Harun Taib
*****
KUALA TERENGGANU 24 Mei - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib
hari ini menegaskan bahawa beliau menentang sebarang usaha untuk
melonjakkan kalangan bukan Melayu atau bukan Islam menerajui negara ini.
Beliau berkata, Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tentunya akan terus memastikan ia tidak akan berlaku.
Katanya, hanya orang Islam yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri untuk mentadbir negara ini pada masa akan datang.
Beliau mengakui cubaan ke arah itu timbul kerana dalam Perlembagaan
tidak menyatakan jawatan Perdana Menteri hanya khusus kepada pemimpin
Melayu.
“Saya tak setuju dan bantah kalau orang bukan Melayu atau bukan
Islam menjadi Perdana Menteri, malah Pas sendiri, sebagai sebuah parti
Islam hanya mahukan orang Islam yang jadi pemimpin (Perdana Menteri).
“Biarlah dia (Karpal Singh) dengan impiannya (mahu orang bukan Melayu
jadi Perdana Menteri). Saya bukan menentangnya (Karpal) tapi saya tidak
bersetuju dengan Perlembagaan yang ada.
“Ini kerana, dalam Perlembagaan negara, ia tidak sebut hanya orang
Melayu boleh jadi Perdana Menteri. Di sinilah yang menjadi masalahnya
dan saya memang tidak bersetuju," katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Harun diminta mengulas ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa
beliau akan terus berjuang bagi memastikan seorang bukan Melayu
menyandang jawatan Perdana Menteri.
Karpal berkata, meskipun ketika ini pakatan pembangkang bersetuju
bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon paling layak sebagai
Perdana Menteri, beliau secara peribadi menganggap tidak ada
undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang calon bukan
Melayu.
Harun seterusnya berpendapat, impian Karpal untuk melihat calon
bukan Melayu menjadi Perdana Menteri kelak tidak akan tercapai kerana
beliau yakin orang Melayu tidak akan dapat menerima seorang Perdana
Menteri dari kalangan bukan Melayu atau bukan Islam.
“Impian beliau (Karpal) mungkin tercapai jikalau orang-orang Melayu
mengundi beliau atau calon-calon lain yang bukan Melayu. Namun saya
yakin orang Melayu tak akan undi mereka," ujarnya.
Ditanya pula mengenai percanggahan pendapat antara Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat berhubung isu muzakarah, Harun berkata, apa sahaja yang
boleh membawa kebaikan kepada umat Islam, beliau akan sokong.
“Saya serah kepada keputusan kepimpinan parti (Pas) sama ada
muzakarah diteruskan atau sebaliknya, saya sokong apa saja keputusan
parti," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan