Nooh Gadut
*****
LABIS 24 Mei - Penasihat Majlis Agama Islam
Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, adalah haram hukumnya
menyokong perjuangan Irshad Manji yang mempertahankan cara hidup sebagai
seorang lesbian dan sesiapa yang berbuat demikian harus segera
bertaubat.
Oleh itu, katanya, tindakan pihak berkuasa menyekat pengedaran buku berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta
tulisan Irshad yang mendukung gerakan lesbian, gay, biseksual dan
transgender (LGBT) perlu disokong kerana jika dibiarkan ia akan
merosakkan akidah umat Islam negara ini.
"Adalah jelas bahawa Irshad Manji adalah seorang yang memperjuangkan
gaya hidup lesbian dan gay yang bertentangan dengan hukum agama Islam,
namun masih terdapat golongan tertentu masih memberikan kerjasama
kepadanya semasa dia datang ke negara ini.
"Saya menyeru umat Islam negara ini menolak sekeras-kerasnya bukan
sahaja kedatangannya ke sini, malah fahaman serta buku tulisannya kerana
boleh merosakkan akidah kita dan haram hukumnya kita menyokong sebarang
tindakannya yang jelas menghina Islam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas
kedatangan penulis kontroversi dari Kanada, Irshad Manji dan pelancaran
bukunya yang mempunyai unsur penghinaan terhadap Islam di Kuala Lumpur
baru-baru ini, selepas menyampaikan ceramah di Forum Perdana Ehwal Islam
sempena Festival Labis di Dataran Labis, di sini semalam.
Sebelum ini Irshad pernah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia melalui buku tulisannya berjudul The Trouble With Islam Today yang disifatkan mempunyai idealisme sama seperti buku tulisan Salman Rushdie, The Satanic Verse yang diharamkan di Malaysia.
Nooh pada masa sama turut meminta pihak berkuasa agar bertindak tegas
kepada mana-mana pihak yang cuba membawa masuk individu yang mendukung
ideologi liberalisme, pluralisme dan budaya LGBT ke negara ini.
"Jika kemasukan individu seperti ini ke negara kita tidak dibendung,
saya bimbang mereka akan berjaya menyebarkan pengaruh negatif di
kalangan masyarakat kita secara halus dan ini akan membawa kita kepada
kehancuran bukan sahaja di dunia malah di akhirat," katanya lagi.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan