KUALA LUMPUR 17 Julai - Krisis bekalan air yang
melanda beberapa daerah di Selangor berpunca daripada keengganan
kerajaan negeri melulus dan melaksanakan projek-projek bagi menambah
bekalan air terawat yang semakin berkurangan.
Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Teknikal Syarikat Bekalan Air
Selangor (Syabas), Ir. V. Subramaniam berkata, ia termasuk menghalang
pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) yang sangat
diperlukan bagi mengatasi masalah kekurangan air terawat di negeri ini.
"Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga bertindak
mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bekalan air mentah di
empangan sedia ada mencukupi malah melimpah ruah.
"Sedangkan krisis air Selangor melibatkan kekurangan air terawat,
bukannya bekalan air mentah," katanya pada sidang akhbar di sini hari
ini.
Subramaniam berkata demikian bagi mengulas kenyataan Abdul Khalid
semalam yang menyalahkan Syabas sebagai punca berlakunya krisis
kekurangan air di negeri tersebut kerana kononnya tidak mengikut
perjanjian konsesi.
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan tidak benar
sama sekali, Subramaniam berkata, kerajaan negeri wajar
dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana menghalang pembinaan Langat 2
selain mengarahkan perbelanjaan modal (Capex) tidak dijalankan.
Katanya, ekoran tindakan kerajaan negeri itu Syabas tidak berupaya
melaksanakan kerja-kerja mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW)
serta turut menjejaskan usaha membaik pulih serta menaik taraf aset
bekalan air sedia ada.
"Pada masa sama, kegagalan kerajaan negeri menggazetkan pelarasan
tarif air menyebabkan Syabas menanggung jumlah tunggakan yang besar
kepada operator loji rawatan air sedia ada," jelasnya.
Menurut Subramaniam, sehingga kini, Syabas telah menghantar 48 pucuk
surat memaklumkan situasi semasa dan kemungkinan berlakunya krisis air
namun tiada tindakan berkesan diambil kerajaan negeri.
"Adalah pelik jika Menteri Besar sendiri tidak tahu status
pengeluaran loji yang diuruskan kerajaan pimpinannya atau beliau sengaja
buat-buat tidak tahu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri,
Datuk Seri Noh Omar berkata, hasrat mengambil alih pengurusan Syabas
membuktikan pimpinan kerajaan Selangor masih tidak faham tentang masalah
sebenar krisis air di negeri itu.
Menurut beliau, ini kerana masalah air di negeri itu bukannya atas
sebab jual beli Syabas tetapi isu pokoknya adalah kekurangan sumber air
terawat yang sangat diperlukan rakyat.
Noh berkata, tidak ada gunanya pengurusan Syabas diambil alih tetapi
sumber air masih tidak mencukupi dan ia tidak akan dapat menyelesaikan
masalah yang sedang dihadapi.
"Tindakan kerajaan negeri yang hanya mementingkan politik menyebabkan
rakyat Selangor sengsara kerana keperluan asas mereka iaitu air juga
gagal disediakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada surau
dan masjid Parlimen Tanjong Karang di kediamannya di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abd.
Razak.
/hwa: utusan.com.my | 18/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan