Mohd. Shafie Apdal menekan butang sebagai simbolik perasmian Maktab Rendah Sains Mara Betong, Sarawak, semalam.
*****
BETONG 24 Mei - Pengerusi DAP, Karpal Singh mungkin tidak yakin
dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyuarakan hasrat
untuk melihat seorang calon bukan Melayu menjadi Perdana Menteri
sekiranya pembangkang berkuasa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dengan
reputasinya yang dianggap pemimpin bermasalah, Anwar mungkin bukan
pilihan utama DAP untuk memegang jawatan tersebut.
"Pakatan pembangkang agak bercelaru, ada pemimpinnya yang mahukan
Anwar, ada yang tidak mahu dan sekarang Karpal pula yang bercakap
begitu. Perkara muzakarah pun tak jadi kerana ada yang setuju dan ada
yang tidak setuju.
"Jadi, sebenarnya ada dua perkara, pakatan pembangkang memang tidak
sepakat dan Karpal Singh mungkin menolak Anwar kerana dia tidak yakin
dengan Ketua Pembangkang itu," katanya pada sidang akhbar selepas
merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Karpal bahawa beliau
akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang
jawatan Perdana Menteri selagi beliau hidup.
Menurutnya, meskipun ketika ini pakatan pembangkang bersetuju bahawa
Anwar calon paling layak memegang jawatan nombor satu negara, beliau
secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang
jawatan itu disandang oleh calon bukan Melayu.
Karpal juga mendakwa tersasul menyebut Ketua Menteri Pulau Pinang,
Lim Guan Eng sebagai bakal Perdana Menteri, bukannya Anwar dalam satu
majlis di pasar Air Itam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah berkata, Pas dan PKR perlu sedar kenyataan Karpal sedikit
sebanyak memberi gambaran tentang matlamat serta agenda sebenar DAP yang
tidak sehaluan dengan mereka.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan