22 Julai 2013

Model baru pentadbiran JKKK diperkenalkan Januari 2014: Najib

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan melaksanakan model baru pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bermula Januari depan sebagai langkah memperkasakan peranannya di peringkat akar umbi.

Tanpa mendedahkan secara lanjut, beliau berkata, model yang akan diumumkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Afdal itu akan diguna pakai JKKK seluruh negara.
Bagi tujuan itu, tempoh luput perkhidmatan semua JKKK yang berakhir Jun lalu, dilanjutkan secara automatik enam bulan lagi sebelum model baru itu dilaksanakan.

Hwa | 22JUL

19 Julai 2013

PRK Kuala Besut: Tindakan PAS bunuh karektor calon BN dikesali

JERTIH: Tindakan penceramah PAS yang bertindak membunuh karektor, menabur fitnah dan menghentam secara melampau terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut amat dikesali.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima ada di kalangan penceramah parti lawan mengkritik calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman secara melampau.
"Saya minta pemimpin PAS supaya mengotakan kata dan tengok sedikit mereka yang berkempen supaya mengawal sedikit tindakan mereka.

"Cara berkempen pada Ramadan sepatutnya dilakukan secara harmoni, cukup bercerita mengenai calon kita. Tak perlu terlalu agresif dan jangan nanti amalan mulia kita pada bulan Ramadan ditolak kerana memfitnah," katanya
ketika ditemui sempena program Ramadan Prihatin di Kampung Nangka, Besut, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA, Mohd Aziz Jamman.

Sohaimi berkata, calon yang diutarakan oleh BN berupaya melaksanakan kerja dan mencapai sasaran ditetapkan serta berkaliber untuk mewakili penduduk di Kuala Besut.
"Calon BN, nampaknya beliau begitu bersemangat dan bertenaga, ada kelulusan dan pendidikan, anak ustaz. Beliau juga mudah mesra, ramah dan nampaknya memang calon kriteria pilihan.

"Pengundi kena buka mata terhadap calon yang diutarakan oleh BN dan calon terbaik bagi menggantikan ADUN yang meninggal dunia.

"Selepas mendekati, beliau sangat memenuhi kriteria menjadi ADUN dan pengundi tidak boleh melepaskan peluang keemasan untuk memilih seorang wakil rakyat yang berpotensi," katanya.

Katanya, pengudi terutama golongan muda sepatutnya menunaikan tanggungjawab dengan mengundi calon orang muda dan memberi sokongan bagi meneruskan perjuangan membela masa depan rakyat.

Sementara itu, Sohaimi berkata, program Ramadan Prihatin anjuran KPTM dan Pemuda UMNO itu bertujuan menziarahi rumah golongan fakir miskin di sekitar Kampung Nangka.

Katanya, bantuan membaiki pulih rumah keluarga miskin akan dilaksanakan termasuk membaiki bumbung, pendawaian elektrik dan kemudahan tandas.

"Kita juga bawa pelajar kejururawatan KPTM bagi memberikan nasihat kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) berkaitan penyakit," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKualaBesut_TindakanPASbunuhkarektorcalonBNdikesali/Article/index_html | hwa 19Jul

Alvin, Vivian hadapi tiga tuduhan hina Islam

Alvin, Vivian hadapi tiga tuduhan hina Islam  
ALVIN Tan Jye Yee dan pasangannya Vivian Lee dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi
***** 
Kuala Lumpur: Alvin Tan Jye Yee dan pasangannya Vivian Lee dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menghina agama Islam dengan memuat naik gambar makanan haram sebagai juadah berbuka puasa dalam Facebook, dua minggu lalu.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial facebook "Alvi dan Vivian-Alvivi".
Penerbitan itu mengandungi gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh.. wangi, enak, menyelerakan!!!" yang mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.


Mereka didakwa mengikut subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Bagi kesalahan pertama kali, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.


Tuduhan kedua mereka juga didakwa memuat naik penerbitan itu di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi, yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan agama berlainan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di www.alviviswingers.tumblr.com.

Mereka didakwa mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 atau maksimum RM50,000 atau boleh dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Murtazadi Amran, sebentar tadi.

Pasangan itu kelihatan tenang dan bersahaja ketika pertuduhan dibacakan satu persatu kepada mereka dan masing-masing berkata: "Saya minta dibicarakan".

 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Alvin_VivianhadapitigapertuduhanhinaagamaIslam/Article/index_html | hwa 19Jul

10 Julai 2013

Jangan ambil mudah PRK

Barisan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) diketuai Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) mengangkat tangan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (tengah) yang diumum sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut di Dataran Kuala Besut, Terengganu, semalam. 
*****
KUALA BESUT 9 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu seluruh kepemimpinan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini supaya kemenangan besar yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dapat dikekalkan.
Timbalan Perdana Menteri mengingatkan sejajar dengan sasaran majoriti lebih besar kali ini, mereka tidak harus mengandaikan pengundi yang telah memberi undi kepada BN akan keluar mengundi sekali lagi tanpa perlu didekati atau dirayu undi mereka.
Katanya, walaupun kawasan itu dianggap kubu UMNO, BN perlu bekerja kuat dan bersungguh-sungguh bagi memastikan calon parti menang dengan majoriti lebih besar pada 24 Julai ini.
"Jangan andaikan Kuala Besut kubu kuat BN, kalau pengundi tak keluar dan sokong kita, kita bimbang kalau itu berlaku, undi lebih rendah daripada majoriti pada pilihan raya lalu. Kita (BN) kena bersungguh-sungguh lagi agar majoriti undi nanti lebih besar berbanding pilihan raya lalu," katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden BN berucap demikian pada program Pelancaran Jentera dan Penamaan Calon BN Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut di Dataran Kuala Besut dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan bekas jurutera awam di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon BN.
Yang turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Biro Publisiti, Datuk Ahmad Maslan; Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Pengarah BN Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut yang juga Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Wanita UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharudin.
Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut mengajak seluruh penduduk kawasan berkenaan agar keluar mengundi calon BN bagi membolehkan pembangunan fizikal dan sosial terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pilihan raya kecil itu mempunyai signifikan tersendiri di negeri ini dan kemenangan besar kelak akan menentukan BN kekal berkuasa dan tidak tergugat.

5 Julai 2013

Anwar makin terdesak mohon bantuan AS

UM - 7/8/10

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menyifatkan kerjaya politik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin berkubur.
Ini kerana, katanya, Anwar yang kini menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan terpaksa mengemis sokongan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore dan bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz supaya kerajaan AS campur tangan dalam kes liwatnya itu.
Menurutnya, hanya orang yang lemas di laut akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan boleh sampai ke tebing atau destinasi tertentu untuk menyelamatkan dirinya.
“Oleh sebab itu, Anwar berusaha mencari helah supaya perbicaraan kes liwatnya ditangguh beberapa kali dan berkemungkinan berlarutan sehingga dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Malaysia tidak akan tunduk terhadap campur tangan negara luar berhubung kes liwat membabitkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, desakan seperti itu tidak wajar kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan mempunyai undang-undang serta sistem perundangan yang dilaksanakan dengan baik.
Sebelum itu, akhbar Asian Wall Street Journal dipetik sebagai melaporkan kenyataan Al Gore dan Wolfowitz yang mahu kerajaan AS campur tangan dalam kes liwat Anwar yang kini dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Syed Ali berkata, Al Gore dan Wolfowitz yang merupakan rakan karib Anwar adalah tokoh Yahudi berpengaruh yang tiada hak untuk campur tangan dalam sistem perundangan negara ini.
“Anwar seolah-olah sudah tahu hayat politiknya semakin berakhir, oleh sebab itu dalam keadaan terdesak dia dilaporkan terpaksa meminta pertolongan sahabat Yahudi dalam kes pertuduhan liwatnya,” katanya.
Tindakan sedemikian juga katanya, merupakan muslihat Anwar bagi membolehkan beliau melemparkan pelbagai tuduhan dan provokasi kepada kerajaan dengan harapan rakyat menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Dalam hal itu, jelasnya, bukan sesuatu yang pelik jika Anwar juga tergamak menjadi alat kepada pihak luar asalkan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri tercapai.
“Sistem perundangan yang ada di negara ini hanya akan dilihat baik oleh Anwar jika sesuatu keputusan itu memihak atau memberi keuntungan kepada pihak pembangkang,” katanya.
/hwa: utusan.com.my

Konvensyen Terengganu 2010 jadi KPI

UM - 16/10/10

SEBAHAGIAN peserta mendaftar pada Konvensyen Terengganu 2010 di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 15 Okt. - Konvensyen Terengganu 2010 wajar dijadikan sebagai petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi kerajaan dan UMNO selaku parti yang memerintah mengukur sejauh mana prestasinya.
Ia perlu mengambil kira hala tuju dan sasaran agar langkah tegas benar-benar diambil memastikan kelemahan dan kepincangan dapat diatasi dan mencapai matlamat.
Salah seorang peserta, Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Ramlan Ali berharap dalam usaha ke arah itu permasalahan dalam UMNO tidak seharusnya dikesampingkan.
''Selaku parti yang memerintah, kekuatan kerajaan juga dilihat berasaskan keutuhan parti," katanya di sini hari ini.
Perasmian konvensyen akan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Hotel Primula di sini esok dan ia dijangka dihadiri lebih 1,200 peserta.
Ramlan juga menarik perhatian tentang perlunya golongan pelapis berwibawa diberi peranan dalam parti dan kerajaan agar mereka benar-benar bersedia mengambil alih dengan peranan yang berkesan.
Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pula berkata, konvensyen berkenaan adalah landasan untuk pihak kepimpinan kerajaan negeri dan parti mendapat maklum balas daripada akar umbi.
Katanya, walaupun pelbagai usaha yang dilaksanakan kepemimpinan negeri dalam membawa perubahan kepada negeri ini, masih terdapat suara-suara yang tidak puas hati dan mahu ia diberi perhatian.
Beliau berkata, ia juga dapat membantu mengekalkan kedudukan Barisan Nasional (BN) yang sudah separuh penggal memerintah Terengganu, di hati rakyat.
Pengerusi Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Terengganu, Abdul Karim Mohamad berpendapat konvensyen itu akan memberi ruang untuk golongan belia mengemukakan pendapat dalam membantu pembangunan negeri.
Justeru, beliau juga meminta suara belia diiktiraf dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti dilantik menjadi ahli jawatankuasa majlis kerajaan negeri, bagi mencapai tujuan tersebut.
Bekas Exco negeri, Datuk Aziz Ibrahim Awang berkata, kerajaan negeri perlu melihat dalam mengembangkan sektor ekonomi untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan membasmi kemiskinan.
''Ekonomi negeri ini akan dapat dikembang melalui beberapa pendekatan termasuk pembangunan industri pelancongan dengan produk-produk baru dan menarik penglibatan rakyat," katanya.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Dungun, Aziahwati Abdullah melahirkan harapan konvensyen berkenaan akan dapat terus menyatupadukan UMNO terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
''Konvensyen ini turut mengumpulkan pemimpin jawatankuasa empat sayap UMNO negeri dan kehadiran ramai peserta ke konvensyen ini menunjukkan bahawa kita sudah bersatu hati," katanya.
/hwa: utusan.com.my/

Diiringi Menteri di Pejabat Luar Negara dan Komanwel Britain, Hugo Swire

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) diiringi Menteri di Pejabat Luar Negara dan Komanwel Britain, Hugo Swire pada majlis minum petang bersama Friends of Barisan Nasional United Kingdom di House Of Lord, London, hari ini. - Foto BERNAMA, Jul 4, 2013 4:35 pm

4 Julai 2013

Studio BBC, London



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemuramah penyampai berita BBC, Jon Sopel di Studio BBC di sini, hari ini. - Foto BERNAMA, Jul 3, 2013 5:34 pm

Pusat Outreach antarabangsa pertama 1Malaysia for Youth (iM4U) di Rumah Malaysia, London



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan replika nombor pendaftaran kenderaan kepada Pengerusi Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (England) (UKEC), Mohamad Faiz Ab Rahman pada majlis pelancaran Pusat Outreach antarabangsa pertama 1Malaysia for Youth (iM4U) di Rumah Malaysia, London, hari ini. - Foto BERNAMA, Jul 3, 2013 3:26 pm

Friends of Barisan Nasional United Kingdom (FBNUK)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) memotong kek sempena hari lahir beliau pada majlis bersama Friends of Barisan Nasional United Kingdom (FBNUK), di House Of Lord di London, hari ini. Turut hadir, Presiden of FBNUK, Tan Sri Michael Yeoh (tiga,kanan) dan Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kanan). - Foto BERNAMA, Jul 4, 2013 1:14 pm

DUN Pulau Pinang 'bunuh' demokrasi

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

DUN Pulau Pinang 'bunuh' demokrasi  
Datuk Jahara Hamid
***** 
Sidang tanpa sesi soal jawab, BN sifatkan tindakan angkuh DAP

Georgetown: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bermula semalam mencetuskan kontroversi apabila sesi soal jawab tidak diadakan yang disifatkan oleh ADUN Barisan Nasional (BN) sebagai tindakan 'membunuh' sistem demokrasi berparlimen negara.
Alasan ketiadaan masa yang diberikan oleh Speaker DUN negeri, Law Choo Kiang itu tidak dapat diterima oleh ADUN BN kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN negeri.
"Ia sangat mendukacitakan, tambahan pula ini adalah persidangan pertama. Sesi soal jawab penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang menguji kebijaksanaan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam menjawab isu,” Datuk Jahara Hamid, Ketua Pembangkang
Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid, berkata Speaker tidak mempunyai kuasa berbuat demikian dan ia menunjukkan keangkuhan kerajaan pimpinan DAP.

Beliau berkata, ia tidak pernah berlaku dalam sejarah DUN negeri dan menganggapnya sebagai ‘hukuman maut’ terhadap sistem demokrasi.

Sangat mendukacitakan
“Ia sangat mendukacitakan, tambahan pula ini adalah persidangan pertama. Sesi soal jawab penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang menguji kebijaksanaan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam menjawab isu,” katanya ketika bangun membantah keputusan itu.
Namun, ia menyebabkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo bangun memintanya menarik balik kenyataannya itu.

“Saya minta Yang Berhormat tarik balik kenyataan yang menyatakan sistem demokrasi sudah maut dalam dewan ini. Saya minta tarik balik kerana demokrasi tidak maut dalam dewan ini,” katanya.

Keengganan Jahara menarik balik kenyataan itu menyebabkan Jagdeep meninggikan suara dan berlaku pertengkaran apabila Jahara meminta ADUN Datok Keramat itu supaya tidak mengherdiknya.

“Saya bercakap mengikut peraturan dewan, iaitu keperluan untuk memberitahu. Saya percaya sesi soal jawab ini bukan saja penting kepada wakil pembangkang tapi semua ahli dewan,” katanya.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) kemudian meminta isu kekangan masa tidak dijadikan alasan untuk menafikan keperluan mengadakan sesi soal jawab pada sidang DUN kali ini.

Bagi menyelesaikan ketegangan, Speaker kemudian campur tangan dengan mengarahkan ahli dewan bertenang dan meminta mereka menghormati keputusan itu.

“Saya sudah jelaskan ketiadaan sesi soal jawab pada sidang kali ini tidak melanggar peraturan mesyuarat, tidak menjadi masalah dan berharap ia tidak dibangkitkan lagi,” katanya.

Persidangan DUN ke-13 Penggal Satu itu bermula kelmarin dengan majlis perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan akan berlangsung sehingga esok.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mengakui hairan dengan keputusan itu berkata, ia tidak wajar berlaku dan sesi soal jawab sepatutnya dibenarkan.

“Saya jangka ia berlaku kerana faktor masa, bagaimanapun ia perlu disemak semula oleh Speaker,” katanya kepada pemberita selepas sidang berhenti rehat.

Namun, Guan Eng berkata, Law tidak sepatutnya dipersalahkan kerana baru dilantik pada 28 Jun lalu.

Law, ketika dihubungi malam tadi mendakwa tidak berpeluang mengubah atur cara mesyuarat kerana pelantikan sebagai Speaker terlalu hampir dengan sidang DUN yang bermula Selasa lalu.

“Ketika dilantik Speaker, semua atur cara mesyuarat sudah diputuskan Penasihat Undang-udang negeri dan Setiausaha DUN. Keputusan ini dibuat kerana kekangan masa kerana mesyuarat kali ini dibuat berserta majlis angkat sumpah. Mungkin jika pelantikan dilakukan lebih awal, saya sempat menyemak atau merombak atur cara mesyuarat,” katanya. 
 
 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DUNPulauPinang_bunuh_demokrasi/Article/ | hwa 4JUL

Wakil rakyat DAP mula 'panas'

Jahara Hamid menunjukkan gambar bukti rombongan ahli kerajaan negeri di luar negara semasa sesi perbahasan dalam sidang penggal pertama DUN Pulau Pinang Ke-13 di Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - Utusan/ Ismail Kamadin 
*****
PULAU PINANG 3 Julai - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang sedang membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas hari ini panas apabila Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) mempersoalkan satu persatu kepincangan pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang.
Ketegangan mula timbul apabila Jahara mempertikaikan tindakan Speaker, Law Choo Kiang tidak membenarkan sesi soal jawab kali ini dengan alasan kekangan masa.
Jahara berkata, perkara itu mencatat sejarah baharu dalam DUN kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Ini sesuatu yang mendukacitakan kerana sesi soal jawab adalah penting dalam demokrasi dan saya melihat keputusan ini sebagai hukuman mati ke atas sistem demokrasi dalam dewan akibat keangkuhan kuasa mutlak yang ada pada kerajaan negeri," katanya semasa sidang DUN Pulau Pinang Ke-13 di sini hari ini.
Bagaimanapun kenyataan Jahara menimbulkan rasa tidak senang Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) dan meminta Jahara menarik balik kenyataannya.
Jahara bagaimanapun enggan berbuat demikian dan mempertahankan hujah beliau dan memberi amaran kepada Jagdeep supaya tidak mengherdiknya.
Pertikaman lidah itu akhirnya dileraikan dengan campur tangan Speaker yang meminta semua wakil rakyat menghormati keputusan yang telah dibuat.
Jahara kemudian meneruskan perbahasannya dengan membangkitkan pelbagai isu seperti Akaun Perumahan Bumiputera, sistem penyampaian maklumat, projek mega dan pelancongan yang sekali lagi tidak disenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri DAP.
Beliau memberitahu, dalam aspek pendapatan isi rumah dan pemilikan hartanah, golongan bumiputera di negeri itu terus ketinggalan berbanding kaum Cina dan India.
"Perkara ini menjadi semakin kronik apabila harga rumah khususnya di bahagian pulau melonjak sehingga 137 peratus dan tidak mampu dibeli oleh rakyat di daerah Timur Laut terutama bumiputera.
"Unit Komersial Bumiputera pula hanya sebanyak dua peratus dan hampir kosong jika tidak dimiliki oleh Mara dan UDA," katanya.
R.S.N. Rayer (DAP-Seri Delima) kemudian bangun mencelah dan mengatakan keadaan itu berpunca daripada salah UMNO.
Bagaimanapun, Jahara menempelak Rayer dengan mengatakan beliau tidak menyebut soal parti sebaliknya bercakap untuk kepentingan rakyat.

Utusan pertahan hak, kepentingan Melayu

Ikmal Hisham Abdul Aziz (kiri) dan Annuar Musa
*****
KUALA LUMPUR 3 Julai - Perjuangan akhbar Utusan Malaysia banyak menyelamatkan orang Melayu daripada terpengaruh dengan dakyah pemimpin pembangkang yang antara lain bertujuan mengganggu-gugat ketetapan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) turut menegaskan bahawa Utusan Malaysia berjaya mendedahkan tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak yang cuba mencemar kesucian Islam seperti dilakukan oleh tentera Red Bean Army.
Katanya, beliau tidak hairan dengan serangan bertubi-tubi pembangkang terhadap Utusan Malaysia kerana sejak dulu, kini dan selamanya akhbar tersebut menjadi benteng mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan.
‘‘Beberapa ahli Parlimen pembangkang mengambil kesempatan di dewan yang mulia ini menyerang Utusan Malaysia dan menganggap akhbar ini tidak mewakili orang Melayu dan di sini saya ingin tegaskan Utusan Malaysia merupakan akhbar yang mewakili suara orang Melayu.
‘‘Mereka yang menuduh Utusan Malaysia tidak mewakili orang Melayu adalah kelompok yang tidak tahu bersyukur serta tidak faham susur galur terwujudnya Utusan Malaysia yang bermula dengan penerbitan akhbar Utusan Melayu di Singapura," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat malam ini.
Menyentuh isu sama, Ikmal Hisham juga menyelar pihak yang menuduh Utusan Malaysia menipu di dalam membuat laporan semata-mata kerana akhbar itu kalah di dalam beberapa kes saman.
‘‘Kita jangan lupa lidah rasmi Pas, Harakah dan suara rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan pernah berhadapan dengan tindakan mahkamah dan kalah.
‘‘Janganlah jadikan ukuran kekalahan di mahkamah sebagai alasan untuk menuduh Utusan Malaysia sebagai penipu dalam laporannya," katanya.
Jika dikaji lidah pembangkang khususnya Suara Keadilan beliau berkata, secara terang-terangan akhbar itu hanya penyebar fitnah.
‘‘Sebab itu Suara Keadilan disaman dalam kes mendakwa Felda Bankrap dan kononnya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilarang masuk ke Amerika Syarikat," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penyokong kerajaan, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) bangkit dan menyatakan Utusan Malaysia adalah antara akhbar tertua di negara ini.
Kata Annuar, akhbar itu mempunyai sejarah perjuangan bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi kepentingan kemerdekaan dan negara keseluruhan selain mempunyai rekod antara akhbar paling lama bertahan di negara ini.
Terdahulu, Ikmal Hisham berkata, kewujudan tentera siber Red Bean Army yang tingkah lakunya tidak henti-henti didedahkan oleh akhbar Utusan Malaysia perlu dibanteras sama sekali.
Ini memandangkan beliau berkata, tentera siber itu menggunakan pendekatan politik yang cukup berbahaya bagi meracuni fikiran rakyat.
‘‘Mereka bukan sahaja bersedia melakukan fitnah terhadap Barisan Nasional (BN), menyerang institusi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis tetapi juga sanggup menggugat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.
Beliau turut mendesak DAP menyatakan sokongan secara terbuka untuk sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi menghapuskan Red Bean Army melalui Kementerian Dalam Negeri apabila parti itu mendakwa tentera siber tersebut tiada kaitan dengan mereka.
‘‘Memandangkan DAP menyatakan Red Bean Army tiada kaitan dengan parti tersebut, mereka perlu menyatakan sokongan secara terbuka terhadap sebarang usaha yang akan dilakukan oleh kerajaan bagi menghapuskan Red Bean Army kerana kegiatan mereka boleh menggugat kestabilan negara," katanya.

Tiada asas bantahan Ala ‘Arab Spring’ di Malaysia

Najib Tun Razak (kiri) ketika ditemuramah oleh penyampai berita BBC, Jon Sopel di Studio BBC, London, semalam. - BERNAMA
*****
KUALA LUMPUR 3 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak ada asas untuk melancarkan bantahan ala Arab Spring di Malaysia dengan menegaskan bahawa negara menikmati keamanan dan kestabilan selama 55 tahun.
Dalam temu bual dengan BBC, beliau berkata negara Asia Tenggara ini yang berpenduduk 28 juta orang menyaksikan kemajuan ekonomi yang baik dan rakyat mempunyai banyak perkara untuk melihat ke hadapan.
“Kami tidak fikir ada asas bagi rakyat untuk turun ke jalanan membantah terhadap kerajaan," katanya apabila ditanya sama ada beliau khuatir bantahan besar-besaran akan menimpa Malaysia seperti yang berlaku di Mesir.
Najib, yang mengadakan lawatan kerja empat hari ke United Kingdom, berkata dalam konteks Malaysia, apa yang penting ialah perubahan boleh dibuat dari dalam dan ia bukan hanya mengenai mengubah kerajaan.
“Inilah yang berlaku dengan perubahan itu. Dan jika rakyat mahukan perubahan, apa yang saya katakan ialah kita boleh bawa perubahan tetapi dari dalam," katanya semasa temu bual secara langsung dengan penyampai berita BBC, Jon Sopel.
Najib menolak dakwaan bahawa Malaysia diperintah secara autokratik dan bahawa kerajaan tidak responsif kepada rakyat, cadangan yang diambil dari maklum balas Twitter yang disuarakan Sopel.
“Kami tidak (autokratik). Kami perlu mendekati mereka. Masalah dengan media sosial ialah terlalu banyak maklumat palsu di luar sana dan terpulang kepada kita untuk membetulkannya.
“Inilah apa yang kami lakukan. Kami perlu melibatkan diri melalui media sosial supaya lebih ramai orang akan memahami dan menghargai apa yang dilakukan kerajaan," jelas beliau.
Najib juga menjawab soalan mengenai pilihan raya umum Malaysia pada 5 Mei lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) dipilih semula memegang tampuk kerajaan di tengah-tegah kebimbangan mengenai cara pilihan raya itu dilaksanakan.
“Kami tetap mempertahankan bahawa pilihan raya itu dijalankan dengan benar, adil dan telus," katanya sambil menambah bahawa kerajaan bersedia disoal berhubung perkara ini menurut perlembagaan dan undang-undang negara.
“Kami tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, kami telus," katanya.
Najib juga mengambil peluang menjelaskan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menghapuskan undang-undang tertentu yang mendapat kritikan hebat.
“Kami telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, kami telah memansuhkan...Ordinan Darurat di Malaysia. Dengan lain perkataan, penahanan tanpa bicara merupakan sejarah di Malaysia.
“Jadi, buat kali pertama di Malaysia terdapat begitu banyak kebebasan bagi rakyat untuk membantah terhadap kerajaan," katanya.
Menjelaskan perkara itu, Najib berkata dasar Akta Hasutan adalah bagi memastikan keamanan dan keharmonian di Malaysia.
“Kami akan meminda Akta Hasutan tapi pada masa yang sama, ada peruntukan tertentu yang akan memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni," katanya. - BERNAMA

Tentang murtad, LGBT

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kerajaan digesa supaya tidak sesekali tunduk kepada tekanan pertubuhan hak asasi manusia terutama dari luar khususnya berhubung pelaksanaan hak menukar agama dalam kalangan penganut Islam dan kebebasan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Pasir Mas) berkata, penentangan terhadap tuntutan itu penting bagi memastikan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan terus terpelihara selain tidak mahu umat Islam tempatan, rakyat keseluruhan serta pembangkang dicemari nilai negatif.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu mempertahan dan memperjuangkan konsep hak asasi manusia seperti diperkenalkan Nabi Muhammad SAW dalam Piagam Madinah kira-kira 1,400 tahun lalu yang selari dengan amalan demokrasi moden.
"Saya difahamkan daripada sumber tidak rasmi bahawa kerajaan terima tekanan daripada pelobi-pelobi hak asasi manusia luar negara.
"Mereka menuntut pelaksanaan hak asasi manusia yang nyata bertentangan dengan Islam seperti untuk bertukar agama, pindah agama atau murtad selain hak mengamalkan kegiatan-kegiatan yang tegas dilarang agama seperti LGBT," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Ketua Pemuda Pas itu turut memperjelaskan kepada dewan bahawa Islam merupakan agama universal yang memberi rahmat kepada sekalian alam dan undang-undang agama itu terpakai kepada seluruh umat manusia.
"Umat Nabi Muhammad bukan sahaja penganut Islam tetapi penganut agama lain juga umat junjungan besar Rasulullah.
"Cumanya, umat Islam mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat sementara penganut lain mendapat kebahagiaan di dunia, jadi kesaksamaan Islam itu boleh dilaksanakan," katanya.
Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh turut mengingatkan kerajaan supaya melaksanakan dasar belia dengan cara sentiasa mencabar mereka melakukan perkara-perkara yang berani selari dengan Islam.
Katanya, pembangkang sentiasa bersedia bekerjasama dalam memastikan program perkembangan belia dilaksanakan menurut agama tersebut.

3 Julai 2013

Pusat Outreach antarabangsa pertama 1Malaysia for Youth (iM4U) di Rumah Malaysia, London



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan replika nombor pendaftaran kenderaan kepada Pengerusi Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (England) (UKEC), Mohamad Faiz Ab Rahman pada majlis pelancaran Pusat Outreach antarabangsa pertama 1Malaysia for Youth (iM4U) di Rumah Malaysia, London, hari ini. - Foto BERNAMA, Jul 3, 2013 3:26 pm

Apa muslihat MCA menolak jawatan?

MALAYSIA merupakan negara yang unik. Kebudayaan, agama, kepercayaan bangsa dan macam-macam lagi, semuanya unik belaka.
Tetapi yang menarik minat saya akhir ini adalah keunikan berpolitik. Sebagai contoh, kita ambil Barisan Nasional begitu banyak parti bergabung atas satu tiket. Bukankah itu unik dan atas keunikan itulah Malaysia mendapat kepujian dari negara-negara luar yang kagum dengan cara Malaysia mengamalkan demokrasi sehingga rakyatnya hidup aman.
Parti pembangkang juga tidak kurang hebatnya dengan parti Pas yang bermutaah dengan Keadilan dan DAP tapi nampak pada zahir macam tidak ada apa-apa falak saya mengatakan DAP dan Keadilan macam tidak puas hati dengan Pas lebih-lebih lagi hasrat PAS ingin berbaik dengan kerajaan pusat.
Saya lebih cenderung dan berminat komen tentang komponen parti dalam Barisan Nasional. Kenapa pula akhir-akhir ini MCA menolak bulat-bulat apa saja jawatan dalam Kabinet atau Exco sehingga ke tahap JKKK Kampung pun ditolak?
Alasannya prestasi buruk yang dicapai dalam PRU-13 baru-baru ini.
Hairan, ajaib, musykil dan tak kurang juga syak wasangka saya yang kuat sekali membuat andaian dan falak saya dengan yakin menyatakan hampir tiga suku ahli MCA sudah beralih angin ke parti lain (tidak perlu disebut parti itu). Saya sebagai rakyat jati dan juga rakyat di luar sana rasa kesal memberi kemenangan kepada beberapa calon MCA yang memenangi pilihan raya umum (PRU-13) sekiranya dari awal memang mereka sudah rancang untuk menolak pelantikannya.
Contohilah Datuk Tee Siew Kiong (jawatankuasa pelancongan, perdagangan dan hal ehwal pengguna Johor) yang bertegas tidak akan melepaskan jawatannya sekalipun didapati bersalah atau dipecat dari MCA.
Kenapa beliau sanggup bertindak demikian? Siew Kiong telah menunjukkan kesetiaan kepada raja dan negara dan juga pengundi-pengundi yang telah menaruh kepercayaan kepadanya untuk mewakili kawasan yang dimenangi.
Beliau merupakan ahli politikus yang hebat dan berani kerana sanggup dipecat tetapi tidak sanggup mengkhianati Rukun Negara. Tahniah Siew Kiong dan saya kagum dengan prinsip beliau.
Kepada semua wakil rakyat (DUN/Parlimen) atas tiket Barisan Nasional yang telah memenangi pilihan raya lepas, diharap memberi penghormatan kepada pengundi-pengundi yang telah menaruh kepercayaan kepada anda.
Jika dilihat kepada keputusan PRU-13, UMNO telah mendahului kemenangan kerusi dalam Barisan Nasional, walaupun MCA berpaling tadah.
Saya harap dilema MCA dalam Barisan Nasional dibawa berunding di meja bulat dan keputusan kenapa menolak semua jawatan dalam kerajaan perlu diperjelaskan.