ALOR SETAR 31 Mac - DAP Kedah membidas Parti
Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu kerana enggan berbincang soal
pengagihan kerusi bagi calon-calon parti pembangkang pada Pilihan Raya
Umum Ke-13 tidak lama lagi.
Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Lee Guan Aik berkata, pihaknya kesal
apabila PKR bertindak terus menyerahkan kepada kepimpinan di peringkat
pusat untuk membuat keputusan sedangkan DAP Kedah sepatutnya perlu
dibawa berbincang terlebih dahulu.
"Mereka (PKR) yang tidak mahu duduk berbincang bukan kita (DAP), kita
boleh berbincang tetapi sekarang perkara ini telah dibawa ke peringkat
pusat maka bukan pakatan rakyat negeri yang membuat keputusan," katanya
kepada pemberita di sini, hari ini.
Guan Aik mengulas mengenai isu perebutan kerusi antara DAP dan PKR
yang semakin panas apabila DAP dan PKR terus buntu untuk mencari kata
sepakat walaupun ia sepatutnya diselesaikan dua bulan lalu.
Kerusi yang menjadi perebutan PKR dan DAP, termasuk Parlimen Alor
Setar dan Padang Serai manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah
kawasan Bakar Bata, Gurun, Bakar Arang, Lunas dan Derga.
Pada pilihan raya lalu, Kedah yang mempunyai 36 kerusi DUN
menyaksikan Pas bertanding di 24 kerusi, PKR (10 kerusi) dan DAP (dua
kerusi) manakala DAP dan PKR bertembung di kerusi DUN Derga akibat
enggan mengalah.
Guan Aik berkata, pihaknya juga sedang mengikuti perkembangan isu itu
dan masih tertunggu-tunggu keputusan daripada kepimpinan pusat.
Sebelum itu, beliau dilaporkan berkata, DAP tidak menolak kemungkinan
untuk meletakkan calon DAP di kerusi-kerusi yang ditandingan PKR bagi
membolehkan pertandingan tiga penjuru.
Menurutnya, langkah itu diambil jika keputusan pakatan pembangkang di peringkat pusat tidak memuaskan hati DAP negeri.
/HWA: utusan.com.my | 2/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan