BALIK PULAU 2 Julai - Tiga warga emas mendakwa
diperalatkan oleh pembangkang untuk meramaikan program lawatan Ketua
Menteri, Lim Guan Eng ke Teluk Bahang di sini pada Sabtu lalu.
Ketiga-tiga wanita itu yang kesal kerana dipermain-mainkan sedemikian
berkata, seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan mereka
akan menerima sumbangan berupa wang tunai daripada kerajaan DAP Pulau
Pinang jika hadir.
Mangsa, Norma Yusof, 63, berkata, dia kecewa kerana pemimpin
pembangkang tersebut sanggup menipu penduduk kampung semata-mata mahu
menunjukkan rakyat menyokong kerajaan DAP Pulau Pinang.
"Saya pergi majlis terbabit tetapi nama saya tidak dipanggil untuk
menerima bantuan. Apabila saya pergi berjumpa dengan pemimpin PKR yang
datang berjumpa saya Rabu lepas, dia cuba mengelak daripada menjawab
pertanyaan saya.
"Saya tidak sangka mereka mempergunakan saya untuk meramaikan majlis terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Zainab Long, 74, memberitahu, dia sanggup
berjalan kaki hampir satu kilometer untuk ke lokasi majlis dengan
harapan akan menerima bantuan bagi meringan beban keluarganya.
Bagaimanapun, dia amat kecewa kerana sebaik tiba, hanya senaskhah risalah kerajaan negeri, iaitu Buletin Mutiara yang diberikan kepadanya.
Menurut Zainab, alasan yang diberikan penganjur adalah namanya tiada dalam senarai penerima bantuan.
"Sejak empat tahun pembangkang mentadbir, saya belum pernah berjumpa
Ketua Menteri dan inilah kali pertama saya dapat melihat dia (Guan Eng)
dari dekat.
"Namun, pertemuan pertama itu bukan menggembirakan sebaliknya merupakan titik hitam buat diri saya," tegasnya.
Zainab Boo Ibrahim, 74, pula melahirkan kesedihan kerana golongan
susah sepertinya dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab sedemikian
rupa.
"Saya kesal dan malu kerana dipermainkan begitu.
"Saya tahu saya miskin dan hidup dengan mengharapkan bantuan orang tetapi janganlah sampai peralatkan kami," katanya sebak.
Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa) Pulau Pinang, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin memberi tempoh 48 jam
kepada Guan Eng bagi membukitkan bahawa seorang ahli Perkasa menepuk
bahu beliau seperti yang didakwanya.
"Jika dia (Guan Eng) gagal mengemukakan bukti serta mohon maaf dalam
tempoh yang diberikan, saya akan memfailkan saman malu atas dakwaan yang
dilemparkan beliau yang sengaja mahu memburukkan nama Perkasa,"
katanya.
Sabtu lalu, sekumpulan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
setempat mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kehadiran Guan Eng
ke kawasan mereka di Teluk Bahang di sini.
Mereka berkumpul seawal pukul 7.30 pagi bagi menyatakan rasa tidak
puas hati terhadap corak pentadbiran Guan Eng yang dikatakan tidak telus
dan menindas rakyat khususnya orang Melayu.
Kumpulan itu juga membawa kain rentang yang antaranya tertera perkataan-perkataan seperti 'Guan Eng Rasis' dan 'Guan Eng hanya pandai perkudakan semua bangsa'.
Bagaimanapun, perhimpunan aman itu bertukar menjadi kecoh gara-gara
seorang lelaki dipercayai penyokong pembangkang yang turut serta dalam
rombongan Ketua Menteri itu menyerang seorang ahli Perkasa.
Akibatnya, kedua-dua kumpulan itu bertegang leher hingga berlaku
tolak-menolak di antara satu sama lain sehingga nyaris mencetuskan
adegan tumbuk menumbuk.
Bagaimanapun, suasana tegang itu berjaya dilerai dan dikawal oleh polis.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan