PASIR MAS 31 Mac - Kerajaan Pas Kelantan semakin bersikap apologetik
dalam setiap kenyataan mereka berhubung pelbagai masalah rakyat,
terutamanya berkaitan isu air dan tanah rizab Melayu.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia adalah
gambaran bahawa angin perubahan telah berlaku dan rakyat mula sedar
terhadap kegagalan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
memerintah Kelantan selama ini.
Jelasnya, kegagalan itu semakin ketara jika perbandingan dibuat
dengan mengambil kira tempoh pemerintahan Malaysia oleh bekas Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 21 tahun dan Nik Abdul Aziz
sendiri.
"Dr. Mahathir berjaya mengubah Malaysia daripada negara pertanian
kepada yang berasaskan industri termasuklah pembinaan Menara Berkembar
Petronas, Putrajaya, transit aliran ringan (LRT), lebuh raya bertaraf
dunia dan pelbagai lagi.
"Bagi Pas Kelantan pula, saya rasa satu-satunya kejayaan mereka
adalah mengharamkan penjualan tiket loteri dan nombor ekor, selain itu
rakyat menderita," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung
Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Pasir Mas di Sekolah Menengah
Kebangsaan Perempuan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (Perkasa) berkata, ini adalah masa terbaik untuk Nik Abdul
Aziz meletakkan jawatan, namun beliau percaya pemimpin tersebut tidak
sanggup melakukannya kerana sangat 'menyayangi' jawatannya.
Ujarnya lagi, sikap mementingkan diri Nik Abdul Aziz itu adalah
kerana tiada siapa yang diyakini mampu menggantikan tempatnya ekoran
perpecahan dalaman Pas Kelantan sendiri yang diibaratkan sebagai 'api
dalam sekam'.
"Pas Kelantan kini umpama buah durian yang kulitnya cantik, tapi
isinya busuk sebab wujud pelbagai puak, namun disebabkan ada Nik Abdul
Aziz maka tiada siapa berani.
"Nik Abdul Aziz pun tahu kalau dia berhenti, Pas akan berkelahi
sesama sendiri umpama sebuah bom jangka yang hanya menunggu masa untuk
meletup," tegas beliau.
/HWA: utusan.com.my | 2/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan