24 Mei 2012

Debat PM-Anwar tidak perlu - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR 23 Mei - Tidak perlu debat di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kredibiliti ketua pembangkang itu yang sering dipersoalkan dalam kelicikannya mengada-adakan cerita dan gemar berbohong.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tidak seperti pakatan pembangkang, BN bukanlah parti yang bercakap bohong dan tidak menepati janji-janjinya kepada rakyat.
"Tidak perlulah moderator debat semalam (pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Mazlee Malik) mengajukan cadangan supaya Perdana Menteri berdebat dengan Anwar kerana semua maklum bahawa geng-geng pembangkang ini, apatah lagi Anwar akan sengaja (dalam debat itu nanti) nak cetuskan suatu keadaan untuk mendapatkan 'mileage' politik.
"Lagi pun ada perkara-perkara lain yang lebih penting dari politik dengan Perdana Menteri sendiri ketika ini bekerja keras nak pastikan nasib rakyat terus terbela.
"Kita nak pastikan janji kita ditunaikan untuk rakyat sebab kalau tengok di Selangor sendiri yang diperintah oleh kerajaan negeri PKR banyak sungguh janji masih belum ditunaikan.
''Tambah lagi sistem politik kita berbeza dengan di Eropah dan Amerika Syarikat... di sini tidak ada presidential election (pilihan raya Presiden)," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas cabaran yang dilontarkan Dr. Mazlee, pengendali debat bertajuk Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi yang berlangsung di Kompleks Karangkraf kelmarin supaya Najib berdebat dengan Anwar mengenai isu-isu politik tanah air.
Debat anjuran akhbar Sinar Harian berkenaan melibatkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli.
/hwa: utusan.com.my | 24/5/12

Tiada ulasan: