PANAS dan menggegar. Shamsidar Taharin, isteri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tiba-tiba menjadi tumpuan sepanjang minggu ini.
Dakwaan S. Nallakaruppan bahawa Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim
pernah menjalin hubungan sulit dengan Shamsidar suatu ketika dahulu,
kini menjadi bahan perbualan ramai.
Malah beliau bertekad untuk mendedahkan lebih mendalam tentang hubungan terlarang itu di mahkamah nanti.
Dakwaan Nallakaruppan amat serius. Walaupun ramai pernah mendengar
cakap-cakap mengenai kisah tersebut tetapi kali ini ia didedahkan secara
terbuka.
Lebih 30 tahun lamanya Nallakaruppan menjadi sahabat Anwar. Mereka
berkongsi banyak rahsia termasuk aktiviti gelap ketika Anwar masih
berada dalam Kabinet.
Jika di negara Barat, pendedahan tersebut pasti disusuli dengan
tekanan masyarakat untuk mengetahui kebenarannya. Tidak kira sama ada
pemimpin kerajaan atau pembangkang, mereka dituntut untuk mengambil
tanggungjawab bagi menjelaskan kepada rakyat. Dalam negara demokrasi,
pembangkang juga adalah institusi penting yang perlu dipelihara imejnya.
Hairannya setakat ini, Anwar belum tampil secara terbuka untuk
menjawab secara menyeluruh dakwaan tersebut. (Writ saman ke atas
Nallakaruppan berhubung dakwaan Anwar seorang biseksual juga masih belum
diserahkan, seolah-olah ada sesuatu cuba dielakkan).
Shamsidar juga berdiam. Beliau berhak untuk diberi peluang
mempertahankan diri dan bagi membersihkan nama atas sifatnya sebagai
wanita dan isteri orang. Mengelak daripada menjawab, boleh ditafsir oleh
rakyat bahawa dakwaan itu ada asas kebenarannya.
Ramai juga tertanya-tanya apa sebenarnya pendirian Presiden PKR, Wan
Azizah Wan Ismail selaku isteri Anwar. Begitu juga Azmin atas
kapasitinya sebagai suami Shamsidar. Kedua-duanya turut membisu bagaikan
serba-serbi tidak kena. Bukan sahaja hal PKR yang kian hancur harus
ditangani, bahkan soal paling rumit melibatkan suami dan isteri
masing-masing, menghantui mereka. Azmin sudah tentu tidak mahu dituduh
dayus. Bayangkan presiden dan timbalan presiden PKR terperangkap dalam
persoalan sebegini!
Dalam mencari jalan keluar, Awang mencadangkan agar kedua-dua
pasangan tersebut tampil bersama dalam satu sidang akhbar. Anwar, Wan
Azizah, Azmin dan Shamsidar boleh membuka laluan kepada wartawan
bertanya apa sahaja soalan. Awang percaya Wan Azizah tidak menghadapi
masalah untuk bersama Shamsidar buat seketika. Sekali lagi - semuanya
demi Anwar - orang yang beliau anggap sebagai anugerah Tuhan.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT/HWA: utusan.com.my | 2/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan