SHAH ALAM 17 Julai - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan
peletakan jawatan Pengarah Biro Undang-undang Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Latheefa Koya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
akibat desakan kerajaan negeri.
Sebaliknya kata Menteri Besar, tindakan itu dibuat atas kehendak Latheefa sendiri.
“Itu keputusan dia, bukan kerajaan negeri. Namun, buat masa ini
kerajaan masih belum menerima surat rasmi mengenai perkara itu," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan seminar Vibrant Selangor 2012 di
Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Kata Abdul Khalid, walaupun Latheefa meletak jawatan sebagai Ahli
Majlis MBPJ, pihaknya tetap akan membincangkan isu itu dalam mesyuarat
Exco esok.
“Sama ada kerajaan negeri terima surat (peletakan jawatan) atau tidak, kita akan adakan perbincangan dengan Exco," jelasnya.
Semalam, Latheefa mengumumkan peletakan jawatannya serta-merta
selepas beliau difahamkan akan disingkirkan daripada jawatan tersebut.
Latheefa tidak menyentuh secara langsung punca peletakan jawatan itu,
sebaliknya beliau sepintas lalu menyebut ia berhubung isu perumahan
rakyat miskin.
Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman itu, Timbalan Pengerusi PKR
Selangor, Zuraida Kamaruddin dilaporkan mengkritik kerajaan negeri
kerana tidak membuat rundingan dengan pimpinan parti itu berhubung
peletakan jawatan Latheefa.
/hwa: utusan.com.my | 18/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan