KUALA LUMPUR 13 Feb. - Sokongan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha menjaga keselamatan
Israel seperti dalam temu bual yang disiarkan oleh The Wall Street
Journal bulan lalu merupakan satu pengkhianatan terhadap Islam.
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, kenyataan
itu bercanggah dengan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh para
ulama berhubung perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman
rejim Zionis.
Beliau berkata, antaranya satu fatwa yang ditandatangani oleh 63
ulama tersohor antaranya Sheikh Muhammad Ghazali, Sheikh Dr. Yusuf
Al-Qardawi, Sheikh Dr. Wahbah Az Zuhaily serta Sheikh Dr. Mujahid
Abdullah Azzam yang dikeluarkan oleh Jamadil-Ula pada 1989 (1409
Hijrah).
"Dalam fatwa ini, kesemua ulama terbabit bersepakat bahawa jihad
adalah satu-satunya cara untuk bebaskan bumi Palestin. Ia turut menyebut
bahawa mana-mana organisasi atau individu tidak boleh sama sekali
menyerahkan satu inci tanah Palestin kepada Yahudi kerana ini berkaitan
dengan perjuangan akidah.
"Maka, sekiranya kita memberi ruang seperti mengiktiraf, melahirkan
rasa simpati atau mahu mempertahankan Israel dan Yahudi ia merupakan
khianat kepada Allah, rasul-Nya serta amanah yang telah
dipertanggungjawab kepada semua umat Islam," katanya di kediamannya di
Bangi, hari ini.
Dalam wawancara dengan media asing itu, Anwar memberitahu, beliau
menyokong segala usaha untuk menjamin keselamatan Israel sekali gus
mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.
Malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin di dalam blognya http://presiden.pas.org.my
menegaskan, adalah haram bagi mana-mana umat Islam menerima kewujudan
negara Israel kerana telah menjadi fardu ain kepada orang Islam untuk
membela serta membebaskan rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi
rejim Zionis.
Dalam perkembangan berkaitan, Nasharudin yang juga Pengerusi
Pentadbiran Yayasan al-Quds Malaysia mengakui terkejut kenyataan yang
dikeluarkan oleh Anwar itu.
"Apa niatnya saya tidak tahu, tetapi kaedah dalam Arab mudah sahaja
kita perlu berhukum pada perkara yang zahir. Perkara zahir jelas
menunjukkan bahawa berlaku pengiktirafan kepada satu entiti yang
bertentangan dari segi agama, bertentangan hak rakyat Palestin dan
bertentangan dengan politik," katanya.
Ketika ditanya sama ada kenyataan Anwar yang disiarkan oleh The Wall Street Journal
itu turut disentuh oleh tokoh-tokoh pemimpin negara Arab hasil
lawatannya ke beberapa negara Asia Barat baru-baru ini, Nasharuddin
mengakui perkara itu.
Jelasnya, dalam beberapa sesi pertemuan termasuk dengan Perdana
Menteri Palestin, Ismail Haniya di Kuwait beberapa hari lalu, mereka
berasa amat hairan sebab Anwar mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
"Mereka menyatakan kebimbangan sekiranya perkara itu menjadi pegangan ia amat berbahaya kepada agama dan kepada rakyat Palestin.
"Ketika bertemu dengan Ismail, beliau memberitahu, orang Palestin
menghargai sumbangan rakyat Malaysia dan mereka tahu kita sering
membantu meskipun jarak geografinya beribu-ribu kilometer. Oleh itu
apabila timbul kenyataan seperti ini sudah tentu menjadi tanda tanya,"
katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Yayasan al-Quds akan mempergiatkan
usaha mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin terutama
bagi menjayakan projek- projek menyediakan kemudahan asas.
"Antaranya pembinaan penempatan untuk rakyat Palestin, pembinaan
jalan raya dan proses menyuling air laut sebagai air bersih. Kesemua
projek ini memerlukan komitmen tenaga, fikiran dan kewangan," katanya.
Untuk itu beliau berkata, pihak yayasan dan semua pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) Palestin akan melakukan yang terbaik bagi merealisasikan
projek-projek tersebut demi kemudahan rakyat negara itu.
/hwa: utusan.com.my | 14/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan