13 September 2011
Keluarga Tunku gesa Mat Sabu mohon maaf
Anak saudara Tunku, Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya, berkata tindakan pemimpin PAS itu mempertikaikan perjuangan Tunku Abdul Rahman dalam sejarah kemerdekaan negara mengguris hati seluruh anggota keluarga Almarhum.
"Mat Sabu (Mohamad) tidak perlu mempertikaikan hasil usaha Tunku Abdul Rahman kerana dia sepatutnya bersyukur dapat tinggal di negara yang aman ini dan jangan cuba ubah fakta dan putar belitkan sejarah negara ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu mencetuskan kontroversi apabila dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu menafikan peranan Tunku dalam membebaskan negara daripada penjajahan British.
Berdasarkan rakaman video ceramah itu yang petikannya disebarkan menerusi internet, antara lain Mat Sabu berkata: "...sejarah kemerdekaan kita tak kena tuan-tuan sekalian, sebab itu kita tengok pegawai British jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi jahat. Siapa pegawai British? Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman...itu pegawai British...hak lawan British hak tu pula jadi pengganas."
Mengulas lanjut, Tengku Zainol Rashid berkata dalam usaha memerdekakan negara, Almarhum Tunku serta beberapa pemimpin lagi mengambil risiko berbincang dengan komunis di Baling, Kedah serta ke London untuk menuntut kemerdekaan negara.
"Kepetahan dan kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman dalam berkata-kata berjaya meyakinkan pihak British untuk menyerahkan negara ini kepada kita serta memberi kemerdekaan sepenuhnya kepada Tanah Melayu dan nikmat kemerdekaan itu kita kecapi sehingga hari ini.
Beliau juga membidas Mohamad yang sanggup melakukan apa saja demi kepentingan politik.
"Anggota politik di negara ini tidak perlu memainkan isu seperti ini untuk kepentingan sesebuah parti politik semata-mata sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan terhadap rakyat. Saya berharap isu ini tidak akan timbul lagi pada masa akan datang," katanya.
Beliau juga mahu kerajaan mengambil tindakan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu bagi dijadikan pengajaran kepada orang lain dan mengelak perkara sama berulang. - BERNAMA.
Jerat dan perdaya Komunis
Dari sudut ekonomi pula, komunis anti pemilikan individu dan menganggap semua kekayaan adalah milik negara sepenuhnya. Manakala, dari sudut akidah, komunis adalah fahaman yang bersifat atheism atau tidak mempercayai Tuhan.
Fahaman yang diasaskan oleh Karl Marx (1818- 1883) ini menganggap realiti kehidupan dan budaya sebagai wujud dialektika. Ia bermaksud sejarah masyarakat adalah manifestasi perjuangan atau pertarungan kelas (class struggle). Asas perjuangan kelas yang tonjolkan dalam teori Marx ini adalah disebabkan beliau mempercayai bahawa kehidupan ditentukan sepenuhnya oleh material (benda).
Bertolak dari premis inilah Marx menyatakan interaksi manusia adalah berasaskan kepada aktiviti ekonomi (benda) semata-mata. Bagi Marx serta pendukungnya menganggap ‘kesamaan ekonomi’ (economy equality) adalah tujuan utama yang mesti dicapai dalam masyarakat. Ia hanya boleh dicapai sekiranya ditegakkan kerajaan komunis.
Jelaslah bahawa akidah komunisme adalah akidah kebendaan, iaitu sesuatu yang bercanggah dengan akidah Islam yang menekankan aspek tauhid adalah asas kepada hakikat kehidupan sebenar. Doktrin Marx tentang moral dan agama menyebut bahawa nasib manusia sepenuhnya di tangannya sendiri, bukan di tangan Tuhan. Justeru, dalam ajaran komunisme tidak ada konsep ‘eskatologi’ atau kepercayaan kepada hari kemudian (hari akhirat).
Komunis menganggap mereka yang percaya kepada Tuhan adalah berada dalam khayalan dan ia tidak lebih sebagai satu pelarian dan impian untuk lari daripada penderitaan hidup. Komunis menganggap agama adalah candu bagi rakyat.
Seperti yang disebut awal rencana ini bahawa Marx menggunakan teori ‘pertentangan kelas’ (dialektika) di mana dalam masyarakat wujud dua kelas utama iaitu ‘bourjois’ (kaum kapitalis yang berkuasa) dan ‘proletar’ (golongan buruh) yang tertindas. Untuk mengubahnya maka Marx menyeru kepada revolusi.
Di antara revolusi penting yang mengangkat komunisme sebagai ideologi politik antarabangsa ialah Revolusi Bolsheviks pimpinan Lenin pada 17 Oktober 1917.
Revolusi ini berjaya menumbangkan kekaisaran Russia dan membunuh semua musuhnya termasuk kaum beragama. Pada permulaan kebangkitan Bolshevik mereka mengajak kaum Muslimin di Russia untuk bersama-sama menentang ‘Tzar’ (raja) yang zalim. Mereka membuat janji manis untuk membela nasib kaum Muslimin.
Untuk menawan hati umat Islam di Russia ketika itu maka mereka turut menggunakan ayat-ayat al-Quran tentang tanggungjawab menegakkan keadilan dan kesamarataan. Namun, setelah kaum sosialis itu berjaya dan menubuhkan negara komunis di Russia maka mereka mula merancang menindas dan menghapuskan umat Islam. Mereka mendesak kaum Muslimin untuk memilih sama ada menjadi komunis atau dibunuh.
Pada Februari 1918, mereka memusnahkan pemerintah Turkistan yang beragama Islam. Tindakan jahat mereka itu mengorbankan 800,000 umat Islam. Apabila bangkit pemberontakan Bamachi di kalangan orang Islam, maka komunis terus memerangi umat Islam selama 13 tahun (1921-1934). Pada 1931 mereka berjaya menangkap dan membunuh pahlawan Islam bernama Ibrahim Beg.
Hakikatnya, mereka ialah satu kaum yang amat suka berdusta dan mengkhianati janji. Mereka juga berdusta dalam soal pengagihan kekayaan.
Perjuangan mereka untuk menegakkan keadilan ekonomi dengan meruntuhkan kapitalisme dan kerajaan bukan komunis adalah pembohongan semata-mata. Benarkah mereka menentang kapitalisme untuk menegakkan keadilan ekonomi?
Jawapannya tidak. Buktinya mereka tidak pernah menentang secara serius konsep dan amalan ‘riba’ yang ditentang Islam. Malah, dalam realiti sejarahnya pemodal-pemodal dan penguasa bank-bank antarabangsa yang kaya raya telah banyak membantu pergerakan sosialisme yang menjadi asas kepada pembentukan kerajaan komunisme. Perlu difahami bahawa masyarakat sosialis adalah tahap pertama sebelum masyarakat komunis sebenar dibentuk.
Dalam Revolusi Bolshevik, orang-orang kaya telah membiayai gerakan sosialisme yang kononnya untuk merampas harta kekayaan pemodal-pemodal yang menindas tetapi apa yang berlaku ialah mereka akhirnya menjadi orang yang menguasai kekayaan di bawah sistem komunis. Di mana-mana negara komunis, golongan yang hidup mewah dan penuh kesenangan ialah golongan pemimpinnya.
Di tanah air kita, Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada 1930 atas arahan Komunis Antarabangsa (Comintern) telah melakukan revolusi bersenjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Perjuangan bersenjata mereka itu menyebabkan negara diisytiharkan darurat (1948-1960).
Bentuk penentangan yang dilakukan komunis melalui serangan hendap serta menggunakan kaedah perangkap samar telah mengorbankan banyak nyawa dan kecederaan serta kecacatan kekal di kalangan anggota keselamatan dan orang awam. Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan di estet seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.
Tidak sedikit penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang dialami rakyat akibat kekejaman komunis itu. Seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang (Manja Mohd. Ludin, 1990).
Sebenarnya terlalu banyak kekejaman dan kejahatan yang dilakukan komunis di tanah air kita yang membabitkan anggota keselamatan dan orang awam yang tidak berdosa. Di antaranya ialah:
* Pada 13 Disember 1948 pengganas komunis membakar bangunan anak-anak yatim di Serendah, Selangor membunuh seorang pengawas di rumah kebajikan itu.
* Pada 5 Julai 1949 pengganas komunis melemparkan sebutir bom ke arah orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan sarkas di Kampar, Perak. Empat orang terbunuh dan 46 orang cedera termasuk kanak-kanak dan wanita sedang mengandung.
* Pada 12 Ogos 1949 pengganas memasuki rumah para buruh di Ladang Jany, Selangor dan merompak wang tunai dan barang-barang kemas. Sebenarnya terlalu banyak tindakan komunis menceroboh, merompak dan membakar rumah pekerja.
* Pada 21 Sept 1949 pengganas komunis di daerah Plentong, Johor Bahru melemparkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ke dalam api yang sedang marak menyala. Komunis turut membunuh kaum keluarga kanak-kanak malang itu.
* Pada 4 Februari 1950 pengganas komunis membakar kampung di Simpang Tiga, Perak mengakibatkan 1,000 orang kehilangan rumah.
* Pada 23 Februari 1950 Komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong, di Hulu Sungai Muar secara serangan hendap menyebabkan 25 jiwa terkorban (19 orang anggota polis, 2 orang isteri dan 2 anak anggota polis serta orang awam).
* Pada 27 Februari 1951 serangan bom tangan di panggung wayang Wah Lok, Sungai Siput mengakibatkan tiga orang mati dan 13 cedera.
* Pada 7 Oktober 1951 Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney mati ditembak dalam serangan hendap oleh pengganas komunis di Batu 56 ½, Jalan Kuala Kubu Bharu (Bukit Fraser).
* Pada 21 Februari 1952, sebuah kenderaan polis diserang hendap di kawasan Taiping, Perak. Lima anggota polis cedera parah.
* Pada 18 Oktober 1954, Balai Polis Chua Seng di Pontian, Johor musnah dibakar komunis. Empat anggota polis terkorban dan tujuh lagi cedera parah.
* Pada 9 Mac 1955, empat orang asli dibunuh oleh pengganas komunis di Sungai Landor, Ipoh.
* Pada 7 Jun 1974 komunis menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Kuala Lumpur.
* Pada 26 Ogos 1975 Tugu Negara dibom komunis. Kejadian pada jam 5 pagi itu telah memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung.
* Pada 13 November 1975, Komunis menembak mati Ketua Polis Negeri Perak Tan Sri Khoo Chong Kong di Ipoh.
Daripada kronologi peristiwa kedurjanaan komunis itu menunjukkan bahawa walaupun negara telah diberi kemerdekaan oleh British, tetapi mereka tetap melakukan onar di sekitar 1960an dan 1970an. Jika benar mereka berjuang untuk kemerdekaan, sepatutnya mereka memberhentikan segala kejahatan dan membubarkan perjuangan mereka.
Namun, oleh kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan kerajaan komunis di negara ini maka mereka tetap meneruskan keganasan mereka.
Apa pun kita bersyukur kerana segala rancangan jahat mereka berjaya disekat oleh kerajaan dengan menggunakan Akta Darurat 1948. Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989. Namun, Chin Peng (Ong Boon Hwa) dalam bukunya My Side Story tetap menyatakan kebanggaannya terhadap ideologi tersebut.
Yang menyedihkan kita ialah hari ini terdapat di kalangan pemimpin Pas sendiri mula menimbulkan keraguan di kalangan rakyat dengan mengangkat tokoh-tokoh yang berpakat atau menggabungkan perjuangannya dengan komunis sebagai hero. Sepatutnya analisis sejarah kita harus melihat perkara pokok yang lebih besar, iaitu impak perjuangan komunis terhadap tanah air sekiranya PKM berjaya dalam perjuangan bersenjata mereka.
Cuba kita bayang dan fikirkan seandainya perjuangan komunis di Tanah Melayu itu berjaya, maka kita sebenarnya akan dikuasai dan dijajah oleh ideologi komunis yang anti agama dan anti demokrasi. Saya yakin, keadaan yang serupa akan berlaku seperti mana yang berlaku di Russia selepas Revolusi Bolshevik. Aktivis -aktivis kiri Melayu yang mendukung atau berpakat dengan komunis itu pasti akan diperdayakan seperti mana komunis memperdayakan umat Islam di Russia.
Kesimpulan, perjuangan PKM bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana tujuan mereka adalah menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu. Orang Melayu dan bukan Melayu yang waras harus sedar bahawa ia pada hakikatnya merupakan satu bentuk penjajahan baru yang tidak dapat diterima sama sekali.
PENULIS ialah ketua Unit Penerbita, di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
/hwa: utusan.com.my | 13/9/11
Mat Sabu, Bukit Kepong dan DAP
SEPERTI rakyat Malaysia lain yang tidak buta sejarah negaranya, Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim walaupun berada dalam parti pembangkang, mempunyai sebab yang sama untuk merasa marah dan kesal dengan kenyataan pemimpin Pas, Mohamad Sabu mengenai tragedi serangan terhadap sekumpulan anggota polis di Balai Polis, Bukit Kepong, Johor.
Tidak seperti Mohamad Sabu atau Mat Sabu, Tunku Abdul Aziz jelas menegaskan, bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan yang dicatat dalam sejarah negara sebagai wira negara, walau apa jua pegangan politiknya.
Ternyata dalam memperkatakan tentang lipatan sejarah negara, sekutu Pas ini, tidak bersekongkol, berkompromi dan menyokong membuta-tuli apa sahaja yang dikatakan oleh Mat Sabu.
Dalam surat beliau kepada akhbar New Straits Times (NST) baru-baru ini, Tunku Abdul Aziz menyifatkan Timbalan Presiden Pas itu, sebagai 'pelawak politik' yang memang 'mahir' membuat orang ketawa dalam ucapan-ucapannya, tetapi cetek dengan isi.
Bagaimanapun tidak semua lawak Mat Sabu menghiburkan, dan boleh diterima akal walaupun kepada budak-budak sekolah.
Pada saya, kali ini beliau tertembak dengan lawaknya sendiri, apabila mempercayai bahawa 180 hingga 200 penyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari, 1950 termasuk lelaki Melayu Muhammad Indera yang menyerang dan membunuh anggota polis dan keluarga mereka itu sebagai hero dan pejuang kemerdekaan yang sebenar.
Adalah amat pelik apabila ada pemimpin seperti Mat Sabu boleh menilai dan mengangkat penyerang yang ramai jumlahnya berbanding anggota polis itu, menembak mati anggota keselamatan terbabit termasuk keluarga mereka dan menghumbankan mayat dalam bangunan yang terbakar sebagai hero dan wira sebenar negara? Bukankah tindakan seperti itu hanya dilakukan oleh seorang pengganas?
Tunku Abdul Aziz berkata, Mat Sabu telah memutarbelitkan dan mengusutkan fakta mengenai tragedi itu dengan cara yang tidak bijak, tidak berperasaan dan tidak sensitif dengan mendakwa pengganas-pengganas yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah wira-wira negara yang sebenar.
Menurut beliau, walaupun Mat Sabu tidak menyatakan bahawa penyerang tersebut adalah komunis, tetapi hakikat dan faktanya, penyerang termasuk Muhammad Indera itu adalah komunis.
''Saya mengakui haknya dalam pendapat beliau, tetapi apabila Mat Sabu berada dalam hierarki Pas dan juga seorang pemimpin dalam sebuah gabungan parti pakatan rakyat yang tidak sabar menunggu untuk memerintah negara, maka beliau tidak boleh bercakap seperti seorang pelawak. Dia tidak lagi menghiburkan," tegas Tunku Abdul Aziz yang juga datangnya daripada keluarga polis itu.
Tunku Abdul Aziz turut mempersoalkan sama ada Mohamad mempunyai keberanian moral dan integriti untuk memuliakan wira kemerdekaan yang sebenar.
"Saya tertanya-tanya sama ada Mohamad mempunyai keberanian moral dan integriti untuk berpaling arah di atas hakikat ini, tahap kebinatangan dan kebaculan pihak yang dia sedang cuba muliakan sebagai wira sebenar Merdeka," kata beliau.
Pun begitu, tidaklah menghairankan kenyataan yang dibuat oleh Tunku Abdul Aziz ini tidak memberikan kesan kepada Mat Sabu.
Sedangkan desakan Karpal Singh sebelum ini yang mahu beliau menarik semula kenyataan kontroversinya itu pun tidak diendahkan langsung. Sebaliknya, Mat Sabu hanya menyifatkan reaksi pemimpin DAP itu adalah peribadi mereka.
DAP tentu sedar, kenyataan Mat Sabu itu pastinya merugikan Pas, tetapi itu bukan merisaukan mereka, yang paling membimbangkan, ia akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang sendiri kerana sememangnya sejarah merekodkan betapa ramainya anggota keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan negara daripada pengganas komunis. Yang ini bukan satu pembohongan.
Karpal juga sebelum ini menegaskan, rentetan peristiwa Bukit Kepong itu tidak boleh dipertikaikan dan mesti diterima kerana dokumen sejarah telah menyatakan bahawa anggota polis dan keluarga mereka berjuang menentang gerila komunis.
Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat ini lebih selesa mengambil pendekatan mendiamkan diri, mungkin bersetuju atau mungkin juga tidak kerana tidak mahu terbabit dalam kedangkalan Mat Sabu.
Atau sekurang-kurangnya kontroversi yang dicetuskan oleh rakan sekapalnya itu, dapat mengalihkan perhatian umum terhadap kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jangka masa yang agak lama juga.
Seperti biasa segala kenyataan merapu serta meraban Mat Sabu, sentiasa disokong oleh pemimpin Pas lain. Pendirian para pemimpin Pas mengenai perkara ini, tidak akan memberi kesan kepada penyokong fanatik parti itu sungguhpun Pas telah menggugurkan perjuangan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam serta melupakan hasrat melaksanakan hukum hudud.
Seperti biasa juga, memperlekehkan polis bukan satu tindakan luar biasa Pas kerana pemimpin-pemimpin mereka sudah terbiasa dengannya.
Dan kenyataan kontroversi mengenai Bukit Kepong ini memasuki fasa paling buruk parti itu dalam memperlekehkan pasukan keselamatan tersebut dengan membawa niat bersama menafsir semula sejarah negara melalui kepercayaan mereka.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/11
Mat Sabu sudah hilang kredibiliti
PUTRAJAYA 12 Sept. - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kini sudah hilang kredibiliti apabila menimbulkan isu-isu yang tidak sepatutnya demi meraih populariti.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebagai contoh, tindakan Mohamad atau Mat Sabu mengangkat perjuangan komunis merupakan satu perbuatan yang amat dikesali.
Menurutnya, ucapan Mat Sabu pada satu majlis di Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini amat mengelirukan dan secara tidak langsung pemimpin kanan Pas itu dilihat cuba mengubah fakta sebenar sejarah negara.
"Dakwaan Mat Sabu perlu dipandang serius kerana dia menolak sama sekali pandangan pakar- pakar sejarah dan keterangan daripada ahli keluarga anggota polis yang terbunuh semasa mempertahankan negara dalam peristiwa Bukit Kepong.
"Tindakan beliau juga sedikit sebanyak akan memesongkan pemikiran rakyat yang terlalu taksub dengan kata-kata pemimpin Pas," katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini hari ini.
Pada majlis itu, Ahmad turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada mangsa kejadian tanah runtuh dari Rumah Anak-anak Yatim dan Anak- anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat.
Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan daripada warga Maritim Malaysia seluruh negara melalui 'kempen RM3' yang mula diperkenalkan pada Jun lalu untuk membantu mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, pemimpin pembangkang perlu memastikan setiap kenyataan yang dibuat adalah berlandaskan fakta dan bukannya sekadar mencari publisiti demi meraih undi rakyat semata-mata.
"Jika kita tidak tahu sejarah, lebih elok kita mendiamkan diri dan tidak membuat sebarang ulasan yang boleh mengakibatkan ia menjadi kontroversi, jangan buat-buat tahu atas apa yang berlaku walhal kita cetek ilmu sejarah," katanya.
"Jika mahu terus mengulas sesuatu perkara, maka rujuklah dengan pakar terlebih dahulu yang umum tahu mereka mempunyai kepakaran khusus dalam bidang sejarah," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/11
Sokong Mat Indera pendirian rasmi Pas
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Sokongan padu yang diberikan oleh barisan kepimpinan Pas terhadap kenyataan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang mengangkat Mat Indera dan komunis sebagai pejuang, membayangkan pendirian rasmi parti itu.
Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Farahana Jamaludin berkata, sejak kenyataan itu dikeluarkan, para pemimpin Pas seperti Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Naib-Naib Presidennya dilihat menyokong Mohamad atau Mat Sabu.
“Nyatalah kenyataan Mat Sabu mengangkat Mat Indera dan anggota komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai wira negara menjadi dasar dan pendirian Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Timbalan Presiden Pas itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan Mat Indera dan anggota komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai wira sebenar tragedi berdarah itu.
Perkara itu disebut dalam satu ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu dan ekoran daripada itu pelbagai pihak bertindak mengecam kenyataan tersebut malah ada yang membuat laporan polis terhadapnya.
Ketika berucap di Juru, Pulau Pinang malam kelmarin, Mat Sabu terus mempertahankan Mat Indera sebagai hero sebenar dan bukannya 25 anggota polis serta ahli keluarga mereka yang terkorban ketika mempertahankan diri dalam serangan itu.
Mengulas lanjut Farahana berkata, tidak keterlaluan juga pendirian baru Pas berhubung Mat Indera dan komunis kali ini boleh dianggap usaha mereka untuk memutarbelitkan sejarah negara.
“Setelah berjaya menggunakan ayat-ayat al-Quran demi kepentingan politik, Pas cuba memutarbelitkan sejarah negara tetapi malang bagi parti itu apabila ramai pihak yang menentang mereka.
“JMM berpendapat apa yang dilakukan oleh Mat Sabu dan pemimpin-pemimpin atasan Pas yang lain tidak ubah seperti pelacur sejarah negara,” ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/11
Mat Sabu enggan komen perbualan berunsur seks
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu enggan memberi sebarang komen berhubung rakaman perbualan telefon berunsur seks di laman YouTube yang didakwa suaranya dengan seorang wanita.
"No komen," katanya kepada sekumpulan wartawan yang hadir pada jamuan hari raya anjuran Pas Pusat di Taman Melewar petang semalam seperti dipetik di http://www.agendadaily.com. hari ini.
Menurut portal berita AgendaDaily itu, Mohamad atau Mat Sabu menyebut perkataan tiada komen sebanyak tiga kali apabila wartawan bertanya kepadanya tentang isu tersebut.
Soalan pertama yang ditanya ialah sama ada beliau sudah mendengar rakaman itu dan dijawabnya tiada komen.
Beliau juga menjawab tiada komen apabila ditanya sama ada mahu menafikan suara di dalam rakaman itu atau sebaliknya.
Sekali lagi Mat Sabu berkata tiada komen ketika ditanya mahu menyaman pihak yang menyiarkan rakaman itu.
Portal berita tersebut mendakwa, nadanya agak serius apabila menjawab soalan yang ketiga itu.
Sebelum ini Mohamad dan Normah Abdul Halim pernah ditahan atas tuduhan berkhalwat kerana berdua-duaan di bilik 121 Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
Bagaimana kedua-duanya dibebaskan oleh mahkamah daripada tuduhan tersebut kerana kekurangan bukti.
Normah pada masa itu berstatus isteri orang.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/11
12 September 2011
Jangan cuba ubah sejarah negara
utusanpulaupinang@utusan.com.my
Perdana Menteri berkata, rakyat pada era tersebut bangkit menentang perjuangan komunis yang cuba menguasai negara dengan ideologi yang tidak boleh diterima termasuk antiagama dan antituhan, malah, sanggup melakukan pembunuhan kejam.
Beliau menegaskan, komunis pada zaman tersebut tidak boleh disamakan dengan negara komunis masa kini kerana kedua-duanya berbeza dari segi ideologi perjuangan.
"Komunis zaman dahulu dan komunis zaman sekarang tidak sama. Komunis zaman darurat tidak memberi hak kebebasan kepada kita, mereka antiagama dan antituhan. Mereka zalim dan membunuh orang dengan kejam.
"Sebab itulah jangan sesiapa yang hendak mengubah sejarah negara kita, jangan ada sesiapa cuba mengagungkan orang yang sebenarnya kejam dan mengkhianati bumi bertuah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, komunis zaman dahulu tidak memberi kebebasan kepada rakyat termasuk menghalang pemilikan kekayaan peribadi.
Malah, kata beliau, perjuangan komunis pada zaman tersebut juga tidak akan memberi demokrasi yang membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini mengecapi keamanan dan keharmonian seperti hari ini.
Najib menarik perhatian, kerajaan mempunyai hubungan baik dengan negara komunis yang ada pada hari ini kerana sudah meninggalkan ideologi lama mereka.
"Mereka (negara komunis) berbuat baik kepada kita (maka) kita juga buat baik dengan mereka. Mereka hormati negara kita dan kita juga hormati negara mereka. Perjuangan mereka tidak sama seperti komunis zaman dahulu," jelasnya.
Beliau turut mengajak rakyat supaya menghargai kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang mewujudkan pemuafakatan antara kaum dan memilih jalan rundingan bagi mencapai kemerdekaan daripada penjajah.
Menurutnya, proses rundingan ketika itu tidak bermakna pemimpin negara sehaluan dengan penjajah sebaliknya, ia adalah jalan penyelesaian terbaik sehingga membolehkan rakyat mentadbir sendiri negara ini.
"Kita telah tunjuk kepada British, kita semua berdiri atas satu tekad, punyai satu niat serta tujuan kerana kita tidak rela negara dijajah lagi pada masa itu. Kuasa besar dunia akhirnya tunduk dan beri kemerdekaan kepada negara," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 12/9/11
Negeri pembangkang tidak dipinggir - Najib
BUKIT MERTAJAM 11 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited untuk memastikan proses pembangunan negara dilakukan secara adil dan saksama, tanpa meminggirkan negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.
Perdana Menteri berkata, komitmen itu adalah selaras dengan prinsip kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menghormati suara rakyat dan tidak akan meminggirkan mana-mana negeri atas faktor perbezaan politik.
Sehubungan itu, beliau mengulangi komitmen untuk memastikan rakyat Pulau Pinang yang kini diterajui pembangkang terus mengecapi kemajuan dan kemakmuran ekonomi.
''Kita mungkin mempunyai perbezaan politik tetapi dari segi kepentingan rakyat Pulau Pinang, kita akan teruskan (pembangunan) tanpa dipengaruhi fahaman politik.
''Lapangan terbang sedang kita bangunkan, Jambatan Kedua Pulau Pinang juga sedang kita bina dan pembinaan Empangan Mengkuang juga insya-Allah akan menjadi kenyataan. Semua ini hasil usaha kerajaan Pusat dan kita akan teruskan," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu yang turut dihadiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta barisan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Najib berkata, banyak kejayaan yang dikecapi di Pulau Pinang adalah hasil usaha kerajaan Pusat yang sentiasa mahu memastikan ekonomi negeri itu terus berkembang.
''Kita mahu kemajuan ini dilaksanakan secara adil, di mana kerajaan negeri boleh sokong, maka kerajaan Pusat akan hargai. Inilah komitmen kita untuk sentiasa mendengar suara rakyat," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 12/9/11
Islam perlu kuasai media antarabangsa - Mahathir
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin Islam pada masa ini lemah kerana negara Barat atau kuasa-kuasa besar menguasai media antarabangsa sehingga menyukarkan usaha memberi pemahaman mengenai Islam.
"Dengan keadaan itu, pandangan daripada sudut orang Islam tak dapat didengar atau dibaca oleh pihak lain.
"Al-Jazeera walaupun ia dimiliki orang Arab, tetapi pemberitanya terdiri daripada orang lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan Dewan Centennial, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di kolej berkenaan di sini hari ini.
Ditanya apakah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab sudah hilang taring dalam memperjuangkan kepentingan umat Islam, Dr. Mahathir berkata, kedua-dua organisasi itu perlu lebih berani bersuara dan bertindak.
"OIC dan Liga Arab tak pernah ada taring, macam mana nak hilang (taring)," ujar beliau.
Mengenai tindakan AS melabel umat Islam sebagai pengganas sejak tragedi serangan ke atas WTC sedekad lalu, bekas Perdana Menteri itu berkata, ia tidak sepatutnya dilakukan oleh negara yang menggangap diri mereka sebagai demokratik.
Kata beliau, negara berkenaan yang melakukan diskriminasi apabila menuduh pengganas Islam terlibat dalam serangan tersebut.
Dr. Mahathir turut mengulangi pendirian bahawa beliau tidak yakin serangan berkenaan dilakukan oleh pengganas Islam seperti yang didakwa.
"Wujud sedikit keraguan, ramai orang Amerika Syarikat sendiri melakukan siasatan yang mereka fikir ia bukan dilakukan oleh pengganas Islam. Ia dilakukan sebagai alasan terakhir untuk menyerang Iraq," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 12/9/11
Siasat segera laporan palsu Anwar
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 11 Sept. - Pihak polis didesak supaya tidak menunggu kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai di mahkamah sebelum menyiasat sama ada Ketua Pembangkang itu telah membuat laporan palsu bagi menafikan beliau adalah pelaku dalam video aksi seks yang tersebar pada Mac lalu.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, ini kerana kes liwat kedua Anwar itu dan isu video seks yang dikatakan membabitkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah dua perkara yang berbeza.
"Ini (video seks) tiada kena-mengena dengan kes liwat. Siasatan perlu dibuat secepat mungkin kerana jika tidak ia akan mencerminkan bahawa polis menggalakkan masyarakat membuat laporan palsu untuk mengaburi pandangan orang ramai atau demi kepentingan politik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas desakan banyak pihak supaya polis segera mengambil tindakan terhadap Anwar berikutan laporan palsu yang dikatakan dibuatnya berhubung isu video aksi seks yang dikaitkan dengannya.
Puteri UMNO pada minggu lalu membuat laporan polis terhadap tindakan Anwar membuat laporan palsu bagi menafikan penglibatannya dalam video seks yang didedahkan trio Datuk T.
Ini kerana pihak polis berdasarkan bantuan pakar sebelum ini mengesahkan bahawa video seks tersebut adalah 99.9 peratus tulen.
Choo Keong berkata, siasatan terhadap kes itu perlu supaya ia dapat dijadikan contoh kepada orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu kepada polis.
"Sebelum ini saya telah mendesak di Parlimen. Jika video itu direka, bukan tulen maka memang ada konspirasi, tapi ia telah dibuktikan tulen oleh polis. Maka memang jelas laporan polis oleh Anwar adalah palsu," katanya.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sekali lagi mendesak supaya pihak polis bertindak terhadap Anwar kerana melakukan laporan palsu itu.
"Sudah banyak kali kita mendesak supaya pihak berkaitan mengambil tindakan terhadap Anwar kerana telah dibuktikan bahawa video itu adalah tulen.
"Malah Peguam Negara juga patut bertindak kerana perlakuan Anwar itu adalah salah di sisi undang-undang," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 12/9/11
Rakyat perlu tolak komunis versi Pas
BAGAN DATOH 11 Sept. - Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri hari ini mengajak rakyat menolak jenama baru yang cuba diberikan Pas kepada pengganas komunis kerana ia jelas bertentangan dengan fakta dan sejarah sedia ada.
Dalam kenyataan bersama kedua-dua menteri di kementerian berkenaan menegaskan, jenama baru yang mengangkat pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan itu bukan sahaja salah tetapi satu penghinaan kepada anggota dan bekas pasukan keselamatan negara iaitu polis dan tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bekas tentera dan polis berasa amat kesal, cukup tersinggung dan terhina dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan.
''Apabila Timbalan Presiden Pas memberikan jenama baru kepada komunis sebagai pejuang kemerdekaan, bekas tentera dan polis tidak dapat menerimanya.
''Ini merupakan pendirian Pas yang seharusnya ditolak masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang selama ini menganggap dan memberikan satu jenama bahawa pengganas komunis adalah musuh kepada negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien selepas jamuan Aidilfitri UMNO Bahagian Bagan Datoh di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sehubungan itu beliau mengajak persatuan bekas tentera dan polis menyatakan sokongan kepada kerajaan bagi mengutuk pengiktirafan yang diberikan Mat Sabu.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, beliau dan Ahmad Zahid akan mengadakan pertemuan bersama persatuan bekas polis dan tentera minggu depan bagi menggerakkan bantahan terhadap Mat Sabu.
Katanya, dalam ketika menunggu sesuatu tindakan undang-undang daripada pejabat Peguam Negara, ini tidak bermakna rakyat tidak boleh bergerak melakukan sesuatu.
Menurutnya, polemik yang dicetuskan Mat Sabu itu membuktikan perkara berkaitan sejarah dan pengorbanan melibatkan keringat, air mata serta darah tidak boleh dipermainkan kerana ia akan mencetuskan kemarahan banyak pihak.
''Pada saya ada hikmah (apa yang berlaku), rakyat bersatu padu, bangkit dalam menangani orang yang rakus," katanya.
Ditanya dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan daripada isu tersebut bagi meningkatkan sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang, Hishammuddin menegaskan, ia merupakan alasan sama yang telah digunakan sebelum ini.
''Kenapa pula hendak salahkan kita. Dia yang bangkitkan isu ini. Sekarang ramai orang sudah sedar sebab sebelum ini setiap perkara negatif, mereka tuduh kerajaan. Apa yang tidak kena dituduh pada UMNO dan BN.
''Lebih malang institusi tiang seri negara seperti polis, tentera dan raja tidak terkecuali daripada diserang tetapi apabila ia tidak berjaya, tidak mendapat sambutan orang ramai, dia tuduh kita seperti dalam isu ini juga," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 12/9/11
11 September 2011
Kakak mati ditembak komunis
utusanmelaka@utusan.com.my
| |
| Sekiranya dapat saya kembalikan masa, nescaya saya akan bersama arwah ayah untuk berjuang menentang komunis dan menuntut bela di atas kematian kakak saya yang dibunuh kejam oleh komunis Omar Ali Anak kepada seorang Konstabel Khas |
ALOR GAJAH 10 Sept. - "Sekiranya dapat saya kembalikan masa, nescaya saya akan bersama arwah ayah untuk berjuang menentang komunis dan menuntut bela di atas kematian kakak saya yang dibunuh kejam oleh komunis."
Demikian luahan Omar Ali, 62, yang merupakan anak kepada seorang Konstabel Khas (SC) yang berjuang menentang kemaraan komunis di Simpang Renggam, Johor pada zaman darurat.
Menurutnya, tahun 1948 akan terus diingati kerana pada tahun berkenaan, kakaknya, Mahani yang umurnya baru menjangkau 12 tahun telah ditembak mati oleh komunis yang menyerang berek dihuni beberapa keluarga dan anggota keselamatan di Estet Sembrong, Simpang Renggam.
"Biarpun tidak dapat melihat dan mengenali kakak kerana semasa kejadian saya belum dilahirkan, namun perasaan marah dan dendam terhadap komunis masih kekal membara," katanya.
Beliau berkata, serangan komunis dilancarkan pada waktu subuh semasa ibu dan enam adik-beradiknya sedang tidur manakala bapanya SC Ali Buntar sedang menjalankan rondaan.
Katanya, dalam serangan itu pihak komunis telah melepaskan tembakan secara rambang dari bahagian bawah berek berkenaan menyebabkan beberapa orang termasuk kakaknya terbunuh.
"Semasa serangan berlaku, anggota keselamatan mengarahkan semua penghuni berek meniarap namun taktik kotor komunis yang melakukan serangan dari bawah berek menyebabkan ramai terbunuh termasuk kakak saya yang dadanya ditembusi peluru komunis," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini, kelmarin.
Omar berkata, bukan sahaja kakak, malah abangnya, Daud yang berada dalam berek berkenaan juga cedera terkena tembakan di buku lali dan menderita sehingga menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 60 tahun.
"Dalam kejadian itu, ayah saya dan rakan-rakannya berjuang bermati-matian bagi mempertahankan keluarga masing-masing, maruah negara dan agama sehingga butiran peluru terakhir dan parang panjang digunakan sebagai pengganti menentang komunis," katanya.
Sementara itu, Omar yang pernah bekerja di Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menghabiskan kira-kira lapan tahun membuat kajian mengenai ideologi komunisme dan meneliti laporan kejadian serangan komunis mendakwa tidak ada satu fakta yang boleh menobatkan komunis sebagai pejuang.
Katanya, tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menjunjung perjuangan komunis dan mengangkat mereka sebagai wira boleh disifatkan sebagai buta sejarah.
Beliau berkata, Mat Sabu perlu mempelajari sejarah dan memahami ideologi komunisme yang dibawa Parti Komunis Malaya (PKM) sebelum melabelkan mereka sebagai pejuang atau wira.
/hwa: utusan.com.my | 11/9/11
8 September 2011
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
REAKSI Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad terhadap JAIS kerana bertindak ke atas beliau yang memberi ceramah agama tanpa tauliah amat tidak wajar.
Bagi Awang, paling tidak patut ialah apabila beliau mendakwa agensi itu tidak bebas, selain menyifatkan keperluan tauliah mengajar agama adalah peraturan lama.
Beliau turut mempolitikkan isu tersebut dengan menuduh para penguat kuasa yang menjalankan tugas berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 mengamalkan diskriminasi dan bersekongkol dengan UMNO.
Dalam apa keadaan sekalipun, semua pihak perlu mengambil semangat daripada titah nasihat Sultan Selangor berkaitan isu-isu agama Islam di negeri tersebut.
Janganlah memalitkan isu-isu politik ke dalam institusi agama Islam demi perpaduan umat Islam. Jangan perlekehkan institusi-institusi tersebut tetapi perkasakanlah mereka.
Justeru, apa juga kritikan terhadap apa juga isu berkaitan agama Islam, ambillah pendekatan yang bijaksana supaya kelangsungan syiar Islam tetap terpelihara.
Dalam hal ini, sebarang pandangan yang mempunyai niat tersembunyi, apa lagi jika ia penuh dengan matlamat yang tidak relevan daripada kepentingan Islam, tidak sepatutnya timbul terutama daripada kalangan yang mempunyai pengaruh.
Jika itu berlaku, tiada siapa yang beroleh untung sebenarnya.
Oleh itu, semua pihak terutama kalangan umat Islam di Selangor, berpeganglah kepada titah nasihat Sultan sebagai pedoman.
Awang – Ambil iktibar.
/hwa: utusan.com.my | 8/9/11
Pas, PKR bukan tempat bergantung
pengarang@utusan.com.my
Inilah fakta mengenai sumbangan UMNO kepada orang Melayu tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka yang dibentangkan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad ketika menyampaikan amanat di Perhimpunan Agung UMNO pada April 1987.
Fakta inilah yang terpaksa diakui oleh Pas melalui sidang media oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali kelmarin yang bertujuan mempertegaskan penolakan parti itu terhadap ideologi dan perjuangan komunis.
Malahan Mustafa mengakui bahawa melalui perjuangan UMNO, negara mampu mencapai kemerdekaan dan fakta ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja yang bergelar orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Justeru apabila Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu cuba menafikan bahawa Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman adalah pejuang bangsa maka tidak salahlah kalau orang menganggap beliau buta sejarah, dangkal fikiran dan mencari publisiti murahan.
Sememangnya tindakan menafikan sumbangan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya dalam memerdekakan negara bukan sahaja boleh dianggap jahil malah satu tindakan politik jumud.
Tidak kira sama ada orang Melayu itu berada dalam parti politik apa sekali pun, apa yang jelas mereka tidak mampu memadamkan sejarah terhadap jasa besar UMNO kepada negara ini.
UMNO adalah parti keramat yang bukannya ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan atau berikutan perasaan tidak puas hati mana-mana pemimpin kerana tidak mendapat jawatan tetapi seperti mana kata seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO kepada penulis, UMNO lahir kerana doa orang Melayu yang mahu menuntut kemerdekaan ketika itu.
''Oleh itu UMNO bukan sebarang parti, ia ditubuhkan melalui niat dan perjuangan yang suci demi memartabatkan orang Melayu, membela maruah bangsa dan mempertingkatkan syiar Islam di negara ini," kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dalam pertemuan dengan penulis pada Isnin lalu.
Atas sebab itulah, UMNO harus terus dipelihara dan dijaga oleh semua orang yang mengaku dirinya Melayu. Berbeza fahaman politik sehingga berhasrat mewujudkan gerakan bagi menggantikan peranan UMNO sebagai parti utama kepada orang Melayu bukanlah langkah yang bijak.
Sebaliknya ia akan membuka laluan kepada terhapusnya kekuatan dan kekuasaan politik orang Melayu yang sekali gus menggugat kedudukan Islam di negara ini.
Orang Melayu perlu memahami bahawa selama ini apa juga yang dinikmati dan diraih adalah hasil perjuangan UMNO yang bukan sahaja bertanggungjawab memperjuangkan kemerdekaan tetapi juga menyusun strategi serta langkah bagi memastikan orang Melayu tidak merempat di tanah air sendiri.
Atas sebab itulah, orang Melayu tidak boleh terpedaya dengan mainan politik mana-mana pihak terutamanya Pas kononnya mereka mampu menjadi lebih baik daripada UMNO dan sudah bersedia menggantikan peranan UMNO.'
Impian seumpama ini hanyalah sekadar mimpi di siang hari kerana Pas tidak ada kekuatan mempertahankan prinsip seperti mana UMNO dan Pas tidak dominan seperti mana UMNO dalam Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, Pas bagaikan sesumpah yang boleh menukar wajah mengikut perjalanan politik yang dilaluinya. Sebab itulah Pas bersedia mengorbankan perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan.
Tetapi UMNO tidak berbuat demikian, UMNO tidak pernah berganjak seinci pun daripada perjuangannya dalam memartabatkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini namun dalam yang sama tidak menindas kaum-kaum lain.
Fakta inilah yang harus dipegang oleh semua orang Melayu agar mereka tidak mudah terpedaya dengan mainan politik alaf baru yang cuba menafikan kepentingan UMNO untuk terus kekal berkuasa di negara ini.
Pengekalan kedudukan UMNO sebagai tunjang utama pemerintahan negara bukan semata-mata kerana kuasa politik atau kedudukan tetapi bagi mengelakkan negara ini menjadi huru-hara memandangkan tidak ada parti Melayu seperti UMNO dan juga mana-mana parti komponen lain yang boleh menggantikan BN.
Walaupun pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP cuba meniru amalan politik BN tetapi setakat ini mereka tidak begitu berjaya, perbezaan idelogi dan berlainan falsafah perjuangan membantutkan usaha berkenaan.
Apa yang paling malang, orang-orang Melayu yang berada di dalam PKR dan Pas telah diperalat untuk melemahkan UMNO melalui percaturan dalam perebutan kerusi dalam pilihan raya.
Lemahnya UMNO hanya akan mengakibatkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini tidak tergugat.
Percayalah orang Melayu tidak boleh bergantung kepada PKR dan Pas bagi mempertahankan kedudukan mereka kerana kedua-dua parti itu tidak ada kekuatan politik seperti mana UMNO kecapi dalam BN.
Bagaimanapun, dalam kita berhujah soal betapa penting orang Melayu mengiktiraf jasa dan mempertahankan kedudukan UMNO, kita juga harus memperingatkan pemimpin-pemimpin di dalam UMNO sendiri supaya jangan ada antara mereka terus bercakaran untuk merebut jawatan dan kedudukan.
Dari segi kerusi pilihan raya, UMNO kini masih boleh dianggap rapuh, masih kehilangan kuasa di Kelantan sejak 1990, terlepas takhta di Kedah, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor pada pilihan raya umum lalu sepatutnya memberikan pengajaran berguna kepada pemimpin UMNO.
Pilihan raya umum akan datang dikatakan menjadi medan perhitungan utama bagi menentukan survival parti terbesar orang Melayu itu.
UMNO tidak boleh lagi mengulangi kekalahan dalam pilihan raya umum 2008 kerana ia boleh mengakibatkan kedudukan orang Melayu tergugat.
Justeru kepada pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO terutamanya di peringkat bahagian usahlah terlalu kemaruk untuk mempertahankan kedudukan sehingga ia akhirnya merugikan parti.
Penulis membangkitkan perkara ini kerana mendapati di sesetengah negeri walaupun ketua-ketua bahagian tertentu sudah ditolak rakyat, mereka masih mahu mempertahankan kedudukan dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam soal ini, sudah sampai masanya, pemimpin-pemimpin tersebut memikirkan mengenai survival UMNO dan orang Melayu, bukannya kepentingan peribadi.
Pilihan raya umum kali ini amat penting bagi UMNO, parti itu tidak boleh lagi berhadapan dengan kemerosotan perolehan kuasa sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.
Semakin kurangnya jumlah kerusi milik UMNO dalam kedua-dua dewan berkenaan maka semakin longgarlah cengkaman parti Melayu itu untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 8/9/11
Mat Indera militan PKM
| Mat Indera |
Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad bin Indera adalah anak Johor yang terlibat dengan gerakan-gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu beroleh kemerdekaan.
Beliau pada awalnya, seperti individu-individu lain juga telah berjuang atas platform masing-masing, dengan matlamat yang sama iaitu membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.
Bezanya, Mat Indera melibatkan diri dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad.
Sayap pemuda PKMM dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam. Haluan kiri ini termasuk juga gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai gerakan buruh dan masyarakat awam.
Apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik berhaluan kiri seperti PKMM, AWAS, API dan PKM telah diharamkan.
Oleh itu, ramai ahli gerakan haluan kiri ini memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Perjuangan melalui parti dan gerakan (UMNO) yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan melibatkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pasca merdeka di negara ini.
Bagaimanapun Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.
Tindakannnya terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.
Ini berlainan dengan para pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.
Kemuncak penglibatan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu adalah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.
Fakta yang diperolehi daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas tersebut terhadap pegawai-pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong.
Sebagai seorang daripada pemimpin rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya yang diharamkan, Mat Indera adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan tersebut.
Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.
Sedangkan ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara.
Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk dari 'Malayan Union' British sebelum itu.
Komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan 'People's Democratic Republic of Malaya' yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.
Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.
Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan.
Akhirnya Mat Indera telah berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan teroris yang diharamkan sehingga ke hari ini.
Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.
Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berpelembagaan.
Berdasarkan fakta-fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong itu, Mat Indera adalah dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Regimen ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.
Dia bukan seorang 'pejuang' untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun.
Sehingga hari ini, ketika rakyat negara ini sudah merdeka dan berkerajaan sendiri sejak 1957, gerakan PKM tetap diharamkan. Gerakan itu diharamkan kerana cita-cita komunisme yang bertentangan dengan ajaran Islam, ketuhanan dan bersifat menindas perbezaan pendapat dalam sistem demokrasi, walaupun sudah ada perjanjian perletakan senjata parti itu di Betong (Thailand) dengan kerajaan Malaysia pada 1989.
Dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ) segala kajian, penulisan dan catatan yang berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, adalah data-data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini, khususnya di negeri Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Penulisan dan catatan tersebut adalah menjadi bahan-bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik yang diamalkan olek kerajaan Malaysia kini, untuk mengayakan lagi khazanah maklumat dan rakaman-rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi demi generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan masa akan datang.
DATUK ABDUL GHANI OTHMAN Menteri Besar Johor
/hwa: utusan.com.my | 8/9/11
7 September 2011
Mat Sabu, Bukit Kepong dan Pas
Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Universiti Teknologi Mara dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia
Pendapat Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu (Mat Sabu) bahawa gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan dan hero sebenar peristiwa tersebut dan bukannya anggota polis yang mempertahankan balai itu dengan nyawa mereka bolehlah disifatkan sebagai satu usaha untuk menulis semula sejarah negara.
Dalam rangka yang lebih besar ia merupakan percubaan bagi mengabsahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan melakar perjuangan komunis sebagai perjuangan yang mulia.
Taktik Mat Sabu tidak menyebut perkataan komunis dan sebaliknya hanya menyebut nama Mat Indera dalam ceramahnya adalah suatu taktik halus sama seperti kaedah yang pernah diguna pakai PKM dalam mengumpan sokongan masyarakat Islam satu ketika dahulu.
Strategi diguna pakai PKM ini berasaskan kesedaran bahawa jika wajah sebenar komunisme yang menolak kewujudan Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat didedahkan kepada orang Melayu, maka amat sukar bagi mereka untuk menerima atau menyokong ideologi tersebut.
Lantas untuk mengaburi mata umat Islam maka golongan Marxis-Leninist-Maoist menjadikan retorik perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan British sebagai umpan utama untuk menarik sokongan orang Melayu.
Dalam hal ini, matlamat besar Mat Sabu adalah untuk merenggangkan hubungan parti UMNO dan sejarah perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebagai alternatif kepada peranan UMNO maka peranan PKM dipilih sebagai hero dan pejuang sebenar kemerdekaan dan oleh kerana komunisme itu sensitif di kalangan umat Islam maka Mat Indera digunakan sebagai contoh perlambangan yang perjuangannya disamakan dengan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong malah yang lebih dahsyat perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sendiri. Sejarah yang ada pada hari ini pula dimomokkan sebagai sejarah yang dilakarkan oleh penjajah dan parti pemerintah.
Bagi mengetahui sama ada tuduhan ini benar atau tidak, kita perlu melaksanakan satu ujian sejarah alternatif. Berdasarkan fakta, kita boleh melukis hala tuju sejarah jika dikatakan PKM yang berjaya menghalau pihak British dari Tanah Melayu.
Mat Sabu menyembunyikan hakikat bahawa jika PKM berjaya 'membebaskan Malaya' maka ia akan mendatangkan tiga kesan utama. Pertamanya corak pemerintahan Malaya tidak mungkin berasaskan pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, di sebaliknya Malaysia akan berubah menjadi sebuah republik dengan kediktatoran satu parti manakala Raja-Raja Melayu dinyahtakhtakan.
Kedua, kehidupan beragama akan dihapuskan seperti mana lazim di negara-negara komunis, Islam tidak mungkin menjadi agama rasmi sebaliknya fahaman ateisme-sekular akan menjadi pegangan negara. Dalam situasi ini Parti Pas tidak mungkin wujud.
Ketiga, Tanah Melayu akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PKM kerana sebagai pemimpin tertinggi PKM sudah tentu beliau akan memegang jawatan sama ada sebagai Ketua Negara atau Ketua Kerajaan. Jika ketiga-tiga hakikat ini direnung, tidak mungkin ada orang Melayu yang akan sanggup menyertai atau menyokong Parti Komunis.
Adalah amat dangkal dan tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak dalam usaha mempertahankan pendapat Mat Sabu menyamakan perjuangan komunis dengan perjuangan Tok Janggut di Kelantan atau Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu yang menentang penjajahan British. Perbezaannya amat ketara - kedua-dua mereka tidak pernah sekali-kali mahu mendirikan sebuah republik dan menurunkan Raja-Raja Melayu daripada takhta.
Tidak berniat sekalipun untuk menghapuskan agama Islam sebagai agama dominan Tanah Melayu dan tidak rela sama sekali menjadi daie kepada fahaman ateisme atau pernah terfikir untuk menjadikan bangsanya sendiri sebagai bangsa terpinggir.
Perjuangan komunisme menentang British di Tanah Melayu juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW menentang Arab Jahiliyah atau pembukaan Kota Mekah. Kenapa pihak-pihak tertentu mahu menyamakan 25 anggota polis dan keluarga yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong yang semuanya beragama Islam dengan Arab Jahilliyah yang tidak menerima malah memerangi agama tauhid.
Bukankah kesemua pengganas komunis kecuali Mat Indera (itu pun perlu dikaji sama ada beliau masih beragama Islam ketika itu) adalah ateis yang bencikan agama serta menafikan kewujudkan Tuhan.
Siapakah yang berfikiran waras yang mahu menyamakan perjuangan mulia Nabi Muhammad SAW dengan sifat kebinatangan Kompeni Bebas ke-4 yang membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Pada awal tahun 1950-an satu-satunya parti yang mengerakkan usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan adalah UMNO. Ada yang mendakwa bahawa pemberontakan bersenjata PKM mempercepatkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaya.
Jika PKM benar-benar memperjuangkan kemerdekaan negara, kenapa apabila kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, PKM tidak mahu meletakkan senjata. Malahan mereka terus mengganas dengan membunuh orang awam, polis dan tentera? Kenapakah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim mantan Ketua Polis Negara dibunuh oleh komunis 17 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Bukankah beliau berkhidmat untuk sebuah kerajaan merdeka dan dipilih rakyat.
Hakikatnya kenapa menunggu sehingga Disember 1989 baru PKM mahu meletakkan senjata iaitu 32 tahun selepas merdeka. Kepada PKM, ia bukan soal menentang penjajah, bagi mereka kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila parti mereka berkuasa mutlak, apabila sebuah republik dengan kediktatoran satu parti didirikan di bumi ini dengan berkiblatkan ideologi komunisme dan apabila akidah Islam serta agama-agama lain dihapuskan dari hati sanubari rakyat.
Janganlah kita apabila memberikan pendapat cuba mengambil sikap tidak jujur dari segi intelektual dan cuba menulis semula sejarah untuk disesuaikan dengan agenda sempit.
UMNO dituduh parti berhaluan kanan yang disenangi penjajah, Presiden-Pengasas UMNO Allahyarham Dato' Onn dan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman dituduh tali-barut Inggeris. Hakikatnya bukankah Dato' Onn telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam negeri Johor dan Tunku sebagai Timbalan Pendakwaraya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.
Kedua-duanya telah mengorbankan kesenangan serta keselesaan peribadi demi pertiwi. Oleh itu jangan sekali-kali dihina sumbangan mereka, jangan dicerca khidmat bakti mereka. Pendek kata jangan jadi manusia yang tidak mengenang budi.
Ada pula yang mahu mendewa-dewakan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebuah parti berhaluan kiri dalam usaha memperlekehkan parti UMNO. Tetapi siapa yang berani menceritakan kebenaran bahawa Presiden PKMM yang pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso ialah seorang komunis. Begitu juga sebahagian besar ahli jawatankuasanya menganut fahaman komunisme. Bukankah dasar wahid PKMM dari lapan dasar yang diluluskan di kongres pertamanya di Ipoh dari tanggal 30 November hingga 3 Disember 1945 ialah mempersatu padukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malayadalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya.
Jika tercapai matlamat itu, maka hari ini agama Islam tidak akan menjadi agama rasmi negara, Raja-Raja Melayu akan diturunkan takhta dan assimilasi berbanding integrasi akan menjadi panduan kepada dasar perhubungan kaum di negara ini.
Percubaan historical revisionism oleh Mat Sabu ini perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Ia sebenarnya adalah percubaan fraksi 'Anwarisme' dalam Pas untuk menjadikan parti tersebut lebih diterima oleh orang bukan Islam, terutama oleh rakan pembangkangnya DAP.
Langkah pertama mereka telah berjaya dicapai apabila Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden Pas mengalahkan penyandang dari kalangan ulama. Akibatnya dasar kepimpinan ulama yang dibawa generasi Allahyarham Yusof Rawa dan Fadzil Noor telah diketepikan. Mat Sabu sudah tentu bukan seorang ulama sama ada dari segi ilmu mahupun pembawaan.
Kedua, golongan ini telah berjaya menukar matlamat perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Sepatutnya umat Islam menitiskan air mata sebak mengenangkan selama 30 tahun akibat amanat Haji Hadi Awang, individu telah dikafirkan berdasarkan pendirian sama ada mereka menyokong konsep negara Islam yang dibawa Pas atau tidak.
Amanat ini telah memecahbelahkan umat Islam sehingga berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dan anak-anak, antara suami dan isteri, antara adik-beradik, antara jiran tetangga dan antara ahli kariah.
Namun hari ini demi kepentingan politik dengan sekelip mata Pas tanpa segan silu ataupun memohon maaf kepada mereka yang dizalimi akibat amanat Haji Hadi dengan mudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan sebaliknya digantikan dengan konsep negara berkebajikan yang telah dipelopori UMNO semenjak merdeka lagi.
Ketiganya apabila Pas sanggup menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP. Hari ini ukhuwah umat Islam tidak penting, DEB atau sebarang dasar afirmatif tidak adil, kedudukan bahasa Melayu tidak perlu, kedudukan agama Islam mampu dikompromi kerana yang penting adalah kuasa dan kedudukan.
Segala-galanya hatta prinsip serta teras perjuangan boleh dikorbankan demi matlamat rakus tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/11



