedua-duanya, beliau berkata, rakyat perlu diberitahu apa 'masalah peribadi' yang dimaksudkan Zaid.

"Apa isu peribadi dimaksudkan Zaid? Rakyat terutamanya ahli parti pembangkang perlu tahu siapa pemimpin nombor satu yang mereka sanjung itu sebenarnya.

"Setiap bekas pemimpin PKR yang membuat pendedahan mengenai parti itu, semuanya mengatakan Anwar dan Azmin 'jahat'. Justeru saya nasihatkan Anwar, usahlah bermimpi mahu ke Putrajaya kerana saya yakin pendedahan ini akan berterusan," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Desak Anwar: Mohd. Asri tidak tarik balik mahupun menyesal

UM - 11/11/10

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Walaupun dikritik oleh kem pakatan pembangkang kerana mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada politik, bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menegaskan, beliau tidak pernah menarik balik kenyataan itu.

Katanya, beliau juga tidak pernah menyesal membuat desakan sedemikian terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Katanya, jika Anwar terasa hati dengan pendiriannya itu, beliau memohon maaf kerana ia adalah adab pergaulan.

"Saya tidak pernah tarik balik atau menyesal dengan kenyataan mencadangkan 'dinosaur-dinosaur' politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara.

"Surat terbuka saya jelas dalam hal ini. Cumanya saya hanya memohon maaf jika beliau berkecil hati. Itu adalah adab pergaulan, namun pendapat saya masih kekal sehingga kini," katanya dalam kenyataan ringkas daripada Tokyo, Jepun yang disiarkan laman webnya, www.drmaza.com.

Portal berita propembangkang, Malaysiakini semalam melaporkan Mohd. Asri memohon maaf atas desakannya sebelum ini melalui artikel bertajuk Asri mohon maaf cadang Anwar 'bersara'.

Pada 1 November lalu, Mohd. Asri yang merupakan ulama non-partisan melalui laman webnya berkata, sudah tiba masa bagi Anwar bersara kerana banyak rentak politiknya dilihat semakin tidak seimbang.

Katanya, Anwar perlu menerima hakikat bahawa zamannya akan menyusur pergi dan tidak mungkin generasi baru akan terus bertahan untuk melihat reka bentuk cerita politiknya yang sama.

Berikutan reaksi penyokong pakatan pembangkang yang berang dengan kenyataan itu, Mohd. Asri pada 6 November lalu sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Anwar perlu berundur daripada dunia politik bagi mengelakkan pembangkang hilang momentum sokongan.

Sambil meminta Anwar berlapang dada dengan pandangan tersebut, Mohd. Asri berkata, jika tidak berlaku perubahan, momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti pula sukar untuk dicapai.

Semalam, Mohd. Asri membuat satu lagi kenyataan bagi menafikan dakwaan Anwar bahawa beliau bersekongkol dengan Utusan Malaysia untuk menyerangnya.

Jelas bekas mufti yang pernah menegur kepimpinan kerajaan sebelum ini, Utusan Malaysia hanya memetik daripada blog beliau dan wartawannya tidak berhubung secara langsung dengannya.

/hwa: utusan.com.my/

Anwar satu bebanan - Zulkifli Noordin

UM - 11/11/10

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu akur dengan desakan supaya beliau segera berundur daripada dunia politik tanah air kerana Ketua Pembangkang itu bukan lagi seorang pemimpin yang relevan sebaliknya lebih merupakan liabiliti kepada rakyat dan negara.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, permainan politik Penasihat PKR itu didapati semakin hari semakin berbahaya khususnya kepada kestabilan negara.

Beliau pada masa sama turut meminta Anwar segera bertaubat mengambil kira usianya yang disifatkan sebagai 'zon maut' itu.

''Seperti kata Datuk Zaid Ibrahim, Anwar perlu akui yang beliau kini merupakan liabiliti kepada negara, rakyat dan umat Islam. Beliau harus mengundurkan diri dengan segera.

''Saya nasihatkan supaya beliau bertaubat. Kalau sempat pergilah Mekah buat haji, buat tawaf banyak-banyak, minta keampunan Allah di tanah suci," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Zaid bahawa segala permasalahan yang timbul dalam PKR dan kekalutan pada pemilihan parti yang menyaksikan pelbagai aktiviti penyelewengan serta penipuan berleluasa adalah manifestasi kelemahan Anwar.

Berhubung dakwaan Anwar bahawa terdapat agenda untuk menjatuhkannya, Zulkifli berkata, Ketua Pembangkang itu merupakan seorang yang menghidap 'sindrom penafian'

''Tindakan Ketua Pembangkang menuding jari terhadap pihak-pihak tertentu termasuk Utusan Malaysia bahawa ada agenda untuk menjatuhkannya hanya merupakan bukti yang beliau mengamalkan budaya penafian.

''Anwar enggan menerima hakikat yang beliau tidak diperlukan lagi," katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, perjuangan Anwar pada masa ini hanya mahu memastikan survival politiknya tidak terjejas dan bukannya untuk memperjuangkan isu-isu rakyat.

Beliau turut menegur portal propembangkang, Malaysiakini apabila bertindak memutar belit kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

''Saya menghubungi Dr. Asri dan beliau konsisten meminta Anwar berundur. Beliau tidak pernah meminta maaf tentang isu itu. Beliau memohon maaf sekiranya Anwar berkecil hati dan bukannya terhadap gesaan supaya Anwar berundur," katanya.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, perjuangan PKR kini hanya untuk memenuhi nafsu seorang pemimpin.

''Akibatnya PKR menjadi parti pembangkang yang lemah. Sejak Anwar menerajui PKR, parti itu menjadi semakin kelam-kabut. Lebih baik beliau menyerahkan kepimpinan parti kepada orang lain supaya PKR kembali menjadi parti pembangkang yang lebih sihat dan matang," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Parti Keadilan Rakyat ibarat retak menanti belah

UM - 11/11/10

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pelbagai masalah dalaman yang berlaku kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan bahawa parti tersebut sedang retak menanti belah.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, malah kepercayaan ahli PKR semakin lama semakin pudar kerana terlalu banyak masalah melanda penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, berikutan itu, ramai ahli PKR yang keluar parti dan menyertai UMNO serta Barisan Nasional (BN) sejak kebelakangan ini.

''Kita dah banyak mendengar pendedahan yang dibuat oleh ahli serta pemimpin parti itu sendiri.

''Jadi saya rasakan rakyat sudah pandai menilai sejauh mana PKR memperjuangkan keadilan seperti yang dicanangkan sebelum ini sedangkan mereka kini merupakan sebuah parti yang kian rebah,'' katanya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin pula berpendapat, Anwar dan Azmin serta sekutunya yang lain sudah tidak mampu lagi menjadi penglipur lara kononnya mereka memperjuangkan nasib rakyat.

Katanya, pendedahan demi pendedahan yang dibuat mengenai kepincangan yang berlaku dalam PKR telah menunjukkan kegagalan dan kelemahan parti itu.

''Saya percaya selepas ini pasti akan muncul lagi desakan daripada kalangan ahli parti itu supaya Anwar serta anak emasnya, Azmin meninggalkan PKR kerana kepercayaan terhadap mereka semakin hilang,'' jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung pula berkata, para ahli serta penyokong PKR perlu berfikir semula mengenai masa depan serta perjuangan parti yang dilihat semakin goyah serta lari daripada matlamat asal.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia mengetahui cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tetapi malangnya cita-cita itu menjadi angan-angan semata-mata apabila melihat kepada situasi dirinya dan juga parti.

/hwa: utusan.com.my/

Anwar banyak janji dengan Hindraf?

UM - 11/11/10

KUALA LUMPUR 10 Nov. - MIC percaya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menabur banyak janji dengan pertubuhan haram Hindraf bagi mendapatkan lebih banyak sokongan daripada masyarakat India di negara ini.

Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan berkata, pihaknya tidak tahu berapa banyak janji yang dibuat oleh Anwar tetapi sudah pasti kesemua janji itu adalah janji kosong.

''Kita boleh simpulkan janji Anwar sebagai janji atas air dan tidak boleh mempercayainya langsung. Baru-baru ini salah seorang ahli Parlimen turut mendedahkan rahsia Anwar dengan DAP di mana Anwar membuat banyak perjanjian dengan parti itu.

''Saya pasti perkara sama juga berlaku antara Anwar dan Hindraf. Beliau membuat banyak perjanjian bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dan akhirnya tidak dapat memenuhi janjinya dan kini beliau menerima padahnya,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kira-kira 20 ahli dan penyokong Hindraf yang mengadakan upacara menyalakan lilin di hadapan rumah Anwar bagi menuntut pakatan pembangkang menunaikan janji terhadap kaum India ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 lalu.

Tambah Kamalanathan yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Selangor, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah ketinggalan untuk membantu sekolah Tamil atau kuil yang didirikan di tempat yang mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

''Fasa pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan sentiasa dihayati oleh BN dan memberi peruntukan yang mencukupi kepada setiap agama di negara ini,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan meminta masyarakat India di negara ini menyedari perangai sebenar Anwar.

''Ini bukan isu pertama, Anwar pernah membuat banyak janji di Padang Jawa, Kampung Buah Pala dan beberapa kawasan yang berada di bawah kerajaan negeri pakatan pembangkang.

''Tetapi beliau tidak dapat menunaikan janjinya dan hanya membiarkan masyarakat kawasan itu menderita. Akhirnya, hanya BN tampil dengan mekanisme dan cara alternatif baru bagi membantu golongan itu,'' jelasnya.

Katanya, drama Anwar sebagai 'Sivaji' di kalangan masyarakat India tidak akan mendapat sambutan lagi kerana kebanyakannya telah pun sedar mengenai keprihatinan BN terhadap masyarakat di negara ini.

/hwa: utusan.com.my/

Ahli PKR tulis surat terbuka kepada Wan Azizah

UM - 11/11/10

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Krisis pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendorong seorang ahli parti itu menulis surat terbuka kepada Datin Seri Wan Azizah Ismail supaya campur tangan atas kapasitinya sebagai Presiden.

Menggunakan nama Illam Kubong Dagang, beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mesti menghormati kedudukan dan kuasa-kuasa Presiden selain tidak wajar campur tangan dengan keputusan-keputusan yang diambil oleh Wan Azizah.

Beliau yang berasal dari Sarawak dan memegang nombor keahlian Q060000568 berkata, ia kerana budi bicara Presiden memadai untuk membuat keputusan muktamad atas hal-hal pemilihan.

"Sayugia diingatkan, Ketua Umum telah terlibat dalam krisis ini dan banyak pihak meragui peranan beliau dalam proses pemilihan.

"Presiden harus menampilkan kepimpinan yang tegas dan melantik sebuah Jawatankuasa Pemilihan Parti baru dengan mandat penuh untuk menguruskan proses pemilihan secara adil dan bebas," tegasnya.

Dalam surat terbuka itu, Illam Kubong berkata, PKR kini diheret ke ambang krisis yang paling getir dalam sejarah parti itu.

Katanya, krisis itu besar kemungkinan akan menyebabkan PKR berpecah sekali gus menjadikan misi ke Putrajaya sekadar sebuah impian.

"Justeru, saya merayu dari lubuk hati saya kepada Presiden parti yang telah menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini untuk bertindak mengawal keadaan dan menyelamatkan parti.

"Hal-hal pemilihan parti tidak perlu dibincang dan diputuskan oleh Biro Politik kerana ramai ahli dalam Biro Politik mempunyai kepentingan dalam proses dan keputusan pemilihan," katanya.

Surat terbuka Illam Kubong mula tersebar di Internet sejak semalam antaranya melalui blog calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin dan beberapa portal berita pro-pembangkang.

/hwa: utusan.com.my/