20 Januari 2011

Calon BN disenangi masyarakat

UM - 20/1/11


MUHYIDDIN Yassin mengunjungi rumah Sri Noraini Yaakop (empat dari kiri) sambil diperhatikan Abdul Ghani Othman serta anak-anak Allahyarham di rumahnya di Labis Park, Labis, semalam.


LABIS 19 Jan. – Balu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Datin Sri Noraini Yaakop menyeru pengundi memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari ini.

Sri Noraini, 35, berkata, sebagai anak jati Tenang, beliau memberi sokongan penuh terhadap Mohd. Azahar yang akan bertanding menentang calon Pas, Normala Sudirman, 38.

“Mohd. Azahar bukan orang asing dalam UMNO Bahagian Labis dan merupakan anak muda yang cukup disenangi,” katanya yang akan membuang undi di Felda Chempelak Barat.

Balu Allahyarham Datuk Sulaiman Taha itu berkata demikian selepas dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi bertanya khabar keluarganya selepas pemergian suaminya pada 17 Disember lalu.

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berikutan kematian Sulaiman yang menghidap kencing manis dan jangkitan kuman dalam darah.

Menurut Sri Noraini, beliau terharu menerima kunjungan dua pemimpin tertinggi negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dan Muhyiddin hari ini.

“Kami sekeluarga tersentuh hati kerana kedua-dua pemimpin terbabit begitu prihatin dan tidak mengabaikan serta mengambil berat hal keluarga kami dengan bertanya khabar,” ujarnya.

Jelas Sri Noraini, kehadiran pemimpin-pemimpin terbabit termasuk Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman memberi suntikan semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan seharian.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: