KUALA LUMPUR 25 Mei - Lebih 100 orang peguam sukarela menawarkan
perkhidmatan mereka untuk membantu membuat tuntutan ganti rugi bagi para
peniaga di sekitar Kuala Lumpur yang terjejas perniagaan mereka semasa
perhimpunan Bersih 1,2 dan 3.
Anggota Peguam Sukarela (Sukaguam), Zahrin Ishak berkata pihaknya
sedia membantu kos guaman secara percuma bagi menuntut kerugian para
peniaga daripada Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga.
"Kami akan menyiasat terlebih dahulu tuntutan yang peniaga inginkan
daripada penganjur perhimpunan sebelum memfail tuntutan itu di mahkamah.
"Peniaga-peniaga yang boleh membuat tuntutan ganti rugi ini bukan
sahaja terhad di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, malahan di sekitar
Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari
ini.
Zahrin berkata, Sukaguam terdiri daripada peguam-peguam yang
bertindak secara sukarela tanpa sebarang bayaran untuk membantu peniaga
membuat tuntutan ganti rugi mereka.
"Kami jalankan ia tanpa sebarang agenda tertentu tetapi
tanggungjawab sosial kami untuk membantu peniaga menuntut kembali hak
atau kerugian yang mereka alami.
Dalam sidang akhbar yang sama, Pengerusi Majlis Bertindak
Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, Datuk Jamal Md. Yunus berkata, untuk
memudahkan peniaga membuat tuntutan mereka, sebuah sekretariat
ditubuhkan di Restoran Ikan Bakar Sekinchan cawangan Gombak.
"Sekretariat ini dibuka setiap hari bermula Isnin depan, para
peniaga boleh memfail tuntutan kerugian mereka dengan berjumpa terus
peguam-peguam sukarela terlibat dari pukul 10 pagi hingga 4 petang,"
katanya.
Pada 15 Mei lalu, kerajaan Malaysia memfail saman terhadap Pengerusi
bersama Bersih Datuk S. Ambiga dan sembilan yang lain untuk menuntut
ganti rugi khas RM122,000 atas dakwaan gagal mengawal perhimpunan haram
pada 28 April. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan