NIBONG TEBAL 2 Jun - Pas diingatkan supaya tidak ‘berangan-angan’
untuk menggantikan UMNO sebagai parti utama kepada orang Melayu dan
Islam di negara ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin
Osman berkata, beliau percaya Pas akan diketepikan oleh sekutunya, DAP
dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila segala sesuatu yang dihajati
oleh pembangkang tercapai.
Sebagai contoh, jelasnya, di Pulau Pinang, Pas tidak diberikan
jawatan dalam kerajaan negeri meskipun berjaya memenangi satu kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum 2008.
“Adakah Pas akan diberi tempat, diberi kerusi yang sepatutnya jika
pembangkang memerintah? Atau mereka (Pas) terus menjadi parti yang
sering dipermain-main dan diperkotak-katik?
“Adakah Pas mampu mewakili orang Melayu dan Islam di peringkat nasional selepas tidak mendapat tempat di Pulau Pinang?
“Saya harap apa yang berlaku di Pulau Pinang dijadikan contoh. Pas
janganlah tertipu lagi," katanya kepada pemberita pada majlis
penyampaian Anugerah Desa Cemerlang peringkat negeri di sini hari ini.
Semalam ketika menyampaikan amanat khas Presiden Pas sempena Himpunan
Hijau Ke Putrajaya di Alor Setar, Kedah, Presiden parti itu, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan mereka untuk menggantikan UMNO
sebagai parti utama masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.
Menurut Zainal Abidin, kerajaan DAP Pulau Pinang berjaya ditubuhkan pada 2008 hasil sokongan padu pengundi Pas.
/hwa: utusan.com.my | 3/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan