HAMZAH Zainuddin (tiga dari kanan)
bersama-sama bekas ahli Pas yang menyertai UMNO ketika majlis kenduri
rakyat di Batu Kurau di Larut, semalam.
*****
LARUT 2 Jun - Seramai 360 ahli Pas Titi Kasai dan 328 lagi dari Felda
Ijok, bertindak keluar parti itu selepas kecewa dengan perjuangan yang
dianggap tidak lagi berteraskan Islam sebenar selain hanya merebut kuasa
atas tiket peribadi.
Bekas Setiausaha Cawangan Pas Titi Kasai, Abdul Wahab Mahmod, 43,
berkata, beliau kecewa dengan janji kosong yang ditaburkan pemimpin Pas
setelah 23 tahun menjadi ahli parti berkenaan.
"Dulu saya sokong Pas kerana ia mendokong Islam, namun apabila saya
sudah mendalami ilmu, Islam itu bukannya hanya terletak pada Pas malah
menjadi tanggungjawab individu itu sendiri untuk menjaganya.
"Pas sekarang agresif serta tidak menyenangkan banyak pihak.
Satu-satu markas Pas boleh laung takbir 'Allah Maha Besar' tetapi pada
masa sama, mereka kata 'mampus UMNO'. Mereka sebut kalimah yang suci dan
selepas itu mereka maki balik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang keahlian UMNO yang
disampaikan kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin pada
majlis kenduri rakyat di Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, di sini.
Terdahulu, Hamzah turut menyertai 500 konvoi bermotor anak muda yang bermula dari Ulu Sepetang ke Kampung Titi Kasai di sini.
Seorang lagi ahli UMNO baru dari Felda Ijok, Zaharudin Zakaria, 55,
pula menyifatkan sokongan yang diberikannya kepada parti itu selama 30
tahun hanya sia-sia.
Menurut Zaharudin, Pas turun padang semata-mata untuk meraih undi
tanpa menghulurkan sebarang bantuan sebaliknya mengumpan dengan
janji-janji kosong kepada penduduk setempat.
"Mengundi Pas hanya menguntungkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat
(PKR). Menantu saya duduk di Pulau Pinang kata hidup di sana susah,
hendak beli rumah pun sukar, jadi terpaksa balik ke sini," katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata, melalui penyertaan sebagai ahli UMNO,
beliau yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengulangi kemenangan '4-0'
melibatkan kerusi Parlimen Larut dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) iaitu Batu Kurau, Kubu Gajah dan Selama.
Menurutnya, daripada sejumlah 42,000 pengundi di Parlimen Larut
ketika ini, hampir 30,000 daripadanya menyokong UMNO manakala seramai
3,000 dan 2,000 lagi menyokong MIC dan MCA.
"Hari ini kemasukan ahli UMNO baru ini hanya melibatkan dua DUN sahaja iaitu Batu Kurau dan Kubu Gajah.
"Selepas ini, kita akan buat untuk DUN Selama pula. Ramai ahli
pembangkang kini sudah mula menyertai UMNO untuk bersama-sama membela
nasib bangsa, agama dan negara," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 3/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan