25 Februari 2011

Jentera Barisan Nasional Kerdau

DUA pekerja bilik gerakan jentera Barisan Nasional memasang bendera parti itu menjelang hari pilihan raya kecil DUN Kerdau, di Felda Jengka 23, Temerlogh, Pahang, 25 Feb. Hari penamaan calon berlangsung 26 Feb manakala hari pengundian pada 6 Mac. - Utusan/MAHATHIR ALI

Jangan pandang ringan cabaran politik semasa: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan jentera parti Umno supaya tidak memandang ringan cabaran politik semasa.

Presiden Umno itu berkata jentera parti perlu bersikap lebih proaktif dan serius bagi memastikan kejayaan lebih baik buat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Melaka dan DUN Kerdaudi Pahang.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini, beliau berkata adalah penting bagi Umno untuk terus memperkemaskan jentera parti di semua peringkat dan memperbaiki sebarang kelemahan.

Mengenai kedua-dua pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau yang ditetapkan pada 6 Mac ini, Najib berkata jentera parti, termasuk perhubungan negeri dan sayap-sayap parti, telahpun mula memberi tumpuan kepada kerja-kerja memenangi hati dan fikiran pengundi di kedua-dua kawasan berkenaan.

Perdana Menteri yakin Barisan Nasional (BN) akan mendapat majoriti lebih tinggi pada kedua-dua pilihan raya kecil itu berdasarkan trend positif yang ditunjukkan oleh rakyat terhadap Umno pada masa ini.
"Kita ambil maklum bahawa keadaan semasa semakin menjurus kepada keyakinan yang bertambah kepada kerajaan dan BN," katanya. Najib berkata mesyuarat MT hari ini juga menerima laporan hasil kajian pilihan raya kecil DUN Tenang di Johor yang mencapai kejayaan amat memberangsangkan dengan majoriti diperoleh bertambah hampir 50 peratus walaupun
peratus keluar mengundi menunjukkan penurunan.

"Kita percaya majoriti kita sebenarnya mungkin lebih daripada itu sekiranya banjir tidak berlaku dengan secara tiba-tiba," katanya. Pilihan raya kecil DUN Tenang pada bulan lepas menyaksikan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti 3,707 undi, menewaskan calon PAS, Normala Sudirman, berbanding majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum Mac 2008.

Ditanya sama ada trend pada masa ini berpihak kepada BN akan memberi petunjuk positif kepada parti komponen itu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, Najib berkata: "Kita tidak boleh anggap begitu kerana apa yang berlaku akan datang bergantung kepada situasi pada masa akan datang."

/hwa: bharian.com.my | bernama - 25/2/11

Kaum India tak perlu bergantung pada Hindraf: PM

KUALA LUMPUR: Masyarakat India tidak perlu bergantung harap pada pertubuhan haram, Hindraf dalam memperjuangkan nasib mereka kerana kerajaan telah menjaga kepentingan kaum itu dengan sewajarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kaum India seharusnya bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) yang mengambil berat terhadap masa depan dan kepentingan setiap kaum di negara ini.

"Soal kepentingan kaum India kita telah ambil tindakan, maknanya mereka tidak perlu pada Hindraf, mereka hanya perlu pada BN sahaja," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.

Najib berkata beliau mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang supaya pertubuhan itu tidak muncul kembali dan bergerak bebas walaupun ia telah diharamkan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan pertubuhan itu untuk mengadakan perhimpunan tanpa permit di ibu negara, Ahad ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemimpin Hindraf perlu dikenakan tindakan tegas atas dua kesalahan iaitu memperjuangkan sebuah badan yang sudah diharamkan kerajaan dan merancang mengepalai perhimpunan tanpa permit.

/hwa: bharian.com.my | bernama - 25/2/11

Calon Barisan Nasional PRK DUN Merlimau

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kanan) dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dua kiri) menjulang tangan calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau, Roslan Ahmad (tengah) selepas majlis pengumuman calon BN bagi pilihan raya itu, di Merlimau, Melaka. - Utusan AZLI AHAD | um - 23/2/11

Lawatan penuh bermakna – PM


Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor melihat khazanah agung peninggalan Nabi Muhammad SAW semasa melawat muzium Topkapi pada hari terakhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Turki semalam. – BERNAMA


ISTANBUL 24 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan lawatan rasmi tiga harinya ke Turki sebagai sangat bermakna berkata, negara itu sebenarnya inginkan hubungan lebih strategik dengan Malaysia.

“Mereka sudah lama menunggu Perdana Menteri Malaysia melawat Turki, Mereka selalu sebut 28 tahun berlalu belum ada lawatan bilateral,” katanya yang diminta merumuskan hasil lawatannya itu kepada wartawan Malaysia di sini sebelum berlepas ke tanah air.

Sebab itulah, jelas Najib, dalam perbincangannya dengan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan kelmarin telah menghasilkan keputusan konkrit yang akan meletakkan Malaysia-Turki dalam satu bentuk hubungan lebih memberangsangkan.

Menurutnya, antara persetujuan dicapai adalah mewujudkan perjanjian rangka kerja strategik yang bakal menggariskan bidang-bidang berkepentingan bersama supaya hubungan dapat terus dikembangkan.

Perjanjian kedua tambah Perdana Menteri, adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Erdogan bersetuju berkunjung ke Malaysia untuk menandatangani kedua-dua perjanjian itu sebelum akhir tahun ini.

“Keputusan yang kita buat serta-merta ialah menghapuskan keperluan visa antara kedua-dua negara yang memberikan satu isyarat amat kuat bahawa hubungan antara dua negara ini akan lebih mudah jika perjalanan, perhubungan dan pergerakan rakyat dapat dilonjakkan.

“Saya percaya pemansuhan visa ini bukan sahaja dapat meningkatkan bidang pelancongan tetapi juga mengembangkan hubungan antara rakyat,” jelasnya sambil menambah mereka juga bersetuju untuk menganjurkan Minggu Turki dan Minggu Malaysia sebagai promosi pelancongan kedua-dua negara.

Lawatan Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Turut mengiringi ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Selain mengadakan pertemuan dengan Erdogan, beliau turut mengunjungi Presiden Turki, Abdullah Gul. Najib juga mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Turki selain mengambil bahagian dalam persidangan Pergerakan Sedunia Untuk Keadilan, Keamanan dan Kemuliaan Insan anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, International Movement for a Just World (JUST) dan Universiti Baschesehir, Istanbul.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau dapat menyelami hati Erdogan yang mahu melonjakkan perdagangan dua hala kepada AS$5 bilion berbanding AS$1.3 bilion sekarang.

“Ini menggambarkan keazaman Erdogan untuk menggesa sektor swasta kedua-dua negara mencari ruang meningkatkan bidang kerjasama perniagaan dan pelaburan,” katanya.

Ditanya mengapa baru sekarang Turki menunjukkan minat besar untuk mempertingkatkan tahap hubungan dua halanya dengan Malaysia, Perdana Menteri berkata, ia mungkin disebabkan mereka kini dapat melihat prospek Malaysia terutama dari segi ekonomi, yang prestasinya bertambah baik.

Katanya, Turki juga tertarik dengan Malaysia yang kini mempunyai pelan hala tuju yang jelas dari segi Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya.

/hwa: utusan.com.my | um - 24/2/11

Bertindak tegas terhadap Hindraf


Muhyiddin Yassin melakukan gimik perasmian Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia Ke-27 disaksikan Mohamed Khaled Nordin dan Mohamed Mustafa Ishak (kanan) pada majlis perhimpunan khas di Sintok, Kedah, semalam.


KUBANG PASU 24 Feb. - Pemimpin pertubuhan haram, Hindraf perlu dikenakan tindakan tegas atas dua kesalahan iaitu memperjuangkan sebuah badan yang sudah diharamkan kerajaan dan merancang mengepalai perhimpunan tanpa permit.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemimpin pertubuhan itu.

Tegasnya, kerajaan memandang serius perkembangan pertubuhan itu yang sudah diharamkan tetapi masih wujud dan beroperasi.

"Seharusnya mereka yang mengepalai tindakan-tindakan haram mesti diambil tindakan tegas dan itu saya serahkan kepada pihak polis untuk bertindak," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan di Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap Hindraf yang berkemungkinan merancang menimbulkan huru-hara pada perhimpunan tanpa permit, Ahad ini.

Ibrahim berkata, polis perlu mengambil langkah pencegahan berhubung perhimpunan haram itu sebelum sesuatu yang buruk berlaku.

"Sebenarnya Hindraf sudah diharamkan dan sewajarnya jika perkataan itu sendiri masih nak diperjuangkan oleh mana-mana puak sekali pun, ia merupakan satu kesalahan," kata Muhyiddin.

Tambahnya, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan sewajarnya jika ada pihak yang bertindak di luar batas undang-undang dan tidak mengikut peraturan.

"Saya serahkan kepada budi bicara pihak berkuasa keselamatan untuk mengambil tindakan-tindakan tegas," katanya.

Sementara itu, mengulas kekecohan yang berlaku di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam, Timbalan Perdana Menteri menasihati pihak pentadbiran universiti dan pemimpin pelajar berbincang bagi menyelesaikan setiap masalah secara baik.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan perasaan kurang senang dan situasi tidak stabil di kampus universiti itu sekali gus mewujudkan hubungan yang harmoni antara kedua-dua pihak.

"Sebaik-baiknya kalau berlaku (masalah) di universiti, Bahagian Hal Ehwal Pelajar berbincang dengan pemimpin pelajar, selesaikan secara baik. Jangan timbulkan perasaan kurang senang dan tidak stabil di kampus.

"Saya seru kedua-dua pihak, harap ada perbincangan dibuat secara musyawarah untuk kebaikan penuntut dan universiti, maka hal itu (kekecohan) kita boleh elakkan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran mengulas insiden kira-kira 200 mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pintu masuk utama Bangunan Pentadbiran UPM bagi memprotes kononnya tindakan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) membatalkan kemenangan 11 calon promahasiswa dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2010/2011.

Muhyiddin berkata, proses pemilihan pemimpin di kampus adalah perkara biasa untuk memberi ruang dan peluang penuntut memilih pemimpin yang boleh membantu mereka dalam urusan pengajian dan kebajikan.

"Jadi kalau itu (peraturan) dipatuhi, saya tak fikir harus tercetus apa-apa masalah macam yang kita lihat berlaku di UPM.

"Itu kita nak elakkan, ia tidak memberikan gambaran yang baik kalau ada peristiwa sebegitu," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 24/2/11

Malaysia-Turki diiktiraf model negara Islam baik

ISTANBUL 24 Feb. – Malaysia dan Turki mendapat pengiktirafan sebagai model negara Islam yang baik untuk dijadikan ikutan terutama oleh negara Islam lain, yang sebahagiannya kini sedang menghadapi bantahan rakyat.

Ini adalah kesimpulan yang dibuat pada Persidangan Pergerakan Sedunia Untuk Keadilan, Keamanan dan Kemuliaan Insan anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, International Movement for a Just World (Just) dan Universiti Bahceschir, Istanbul.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa diminta mengulas pengiktirafan itu berkata, ia menunjukkan apa yang dilakukan oleh kerajaan termasuk melaksanakan program transformasi mendapat pengiktirafan.

“Ini pada saya merupakan satu pengiktirafan sangat besar bahawa apa yang kita sudah buat di Malaysia mendapat pengiktirafan kerana kita telah berjaya memenuhi jangkaan rakyat dan membuat transformasi kepada negara.

“Dalam konteks Turki pun, mereka lihat demokrasi di Turki ini telah menyebabkan pentadbiran yang lebih berkesan dan lebih baik, terutama sekali dari segi ekonomi dan hak asasi.

“Walaupun ada perbezaan tertentu dari segi cara pentadbiran Malaysia dan Turki tetapi pada umumnya mereka anggap ini dua model yang sangat baik untuk dijadikan ikutan terutama sekali kepada dunia Islam,” katanya pada sidang akhbar di akhir lawatan rasmi tiga hari ke Turki di sini.

Najib terlibat pada persidangan itu dalam sesi Debat Dunia BBC yang mengupas topik peranan Islam sederhana yang dikendalikan oleh wartawan BBC, Zeinab Badawi.

Antara ahli panel lain dalam debat itu yang akan disiarkan pada 5 dan Mac ini ialah Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babacan: Presiden Universiti Paramadina (Indonesia), Anies Baswedan: pensyarah sosiology politik

Universiti Bahceschir, Nilufer Narh dan Naib Presiden Majlis Perniagaan Arab, Khalid Abdulla.

Najib pada sesi itu menekankan pentingnya sistem dalam pentadbiran negara dengan melaksanakan urus tadbir kerajaan yang baik untuk memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.

/hwa: utusan.com.my| um - 25/2/11


A Conversation on Youth: The Future of Humanity

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak (kanan) menyertai rancangan debat stesen penyiaran BBC bersama Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babacan (kiri) yang membincangkan isu 'A Conversation on Youth: The Future of Humanity' di Istanbul, Turki, semalam. - Foto BERNAMA. Feb 24, 2011 9:40 am

Bukti diserah kepada SPRM







Wakil Pemuda UMNO Selangor bersama GAPS membuat laporan kepada SPRM terhadap Menteri Besar Selangor berhubung isu pembiayaan bilik hotel untuk perwakilan PKR ke Kongres PKR 2010, semalam.

SHAH ALAM 24 Feb. - Pergerakan Pemuda UMNO negeri dan Gagasan Antipenyelewengan Selangor (GAPS) hari ini menyerahkan bukti penyelewengan terbaru yang didakwa dilakukan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM80,500 yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri bagi membiayai 100 bilik hotel untuk para perwakilan Kongres PKR di Petaling Jaya pada 26 hingga 28 November tahun lalu.

Dua pertubuhan tersebut juga menyerahkan beberapa dokumen berkaitan sebagai bukti antara lainnya dokumen yang menggunakan kepala surat Perbadanan Menteri Besar (MBI) kepada sebuah hotel, bil, invois dan resit rasmi pembayaran bilik hotel itu.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Engku Salleh Engku Jamal berkata, ini bukan kali pertama penyalahgunaan wang rakyat dilakukan oleh kerajaan negeri bagi tujuan kepentingan parti.

"Kini sekali lagi mereka menggunakan wang rakyat untuk membiayai penginapan perwakilan PKR menerusi MBI yang jelas sebagai satu bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Jadi hari ini kami membuat laporan dan menyerahkan bukti yang ada kepada SPRM agar ia dapat disiasat bagi membolehkan mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum membuat laporan kepada SPRM di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini hari ini.

Engku Salleh mendakwa penyelewengan itu dilakukan tanpa rasa bersalah oleh pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Sebelum ini harta rakyat telah difaraidkan kepada penyamun-penyamun pasir dalam isu skandal pasir negeri dan kemudian ratusan ribu ringgit lagi dibelanjakan untuk membela Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang kini berdepan dengan dakwaan menghasut," katanya.

Menurutnya, Pemuda UMNO dan GAPS kesal dengan tindakan Abdul Khalid yang membenarkan wang rakyat digunakan untuk kepentingan parti.

Sehubungan itu beliau menggesa, Abdul Khalid dan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan segera atas kegagalan mereka menunaikan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

Tambah beliau, Pemuda UMNO dan GAPS akan terus mendedahkan penyelewengan yang dilakukan kerajaan PKR negeri agar rakyat boleh menilai dan tidak tertipu dengan janji manis mereka sebelum ini.

Ditanya bagaimana Pemuda UMNO dan GAPS memperoleh bukti-bukti tersebut, Engku Salleh berkata, dokumen-dokumen tersebut dihantar oleh orang tidak dikenali ke pejabat mereka.

Selepas sidang akhbar, Engku Salleh dan Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin serta beberapa anggota pertubuhan tersebut kemudian menaiki lif menuju pejabat SPRM yang terletak di tingkat 7 wisma berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

/hwa: utusan.com.my | um - 23/2/11

KPI Anwar ulang-alik ke luar negara

UM - 25/2/11

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat Ekonomi Selangor mungkin boleh diukur melalui kekerapan beliau berulang-alik ke luar negara.

Mengungkapkan perkara itu secara sindiran, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, tindakan Penasihat PKR itu telah menepati tugasnya yang mungkin membawa pulang wang berbilion ringgit secara rahsia untuk Selangor.

Katanya, ia sekali gus bertepatan dengan KPI umum parti itu yang bersifat kerahsiaan dan tidak telus serta berubah-ubah mengikut kehendak ketuanya.

"Cabaran Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong kepada PKR untuk menetapkan KPI tertentu terhadap Anwar adalah wajar memandangkan selama ini tidak pernah didedahkan hatta dibincangkan dalam kongres parti.

"Ahli parti hanya menerimanya bulat-bulat dan tidak boleh dipersoalkan, sekiranya berbuat demikian mereka akan disingkirkan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain KPI sebagai pemimpin, Choo Keong turut mencabar Anwar menjalani proses KPI sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Ini berikutan KPI yang dilaksanakan dalam PKR bersifat tidak telus dan penuh kerahsiaan hingga satu peringkat keputusannya boleh berubah mengikut kehendak Penasihatnya.

Sehubungan itu, Anuar berkata, sudah tiba masanya rakyat termasuk ahli PKR menilai sendiri kredibiliti parti itu berdasarkan bukti-bukti yang didedahkan.

"Pelantikan Anwar sebagai Ketua Umum tanpa proses pemilihan sepatutnya boleh dipersoalkan, bagaimana seseorang yang tidak ada jawatan dalam parti boleh menjadi ketua.

"Terlalu banyak kepincangan dalam PKR tetapi tidak pernah diambil peduli oleh pemimpinnya sekiranya disuarakan oleh ahli,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, PKR tidak faham maksud sebenar KPI yang perlu diketahui umum sebagai salah satu cara untuk meningkatkan prestasi kerja dan mengatasi masalah.

/hwa: utusan.com.my/

Risalah perkauman: Perkasa Melaka buat laporan polis

UM - 25/2/11

JASIN 24 Feb. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Melaka hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran satu risalah berbaur perkauman menggunakan lambang pertubuhan itu yang diedarkan di sekitar taman-taman perumahan di Merlimau.

Laporan polis tersebut dibuat oleh Yang Dipertuanya, Abd. Rahim Osman, 50, di Balai Polis Merlimau kira-kira pukul 1 petang ini.

Menurut Abd. Rahim, pihaknya terpaksa membuat laporan polis ekoran tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan risalah yang mengandungi Artikel 153 Perlembagaan Malaysia dan tertera ayat 'Cina khianat negara.'

"Pengedaran ini adalah satu fitnah. Perkasa Melaka tidak pernah mengeluarkan apa-apa risalah yang berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Risalah yang diedarkan di lima taman perumahan di sekitar Merlimau sebenarnya cuba memburuk-burukkan nama Perkasa dan membangkitkan kemarahan orang Cina.

"Perkasa Melaka terpaksa membuat laporan polis kerana risalah yang diedarkan berbaur perkauman dengan menggunakan lambang Perkasa," katanya selepas membuat laporan hari ini.

Menurutnya, ahli Perkasa mengesan risalah tersebut diedarkan di Taman Muhibbah, Taman Merlimau Baru, Taman Debunga, Taman Seri Merlimau dan Taman Deretan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Sehubungan itu, Abd. Rahim mendesak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan risalah berbaur perkauman.

"Polis perlu mengambil langkah pencegahan kerana pengedaran risalah sebenarnya cuba menghuru-harakan perjalanan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac depan," tegasnya.

Beliau tidak menafikan risalah yang diedarkan di sekitar taman-taman perumahan di Merlimau itu dilakukan oleh pihak yang mungkin terlibat dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Di Merlimau, katanya, Perkasa tidak pernah berkempen untuk mana-mana parti politik sebaliknya ceramah yang diadakan di sini dua hari lalu lebih memperkatakan mengenai orang Melayu semata-mata.

Menurutnya, Perkasa, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak pernah menafikan sumbangan penting kaum Cina dalam pembangunan negara.

"Perkasa tidak pernah mengajak ahlinya untuk bersifat perkauman dan cukup jelas risalah ini bertujuan menghasut pengundi Cina supaya membenci Barisan Nasional (BN)," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Penyertaan Tee Beng beri semangat - Zaid

UM - 25/2/11

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Penyertaan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dalam Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dianggap sebagai satu suntikan semangat kepada parti itu untuk meneruskan perjuangan.

Pengasasnya, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana percaya dengan kredibiliti Tee Beng.

"Ini bermaksud, KITA sudah ada suara di Parlimen dan satu petanda positif kepada parti yang baru sahaja ditubuhkan ini.

"Tambahan pula, beliau seorang ahli politik yang masih muda dan mampu berkhidmat kepada rakyat dengan baik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya adakah kemasukan Tee Beng itu merupakan satu petanda awal kepada partinya akan menjadi alternatif kepada pembangkang, Zahid berkata:

"Saya melihat kami mempunyai ruang untuk mengisi kekosongan ekoran pengaruh PKR yang semakin merosot apatah lagi ketika ini mereka hanya bergantung kepada Pas sahaja.

"Lebih penting lagi, KITA akan menawarkan cara berpolitik baru untuk kebaikan rakyat, bukannya meneruskan budaya hentam-menghentam dan menabur fitnah".

Dalam pada itu, Tee Beng ketika dihubungi berkata, keputusannya menyertai KITA membolehkan karier politiknya diteruskan dan percaya akan dapat membentuk satu pasukan yang mantap bersama Zaid.

"Keputusan ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak malah ia merupakan satu platform baru untuk saya berpolitik. Saya sudah bosan dengan budaya politik fitnah-memfitnah yang diamalkan oleh pihak tertentu," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tuduhan Nik Aziz amat serius - Dr. Mahathir

UM - 25/2/11

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, teguran yang dibuat oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap beliau merupakan satu tuduhan yang amat serius seolah-olah menidakkan keislamannya.

Bekas Perdana Menteri itu juga berpendapat tindakan Nik Abdul Aziz membandingkan teguran yang dibuatnya dengan teguran malaikat kepada Nabi Muhammad SAW adalah tidak boleh diterima.

"Beliau membandingkan dirinya dengan malaikat yang menegur nabi. Saya bukan nabi dan Nik Aziz bukan malaikat. Nik Aziz dan saya hanya manusia biasa dan ahli politik. Teguran ahli politik kerana kepentingan politiknya tidak sama dengan teguran malaikat.

"Lagipun teguran Nik Aziz menidakkan keislaman saya, satu teguran yang amat serius.

"Apakah ada orang Islam yang tidak melenting jika sesiapa mengkafirkannya? Apakah Nik Aziz tidak akan melenting jika saya kata dia sudah kafir? Belum saya kata itu pun Nik Aziz sudah melenting," katanya di dalam blog http://chedet.co.cc.

Entri terbaru Dr. Mahathir itu bagi menjawab kenyataan Nik Abdul Aziz dalam Utusan Malaysia pada 18 Februari lalu yang meminta bukti bahawa beliau pernah mengkafirkan orang UMNO.

Bekas Perdana Menteri itu turut menjawab dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa beliau menganggap agama Islam hanya berkaitan sembahyang, puasa, nikah kahwin dan tengok anak bulan semata-mata.

"Memang pun bagi saya semua ini adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam. Apa dianya yang saya tolak berkenaan agama dengan menjadi seorang nasionalis? Ini tidak diterangkan.

"Tetapi sebelumnya dia mendakwa 'sokong Pas ertinya sokong Islam'. Kita jadi Islam setelah mengucap dua kalimah syahadah. Apakah Nik Aziz berpendapat hanya setelah mengucap 'sokong Pas' baru jadi Islam dan sebelum itu kafir? Ini juga bermakna Nik Aziz mengkafirkan saya," katanya.

Dr. Mahathir berkata, tindakan Nik Abdul Aziz dan Pas memperkenalkan Islam kepada DAP sebelum ini juga adalah bukti menunjukkan bahawa parti itu telah dipengaruhi oleh DAP.

"Lihat sahaja tindakan biadab terhadap Sultan dan Raja Muda Perak oleh ahli Pas, berguling-guling atas jalan menghalang kereta raja. Sebelum berbaik dengan DAP, ahli Pas lebih berpegang kepada budaya Melayu.

"Kerana mahu sokong DAP, ahli Pas mengetepikan kemelayuan mereka. Dan sekarang tuntutan untuk mendirikan negara Islam pun sudah tidak didengari lagi," katanya.

Beliau berkata, apabila Lee Kuan Yew menyarankan supaya orang Islam di Singapura melonggarkan pegangan agama mereka, Nik Abdul Aziz tidak menolaknya kerana menganggap cadangan itu tidak seburuk nasionalisme orang Islam dalam UMNO.

"Sekarang Nik Aziz mahu Melayu diutamakan kerana mereka masyarakat majoriti di negara ini. Bukan masalah orang Melayu yang menyebabkan beliau mengubah pendirian terhadap bangsanya tetapi kerana Melayu menjadi majoriti dan dia memerlukan undi orang Melayu, tidak lebih daripada itu.

"Jadi kenalilah Nik Aziz, orang yang utamakan hanya undi orang Melayu, bukan keprihatinan terhadap masalah hidup mereka," tegasnya lagi.

/hwa: utusan.com.my/

Roslan mula serasi jumpa rakyat

UM - 25/2/11


ROSLAN AHMAD

JASIN 24 Feb. - Setiap pagi kebiasaannya, Roslan Ahmad, 44, sudah berada di pejabatnya di Perbadanan Melaka Holdings Sdn. Bhd. di Kota Cemerlang, Ayer Keroh.

Namun, mulai hari ini, perwatakan Roslan yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin berubah sekelip mata selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau 6 Mac ini.

Pakaian dulunya kasual kini sudah beralih ke pakaian baju putih tertera lambang Barisan Nasional (BN) dan bersongkok, selain wajahnya yang dulunya agak serius tetapi berubah dengan terukir wajah gembira.

Kira-kira pukul 8 pagi, beliau bersama ibunya, Datin Ramlah Jaafar, 76, serta empat kakaknya menziarahi dan membaca surah Yasin di pusara bapanya, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin di Tanah Perkuburan Islam Merlimau di sini.

Arwah bapanya merupakan bekas Ahli Parlimen Jasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai.

"Menziarahi pusara arwah ayah memang sudah menjadi kebiasaan saya serta ibu dan kakak-kakak yang lain.

"Saya memohon berkat agar saya dapat menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan sebagai wakil rakyat di Merlimau," ujarnya ringkas ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Merlimau di sini hari ini.

Sejurus selepas itu, Roslan berkunjung ke bilik gerakan BN sebelum berkenalan dengan semua warga jentera pilihan raya di situ.

Selepas itu, beliau dibawa oleh jentera NGO berkunjung ke beberapa buah rumah di Kampung Permatang Bukit dan Kampung Solok Telok sambil menyerahkan bantuan kerusi roda kepada warga emas yang tidak dapat berjalan.

Gelagat Roslan nyata nampak kekok pada awalnya apabila bersalaman dengan penduduk sambil memperkenalkan dirinya sebagai calon BN yang bertanding di pilihan raya kecil DUN Merlimau.

"Hidup saya rasa lain daripada yang lain. Rutin hari ini cukup berbeza daripada kebiasaannya. Kali ini saya mula menjelajah dari kampung ke kampung bertemu masyarakat daripada pelbagai kaum.

"Ini tugas baru saya dan agak kekok juga pada awalnya tetapi sudah semakin serasi," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

24 Februari 2011

Roslan Ahmad calon BN di Merlimau

UM - 24/2/11


Muhyiddin Yassin bersama pemimpin parti komponen BN mengangkat tangan calon Roslan Ahmad (tiga dari kiri) pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau di Jasin, Melaka, semalam.


JASIN 23 Feb. – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad hari ini diumumkan sebagai calon untuk menggalas cabaran Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, 6 Mac ini.

Pemilihan Roslan, 44, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan BN Common Center di pekan Merlimau di sini.

Roslan merupakan anak kepada bekas Ahli Parlimen Jasin, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin dan anak saudara kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Pengumuman beliau disambut dengan sorakan oleh kira-kira 2,000 penyokong parti komponen BN dan masyarakat Merlimau yang hadir.

Turut hadir pada majlis pengumuman tersebut ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas.

Pada sidang akhbar selepas pengumuman itu, Muhyiddin melahirkan keyakinan terhadap pemilihan Roslan sebagai calon BN dan menyifatkan keputusan itu sebagai tepat kerana Roslan adalah calon yang bersih dan dapat diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat di Merlimau.

“Proses saringan calon dibuat banyak kali oleh saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kami dapati Roslan adalah calon yang paling sesuai.

“Beliau (Roslan) ada rekod, ada pengalaman, biasa jadi pemimpin di sini dan begitu dikenali. Kami harap pengundi di Merlimau berpuas hati dengan calon yang dipilih.

“Saya amat berharap pengundi di Merlimau dapat memberi sokongan yang kuat kepada Roslan untuk menjadi wakil rakyat dan memastikan BN memenangi kerusi ini,” katanya.

Muhyiddin juga percaya penampilan Roslan dengan dibantu oleh jentera BN negeri yang diterajui oleh Mohd. Ali bukan sahaja membolehkan BN menang tetapi lebih penting meraih majoriti undi yang lebih besar.

Beliau turut menolak andaian bahawa pemilihan Roslan adalah berdasarkan legasi kepimpinan bapa serta bapa saudaranya.

“Perkara paling penting yang kita lihat ialah keperibadian dan kebolehan Roslan sendiri. Beliau adalah calon paling berpotensi untuk menang,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, BN mampu mempertahankan kerusi DUN Merlimau bersandarkan kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Parlimen Batu Sapi, Parlimen Hulu Selangor dan terbaru di DUN Tenang.

Katanya, kemenangan itu dibantu oleh kesedaran orang Melayu, Cina dan India yang dapat menerima dengan positif dasar-dasar yang dibawa oleh kerajaan.

“Ia membawa impak positif apatah lagi situasi ekonomi yang bertambah rancak memperlihatkan sokongan masyarakat pelbagai kaum terhadap kepimpinan BN menerajui negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Muhyiddin tidak menolak Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau akan turut memihak kepada BN selain bakal mencatat majoriti undi yang lebih besar.

Beliau seterusnya mengingatkan semua pemimpin dan ahli BN supaya jangan terlalu yakin akan menang serta memandang remah calon pembangkang walaupun DUN Merlimau dilihat cukup selesa buat BN.

/hwa: utusan.com.my/

23 Februari 2011

Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau

NAIB Ketua Bahagian UMNO Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad dijulang oleh para penyokongnya selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau 6 Mac ini. Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri di Dataran Seri Ketimbit, Kerdau, Temerloh, 22 Feb. - Utusan/MAHATHIR ALI

Syed Ibrahim calon BN DUN Kerdau

UM - 23/2/11

TEMERLOH 22 Feb. – Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Sri Ketumbit, Kerdau dekat sini hari ini.

Pengumuman tersebut disambut sorakan kira-kira 5,000 penyokong BN yang hadir di dataran tersebut.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau dan para pemimpin parti komponen.

Dalam ucapannya, Muhyiddin yakin Syed Ibrahim mampu memberi kemenangan kepada BN pada pilihan raya tersebut berdasarkan kepada pengalaman dan keyakinan pengundi terhadapnya.

Tegas beliau, pemilihan Syed Ibrahim dibuat selepas melalui proses pemilihan yang ketat apabila disaring berkali-kali oleh pucuk pimpinan parti.

“Saya yakin ini adalah calon terbaik. Memang kita janjikan kepada pengundi bahawa kita akan letak calon terbaik. Calon yang diterima oleh semua.

“Calon ini kita anggap sebagai ‘most winnable candidate’ (calon paling berpotensi menang),” katanya.

Selain mempunyai sifat mesra rakyat, Muhyiddin memberitahu, Syed Ibrahim yang merupakan lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan dan parti.

Sehubungan itu, beliau berharap semua ahli BN dan jentera parti memberi sokongan padu kepada calon tersebut.

“Terimalah dengan ikhlas dengan semangat perpaduan,” katanya.

Dengan pemilihan tersebut, beliau berharap BN dapat mencapai majoriti yang lebih besar berbanding yang diraih pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) iaitu sebanyak 1,615 undi.

Syed Ibrahim ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memilihnya sebagai calon Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau.

Beliau berjanji akan membela nasib rakyat dan berkhidmat dengan penuh dedikasi jika dipilih sebagai wakil rakyat DUN tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada penyokong BN kerana memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Syed Ibrahim, 44, atau dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Ustaz Syed Ibra merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Pahang.

/hwa: utusan.com.my/

Jangan terlalu yakin di Kerdau - TPM

UM - 23/2/11


Muhyiddin Yassin bersama Adnan Yaakob mengangkat tangan calon pilihan BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad (tengah) pada majlis pengumuman calon BN bagi DUN Kerdau di Dataran Seri Ketimbit, Kerdau, Temerloh, Pahang, semalam. Turut sama kesemua pemimpin parti komponan BN.


TEMERLOH 22 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) supaya jangan terlalu yakin akan menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, jentera BN tidak boleh memandang rendah keupayaan parti lawan yang mungkin mampu menewaskan BN pada pilihan raya kecil itu.

''Dari segi perkiraan kasar, kira-kira 40 peratus pengundi di Kerdau merupakan ahli UMNO dan jika semua ahli parti keluar mengundi, BN sudah boleh menang.

''Jangan terlalu yakin untuk mencapai kemenangan walaupun mempunyai faktor yang boleh membawa kemenangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon BN di Dataran Seri Ketumbit, Kerdau di sini hari ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dipilih mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau yang akan berlangsung 6 Mac ini.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan para pemimpin parti komponen BN.

Kerusi DUN Kerdau kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, akibat penyakit jantung pada 12 Februari lalu.

Zaharuddin meninggal dunia selepas terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di rumahnya di Kerdau.

Pada pilihan raya umum lalu, Zaharuddin menewaskan calon Pas, Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Allahyarham memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN menegaskan, meskipun kepimpinan Perdana Menteri semakin diterima, BN tidak seharusnya mengambil sikap sambil lewa terhadap rakyat.

"Pengundi ialah 'raja' jadi kita perlu layan kehendak mereka dengan sebaik-baiknya," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang disampaikan oleh parti pembangkang terutama Pas.

Pembangkang jelasnya, tidak mempunyai sebarang agenda pembangunan sebaliknya hanya memutarbelitkan fakta sehingga menyebabkan rakyat terkeliru.

/hwa: utusan.com.my/

Pluralisme bertentangan akidah Islam

UM - 23/2/11

KUALA TERENGGANU 22 Feb. - Fahaman pluralisme tidak sepatutnya wujud dalam kalangan umat Islam kerana ia sangat bertentangan dengan ajaran serta akidah umat Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berpendapat, Islam melarang sama sekali umatnya mengamalkan fahaman seumpama itu dan ia tidak boleh dicampuradukkan dengan ajaran agama suci itu.

Beliau seterusnya menegaskan, larangan itu tidak terbatas kepada sesiapa saja atau mereka yang mendukung fahaman tersebut, tidak terkecuali Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun beliau sendiri.

"Setakat ini saya belum terima penjelasan lagi mengenai dakwaan yang mengaitkan Anwar sebagai pendukung fahaman itu di negara ini, saya belum lagi terima laporan mengenainya.

"Tetapi sekiranya benar dakwaan itu, tak kira siapa mereka, Anwar ke ataupun saya sendiri sekalipun, ia sudah tak betul," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu fahaman pluralisme iaitu menyamakan kedudukan Islam dengan agama lain yang disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa tokoh agama mengenai ancaman fahaman tersebut.

Kenyataan Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu itu merupakan reaksi pertama pimpinan peringkat tertinggi Pas secara tegas dan terbuka berhubung isu tersebut.

Beberapa pihak di luar parti itu sebelum ini mempersoalkan pendirian mereka walaupun didesak banyak pihak setelah agak lama membisu dalam persoalan pluralisme yang dikatakan cuba dibawa oleh Anwar.

Perdana Menteri sewaktu merasmikan Multaqa Guru Takmir Seluruh Malaysia minggu lalu mengingatkan seluruh rakyat agar berwaspada dengan fahaman pluralisme kerana ia merupakan ancaman baru kepada umat Islam di negara ini.

Namun peringatan Perdana Menteri itu diperlekehkan Anwar dengan menuduh kerajaan berpura-pura dalam menghadapi ancaman pluralisme agama dan menggunakan media arus perdana untuk mengutuk fahaman berkenaan.

Menurut Harun, segalanya sudah dijelaskan di dalam al-Quran yang menegaskan bahawa hanya Islam satu-satunya agama di sisi Allah.

"Malah ada ayat al-Quran yang maksudnya bahawa orang yang menganut agama selain Islam, Allah tidak akan terima mereka di akhirat.

"Ini bermakna, al-Quran cukup jelas dan nyata. Saya sendiri pun berpandukan al-Quran," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tolak politik kosong - Ahmad Maslan

UM - 23/2/11

KUALA KRAU 22 Feb. - Peneroka Felda perlu menolak 'politik kosong' yang dimainkan oleh pihak pembangkang bertujuan menghakis kepercayaan rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menegaskan, sudah menjadi kebiasaan bagi pihak pembangkang untuk mencari isu yang dapat menarik sokongan warga Felda terhadap parti tersebut.

Katanya, bukan sesuatu yang menghairankan sejak berakhir Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, pembangkang sering menimbulkan pelbagai isu untuk membangkitkan keresahan masyarakat peneroka Felda sehingga kini.

"Politik adu domba dan menjaja segala isu kepada warga Felda menjadi mainan politik sempit mereka demi mencapai cita-cita bertapak di tanah rancangan Felda.

"Masyarakat peneroka perlu berwaspada supaya tidak mudah terpedaya dengan hasutan dan tohmahan pihak pembangkang yang menafikan jasa Felda dan kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis bersama masyarakat Felda Jengka 25 dekat sini semalam.

Menurut Ahmad, pertemuan dengan masyarakat peneroka di tiga tanah rancangan di situ mendapat reaksi positif tentang usaha yang dilakukan kerajaan terhadap golongan itu.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda memastikan keperluan golongan itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh jelasnya, kemudahan asas dan prasarana setempat yang diperlukan seperti pondok bas, pencawang telefon, kemudahan sekolah, jalan raya dan lain-lain akan disediakan oleh kerajaan.

"Semua suara hati warga Felda sentiasa mendapat perhatian agensi itu kerana telah menjadi tanggungjawab kerajaan yang mengutamakan rakyat menyediakan kemudahan bertaraf dunia," katanya.

Beliau menambah, kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek pendidikan, sosial, ibadah dan keusahawanan supaya masyarakat itu dapat menjalani kehidupan dengan selesa.

/hwa: utusan.com.my/